Khamis, 23 Ogos 2012

MAJLIS BERBUKA PUASA ASRAMA SMKDSE

MAJLIS BERBUKA PUASA 
ASRAMA PUTERA SMK DATO' SYED ESA, BATU PAHAT, JOHOR, DARUL TA'ZIM
RABU 15 OGOS 2012.

FOTO-FOTO SEKITAR MAJLIS







Rabu, 22 Ogos 2012

SALAM KEMERDEKAAN

Rabu 15 Ogos 2012
SALAM RAMADHAN & SALAM KEMERDEKAAN & SALAM  1 IMPIAN




Saya bangga sebagai anak Malaysia;
SEBAB

1. Sebab saya di sini lah !


2. Mak , ayah, atok .oyang semuanya lahir kat sini 


3. Lahir-lahir negara dah ada bendera sendiri ! horey horey horey!!!


4. Bendera tuu pulak ada banyak..1 + 14 !


5. Masuk sekolah free..walaupun bayar yuran sikit..tu pun sebab bagi kat PIBG.


6. Macam-macam jenis sekolah ada..pilih aje nak masuk yang mana..sekolah orang putih,sekolah melayu, sekolah cina, sekolah tamil..sekolah arab..

7. Ada banyak universiti .20 gomen punya ..yg IPTS melambak..pilih aje.Kat cyberjaya ada sekolah besar ..banyak org hitam putih kelabu ada belajar kat situ.

8. Paling banyak peksa..masa tadika,UPSR,PMR,SPM,.., …..tu belum masuk ujian bulanan..semester punya.

9. Masa kechik asyik berperang tapi bukan senjata betoi-betoi macam budak Palestine tuu.
10. Dapat keje dengan gomen..orang keje swasta pun lagi lumayan.

11. Kerja gomen ada jalan-jalan..walaupun bonus kejap ada kejap tak der..yg penting bahagia.

12. Yang tak dapat kerja gomen banyak kilang kat sini..buat tv ada, buat kereta ada ,buat kapal ada , buat bom pun ada !

13. Paling banyak cuti umum….boleh cuti-cuti Malaysia , keluarga kat Malaysia ni kan penyayang!


14. Negara yang paling banyak raja…termasuk Raja kecil Besar, Raja di Hilir, di Hulu..tapi tak termasuk rajakapoor tau !


15. Ada Asmunah, Sock Hong dan Vicky,Stacy,Masha, ,Rebecca tak kisah pun tidur sebantal makan sepinggan.

16. Sekarang ni lagi hebat..dah ada macam-macam kale, termasuk mat hitam legam.

17. Ada nasi..aduhai pegi tempat orang satu hari tak dapek nasik..gilo raso nye.Ada macam-macam jenis ..nasi lemak ,nasi campur, nasi ayam, nasi kerabu, nasi beriani, nasi dagang ???

18. Roti canai , tosei ,capati, puri, vadee, char kuey tiow orang melayu yang buat.

19. Macam-macam ada untuk dimakan..duri, rambut, besi,paku,kayu,batu semua boleh!pokoknya tak kebulurlah duduk di sini!

20. Tu tak termasuk lompat tikam,buah Melaka, tahi itik…badak pun kena sapu jugak .
21. Kalau mengidam ….tak payah nak pegi Thailand,Tokyo, Vietnam ,Jepun,Amerika ,Turki, Syria ..kat sini semua ada.

22. Malas nak masak atau urus rumah sendiri..panggil aje bibiek dari seberang ada, dari Filipina ada..sekarang cadang nak bawak dari Timur Lastee laaa pulak.


23. Kalau nak potong rumput, cat rumah panggil ada mat bangle atau mat nepali..
rehat kejap..kita layan gambar di atas..rumah/kenderaan anda dah dipasang bendera ??

24. Ada highway dari BKH sampai selat teberau..ada cadang ke rentas LCS pulak ?
25. Tak nak naik bas ..naik air asia ke waubesar ke..kejap je dah sampai Lawas ke Langkawi .
26. Ada saga, angsa, kancil berkeliaran di jalanraya.

27. Tiap kilometer mesti ada masjid ,surau..Ada masjid india, cina , keling …pokoknya waktu sembahyang singgah aje lah..tapi ingat, jangan duk nak simbah-simbah dengan cat atau arak !

28. Kalau nak pegi Mekah..tak susah sebab ada Tabung Haji uruskan.
29. Orang Siam atau Buddha ke kalau nak sembahyang boleh juga baring atau duduk sama dengan patung giant kat Tumpat dan di Pasir Mas .

30. Bulan Februari sesape pun nak joint wel wel boleh ke batu caves…tak payah pergi ke Sungai Ganges.

31. Paling banyak hari raya…raya puasa, raya haji, raya cina, raya iban, raya Samy Velu…raya krismas, …

32. Tak pernah lagi tak mandi ke minum ke..sesekali besi tak keluar air..kechoh !kalau macam kat Afganistan tuu ?

33. Tak payah nak ada bekalan baju tebal sampai tutup hidung mata sebab cuaca kat sini tak keje shift.

34. Tak payah susah-susah lari ke tempat lain bila cuaca berubah macam Pak arab tuu..sepanjang tahun cuaca lebih kurang aje..

35. Tak tau pun nak kira skala rither sebab kat sini tak pernah ada gempa bumi.

36. Kalau rasa nak sejuk sikit pergi la ke Cameron ..bukan Cameron di Afrika.

37. Atau kalau nak seronok main-main rooler coster macam kat Disneyland..pegi aje ke Genting ke..tapi ingat ke situ bukan nak melabur duit.

38. Boring duduk kat rumah batu kita tidor kat rumah papan..banyak kan ,yang tak der rumah tu sebab mereka sengaja suka macam tuu..lepak.

39. Nak mandi laut atau skuba?...tak perlu hingga ke Mauritius..kat sini pun banyak..sampai ada pantai yang tak ader air..

40. Kalau nak sangat pegi ke England., New Zealand atau Portugal..tak payah susah-susah sebab tempat tu pun ada kat sini .

41. Tak payah keIndia nak cari sari, sireh..sebab banyak Little India kat Malaysia ni..Klang, Penang, Kl..Seremban pun ada.

42. China Town pun banyak..Petaling Street paling glamer…barang murah-murah.
43. Nak pakai baju pesen apa pun boleh..baju kurung, baju melayu, cheong sam, sari..Cuma ramai pulak yang beli kain tak cukup ela..

44. Sesiapa ada bakat seni..pilih aje lah nak yang macam mana..mak yong, gemelan,inang,samazau, ngajat atau sewang ?
45. Banyak tempat membeli belah..tak kira giant ke atau kedai kechik pun banyak..merata-rata

46. Sogo kat Kuala Lumpur tu orang Negeri Sembilan yang punya..tak caya ?..haa ..orang Kampung Sogo (Sega) Rantau..dekat kampong MBNS.

47. Punya hebatnya orang Malaysia membelibelah..sampai mengaku diri Setan..ish ish IE tidak !!

48. Cuba berdiri kat atas Jejantas Menara Berkembar Petronas tuu..mesti nampak hutan-hutan batu…( Nampak juga belukar papan kan ???).

49. Sesiapa yang tak ada tanah, gomen sedia nak bagi 10 ekar.. ! ada jugak yang jadi jutawan sebab meraka jual tanah yang gomen bagi TAPI ada jugak yang kaya sebab saman balik tuan yang bagi mereka tanah !!!

50 Suka hati kitalah nak masuk parti apa …merah ke biru ke hijau ke ..nak naik roket ke, nak ke bulan ke , mata lebam ke ..atau waraslah sikit kita guna dacing !
51. Sesiapa pun boleh jadi YB kat sini pokoknya pandai cari penyokong.

52. Terima kasih kepada orang dulu-dulu..tanpa semangat mereka , tanpa jerit payah keringat dan darah mereka , tanpa kesepakatan mereka..tanpa perundingan murni antara mereka ..
DI MANAKAH KITA HARI INI ??
53. 
BERSYUKURLAH KITA DENGAN KEMERDEKAAN, KEMAJUAN ,KEAMANAN DAN KEMAKMURAN NEGARA KITA…..MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA 


P/S BARU LEPAS SAHUR..RAMADHAN HARI KE 26...3 HARI SAJE LAGI KITA AKAN MENGUCAPKAN SELAMAT TINGGAL KEPADA RAMADHAN ALMUBARAK...







Hari Raya Idilfitri : Yang Perlu &
Yang Jangan DiLakukan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini.  Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.  
Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya telah mendapat keputusan ‘gagal', malah telah berjaya terkena doa laknat oleh Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan', merbahayalah imannya pada bulan-bulan yang mendatang. Nau'zubillah.
Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka
Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.
"waste of time!!" katanya lagi.
Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).
Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana kata-kata hukama :-
الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ
Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)

BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.
Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.
MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?
Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.
Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)
Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.
TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI
Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.
Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.
Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.
Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.
Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.
RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Nabi pernah bersabda :
مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim) 

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh. 

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

Selamat Hari Raya Idil Fitri

"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"








Selasa, 14 Ogos 2012

Majlis Khatam AlQuran dan Sumbangan Duit Raya Pelajar Sesi Petang

Majlis Khatam AlQuran dan Penyampaian Duit Raya
Guru dan Pelajar Sesi Petang SMK Dato' Syed Esa, Batu Pahat, Johor.

14 Ogos 2012, di Surau AlBanna
           Hari ini bersamaan 25 Ramadhan.  Diam tak diam tinggal 4 hari saja lagi sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya.  Terasa baru lagi mengucapkan ahlan wah Sahlan ya Ramadhan dan kini terpaksa berpisah.  Sayu rasa hati.
          Selepas waktu rehat, majlis pra hari raya dijalankan.  Tahniah dan terima kasih kepada semua guru yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyediakan  bunga telur, bunga pahar, sampul duit raya dan majlis khatam.  Guru-guru antaranya Ust Jasmi, Pn Mufidah, Pn Hjh Kamilah, Cik Nur Fariha, Tn Hj Md Dan, Pn Asmunah dan ramai lagi kalau nak disebut di sini.  Namun yang penting hasil kerjasama semua guru majlis berjalan lancar dan meriah sekali.  
          Seronok dan terharu melihat kegembiraan pada wajah pelajar-pelajar miskin yang menerima sumbangan duit raya.  Begitu juga semua pelajar Islam menerima duit raya.  Walaupun nilainya tak seberapa namun kegembiraan terpancar di wajah-wajak pelajar yang dikasihi semua.
                 Guru-guru tak ketinggalan menerima duit raya dan bunga telur.  Masing-masing gembira kerana dah lama tak merasa menerima duit raya!!!!  
                   Babak paling mengharukan ketika pelajar-pelajar berbaris bersalaman dan memohon kemaafan daripada para guru.  Dan guru-guru pula silih berganti bermaaf-maafan dengan GPK Petangnya ini.  Untuk semua guru dan pelajar terimalah ucapan daripada saya:

              SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN



Selasa, 31 Julai 2012

LATIHAN PENANDA WACANA - TINGKATAN 1 CERDIK DAN 1 BESTARI


SMK DATO’ SYED ESA, BATU PAHAT, JOHOR.

NAMA:  ……………………………………….   TINGKATAN:  ……………. TARIKH : …………..

ARAHAN:
TINGKATAN 1 CERDIK & 1 CERDAS
1.  Jawab semua soalan dalam buku latihan tatabahasa
2.  Salin semula soalan dengan memasukkan jawapan lalu digariskan jawapan
     tersebut.

Penanda wacana ialah kata atau rangkai kata yang menghubungkan ayat.
Penanda wacana digunakan dalam perenggan yang sama atau perengan yang baru supaya ayat-ayat menjadi lebih teratur dan mempunyai kesinambungan antara satu perenggan dengan perenggan yang seterusnya.

Pilih jawapan yang paling sesuai untuk mengisi tempat kosong dalam ayat-ayat di
bawah.

1 Alia mendapati dompetnya hilang. ______ dompetnya tercicir atau tersalah
letak.
A Justeru
B Mungkin
C Akhirnya
D Kemudian

2 Setelah ditanya oleh ayah, ______ abang mengaku menumbuk Alif Haikal.
A lagipun
B mungkin
C akhirnya
D kemudian

3 Nurul Aina tidak hadir ke sekolah pada hari ini. ______ dia sakit gigi.
A Lagipun
B Mungkin
C Akhirnya
D Kemudian

4 Lapan orang peserta menarik diri. ______, program lawatan itu terpaksa
dibatalkan.
A Jadi
B Justeru
C Mungkin
D Sebaliknya

5 Dato’ Khir menyampaikan ucapan. ______, beliau merasmikan laman web
syarikat itu.
A Namun
B Mungkin
C Meskipun
D Seterusnya

6 Jamil belum menghantar borang penyertaan pertandingan mengarang ________ tarikh tutup semakin hampir.
A justeru
B lagipun
C namun
D walhal

7 _________ membeli kereta, memiliki basikal _____ dia tidak mampu.
A Baik …pun
B Jangankan…pun
C Walaupun…bahkan
D Walaupun…namun

8 Azah kelihatan mengantuk lagi. ____ dia menolong ibunya di warung sehingga lewat malam.
A Kemudian
B Namun
C Mungkin
D Selain itu

9 Mula-mula basuh beras itu bersih-bersih. ____________ sukat air secukupnya.
A Namun
B Oleh itu
C Kemudian
D Dengan demikian

10 Rohaya seorang murid yang rajin dan berdisiplin. ___________ dia sentiasa
mendapat pujian daripada guru-gurunya.
A Selain itu
B Oleh sebab itu
C Namun demikian
D Biarpun demikian

11 Cikgu Salman selalu memarahi murid-muridnya. _______________ , muridmurid menghormatinya kerana beliau seorang guru yang berdedikasi.
A Selain itu
B Namun begitu
C Oleh sebab itu
D Lebih-lebih lagi

12 Sejak kecil lagi Pak Udin memang gerun ke laut, ____________ pada usianya yang semakin lanjut ini.
A walaupun begitu
B namun demikian
C lebih-lebih lagi
D selepas itu

13 Kerajaan terpaksa menangguhkan banyak projek kerana kegawatan ekonomi. ______________, program membantu rakyat miskin tetap dilaksanakan.
A Selain itu
B Lebih-lebih lagi
C Walaupun demikian
D Oleh sebab itu

14 Berita yang disampaikannya sungguh mengejutkan saya. _____________, saya mencuba sedaya upaya unuk bertenang.
A Namun demikian
B Selepas itu
C Oleh itu
D Justeru

15 Pelajar yang bermasalah itu diminta menceritakan hal yang sebenarnya.
___________, diberi nasihat.
A Mungkin
B Selain itu
C Selepas itu
D Lebih-lebih lagi

16 Kami membawa murid-murid melawat ke Bandar Melaka untuk melihat kesan peninggalan sejarah . _________, kami bercadang akan berkelah di Tanjung
Bidara.
A Selain itu
B Lebih-lebih lagi
C Biarpun demikian
D Namun demikian

17 Kehidupan Mak Kiah diibaratkan bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. ___________, semangatnya masih kukuh untuk membesarkan anakanaknya.
A Biarpun demikian
B Lebih-lebih lagi
C Oleh itu
D Mungkin

18 Simpan semua buku sekarang, ______ kita akan mengadakan kuiz teka silang
kata.
A kemudian
B akan tetapi
C selanjutnya
D namun begitu

19 Pergi mandi dahulu. _______ bersedia untuk ke kelas piano.
A Selepas itu
B Namun begitu
C Oleh sebab itu
D Tambahan pula

20 Orang ramai merungut kerana harga barang semakin naik. ____________,
harga barangan keperluan.
A Tambahan pula
B Oleh sebab itu
C Namun begitu
D Lebih-lebih lagi

21 Hasil lukisan Suhada tidak pernah berjaya memenangi anugerah. ______,
semangat untuk terus melukis tidak pernah pudar.
A Oleh itu
B Biarpun demikian
C Kalau begitu
D Lebih-lebih lagi

22 Setelah tiga hari berturut-turut Karim dan kawan-kawannya mendaki gunung itu, ______ mereka sampai juga di puncaknya.
A akhirnya
B namun
C di samping itu
D oleh yang demikian

23 "Amalina telah diserang demam campak. ______, dia tidak hadir ke sekolah,"kata adiknya kepada Cikgu Nurhisyam.
A Oleh sebab itu
B Di samping itu
C Semenjak itu
D Sebaliknya

24 Suatu kebakaran besar telah berlaku di Tanjung Sepat. ______ tiada
kemalangan jiwa dilaporkan.
A Walau bagaimanapun
B Namun demikian
C Lantaran itu
D Jika begitu

25 Jamal mendapat gred 3A 2B dalam Ujian Percubaan UPSR. ______,
semangatnya masih kental untuk berusaha.
A Oleh itu
B Kalau begitu
C Oleh sebab itu
D Biarpun demikian

26 Alif Farhan seorang pemuda yang cacat. ______, dia tidak pernah
mengharapkan belas kasihan daripada orang lain.
A Sungguhpun demikian
B Lebih-lebih lagi
C Oleh sebab itu
D Kalau begitu

27 "Ayah dan Encik Jamil sedang berbincang di ruang tamu. ______, lebih baik kita berbual-bual di halaman rumah sahaja,"kata Raju kepada Moorthy.
A Biarpun demikian
B Kalau begitu
C Oleh itu
D Lebih-lebih lagi

28 Basikal Leong Jim Jee terbabas ketika dia melalui selekoh yang licin itu. ______, dia juga terlanggar sebatang pokok.
A Biarpun demikian
B Dalam pada itu
C Kalau begitu
D Oleh itu

29 Adik Dahlia suka menonton filem rencana. ______ yang berkaitan dengan
hidupan liar yang terdapat di Benua Afrika.
A Tambahan lagi
B Meskipun begitu
C Biarpun demikian
D Lebih-lebih lagi

30 Saya pernah bertemu muka dengan Jestina Lim. ______, saya faham akan
sikapnya.
A Biarpun demikian
B Kalau begitu
C Jadi
D Justeru

31 Tok Ali tidak dapat melihat dengan jelas. ______________ apabila tulisan itu kecil.
A Tambahan pula
B Lebih-lebih lagi
C Oleh sebab itu
D Mungkin

32 Amirah berlatih siang dan malam. ___________, dia berharap dapat memenangi pertandingan syarahan itu.
A Justeru
B Kemudian
C Oleh sebab itu
D Dengan demikian

33 Zarina tidak pernah melupai jasa ibu bapanya. __________, dia berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa mereka.
A Sungguhpun demikian
B Seterusnya
C Oleh itu
D Lagipun

34 Asraf gagal lagi dalam permohonan biasiswa. _____, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk belajar di luar negara.
A Dengan demikian
B Justeru
C Selepas itu
D Kalau begitu

35 Setelah berkali-kali mencuba membuat kek coklat tanpa putus asa,
____________ emak berjaya juga.
A oleh sebab itu
B akhirnya
C lantaran itu
D kemudiannya

36 Puan Kalsom sungguh sibuk dengan tugasnya sebagai Guru Besar.
____________, dia tidak ada masa untuk menguruskan rumah tangganya.
A Lantaran
B Akhirnya
C Di samping itu
D Justeru

37 Encik Dahlan tegas dan tidak suka bercakap banyak. __________, dia sabar melayan kerenah anak-anaknya.
A Walau bagaimanapun
B Sebelum itu
C Seterusnya
D Oleh itu

38 _____________ sudah lewat malam, dia akan pergi juga memanggil doktor
kerana keadaan bapanya semakin tenat.
A Justeru
B Tambahan pula
C Oleh itu
D Kendatipun

39 Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, ___________ saya puji dia.
A malahan
B mungkin
C lagipun
D jadi

40 Ayah kelihatan terlalu uzur. __________, dia tetap membanting tulang empat keratnya untuk mencari rezeki demi anak-anaknya.
A Kalau begitu
B Lantaran itu
C Namun demikian
D Lebih-lebih lagi


| SELAMAT MENCUBA SEMOGA BERJAYA |