Ahad, 30 Jun 2013

TIPS & PANDUAN - PENULISAN PENDAHULUAN KARANGAN MENGGUNAKAN TEKNIK ARCA + PENANDA WACANA


TIPS & PANDUAN PENULISAN PENDAHULUAN YANG MANTAP

Contoh 1:
Amalan menabung perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak awal lagi.  Nyatakan kebaikan-kebaikan yang diperoleh dengan amalan menabung ini.

Analisis soalan:-


Tema/Isu                                :  Amalan menabung  (AR)

Contoh                                   :  Contoh bank; Maybank, Tabung Haji, Bank Simpanan
                                                     Nasional  (AC)
Tugasan/arahan soalan       :  Kebaikan menabung  (AA)

TEKNIK PENULISAN PENDAHULUAN
TEKNIK ARCA
PW: Penanda Wacana
AR:  Ayat Rangsangan berdasarkan tema (AR-PU/Pernyataan Umum;AR-T/Tanya)
AC:  Ayat Contoh ( merujuk contoh tema) 
AA:  Ayat Arah dikaitkan dengan arahan/tugasan soalan
PW: penanda wacana/perbahasa (PB)/kata-kata hikmat(KH)

       [AR-PU] Dalam meniti arus pemodenan, amalan menabung merupakan amalan mulia yang perlu dipupuk sejak kecil lagi.  [AR-PU] Persis mutiara kata, melentur buluh biarlah dari rebungnya(PB), sewajarnyalah ibu bapa dalam menerapkan amalan menabung kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.  [AC] Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membuka akaun simpanan anak-anak di mana-mana institusi kewangan seperti Bank Simpanan Nasional, Tabung Haji dan Maybank. [AR-T] Persoalannya kini, apakah kebaikan menabung kepada individu?  [AA] Oleh hal yang demikian, kebaikan amalan menabung yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas secara terperinci untuk kepentingan bersama.

CONTOH 2:

Kes kemalangan jalan raya sering meningkat terutama pada musim perayaan.  Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara kita.

Analisis soalan   :
Tama/Isu              :   kemalangan jalan raya semakin meningkat(AR)
Contoh                 :   ketika sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau cuti umum (AC-
                                    merujuk tema)
Arahan/Tugasan    :   usaha-usaha mengurangkan kemalangan jalan raya(AA)


PENULISAN PENDAHULUAN - TEKNIK ARCA


      (PW)Memang tidak dapat dinafikan, (AR)kes kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat saban tahun.  (AR)Saban hari kita dapat membaca berita tentang kemalangan yang bukan sahaja mengakibatkan kecederaan malahan kehilangan nyawa.  (AC)Sebagai contoh, ketika cuti Hari Raya, Tahun Baru Cina atau hari-hari kelepasan umum yang lain , jumlah kemalangan turut meningkat apabila warga kota berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing. .(AR)Bilangan kenderaan yang bertambah di jalan raya umpama cendawan tumbuh selepas hujan turut menjadi punca peningkatan kes kemalangan di negara kita. (AR-T)Persoalannya, haruskah kita hanya berpeluk tubuh melihat peningkatan kes kemalangan ini tanpa berbuat apa-apa?.  (AA)Jelaslah bahawa, usaha-usaha yang drastik perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk membendung masalah ini daripada terus bereleluasa.

Contoh 3:

Anda telah dipilih untuk menyertai pertandingan syarahan yang bertajuk 'Langkah-langkah yang Paling Berkesan untuk Mengamalkan Gaya Hidup Sihat", sempena Hari Kesihatan Sedunia di sekolah anda.  Tulis teks syarahan anda selengkapnya.


Analisis soalan:
Tema         :    amalan gaya hidup sihat (AR)
Contoh     :    kebaikan - meningkatkan kesihatan, menghindari diri daripada mudah
                       dijangkiti penyakit dan menjalani kehidupan dengan berkualiti(AC)
Arahan/tugasan:  langkah-langkah berkesan untuk mengamalkan gaya hidup sihat(AA)

PENULISAN PENDAHULUAN - TEKNIK ARCA

      (PW)Pada era globalisasi kini, (AR)amalan hidup sihat sangat penting untuk dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat di negara kita. (AR)  Hal ini demikian kerana, amalan gaya hidup sihat memberi berbagai-bagai faedah dalam kehidupan kita.(AC)  Contohnya, tahap kesihatan akan meningkat dan menghindari diri daripada mudah dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya  (AR) seperti cogan kata, mencegah lebih baik daripada mengubati.  (AR)Apabila kesihatan terjamin, seseorang itu akan dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih berkualiti.  (AA-T)  Persoalannya, apakah langkah-langkah yang berkesan untuk mengamalkan gaya hidup sihat ini?  Tepuk dada tanya selera.

Tips untuk pelajar menengah rendah: 
             pendahuluan tidak perlu terlalu panjang:
             Formula :  Pendahuluan =  ( PW) + (AR) + (AC) + (AA - U/T)  + Peribahasa(Jika 
             ada)




         
Latihan kendiri'

Berdasarkan soalan-soalan yang diberikan, buat analisis soalan dan tulis perenggan pendahuluan yang baik dengan menggunakan teknik ARCA 

a)   Saban tahun, negara kita menghadapi masalah jerebu yang serius sehingga menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan masyarakat.  Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh masyarakat dalam menghadapi masalah jerebu ini.


b)   Gejala berlumba motosikal secara haram dalam kalangan remaja di negara kita semakin berleluasa.  Tulis sebuah rencana tentang punca-punca gejala ini untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda.

c)    Baru-baru ini telah tersebar video tentang gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.  Masalah ini semakin serius dan membimbangkan pelbagai pihak.  Kemukakan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk mengatasi gejala buli ini.

Selamat mencuba!!!!!



TIPS & PANDUAN - KARANGAN FORMAT SYARAHAN


TIPS DAN PANDUAN


1.      Karangan jenis syarahan atau dikenali juga sebagai pidato merupakan 
         karangan berformat.

2.      Format yang perlu diikuti apabila menulis karangan jenis ini ialah:
         a)    Kata alu-aluan kepada para hadirin.  Kata-kata ini mestilah 
                mengikut mengikut pangkat seperti Yang Mulia, Yang Berhormat, 
                Yang Berbahagia, Yang Dihormati, dan lain-lain.
         b)    Kata-kata penghadapan diselang-seli antara satu atau dua 
                perenggan.  Antara kata-kata penghadapan yang biasa digunakan 
                ialah:
                -   Hadirin yang dihormati,
                -   Hadirin dan hadirat sekalian.
                -   Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
                -   Saudara-saudari yang dikasihi sekalian dll.
                Penulisannya betul-betul di sebelah kiri dan selepas dilangkau 
                satu baris daripada isi sebelumnya.
         -      Format penulisan karangan mesti dipatuhi untuk mengelakkan 
                markah ditolak.

3.      Kandungan syarahan terbahati kepada tiga;
         a)   Pendahuluan - berisi kata alu-aluan, menyatakan tajuk
         b)   Isi  -   memuatkan perkara-perkara penting yang hendak 
               disampaikan berdasarkan tajuk.
               Isi diselang-selikan dengan kata-kata penghadapan 
          c)   Penutup - memuatkan kesimpulan, ucapan maaf dan terima kasih

4.      Dalam peperiksaan, karangan jenis ini lazimnya dikemukakan dalam 
         bentuk pertandingan.  Oleh itu, anda perlu memberikan kata-kata 
         pujian kepada hakim yang mengadilinya, seperti;
         -   Tuan Hakim yang adil lagi bijaksana, barisan hakim yang arif lagi 
         bijaksana atau yang sama maksud dengannya.'

5.      Untuk menulis syarahan yang bermutu, isi yang dikemukakan mestilah 
         bernas, tepat dan jelas.

6.      Gunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami.  Anda juga boleh 
         menyelitkan jenaka yang sopan, kata-kata kiasan , peribahasa, 
         pepatah, dan cogan kata.

7.      Di bahagian akhir karangan sebelum ucapan - sekian, terima kasih, anda 
         boleh menyelitkan pantun yang bersesuaian sebagai penutup.

JENIS-JENIS PENDAHULUAN DALAM PENULISAN KARANGAN


 APAKAH FUNGSI PENDAHULUAN DALAM KARANGAN? 
  • menarik perhatian dan minat pembaca
  • menunjukkan arah kepada pembaca tentang persoalan yang akan disentuh dalam isi karangan
  • menjelaskan tema karangan secara ringkas bertepatan dengan kehendak soalan.
APAKAH CIRI-CIRI PENDAHULUAN YANG BAIK?
  • Tepat dengan kehendak soalan
  • jelas dan sesuai dengan kehendak soalan
  • menggunakan bahasa yang tepat dan jelas
  • ada perkaitan dengan isu yang dibincangkan dalam isi karangan
  • ditulis dalam satu perenggan
  • tidak memasukkan isi karangan dalam pendahuluan
     Umpama sebuah pintu, pendahuluan sangat penting bagi menarik minat
pembaca untuk  mengetahui isi-isi yang akan dikemukan oleh penulis dalam karangan.

JENIS-JENIS PENDAHULAUAN KARANGAN
(i)   pendahuluan jenis definisi
(ii)  pendahuluan jenis pendapat
(iii) pendahuluan jenis suasana
(iv) pendahuluan jenis persoalan
(v)  pendahuluan jenis peribahasa
(vi) pendahuluan puisi
(vii) pendahuluan gabungan


PENDAHULUAN JENIS DEFINISI ·
memberikan takrif · makna · definisi (dengan merujuk kamus)

Contoh :
          Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau peraturan. Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa malahan golongan remaja juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes pada tahun 1997 kepada 43 210 kes pada tahun 1998 Di samping itu, kesalahan yang dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa.  Usaha-usaha pelbagai pihak amat diperlukan untuk membendung jenayah.

PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT -
menyatakan pendapat seseorang tokoh

Contoh :
      Menurut Mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak boleh dihentikan sama sekali. Apa yang perlu adalah dengan mengurangkan pencemaran tetapi pada masa yang sama meneruskan pembangunan.  Llangkah-langkah yang drastik harus diambil untuk memastikan kegiatan pembangunan dapat diteruskan di negara kita dan dalam masa yang sama pencemaran dapat dielakkan.

PENDAHULUAN JENIS SUASANA -
menggambarkan sesuatu melalui suasana/situasi yang sesuai.

Contoh :
      Bas yang berhawa dingin terus berlalu menyusur jalan yang bengkang-bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami . sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Fraser , sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang akan kami lalui nanti.

 PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN -
mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk

Contoh:
Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri mereka. Apakah yang dikatakan kecemerlangan ? Apakah dengan kecemerlangan boleh membuatkan seseorang itu berjaya ? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan ? Soalnya , apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan ?

PENDAHULUAN JENIS PERIBAHASA -
memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.

Contoh:
Peribahasa Melayu ” ringan sama dijinjing, berat sama dipikul” dan “seperti aur dengan tebing” amat sesuai ke arah mewujudkan masyarakat penyayang yang anggota-anggotanya mengamalkan sifat-sifat yang mengambarkan wujudnya hubungan kasih sayang dalam sesebuah komuniti.  Namun semangat berkerjasama dalam masyarakat semakin hari semakin terhakis terutama di kawasan bandar.  Punca-punca permasalahan ini perlu dibincangkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

PENDAHULUAN SEDUTAN PUISI/LAGU
- mengemukakan  sedutan lagu/pantun/sajak yang berkaitan dengan tema karangan

                                  
                                  Duhai apakah gerangan budi balasan
                                  Bagi insan melahirkan, membesarkan

                                  Bercucuran air mata bila mengenangkan
                                  betapakah bersar budi , ibunda berikan
                                  siang malam ..menderita hingga entah bila
                                  sungguh bersar pengorbanan ibunda berikan

       Pengorbanan dan jasa seorang ibu tergambar jelas dalam lirik lagu ini.  
Ibu telah melahirkan dan mendidik seseorang anak menjadi insan yang berjaya dan berguna kepada keluarga, bangsa dan tanah air.  Kasih sayang dan budi seorang ibu tanpa mengharap sebarang balasan, tetapi sudah menjadi tanggungjawab anak-anak 
untuk membalas segala jasa dan pengorbanan mereka.

PENDAHULUAN GABUNGAN
- Menggabungkan dua atau lebih jenis pendahuluan

Contoh:

      Menurut kamus, kegiatan vandalisme boleh didefinasikan sebagai kegiatan laku musnah yang berkaitan dengan tidakan merosakkan atau memusnahkan harta benda termasuk kemudahan awam.  Gejala memusnahkan kemudahan awam seperti pondok menunggu bas, telefon awam, kemudahan di sekolah dan sebagainya.  Persoalannya mengapakah gejala vandalisme ini sering berlaku dalam kalangan remaja?  Apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membendung gejala ini?

              


Sabtu, 29 Jun 2013

JAGALAH 7 SUNNAH NABI S.A.W






   "Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup. 

     Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan. 

Hendaknya kita selalu menjaga TUJUH sunnah Nabi setiap hari ... :

Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. 


Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. 

Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah. 

Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. 

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. 

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah". 

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. 

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme. 
 

Jumaat, 28 Jun 2013

10 air terjun tercantik di dunia


air terjun niagara
Air Terjun Niagara terletak di sempadan Canada dan USA. Walaupun bukan dalam kategori tertinggi atau terlebar, namun ia dianggap air terjun tercantik terdapat di mukabumi. Menjadi tarikan pelancong paling popular, Air Terjun Niagara juga dikenali sebagai "Honeymoon Capital of the World".

keindahan alam angel
Dengan ketinggian 979 meter, Air Terjun Angel di Venezuela merupakan air terjun paling tinggi di dunia. Memandangkan tiada perhubungan jalanraya, ia hanya dapat dilawati dengan menggunakan bot atau ekspedisi berjalan-kaki.

air terjun iguazu
Salah satu air terjun paling hebat dan indah, Iguazu Falls terletak di antara sempadan Brazil dan Argentina. Ia terdiri dari 275 buah air terjun yang terpisah antara satu sama lain sepanjang 2.5 batu dengan ketinggian 269 kaki.

air terjun victoria
Menjadi tarikan utama pelancong ke benua Afrika, Air Terjun Victoria adalah antara paling cantik  di dunia. Airnya yang menderu turun membasahi hutan hijau berserta kehadiran hidupan liar menimbulkan satu pemandangan yang mengasyikkan.

gambar air terjun gullfoss
 Air terjun terbesar di benua Eropah dan tercantik di Iceland,Gullfoss Falls menjadi bualan dalam cerita dan misteri masyarakat tempatan. Ia juga punca pembentukan 'Golden Circle', tempat di mana terdapat kumpulan geiser (pancutan air panas) dan kolam air panas yang menjadi tumpuan pelancong.

keajaiban alam upsidedown
Sesuai dengan namanya, Upside Down Falls yang terletak di Gunung Konahuanu, pulau Oahu, Hawaii sangat unik. Ini kerana apabila menerima hujan yang mencukupi, air terjunnya hanya sempat turun beberapa meter sahaja. Angin kencang di kawasan gunung akan meniup air yang turun ke bawah menjadi titisan kecil berterbangan ke atas.

keindahan alam nachi
Berkemungkinan paling kerap dikunjungi, malah tercantik di Asia,Nachi Falls merupakan sebahagian dari 48 rangkaian air terjunyang mengalir deras dari Gunung Nachi, Jepun. Dengan ketinggian 400 kaki, ia juga menjadi air terjun tertinggi di negara matahari terbit tersebut.

gambar air terjun giessbach
Kerap dipaparkan dalam poskad sebagai tarikan destinasi pelancongan benua Eropah, keindahan Giessbach Waterfalls di Switzerland kekal popular hingga ke hari ini. Pemandangan bertambah indah bila ia dikelilingi oleh tasik berair jernih bak kristal dan gunung ganang yang diliputi salji.

air terjun lowerfalls
Lower Falls berada di tepi sungai Yellowstone dalam kawasan terkenal Grand Canyon, USA. Dengan dikelilingi oleh batu-batu gunung berapi dan kawasan pergunungan, ia menawarkan pemandangan yang cukup indah.

air terjun aspat
Aspat River Falls terletak di kawasan iklim sejuk daerah Kodar, Russia. Pengunjung yang datang ke sini akan terpukau dengan keindahan rupabentuk air terjunnya. Kerana memiliki permukaan cerun yang curam, Stalin pernah mendirikan kem tahanan di sekitar 

Khamis, 27 Jun 2013

Tugasan untuk pelajar-pelajarku - 1 Cerdik dan 1 Bestari

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Pengumuman kepada pelajar-pelajar tingkatan 1 Cerdik dan 1 Bestari yang cantik, hansome dan rajin...

Ini ada pesanan daripada cikgu..
Sila cetak nota komsas dan tampal dalam buku latihan antologi ye.  Kita akan gunakan pada minggu hadapan.  Pastikan pelajar-pelajar cikgu yang baik, membaca nota2 itu sebagai persediaan ye.
Di sini cikgu sediakan link -nya supaya tak tercari-cari.  Jangan lupa kalau ada warna background tu, buangkan dulu ye sebagai langkah berjimat-cermat.   Saiz font juga boleh diubah kepada saiz 12 aje..dah ok dah besarnya tu...jangan besar sangat macam biji guli ...ye.

Selamat berusaha dan berdikari.  Semoga menjadi pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang.

ini linknya - klik aje

Nota Aspek Kajian Gaya Bahasa Komsas


Sekian.  Terima kasih

Karangan Contoh 19 - Karangan Peribahasa (Penceritaan)

Peribahasa : hangat-hangat tahi ayam
Maksud : hanya bersemangat pada mulanya, tetapi malas pada pertengahan jalan

Contoh Soalan:
Tuliskan satu cerita berdasarkan maksud peribahasa 'hangat-hangat tahi ayam'. 

     Kehadiran Ahmad disambut mesra oleh rakan-rakan kelas baharunya. Dia merupakan pelajar yang berpindah dari sekolah lamanya kerana mengikut ibu bapanya yang bertukar tempat kerja. Ahmad menonjolkan sikap baik dan bersopan-santun agar tidak dipandang serong oleh rakan-rakan baharunya. Ternyata, penerimaan Ahmad oleh teman-temannya tidak mengecewakan. Hari pertama persekolahan lagi, dia sudah didampingi rakan-rakan menyebabkan dia tidak lagi kekok dengan situasi di sekolah baharunya.
            Sikap rajin dan berdisiplinnya menyebabkan dia dihormati oleh rakan-rakannya. Dia juga menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Gurunya memberikan sokongan moral apabila mengetahui impian besarnya itu. Malah, dia sentiasa aktif di dalam kelas dan senantiasa bertanyakan soalan jika dia tidak memahaminya. Namun, sikap eloknya itu tidak berkekalan. Pergaulannya mulai liar setelah dia berkawan dengan pelajar bermasalah. Dia mula mengabaikan pelajaran sedangkan suatu ketika dahulu dia begitu bersungguh-sungguh di dalam kelas. Dia tidak lagi dihormati malah dicemuh kerana hanya berpura-pura selama ini. Ahmad mengendahkan segala pandangan terhadap dirinya kerana kini dua sudah memiliki kawan-kawan karib yang sebenarnya merosakkan dirinya.
      Sungguhpun begitu, guru-guru yang prihatin menegurnya supaya berubah. Apabila sahaja dia ditegur, dia pasti akan menangis dan mula bertekad untuk membuang tabiat buruknya. Teguran gurunya memberikan inspirasi baharu untuk dirinya berubah. Namun, semangat membaranya hanya seketika sahaja. Dua atau tiga minggu kemudian setelah ditegur, dia akan mengulangi perbuatannya itu. Mujurlah, guru-guru yang mengajarnya tidak jemu dan berputus asa untuk menegurnya agar sikap dan kelakuan Ahmad akan berubah. Guru kelasnya senantiasa memantau sikap Ahmad demi tidak hanyut dalam kancah negatif.
          Sikap kepala angin Ahmad ini membingungkan rakan-rakan sekelasnya. Sekejap Ahmad menjadi pelajar yang sangat rajin, seketika nanti dia menjadi pelajar yang bermalah. Ahmad hanya bersemangat pada mulanya, tetapi menjadi dingin setelah jemu berusaha. Kata-kata gurunya bagai mencurahkan air ke daun keladi kerana dia mula mengabaikan pesanan gurunya. Ahmad semakin hari semakin teru perangainya, malah mula ponteng sekolah dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Ramai rakan sekelasnya tertanya-tanya ke manakah hilangnya semangat juang untuk berjaya Ahmad?
      Musim peperiksaaan semakin tiba. Ahmad masih leka dengan dunianya sedangkan detik pentingnya sebagai pelajar bakal teruji. Dengan angkuhnya, dia mengabaikan pelajaran kerana yakin dia telah berusaha. Ibu bapanya yang menyedari sikap Ahmad ini turut menegur sikapnya yang kurang elok ini. Sebagai akibatnya, keputusan akhir tahunnya sangat teruk. Malah, dia diturunkan kelas dan bersama-sama dengan pelajar lemah yang bermasalah. Malunya tidak kepalang kerana dijadikan bahan tawa rakan-rakannya yang dahulu mengaku sahabat karib.
      Keinsafan mulai timbul dalam hati ahmad. Sikap buruknya ini harus dikikis untuknya berjaya. Memang sahlah, pepatah tua, “hangat-hangat tahi ayam”, ditujukan kepada dirinya kerana hanya bersemangat pada mulanya, tetapi akhirnya mengalah. Kesedarannya untuk berubah kini bukan sahaja jangka masa pendek, tetapi untuk selama-lamanya demi masa hadapan yang gemilang.

Hak Cipta Terpelihara, Cikguchom.blogspot.com



Karangan Contoh 18 - Sediakan Payung Sebelum Hujan

Karangan Peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan (Bentuk Ulasan)


Contoh soalan:
Peribahasa Melayu selalu menyebut “sediakan payung sebelum hujan”
Huraikan kepentingan pengamalan peribahasa tersebut dalam kehidupan masyarakat.



      Dalam masyarakat Melayu terdapat begitu banyak peribahasa yang mempunyai maksud yang mendalam. Kebiasaannya, peribahasa Melayu terhasil daripada pengamatan masyarakat terhadap alam dan kehidupan manusia secara keseluruhan. Peribahasa “sediakan paying sebelum hujan” merupakan bidalan yang bermaksud kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam kehidupan ini. Jelaslah, pengamalan peribahasa ini mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan sesuatu masyarakat itu.


      Seseorang yang mengamalkan peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” akan senantiasa meneroka ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan masa depan mereka. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran ini akan sesuai dilalui oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Ilmu sahaja yang membolehkan seseorang itu menguasai apa-apa bidang yang wujud kerana berupaya untuk mengalahkan pesaing-pesaing mereka. Oleh itu, pemahaman makna peribahasa ini menjadikan seseorang itu meneroka ilmu sepanjang hidup mereka.


      Selain itu, peribahasa ini turut mengaitkan sikap suka menabung. Anak-anak perlu dididik sejak kecil untuk menabung buat kehidupan mereka yang lebih terjamin pada masa depan. Wang yang dikumpulkan secara sedikit-sedikit itu akan mampu digunakan pula untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak. Jelaslah, amalan menabung menjadi sebahagian makna dalam peribahasa ini yang banyak kepentingannya itu.



      Malahan, peribahasa ini seolah-olah memberikan satu amaran awal kepada sesiapa sahaja untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidupnya. Mereka yang memahami peribahasa ini pasti lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan pula kepada. Setiap tindakan pasti akan mempunyai dua pilihan atau aspek yakni kebaikan dan keburukan yang harus diteliti oleh seseorang itu. Sesungguhnya, peribahasa ini menjauhkan sebarang masalah dalam kehidupan seseorang itu.


      Peribahasa ini juga amat berguna buat pelajar terutama dalam menghadapi peperiksaan yang begitu mencabar. Mereka yang memahami maksud mendalam peribahasa ini sudah pasti akan bersedia dengan sering menghadiri kelas di sekolah bersama-sama membuat latihan demi latihan. Persediaan sejak awal inilah yang bakal memberikan pelajar satu kelebihan berbanding dengan pelajar lain yang hanya membuat persiapan pada saat-saat akhir sahaja. Sesungguhnya, pelajar yang bersedia lebih awal akibat memahami makna peribahasa ini bakal memperoleh kejayaan yang lebih manis dalam hidup mereka.


      Kesimpulannya, peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” amat wajar diamalkan dalam kehidupan kita. Peribahasa ini merupakan satu legasi masyarakat dahulu kepada generasi kini yang perlu diteruskan kewujudannya. Kehidupan masyarakat dahulu kala yang sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan berhati-hati perlu dijadikan contoh teladan oleh generasi kini pula. Peribahasa ini boleh disamakan dengan peribahasa “beringat sebelum kena” yang menekankan aspek berhati-hati dalam setiap tindakan kita.

Hak Cipta Terpelihara. Cikguchom.blogspot.com.

Rabu, 26 Jun 2013

ASPEK KAJIAN GAYA BAHASA( KOMSAS)



SKOP KAJIAN  UNSUR GAYA BAHASA

Keindahan Bahasa/Unsur Gaya Bahasa dalam Genre Sastera

1.   Personifikasi
       Gaya bahasa 'perorangan' iaitu pemberian sifat manusia kepada objek, 
       benda atau konsep tertentu untuk menggambarkan kedaan tertentu

       Contoh :   
       
      sawah telah uzur     -    maksud:   keadaan sawah padi yang terbiar tidak 
                                                                    diusahakan

       daun kelapa melambai-lambai    -    maksud:  daun pokok kelapa bergoyang-
                                                                        goyang ditiup angin

       kata-katanya telah menikam-nikam hatiku    -    maksud:   kata-kata nya telah 
                                                                                            menyebabkan hatiku berasa
                                                                                             sedih

       kedinginan memeluk tubuhku    -    maksud:    badan/tubuhku berasa sangat 
                                                                        dingin/ sangat sejuk 

      matahari tersenyum     -   maksud:  cuaca cerah/panas


1.     Metafora: 
        Perbandingan terus atau secara langsung yang menggabungkan satu
        perkataan konkrit dengan perkataan abstrak.

        Contoh
     -  lautan fikiran     -  berfikir secara terbuka
     -  rimba kehidupan  -  kehidupan yang penuh cabaran
     -  api kemarahan  -  berasa sangat marah


2.  Simile : Perbandingan secara tidak langsung antara satu benda yang
      sama dengan menggunakan kata bandingan ' 'seperti, bagai, 
      umpama, bak'
      
      contoh:
      -    suara yang bagaikan halilintar.
      -    wajahnya manis umpama bulan purnama
      -    kasihku kepadanya bak lautan tak bertepi
      -    hatinya bancur bak kaca terhempas ke batu


3. Hiperbola: Perbandingan yang dibuat untuk sesuatu sesuatu 
   keadaan/peristiwa yang keterlaluan atau melampau. ( menyatakan 
   sesuatu secara berlebih-lebihan)
   
   Contoh:

   -   Cita-citanya menggunung tinggi.
   -   keyakinanku menggegar dunia
   -   hatiku dilambung gembira

4.    Perlambangan/ Simbolik: 
       Kata-kata yang membawa maksud tersirat bukan yang tersurat untuk 
       digunakan untuk  menerangkan sesuatu benda, keadaan atau peristiwa.

       Contoh
       -    ibu/bonda    -   tanah air/negara
       -    merpati putih   -   kedamaian/keamanan/kemerdekaan
       -    piala   -   kejayaan
       -    fajar   -  harapan baru

5. Pengulangan: 
    Unsur pengulangan berlaku pada kata, ungkapan, barisan atau
     rangkap.  Terdapat 4 jenis gaya bahasa pengulangan:

    a)     .Anafora:      Pengulangan kata pada awal baris pantun/sajak.
             Contoh:

             -  Kawan ketawa ramai selalu,
                Kawan menangis seorang diri.

     b)    Epifora : Pengulangan perkataan ataufrasa di akhir baris pantun/
                              sajak.

             Contoh: 
             Dewa berjalan dihampirinya,
             Naga yang besar didekatinya,
             Setelah naga mencium baunya,
             Kepala diangkat ternganga mulutnya.

       c)   Repitasi : Pengulangan kata dalam baris/ ayat tertentu.
              Contoh:

             - Muka mesti manis, mulut mesti ramah, hati mesti baik.


         d)  Responsi : Pengulangan kata di tengah baris.
               Contoh:

               Hari ini menugal jagung,
               Hari esok menugal jelai;
               Hari ini kita berkampung,
               Hari esok kita bercerai.

6.    Sinkof / Sinkope : Singkatan perkataan.
        Contoh:

        - “ Eiii,! Kenapa mata kau tu?”
            ( kau – engkau, tu – itu )
         
            (sinkof yang lain ialah - tak (tidak), nak (hendak), ni (ini)


7.        Hybrid :
           Penggabungan kata.( daripada dua perkataan menjadi satu             
           perkataan )

           Contoh:

          “ Takkan awak tak boleh jawab soalan ini?” kata cikgu kepada Ramli.
          “ takkan” daripada perkataan “ tidak akan “


8.        Inversi: Pembalikan susunan perkataan dalam ayat.
           Contoh:

            - Terdiam Zulkifli memikirlan jawapan.
              ( sepatutnya Zulkifli terdiam memikirkan jawapan.)

            -  hujan pagi ini       -       (sepatutnya 'pagi ini hujan)

            -  sihat badan wajah berseri -   (sepatutnya ' badan sihat wajah
                                                                      berseri)


9.        Jeda: Hentian sejenak pada tengah baris semasa mendeklamasikan 
            sajak.

            Tanda (/) membawa tanda jeda/pemenggalan.

 10.      Pardoks :
            bahasa yang menunjukkan unsur yang bertentangan dalam 
            sebaris ayat.

            Contoh:
            -     aku senyum dalam tangisan
            -     dalam kesepian di tengah  keriuhan
            -     kaya harta namun miskin budi pekerti

11.       Imejan :   Perkataan yang membawa imej sesuatu benda:
             Contoh:
             imej alam - bulan, bintang, sungai, air, embun)

12.       Diksi  :   Penggunaan kata yang mengikut jenis-jenis tertentu
            a)    penggunaan kata ganda   -  Contoh:   marah-marah, bintang-
                                                                                           bintang
            b)    kata pinjaman bahasa arab  - Contoh :  solat, subuh, berkat, fajar
            c)    kata pinjaman bahasa Inggeris  -  Contoh :  suspen, artis,ego
            d)    kata pinjaman bahasa Istana  -  Contoh:  baginda, titah, santap
            e)    kata pinjaman bahasa klasik  -  Contoh:  arakian, lasykar
            f)     kata pinjaman bahasa jawa  -  Contoh :  manira, pakanira
            g)    kata Dialek  -  Contoh  seligi, penggodam
            h)    peribahasa/simpulan bahasa/kiasan  -  Contoh :  masa itu emas
                                                                                             hati batu, anak emas

 Unsur Bunyi                
          
13.   Rima Akhir: 
        Pengulangan bunyi yang sama atau keselarasan bunyi pada kata/suku 
        terakhir sesuatu ayat/baris puisi.

   Contoh rima akhir ialah ‘abab’,’aaaa’ ‘abcdabcd’ dan sebagainya.

14. Asonansi: Pengulangan bunyi vokal yang sama dalam puisi. 
      Huruf vokal ialah a,e,i,o, dan u.
      
      Contoh: 
      - Pandai melompat pandai berlari
        ( pengulangan vokal ‘a’)

15.  Aliterasi: Pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris 
       pantun/sajak.

       Contoh
- Kalau ada silap dan salah
( pengulangan konsonan ‘l’)


16. Onomatope: Mengekalkan bunyi asal sesuatu benda.

      Angin yang menderu-deru .

Hak Cipta Terpelihara-Diari Cikgu Chom.Blogspot.com