Selasa, 18 Jun 2013

Karangan Contoh 10 - Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia.

Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara berbilang bangsa yang bersatu padu.  Kemukakan pendapat anda tentang kepentingan perpaduan kaum di negara kita.



          Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.


          Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.



          Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.



          Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.

          Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

          Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

          Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendahdengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikapmembutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.
          Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.

15 ulasan:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.