Sabtu, 8 Jun 2013

KURSUS PEMBELAJARAN MAYA - IAB

KEMAHIRAN DAN KUALITI GURU DIPERTINGKAT

Mulai tahun depan, program Pembangunan Profesional Berterusan untuk guru akan dipertingkat dengan tumpuan kepada keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bersesuaian dengan persaingan pendidikan abad ke-21 dan transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu bersaing dan mengharungi cabaran peringkat antarabangsa.
Katanya, profesion guru abad ini dibina atas dasar persaingan, iaitu pendidikan selepas tamat persekolahan, latihan dan pembangunan kerjaya.
Justeru, ia perlu selari dengan visi dan misi negara ke arah menyediakan rakyat berilmu dan berkemahiran.
Dilatih jadi pemikir
Katanya, bagi melahirkan guru berkemahiran abad ke-21 dan untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat, mereka perlu dilatih menjadi pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai usahawan.
“Dalam dunia kompetitif hari ini, kelebihan daya saing terletak kepada kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada tahap tinggi, iaitu kritis, kreatif, inovatif dan imiginatif,” katanya merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, kemahiran berfikir, pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi serta keyakinan kendiri perlu dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik serta mampu berfikir secara mencapah (divergent thinking) bagi menerokai kebenaran.
Katanya, dalam konteks pembangunan kerjaya guru, ia merentasi beberapa laluan dengan kemajuan dinilai berasaskan kompetensi, bukan bergantung kepada tempoh perkhidmatan semata-mata.
Sistem perlu mekanisme
Muhyiddin juga berkata, sistem pendidikan negara perlu mempunyai mekanisme untuk menentukan guru yang dilahirkan benar-benar kompeten dan memenuhi standard yang ditetapkan.
Katanya, transformasi keguruan sebagai profesion pilihan, iaitu satu daripada 11 anjakan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan kepada peningkatan pembelajaran dan pembangunan guru.
Bagi melaksanakannya, beliau berkata, kementerian perlu meningkatkan kualiti profesion perguruan supaya dapat menghasilkan guru cemerlang.
Sumber: Berita Harian, 22 Nov 2012




Gambar Sekitar Kursus Pembelajaran Maya  - Institut Aminuddin Baki
                                                                     Kementrian Pelajaran Malaysia
Tarikh     :  04 - 06 Jun 2013
Tempat  :   Dewan Aura Bestari, PPD Batu Pahat, Johor.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.