Sebenarnya banyak cara kita menyatakan ukuran sesuatu jarak masa. Lingkungan antara had waktu tertentu mempunyai istilahnya yang khusus. Untuk masa selama satu, dua atau tiga hari/bulan/tahun, kita namakan ekahari, dwibulan dan tritahunan. Bagaimanakah pula halnya dengan tempoh waktu tertentu yang agak lama? Bahasa Melayu mempunyai istilah khusus yang dapat mendukung maksud tempoh masa tersebut, Marilah kita fahami maksud istilah khusus tentang waktu tersebut.
1. Pancawarsa
Perkataan panca berasal daripada bahasa Sanskrit atau bahasa Hindu tua. Panca bererti lima. Warsa bermaksud tahun. Gabungan kedua-dua perkataan ini menerbitkan perkataan pancawarsa yang membawa maksud lima tahun.
2. Dasawarsa
Dasa bermaksud sepuluh. Perkataan dasa dirangkaikan dengan beberapa patah perkataan lain menerbitkan beberapa istilah khusus. Antaranya termasuklah dasasila, dan dasatitah.
Dasasila bermaksud 10 ketentuan dasar, manakala dasatitah bermaksud 10 perintah Tuhan. Dengan memahami kedua-dua maksud perkataan ini, dapat kita duga makna perkataan dasawarsa ini. Dasawarsa mendukung maksud jangka masa 10 tahun. kata masa yang bersinonim dengan dasawarsa ialah dekad. Perkataan dekad pula berasal daripada bahasa Inggeris decade. oleh itu, dasawarsa dan dekad sama maksudnya.
3. Abad
Jika tempoh masa itu dalam jarak batas 100 tahun, maka abad atau kurun istilahnya. Kurun ke-20 bermaksud batas masa dari 1901 hingga 2000. Dalam catatan sejarah, dapat kita temukan fakta tentang kedatangan orang Eropah ke negeri Melaka, iaitu pada lima kurun yang lampau. Kerajaan Melaka pula dikatakan berkuasa di Asia Tenggara pada kurun Masihi ke-15.
Apakah maksud kurun Masihi? Kurun Masihi ialah masa yang mula dihitung sesudah lahirnya Nabi Isa.
4. Alaf
Perkataan alaf berasal daripada bahasa Arab. Ertinya 1000 tahun. Perkataan yang bersinonim dan sering digunakan ialah milenium. Frasa alaf baharu atau milenium baharu bermaksud tempoh masa selepas 1000 tahun.
Hari ini, sambutan perayaan yang dihubungkan dengan tempoh tertentu dinamakan jubli. Nama perayaan itu dikaitkan dengan nama logam (seperti perak), atau nama permata seperti emas dan intan. Nama-nama seperti jubli perak, jubli emas dan jubli intan sudah lumrah menjadi nama sesuatu sambutan.
Jubli perak bermaksud perayaan sempena ulang tahun ke-25. Jubli emas ialah perayaan kerana memperingati ulang tahun ke-50 sesuatu peristiwa. Jika peristiwa itu sudah berusia 75 tahun , maka jubli intan ialah nama perayaan tersebut.
Demikianlah caranya kita menamakan tempoh batas sesuatu masa itu.
Nota:
Masa Istilah
5 tahun pancawarsa
10 tahun dasawarsa atau dekad
100 tahun abad atau kurun
1000 tahun alaf atau milenium
sumber: Munsyi Dewan Muhammed Salehudin Aman - Dewan Siswa
sumber: Munsyi Dewan Muhammed Salehudin Aman - Dewan Siswa
Owh, itu rupanya maksud dasawarsa. TQ cikgu!
BalasPadamsaya still confuse,dasarwarsa ataupun dasawarsa
BalasPadamAssalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nak tanya majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-100 ditukar nama kepada Majlis Malam Perdana Sambutan Jubli Intan Sekolah....?
BalasPadam