Selasa, 9 Julai 2013

PEMANTAPAN TATABAHASA 5 - KATA SENDI NAMA - DARI & DARIPADA

Assalamuaikum w.b.t dan salam sejahtera


Kali ini cikgu akan membincangkan kekeliruan dalam penggunaan kata sendi nama 'dari' dan 'daipada'.  Kekeliruan ini sering ditemui dalam penulisan karangan pelajar dan juga dalam perbualan seharian.  Malah dalam sesetengah keadaan, 'media massa' turut melakukan kesilapan dalam penggunaan kata sendi nama ini.

Para pelajar yang cikgu kasihi sekalian;
Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.


PENGGUNAAN KATA SENDI 'DARI' DAN 'DARIPADA'

KATA SENDI 'DARI'


Kata sendi 'dari' digunakan khusus pada kata nama yang menunjukkan tempat, masa, waktu, zaman dan arah.  Namun hal ini kerap dikelirukan dalam penggunan kata sendi 'daripada' 

Contoh kesalahan:

1.   Angin ribut dijangka bertiup daripada pantai timur.
2.   Mereka mengecat rumah itu daripada bahagian tepi.
3.   kami sedang membahaskan isu daripada aspek ekonomi
4.   Pelajar itu menangis sejak daripada pagi lagi.
5.   Rahimah membuat panggilan telefon daripada Segamat.
6.   Daripada aspek sosial, masalah ini akan menjejaskan institusi 
      keluarga.
7.   Pak Samat pulang daripada menoreh getah pada lewat petang.

Ayat Sepatutnya:

 1.   Angin ribut dijangka bertiup dari pantai timur.
2.   Mereka mengecat rumah itu dari bahagian tepi.
3.   Kami sedang membahaskan isu itu dari aspek ekonomi.
4.   Pelajar itu menangis sejak dari pagi tadi.
5.   Rahimah membuat panggilan telefon dari Segamat.
6.   Dari aspek sosial, masalah ini akan menjejaskan institusi keluarga.
7.   Pak Samat pulang dari menoreh getah pada lewat petang.


Ulasan ringkas:

1.   Dalam ayat 1, kata 'pantai timur' menunjukkan maksud tempat.
2.   Dalam ayat 2. 'bahagian tepi' menunjukkan maksud arah.
3.   Dalam ayat 3, 'aspek ekonomi' menunjukkan maksud arah.
4.   Dalam ayat 4, 'pagi' membawa maksud masa.
5.   Dalam ayat 5, 'Segamat' membawa maksud tempat.
6.   Dalam ayat 6, 'aspek sosial' membawa maksud arah.
7.   Dalam ayat 7, 'menoreh getah ' membawa maksud tempat 

KATA SENDI 'DARIPADA'

Kata sendi 'daripada' khusus digunakan untuk menunjukkan punca bagi manusia, haiwan, benda atau unsur mujarad, asal kejadian dan perbandingan antara dua benda.  Kekeliruan kerap timbul apabila penggunaannya dicampuradukkan dengan kata sendi 'dari'.

Contoh kesalahan:

1.    Beg tangannya diperbuat dari kulit buaya.
2.    Kita perlu mengelakkan diri dari terlibat dengan unsur dadah.
3.    Sumbangan dari rakyat penting untuk mengukuhkan ekonomi negara.
4.    Ahmadi lebih besar dari abangnya.

Ayat sepatutnya:


1.    Beg tangannya diperbuat daripada kulit buaya.
2.    Kita perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan unsur dadah.
3.    Sumbangan daripada rakyat penting untuk mengukuhkan ekonomi 
       negara.
4.    Ahmadi lebih besar daripada abangnya.


Ulasan ringkas:

1.    Ayat 1 menunjukkan asal kejadian.
2.    Ayat 2 menunjukkan maksud unsur mujarad
3.    Ayat 3 menunjukkan maksud manusia.
4.    Ayat 4 menunjukkan maksud perbandingan.



Berbahasa Melayu dengan Sebaik-baiknya.

Cikgu Chom


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.