Selasa, 23 Julai 2013

KARANGAN CONTOH 22 - Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Semangat Kejiranan Dalam Kalangan Remaja

Semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat semakin luntur.  Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menghidupkan semangat kejiranan  agar menjadi ikutan remaja. 
Ulaskan pernyataan ini.

Analisis soalan:
Tema                    :  semangat kejiranan semakin luntur
Tugasan/arahan     :  mengulas peranan ibu bapa dalam memupuk 
                              semangat kejiranan dalam diri golongan remaja.
Format                  : tiada 

Karangan Contoh:

Susun papan satu persatu,
      Agar redup dahan rumbia;
Hidup berjiran bantu –membantu,
    Agar hidup harmoni bahagia.

          Maksud pantun di atas jelas memaparkan kepentingan hidup berjiran.  Amalan bantu-membantu sesama jiran menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni dan bahagia.  Namun, pada era globalisasi kini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat semakin luntur.Kehidupan moden yang mementingkan kebendaan telah menghanyutkan manusia  dalam arus kesibukan yang tidak bernoktah sehingga jalinan hubungan antara jiran tetangga disisihkan.  Fenomena ini semakin membimbangkan sekiranya menjadi ikutan golongan remaja kerana tingkah laku dan sikap remaja sebenarnya banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka.  Contohnya, sekiranya ibu bapa tidak pernah bertegur sapa atau tidak mengenali siapa jiran  di sebelah rumah, sudah pasti sikap ini akan dicontohi oleh anak-anak remaja mereka persis ungkapan bapa borek anak rintik, bagaimana acuan , begitulah kuihnya.  Siapakah insan yang pertama menghulurkan bantuan jika kita dilanda musibah kalau bukan jiran di sebelah rumah.  Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam menghidupkan semangat kejiranan dalam sanubari generasi muda demi merealisasikan hasrat mewujudkan kehidupan masyarakat yang harmoni.



          Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa merupakan suri teladan atau role-model kepada anak-anak .  Oleh itu, tindak tanduk dan sikap ibu bapa terhadap jiran akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak mereka. Ibu bapalah  yang mengasuh dan mendidik anak-anak dari tapak kaki sebesar dua jari sehinggalah meningkat remaja. Umpama sehelai kain putih, anak-anak perlu dicorakkan bukan dengan sahaja nilai-nilai agama malah nilai-nilai sosial yang murni.  Justeru dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam jiwa anak-anak-anak, ibu bapa sendiri perlu mengorak langkah dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran tetangga.  Contohnya, ibu bapa perlu menunjukkan sikap sentiasa mesra dengan jiran, bertegur sapa dan bertanya khabar apabila bersua muka, dan sebagainya. Ibu apa juga perlu menerangkan tentang peranan dan kepentingan jiran kepada anak-anak sejak kecil supaya mereka menghargai jiran tetangga sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.  Bak kata perpatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha memupuk amalan dan pergaulan yang baik dengan jiran sejak kecil lagi akan kekal dipraktikkan oleh anak-anak sehingga mereka meningkat remaja.




          Selain itu, ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam perkara-perkara yang berkaitan hubungan dengan jiran supaya anak-anak dapat mempraktikkan sendiri nilai-nilai kejiranan tersebut.  Tak kenal maka tak cinta, justeru, amalan kunjung-mengunjung mesti diamalkan supaya dapat mengenali jiran dengan lebih dekat dan seterusnya kemesraan dapat diwujudkan.  Janganlah dibiarkan anak-anak remaja kita terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau melayari internet sehingga tidak endah dengan suasana di sekeliling.  Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mengunjungi jiran tetangga ketika sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali.  Apa yang sering berlaku setiap kali hari kelepasan sempena Hari Raya contohnya, ahli keluarga termasuk ibu bapa leka menonton televisyen kerana banyak program menarik disiarkan.  Mereka lebih rela memerap di rumah untuk menonton program kegemaran menyebabkan budaya kunjung-mengunjung semakin dipinggirkan.  Justeru, ibu bapa mesti mengubah fenomena ini , lebih-lebih amalan ziarah-menziarahi ini menjadi lebih penting jika jiran kita jatuh sakit atau mengalami masalah.   Ibu bapa perlu bijak memujuk anak-anak untuk turut sama menziarahi jiran supaya amalan ini dapat dipupuk dalam kalangan remaja.



          Tambahan pula, program-program yang dianjurkan oleh masyarakat di sesebuah kawasan kejiranan turut dapat memupuk semangat bantu-membantu, hormat-menghormati dan berkerjasama dalam kalangan masyarakat di kawasan tersebut.  Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan, aktiviti Hari Keluarga, Rukun Tetangga, dan sebagainya boleh dianjurkan oleh ahli jawatankuasa yang berkenaan.  Di kawasan kampung misalnya, aktiviti marhaban pada Hari Raya, rewang ketika kenduri-kendara atau majlis perkahwinan, kumpulan bacaan Yasin dan sebagainya juga merupakan aktiviti yang sangat penting untuk memupuk semangat kejiranan ini.   Di sinilah ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan mereka dan anak-anak remaja melibatkan diri secara aktif.  Janganlah ketiadaan masa atau ingin berehat setelah penat bekerja dijadikan alasan sehingga aktiviti yang bermanfaat ini tidak mendapat sambutan yang sewajarnya.  Melalui aktiviti ini remaja berpeluang mengenali jiran dengan lebih dekat, beramah mesra terutama dengan jiran yang seusia dengan mereka, menghormati jiran yang lebih tua dan secara tidak langsung akan menyedari bahawa aktiviti seumpama ini adalah yang terbaik bagi mengisi masa lapang remaja.  Seperti ungkapan serampang dua mata, aktiviti yang dianjurkan ini diharapkan bukan sahaja dapat memupuk dan menghidupkan semula semangat hidup berjiran malah dapat mengurangkan ketaksuban dan kegemaran remaja terhadap aktiviti yang berkaitan dengan kecanggihan alat teknologi, gajet dan internet.



          Kesimpulannya, hidup berjiran merupakan amalan yang wajar dipelihara dalam masyarakat pada masa kini.  Tanpa hubungan yang  baik dengan jiran, kepincangan sebenarnya telah berlaku dalam keperibadian seseorang ahli masyarakat.  Justeru, sebagai pemimpin keluarga, perlakuan ibu bapa semasa bergaul dengan jiran akan meninggalkan gambaran yang mendalam kepada remaja.  Natijahnya, ibu bapa yang prihatin tentang hubungan sesama jiran pasti akan melahirkan remaja yang dapat hidup berbaik-baik dengan jiran, seterusnya mampu mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup bersatu padu , harmoni dan bahagia.

                                                                                                                                (750 patah perkataan.)

 Cikgu Chom

12 ulasan:

  1. Hello excuse me, may i know one paragraph boleh ada dua isi?😂

    BalasPadam
    Balasan
    1. Well actually you can't.. Thats will be considered as 1

      Padam
  2. tak boleh sebenarnya kerana kita kena ada tiga isishj...

    BalasPadam
  3. Balasan
    1. Saya dari 2028 datang untuk cari karangan bagus.

      Padam
    2. dekah eksdi momentos de la free fire

      Padam
  4. Is this just for bm paper 1?

    BalasPadam
  5. KARANGAN YG BAIK UNTUK BUDAK² SEKOLAH SAYA :) cc:amzar

    BalasPadam
  6. Bekerjasama sesama jiran

    BalasPadam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.