Sekolah anda
telah menganjurkan pertandingan menulis rencana bersempena dengan Bulan Bahasa
Melayu. Anda berminat untuk menyertai pertandingan tersebut. Tajuk yang telah anda pilih ialah Ciri-ciri Remaja Berwawasan.
Tulis rencana
anda selengkapnya.
CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
Oleh:
Muhammad Azhar
bin Mohd. Yassin
Remaja pada masa ini merupakan angkatan
muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada
berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja
yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh era milenium yang sarat
dengan cabaran ini, ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai
keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua
pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai ciri-ciri remaja
yang berwawasan.
Memang tidak dapat dinafikan, ciri yang
utama ialah berakhlak mulia. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur,
datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi
malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak
mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia
hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul
dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat
melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru
kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja
yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang
insan yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan
antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata
peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah
bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
Selain itu, remaja berwawasan sudah
pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang
berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu.
Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu
yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah
berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’.
Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan
mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa
dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja
yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang tikdak kurang pentingnya
dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Di samping itu, remaja yang berwawasan
juga akan mempunyai matlamat dalam hidup dan sentiasa gigih untuk menggapai
gamitan menara impian tersebut. Sudah tentulah budaya pesimistik dan
culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun
yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan
akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan
perkara yang bermanfaat dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu,
masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan
akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang
mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah
kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata
pedang itu akan memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan
ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan
ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik
negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang
berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin
ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan
‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin negara. Terbuktilah
bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
Seterusnya, remaja berwawasan
juga perlu
berpegang teguh kepada suruhan agama.
Semua agama menganjurkan penganutnya untuk membuat perkara-perkara yang
mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri masyarakat sekeliling dan negara. Justeru remaja yang berpegangan agama tidak akan
melibatkan diri dalam sesuatu perkara yang memudaratkan masa depan
sendiri. Gejala-gejala negatif seperti
penyalahgunaan dadah, perlumbaan motosikal haram dan gejala-gejala sosial pasti dijauhi demi masa depan yang cemerlang. Landasan
yang digariskan oleh agama akan menjadi panduan hidup remaja dan berusaha menjadi
remaja yang mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sudah terang lagi bersuluh, pegangan agama yang
kukuh mampu melahirkan remaja berwawasan yang menjadi harapan negara pada masa
depan.
Tuntasnya, pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Justeru semua
pihak haruslah menggembleng tenaga dan usaha untuk melahirkan remaja yang
berwawasan. Remaja berwawasan yang menjadi
aset negara akan memastikan Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh
pelosok dunia pada masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.