Selasa, 27 Ogos 2013

KEBAIKAN SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DI SEKOLAH

KEBAIKAN SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DI SEKOLAH


Soalan:
Tanggal 31 Ogos setiap tahun , sambutan bulan kemerdekaan akan diadakan sama ada di peringkat kebangsaan, peringkat negeri mahupun di peringkat  sekolah.  Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan di sekolah pada setiap tahun.   Karangan anda hendaklah lebih daripada 120 patah perkataan.

Analisis soalan:

Tema       :   sambutan perayaan Hari kemerdekaan di sekolah
Arahan     :   kebaikan mengadakan sambutan hari kemerdekaan di sekolah

Format     :     tiada  (pendapat)


isi penting

Sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah dapat;

1.     memupuk semangat patriotik atau semangat cintakan tanah air dalam 
        kalangan pelajar
2      memupuk semangat perpaduan kaum
3.     menghargai dan mengenang jasa para pejuang kemerdekaan tanah air




KARANGAN CONTOH


              Tanggal 31, Bulan 8, tahun '57, Merdeka!Merdeka! Tetaplah Merdeka.  Ia pasti menjadi sejarah.  Hari yang mulia, hari bahagia, sambut dengan jiwa yang merdeka.....
Mari kita seluruh rakyat negara
ramai-ramai menyambut hari merdeka.
Merdeka !!


          Demikianlah antara bait-bait lagu keramat dendangan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad yang biasanya akan berkumandang di corong-corong radio mahupun di kaca televisyen setiap kali menjelangnya hari ulang tahun kemerdekaan tanah air kita yang tercinta.

          Memang tidak dapat dinafikan,  perayaan hari kemerdekaan negara akan kita sambut setiap pada tanggal 31 Ogos setiap tahun.  Pada tahun ini, iaitu tahun 2013, negara kita akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan yang ke 56 tahun dengan tema, 'Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya darahku. Sebenarnya sambutan hari kemerdekaan ini mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri terutamanya jika disambut di peringkat sekolah. Malah, hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Manakala sambutan di peringkat sekolah pula, dipanggil sambutan Bulan Kemerdekan yang diisi dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua warga sekolah iaitu, para pentadir, guru, pelajar-pelajar dan juga kakitangan sokongan.  
        
        Aktiviti yang dijalankan sepanjang Bulan Kemerdekaan ini menjurus pada usaha meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar, antaranya pelbagai pertandingan dijalankan seperti, melukis poster, menulis esei , mendeklamasi puisi patriotik, nyanyian lagu-lagu patrotik oleh badan-badan beruniform, dan sebagainya.  Setiap kelas pula dihiasi dengan kibaran bendera jalur gemilang dan pelajar-pelajar berlumba-lumba menghias kelas dengan jalur gemilang untuk merebut anugerah hiasan kelas paling cantik. Oleh itu, sambutan hari tersebut terutama dalam kalangan pelajar di sekolah hendaklah diteruskan kerana terdapat banyak kebaikannya dalam usaha melahirkan generasi muda yang mampu mengerti dan menghayati erti kemerdekaan tanah air tercinta.  Apakah sebenarnya kebaikan-kebaikan sambutan hari kemerdekaan ini di sekolah?

          Sememangnya,  antara kebaikan program sambutan hari  kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat patriotik atau cinta akan negara dalam kalangan pelajar.  Di peringkat sekolah, biasanya antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan ialah seperti ceramah , pertandingan nyanyian lagu patriotik, menulis esei dan sebagainya yang menjurus kapada sejarah kemerdekaan tanah air atau tokoh-tokoh pemimpin negara kita.  Justeru, pelajar-pelajar akan memahami dengan lebih mendalam tentang sejarah negara kita dalam usaha mencapai kemeredekaan daripada penjajahan Inggeris.  Pelajar juga akan mengetahui dan menghayati bagaimana sukarnya tokoh-tokoh pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan seperti    Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.  Justeru, diharap sambutan hari kemerdekaan di sekolah dapat menyemai semangat patriotik yang kian luntur dalam sanubari generasi muda di negara kita.

          Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.  Kita sebenarnya tidak mahu wujudnya kalangan masyarakat yang mementingkan diri sendiri, mementingkan kehendak bangsa sendiri dan mengabaikan masyarakat di sekeliling yang berlainan bangsa, agama dan budaya.  Dengan ini, sikap individualistik bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dapat dikikis dalam diri setiap rakyat di Malaysia.  Oleh itu semangat kekitaan akan wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan mengukuhkan semangat bersatu padu dengan matlamat yang sama iaitu untuk memastikan negara Malaysia sentiasa aman, makmur dan maju jaya setanding dengan negara-negara maju di persada dunia.

          Melalui sambutan hari kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan sepanjang sambutan bulan kemerdekaan di sekolah ialah tayang filem atau dokumentari tentang pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh kemerdekaan tanah air yang berjuang dan berkorban untuk kemerdekaan negara kita daripada penjajahan Inggeris.  Tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan sejak zaman residen Inggeris di tanah Melayu seperti Tok Bahaman, Mat Kilau, Dato' Maharaja Lela sehinggalah ke zaman tokoh kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lainnya diharap dapat mememberi kesedaran dan keinsafan kepada para pelajar tentang pahit getir para pejuang kemerdekaan yang berusaha memerdekakan Tanah Melayu dengan keringat dan darah.  Seterusnya, pelajar akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Jasa mereka patut dikenang kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila.  Generasi muda juga diharap akan sentiasa berusaha memelihara keamanan dan kemakmuran negara agar berkekalan.

          Kesimpulannya, hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan di semua peringkat terutama di peringkat sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dan kanak-kanak di bangku sekolah masih mudah dilentur untuk mencintai dan menghargai Malaysia tanah tumpah darah kita.  Justeru,  semua pihak perlulah berganding bahu dan melangkah sederap untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan sambutan hari kemerdekaan negara.  Sambutan hari kemerdekaan diharapkan mampu menjadi wahana yang penting dalam memupuk semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat tanpa mengira keturunan, bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Bersyukurlah dan berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan negara dan pemimpin kita yang berjaya menjadikan negara kita Malaysia sebagai sebuah negara maju, aman dan makmur. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 56 pada tanggal 31 Ogos 2013.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 56

logo merdeka 56 2013 1 gambar logo hari kemerdekaan 2013 ke 56 dan tema


56 Tahun Kemerdekaan 


          Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil. 

logo merdeka 56 2013 gambar logo hari kemerdekaan 2013 ke 56 dan tema
          Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia. 

          Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).



         Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

          Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 56 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru. 

          Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.



Menyelami Erti Kemerdekaan

          Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. 

          Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara. 

          Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

          Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh. 

         Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden. 

          Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

          Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden   



Menyelurusi Sejarah Kemerdekaan Tanah Air

Sejarah Kemerdekaan

          Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.  
Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.
Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 berjaya mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan.

          Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan. 

     Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya  dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

     Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.
Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

      Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. 

         Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya. 

        Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol,  begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College. 

         Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.


Ke arah Mencapai Kemerdekaan

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka. 



Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada  Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut. 



Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun. 



Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku  Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka   mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.



Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.



Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.

Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 



Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.



Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah. 



Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.



 

MAKLUMAT TAMBAHAN



Gambar logo dan tema hari kemerdekaan ke 56 tahun 2013
logo merdeka 56 2013 gambar logo hari kemerdekaan 2013 ke 56 dan tema
Logo Hari Kemerdekaan ke 56
Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa apabila “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” menjadi tema hari kemerdekaan yang ke 56 yang akan disambut pada 31 Ogos ini
Difahamkan tema itu dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara
Selain itu, konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara
Menurut laporan yang disiarkan media, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 ini, beberapa acara akan diadakan termasuklah Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 16 Ogos ini di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah
logo merdeka 56 2013 1 gambar logo hari kemerdekaan 2013 ke 56 dan tema
Turut dinyatakan sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos 2013 akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya
Di samping itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesemua program dan aktiviti sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 menerusi laman web www.malaysiamerdeka.gov.my
 

Isnin, 26 Ogos 2013

LATIHAN SAJAK DI BAWAH LANGIT YANG SAMA - SET 1

SET 1

Soalan 2(d)- Sajak


Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.




Di Bawah Langit Yang Sarna


Di bawah langit yang sama
Kita hirupi udara
Tanpa mengira Beirutmu
Ataupun Kuala Lumpurku
Kita menghirup udara
Di bawah langit yang sama.
2 Aku suka gerimis di Kota London
Pernah terpesona angin dingin- tajam di Washington
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
tiada bezanya.
Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.
3 Aku ingin menyeberangi Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangikan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita-warga dunia
Di bawah langitnya
Yang sama.
4 Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza
gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang
Sarna.



Lim Swee Tin
Antologi Dirgahayu Bahasaku
Dewan Bahasa dan Pustaka

  
(i) Nyatakan hasrat penyajak dalam rangkap ketiga sajak tersebut. [2 markah]

(ii) Penyajak menyeru supaya manusia mengamalkan konsep kesamarataan hidup tanpa membezakan warna kulit dan fahaman.
Apakah faedah-faedah sekiranya kita mengamalkan konsep hidup di atas?
                                                                                             [3 markah]

(iii) Jelaskan dua nilai yang terdapat dalam sajak tersebut.            [4 markah]


Soalan 2(d): Petikan sajak

(i) Hasrat penyajak dalam rangkap ketiga ...
menyeberangi Laut China Selatan
melayari Lautan Teduh
merentasi Laluan Sutera
bersama-sama merasai suasana siang dan malam
memupuk rasa cinta I kasih dan harapan
membangkitkan hasrat I matlamat yang sama
                                  
[ 2 isi sahaja ) [Maksimum: 2 markah)'


(ii) Faedah-faedah konsep kesamarataan hidup ...


dunia akan aman I tiada peperangan
hidup saling membantu
memudahkan mobiliti I perhubungan
dunia akan makmur
bebas mengamalkan agama dan budaya I cara hidup
saling menghormati I bersefahaman I bertoleransi
tidak wujud golongan yang teraniaya!tertindas

[ 2 isi sahaja] [ maksimum : 3 markah ]
  
(iii) Nilai

-kasih sayang setiap insan adalah sama dan harus
menyayangi atas nama kemanusiaan 1 + 1
-perpaduan perpaduan menjamin keharmonian
masyarakat 1 + 1
-kerjasama setiap negara I manusia perlu saling
membantu I + 1
-keberanian seseorang yang berani merentasi
lautan dan daratan I mengembara
untuk menimba ilmu 1 + 1
-hormat-menghormati- menghormati hak setiap individu
bebas di muka bumi ini 1 + 1
-bertolak ansur bebas bergerak tanpa ada sebarang
sekatan 1 + 1


[ 2 isi sahaja ] [ maksimum: 4 markah]

Per. SPM MRSM 2011

LATIHAN CERPEN PAHLAWAN BUNTUNG - SET 1

SET 1


Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



Kehadiran Pak Husain menjadi jambatan kepada ingatanku untuk menyeberang bagi menemui detik-detik peristiwa yang berlaku lebih daripada tiga puluh tahun yang lalu.

Kakinya yang buntung, terkulai dalam kain sarungnya yang kelihatan singkat. Kaki kayunya sudah usang. Kepala kakinya sudah berjabu-jabu di bawah ketiaknya. Kalau tidaklah kerana parut yang memanjang di atas dahinya, yang separuh telah ditutup oleh semutar kain batik Kelantan, aku akan kehilangan wajahnya. Kehilangan itu akan membuatkan aku tidak melihat peristiwa sejarah tanah air. Kebisingan dan kehiruk-pikukan yang berbaur daripada ramainya orang yang menghadiri temasya kota (menyambut ulang tahun kemerdekaan), seolah-olah tidak masuk dalam telingaku. Tidak.
Wajah Pak Husain memanjat kepalaku. Menerkam dan menggigitku. Berlari-lari dalam ingatanku. Dia pahlawan yang tidak pernah difikirkannya bahawa dia telah menyelamatkan kami. Ketika dia tersiuk-siuk melangkah dengan tiga kakinya melewati orang ramai, dalam kumpulan yang lebih merupakan sampah sarap yang disongsong oleh pasang penuh, aku tepuk belakangnya. Pak Husain berhenti mendadak. Menikam wajahku dengan pandangannya yang berkaca-kaca. Aku menaburkan senyumanku. Kuduga ingatannya. Ingatkah ia?
“Kau, kau, Khalid?”
“Ya, Khalid,” kataku membenarkan dugaannya.

(Dipetik daripada cerpen ‘Pahlawan Buntung’ oleh S. Othman Kelantan dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Siapakah Pak Husain berdasarkan petikan tersebut?              [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kerajaan dapat menghargai jasa dan pengorbanan pejuang tanah air?                                            [3 markah]

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar masyarakat yang lain daripada keseluruhan cerpen.        [4 markah]


CADANGAN JAWAPAN

Soalan 2(b) – Petikan Prosa Moden


i) Pak Hussain ialah seorang yang:
• berkaki buntung/kudung.
• mempunyai parut yang memanjang pada dahinya.
• pahlawan.
• mempunyai daya ingatan yang kuat/tajam daya ingatannya.

[Maksimum: 2 markah]


ii) Kerajaan dapat menghargai jasa dan pengorbanan pejuang tanah air:
• melalui penganugerahan pingat/imbuhan wang.
• memberikan bantuan perubatan percuma.
• membina tugu peringatan/ mengabadikan jasa mereka di muzium/memorial.
• menerbitkan buku/filem/rencana tentang pejuang tanah air.
• mengadakan sambutan hari pahlawan peringkat kebangsaan.

[Maksimum: 3 markah] 

iii) Satu latar masyarakat dalam petikan:
• Masyarakat yang menghargai orang yang berjasa/berbudi/pahlawan – contoh Khalid mengingati Pak Husain dengan menegur Pak Husain walaupun sudah lebih tiga puluh tahun tidak berjumpa
• Masyarakat yang memperingati peristiwa sejarah yang meninggalkan kesan pada diri – contoh Khalid / penulis mengingati peristiwa tiga puluh tahun dahulu yang meninggalkan kesan mendalam pada dirinya
• Masyarakat pahlawan tanah air/pejuang – Pak Husain telah menyelamatkan Khalid dan penduduk kampungnya
• Masyarakat yang berjiwa patriotik – orang ramai menghadiri temasya kota (menyambut ulang tahun kemerdekaan)


Satu latar masyarakat dalam keseluruhan petikan:

• Masyarakat yang sanggup berkorban – contoh Pak Husain menyelamatkan penduduk Kampung Pulau Pak Amat semasa serangan Jepun .
• Masyarakat yang berani menghadapi cabaran – contoh Pak Husain berani menyelamatkan diri daripada tentera Jepun dengan tipu muslihatnya semasa menggali kubur .
• Masyarakat yang sedia membantu orang yang berada dalam kesusahan – contoh penduduk Kampung Pulau Pak Amat membantu menyelamatkan Jarah, anak Pak Ngah yang cedera akibat terkena peluru sesat
• Masyarakat yang bijak menangani/manghadapi sesuatu kecemasan/masalah – contoh Pak Husain berjaya menyelamatkan diri dengan tipu muslihat semasa ditahan oleh tentera Jepun untuk menguburkan mayat-mayat tentera dan orang mati.
• Masyarakat yang menderita ketika perang – contohnya, masyarakat terpaksa berpindah meninggalkan harta benda mereka ketika perang.
• Masyarakat yang rajin / gigih berusaha – contohnya, Pak Husain dan Khalid sering menjala/menangkap ikan.



[Maksimum: 4 markah]  


Jumaat, 23 Ogos 2013

Sepucuk Surat daripada Kawan
oleh Kamalkhalid Kamarludin

Sinopsis:
Kamal berasa gembira apabila menerima sepucuk surat Abe yang mahu kembali ke Kuantan semula. Dengan suratnya, Abe menyatakan bahawa dia akan berpindah dan bersekolah di Kuantan. Sementara itu, Abe akan tinggal dengan keluarganya.

Menyingkap kenangan silam, Abe dan Kamal berkawan baik sejak kecil. Tiga tahun yang lalu, Abe kembali ke negeri asalnya, Kelantan. Sejak itu, dia dan Abe hanya berhubung melalui telefon dan surat. Sejak berada di Kuantan, Kamal banyak menghabiskan masa dengan membawa Abe berjalan-jalan di sekitar bandar Kuantan. Dia sanggup ponteng latihan badminton dan meminjam wang daripada ibu semata-mata untuk menggembirakan Abe. Cuma, dia berasa runsing melihat Abe yang murung dan adakalanya sakit perut. Kamal mahu membongkar rahsia Abe, tetapi tidak berpeluang untuk berbuat demikian.

Keluarga Abe pulang ke Kelantan setelah selesai mengurus perpindahan sekolah Abe. Abe ditempatkan di kelas yang bersebelahan dengan kelas Kamal kerana keputusan peperiksaannya lebih baik. Sepanjang Abe tinggal dan bersekolah di Kuantan, mereka banyak menghabiskan masa bersama-sama. Keakraban mereka menyebabkan rakan-rakan Kamal yang lain berasa cemburu.

Dalam pada itu, keadaan kesihatan Abe kian serius. Kamal bertanyakan masalahnya, namun Abe hanya menyatakan bahawa suatu hari nanti, Kamal akan tahu juga. Setelah keputusan PMR diumumkan, mereka berdua berjaya mencatat kejayaan yang cemerlang. Namun, Kamal berasa sedih kerana Abe akan kembali bersama dengan keluarganya di Kelantan. Sebelum pergi, Abe sempat memberikan sepucuk surat kepada Kamal. Namun, belum sempat surat itu dibacanya sampai habis, adiknya telah merampas surat itu dan mencampakkannya ke dalam unggun api.

Tema:
Persahabatan sejati antara dua insan yang tidak berbelah bahagi. “Aku” berkawan baik dengan Abe sejak mereka kecil lagi. Setelah Abe berpindah, mereka tetap berutus surat dan bertanya khabar melalui telefon.

Persoalan:
1. Menghargai hubungan persahabatan.
2. Sahabat yang baik dapat memberikan bimbingan ke arah positif.
3. Rahsia hidup yang sukar dikongsi dengan orang lain.
4. Berjauhan bukan bermakna terputusnya hubungan

Nilai murni

Nilai murni daripada cerpen ialah baik hati, contohnya penulis melayan Abe dengan baik ketika Abe tinggal bersama-samanya.

Selain itu berdikari, contohnya Abe tinggal bersama penulis, sedangkan keluarganya berada di Kelantan.

Akhir sekali memanfaatkan waktu, contohnya sejak kedatangan Abe, penulis lebih banyak mengulang kaji pelajaran dan ke perpustakaan, tidak lagi bersama Zul dan Fadli.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menghargai kunjungan rakanlama, contohnya penulis berbesar hati dan melayan dengan baik kedatangan Abe dari Kelantan.

Selain itu kita hendaklah bersikap terus terang, contoh yang ditunjukkan oleh Abe yang merahsiakan penyakitnya membuatkan penulis tertanya-tanya janganlah diikuti.

Akhir sekali kita wajar membantu orang yang dalam kesusahan, contohnya penulis membawa Abe pulang ke rumah apabila Abe mengadu sakit..

ANALISIS ANTOLOGI KASUT KELOPAK JANTUNG : NOTA CERPEN 'YURAN'



Cerpen : YURAN
Omar Mamat


Sinopsis 

Amin meminta wang sebanyak RM60.00 daripada emaknya, Mak Jah untuk membayar yuran sekolah. Mak Jah tidak dapat memberi kerana tiada wang. Di sekolah, Cikgu Arsad mendesak Amin membayar yuran sukan dan yuran PMR esok. Desakan itu membuatkan Amin berasa malu dan tertekan, lalu mengambil keputusan ponteng sekolah. 

Ketika dia sedang melihat permainan video, dia dilanggar dari arah sisi oleh seseorang, menyebabkan buku dalam begnya bertabur. Seorang wanita menjerit meminta pertolongan. Beberapa orang pemuda dilihatnya berlari-lari ke satu arah. Amin segera mengejar pemuda ditu dan berjaya menangkap lelaki itu. Anggota polis segera memberkas pemuda tersebut. 

Wanita yang dibantu tadi menyoal Amin. Apabila dirinya dikatakan ponteng sekolah, Amin segera meninggalkan wanita itu. Apabila Amin tiba di rumah dan melihat Amin tidak membawa beg, Mak Jah tahu anaknya ponteng sekolah. Ketika Mak Jah sedang meleteri akan sikap Amin, wanita tadi muncul dengan keretanya. Wanita itu menceritakan hal yang sebenar kepada Mak Jah. Kemudian wanita tersebut menyerahkan sedikit wang sebagai membalas jasa Amin. Amin berasa terharu dan berjanji akan meneruskan cita-citanya. 


TEMA
Penderitaan hidup yang menyukarkan seorang murid untuk meneruskan kehidupannya.

PERSOALAN
1)Kemiskinan hidup
2)Kepentingan pelajaran demi masa depan
3)Kesanggupan untuk menunaikan amanah bapa
4)Keprihatinan masyarakat terhadap golongan miskin



LATAR
Latar Masa
1)    Pada waktu pagi semasa sesi persekolahan
2)    Zaman yang sudah maju kerana terdapat pasar raya dan penggunaan kereta.

Latar Tempat
1)    Di perigi rumah Amin
2)    Di dalam kelas
3)    Di dalam bilik pengetua
4)    Di hadapan pintu kedai permainan video
5)    Di balai polis

Latar Masyarakat
1)    Masyarakat kampung yang hidup miskin
2)    Masyarakat yang prihatin menghulurkan bantuan
3)    Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup
4)    Masyarakat yang mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi 

GAYA BAHASA
1)    IMBAS KEMBALI – Mak Jah mengingatkan wasiat arwah suaminya kepada Amin
2)    SIMILE – Berlingkar macam ular sawa kekenyangan; mukanya merah bagi udang dibakar
3)    METAFORA – kotak fikiran : ibunya dibaluti kesusahan
4)    BAHASA INGGERIS – video games
5)    BAHASA ARAB – rahmatullah

PLOT

Permulaan

Amin berasa sukar untuk bangun pagi, tetapi harus akur dengan Mak Jah. Usai mandi, Amin sekali lagi membangkitkan hal yuran yang mesti dibayar hari itu. Sambil Amin menikmati ubi kayu goreng dan kopi panas, Mak Jah mengatakan percubaan meminjam wang pak Long tidak berhasil kerana mereka juga miskin.

Perkembangan

Di bilik darjah, Amin berhadapan dengan Cikgu Arsad yang memberi kata dua. Pengetua juga berkata demikian, dan Amin hanya mampu mengesat air mata mengenangkan keadaan hidupnya yang susah sesudah Pak Akob, ayahnya tiada lagi. Amin masih berahsia masalahnya daripada Jazid, rakan sekelasnya.

Pergolakan / Konflik

Amin nekad ponteng sekolah, lalu menghala ke pekan. Sedang asyik memerhati pemuda bermain alat video di sebuah pasar raya, Amir dilanggar dari arah sisi menyebabkan buku sekolahnya bertaburan. Setelah menyusunnya kembali, Amin mengejar seorang peragut dan berjaya mengilas tangan pemuda itu. Polis tiba dan Amin diangkut sama ke balai polis. Wanita yang ditolongnya cuba berbual dengan Amin, tetapi Amin berlalu tanpa teringat bahawa beg sekolah ditinggalkan di situ.

Puncak / Klimaks

Amin tiba di rumah tanpa beg sekolah, lalu ditegur oleh Mak Jah menebak Amin telah ponteng. Mak Jah mengingatkan Amin tentang pesanan Pak Akob supaya Amin belajar bersungguh-sungguh bagi membela nasib Mak Jah. Kedua-dua beranak itu menangis. Tidak semena-mena sebuah kereta muncul di laman rumah mereka dan wanita yang ditolongi Amin tadi datang sambil membimbit beg sekolah Amin.

Peleraian

Wanita itu menceritakan duduk peristiwa sebenar, lalu menghulurkan sampul surat (berisi wang tunai) kepada Mak Jah. Kemudian Amin dipanggil, dan tangannya terketar-ketar menerima hadiah berkenaan walaupun disokong oleh Mak Jah. Amin menggenggam sampul surat itu bagaikan menggenggam harapan untuk meneruskan cita-citanya.

NILAI
1)    Keberanian
Amin marupakan seorang yang berani. Dia sanggup mengejar pencuri dan menangkapnya demi kejahatan yang berlaku
2)    Ketabahan
Amin tabah menghadapi dugaan hidup. Biarpun dia hidup dalam serba kekurangan, namun dia tetap bersemangat untuk belajar dengan bersungguh- sungguh dan berjaya pada masa yang akan datang 
3)    Keikhlasan
Wanita muda itu ikhlas memberikan sumbangan sebagai hadiah kepada Amin kerana Amin telah memebantunya menangkap pencuri yang mengambil barang kepunyaannya sewaktu di pekan.
4)    Kasih sayang
Mak Jah begitu sayang akan Amin. Dia sanggup menanggung malu untuk pergi meminjam wang bagi membayar yuran persekolahan Amin.

PENGAJARAN
1)    Janganlah melakukan perkara yang melanggar undang-undang
2)    Kita hendaklah mengambil berat terhadap urusan keluarga
3)    Kita hendaklah mementingkan pendidikan anak-anak
4)    Kita hendaklah prihatin kepada masyarakat yang menghadapi kesusahan.

ANALISIS ANTOLOGI KASUT KELOPAK JANTUNG : NOTA 'CERPEN TUKANG LAMA'


Cerpen : Tukang Lama
Hassan Ali 

Sinopsis

            Pak Talib ialah seorang tukang rumah. Walau bagaimanapun pendapatannya semakin berkurang sejak kepulangan Manas, seorang tukang muda. Mak Lamah, iaitu isteri Pak Talib sering merendah-rendahkan keupayaan suaminya yang pandai menukang rumah orang sedangkan rumah mereka seperti reban ayam. Upah yang diperolehi Pak Talib daripada kerja-kerja pertukangan sangat sedikit sehingga sukar baginya hendak menampung perbelanjaan keluarga. Orang kampung hanya memberikan kerja yang remeh seperti membuat reban ayam dan membuat pintu pagar kepada Pak Talib kerana Manas dapat membuat kerja-kerja pertukangan yang lebih besar dan moden.
Di rumah Encik Mamat, Pak Talib disuruh membuat reban ayam. Dia mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan reban ayam itu. Dia diberi upah sebanyak RM10 sedangkan dia bekerja selama 4 harimuntuk menyiapkannya. Dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki basikalnya. Pak Talib dapat membayangkan sumpahan yang bakal diterima daripada isterinya lantaran tidak dapat membeli barang-barang yang diperlukannya disebabkan upah yang diperoleh hasil daripada pekerjaannya. Sebaik-baik sampai di rumah. Pak Talib disambut dengan suara merdu isterinya, suatu perkara yang seolah-olah tidak dapt dipercayainya. Setelah selesai makan malam dan merebahkan badan, barulah Mak Lamah memberitahu Pak Talib bahawa Timah, anak gadis mereka telah dirisik oleh Manas.

TEMA

Dilema yang dialami oleh seorang  tukang lama akibat kehadiran tukang baru yang lebih moden pembuatan rumahnya

PERSOALAN
1)    Kemampuan menyara keluarga melalui pekerjaan yang dilakukan
2)    Usaha mengekalkan pertukangan lama
3)    Cabaran yang dihadapi oleh tukang lama akibat peredaran masa
4)    Keyakinan kepada kemampuan diri sendiri dan penyerahan kepada takdir tuhan


WATAK DAN PERWATAKAN 

Watak Utama

Pak Talib
·         Pak Talib berusia hampir lima puluh tahun dan bekerja sebagai seorang tukang rumah. Selepas zaman perang, rezekinya agak mewah sedikit kerana mendapat banyak permintaan untuk bertukang kerana tiada saingan. Pak Talib masih mengekalkan cara lama untuk membuat rumah dan tidak pernah belajar di mana-mana kecuali menerusi seorang tukang tua di kampung.

Perwatakan
1.      Penyabar
Pak Talib begitu sabar mendengar leteran isterinya, Mak Lamah terutama apabila Mak Lamah mempertikaikan pendapatannya yang semakin berkurang kerana semakin jarang mendapat upah membuat rumah.

2.      Rajin
Pak Talib tetap bekerja mencari rezeki walaupun pendapatannya semakin berkurang. Dia juga tidak memilih pekerjaan asalkan ada kerja yang boleh dibuat untuk mencari rezeki.

3.      Bertanggungjawab
Pak Talib seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga kerana dia berusaha dengan sedaya upaya untuk mencari rezeki walaupun pendapatannya semakin kurang.


Watak  sampingan

Mak Lamah
·         Mak Lamah ialah isteri Pak Talib dan ibu Timah. Mak Lamah ialah seorang suri rumah.

Perwatakan
1.      Suka berleter
Mak Lamah sering berleter apabila suaminya, Pak Talib mula kekurangan kerja kerana kerja menukang rumah mendapat saingan daripada tukang yang lebih muda.

2.      Memandang harta
Mak Lamah sering bertanya kepada Pak Talib tentang bayaran upah yang akan didapatinya jika dia pergi bertukang.

3.      Mudah berubah
Mak Lamah menyambut kepulangan Pak Talib dengan suara yang lembut setelah anak mereka, Timah dirisik oleh Manas.


Latar

Latar Tempat
1.      Rumah Pak Talib
Berlaku beberapa peristiwa seperti perbualan antara Pak Talib dengan Mak Lamah tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh Pak Talib. Mak Lamah turut menyampaikan berita bahawa anak mereka, Timah dirisik oleh Manas kepada Pak Talib di rumah.

2.      Rumah Encik Mamat
Pak Talib pergi ke rumah Encik Mamat selama empat hari untuk menyiapkan reban ayam kampung seperti yang disuruh oleh Encik Mamat.

3.      Di jalan
Pak Talib berkira-kira tentang sikap dan penerimaan Mak Lamah apabila dia sampai di rumah serta mendapat tahu tentang bayaran upah yang diterima setelah menyiapkan reban ayam Encik Mamat. Mak Lamah dirasakan akan menyerangnya dengan pelbagai soalan.


Latar Masa


1.      Waktu pagi

Pak Talib bangun pada subuh-subuh lagi dan menyiapkan perkakasan menukangnya sebelum pergi bekerja.

2.      Waktu malam
Mak Lamah memberitahu Pak Talib bahawa keluarga Manas telah dating merisik Timah, anak mereka.

3.      Jarak masa
~ jarak masa yang tidak begitu lama, iaitu tidak sampai seminggu
~ Contohnya, Pak Talib membuat reban ayam di rumah Encik Mamat dalam masa  empat hari.
~ Selepas pulang dari rumah Encik Mamat pada hari keempat, dia diberitahu oleh Mak Lamah bahawa Timah sudah dirisik oleh Manas.


Latar Masyarakat


1.      Golongan masyarakat
Memfokuskan masyarakat golongan tua, dewasa dan remaja. Golongan tua terdiri daripada Pak Talib dan Mak Lamah. Golongan remaja ialah Timah manakala golongan dewasa ialah Manas dan Encik Mamat.

2.      Kategori masyarakat
Memfokuskan kehidupan masyarakat kampung yang hidup dalam keadaan sederhana. Contohnya keluarga Pak Talib yang bekerja sebagai tukang rumah.

3.      Pekerjaan masyarakat

Memaparkan dua jenis pekerjaan utama masyarakat, iaitu tukang rumah dan suri rumah. Memfokuskan watak Pak Talib dan Manas yang menjadi tukang rumah.

4.      Bangsa/agama
Fokus penceritaan ialah golongan Melayu yang beragama Islam. Semua watak yang diketengahkan dalam cerpen ini berbangsa Melayu serta beragama Islam.

5.      Masyarakat kampung yang gigih dan rajin
Menceritakan kerajinan dan kegigihan Pak Talib bekerja walaupun menghadapi pelbagai masalah terutamanya selepas kepulangan Manas ke kampung itu.




GAYA BAHASA


SIMPULAN BAHASA -  ekor  mata, asam garam
PUISI – Pak Talib gedang-gedang
Mak Lamah gulai labu
Pak Talib banyak hutang
Mak Lamah jual kelambu

Binaan plot

Permulaan

            Memperkenalkan watak Pak Talib dan Mak Lamah. Mak Lamah sering menyindir Pak Talib kerana rezeki Pak Talib sebagai tukang rumah mula berkurang selepas kepulangan Manas, seorang tukang muda yang berpendidikan.


Perkembangan dan Perumitan

            Pak Talib terus melakukan pekerjaannya walaupun disuruh membuat reban ayam. Persaingan dengan tukang moden seperti Manas menyebabkan rezeki Pak Talib berkurang. Pak Talib mendapat upah yang sedikit selepas membuat reban ayam di rumah Encik Mamat, iaitu hanya sepuluh ringgit walaupun kerja-kerja membuat reban ayam itu mengambil masa selama empat hari.


Klimaks

            Pak Talib pulang ke rumah dalam keadaan lemah kerana memikirkan sumpahan yang bakal diterima daripada Mak Lamah kerana tidak membeli barang-barang yang diperlukannya disebabkan upah yang diterimanya daripada Encik Mamat hanya sepuluh ringgit.


Peleraian

            Pak Talib berasa tenteram dan senang hati setelah mengetahui anaknya, Timah dilamar oleh Manas. Tambah menyenangkan hatinya ialah muka Mak Lamah kembali manis semula.


Teknik Plot

Dialog

Mak Lamah bertanya kepada Pak Talib tentang tugasnya pada hari tersebut.
                “ Ke mana lagi hari ini?” Mak Lamah bertanya.
                “ Ah, ke mana lagi, ke rumah Che Mamat itulah, menyiapkan reban ayamnya,” jawab Pak Talib.

Imbas Kembali

Ingatan Mak Lamah terhadap peristiwa Timah mengejar budak-budak nakal yang mengejek Pak Talib yang banyak berhutang.
                Dan Si Timah biasanya akan mengejar anak-anak yang nakal itu dengan kayu api. Tetapi sejauh mana sangat dia dapat mengejar, sebentar sahaja dia sudah terhungap-hungap.

Monolog Dalaman

Pak Talib berkata dalam hati tentang kedudukannya yang semakin tidak diperlukan sejak kehadiran tukang muda.
                “ Rupa-rupanya diri aku ini telah jatuh benar,” Pak Talib bercakap dalam hatinya sambul mngetuk paku di dinding.

Monolog

Pak Talib berkata kepada dirinya tentang reban ayam kampung yang sedang ditukangnya.

                “ Hai, nasib awaklah ayam kampung!” kata Pak Talib menarik nafas panjang ketika sepenampang dinding itu telah siap.

NILAI

1)Bertanggungjawab
Pak Talib seorang yang bertanggungjawab terhadap kerjanya dan pergi bekerja sewaktu subuh walaupun hanya perlu menyiapkan reben ayam

2)Sabar
Kesabaran Mak Lamah mengharugi kehidupan bersama pak Talib dalam masa susah dan senang walaupun sering berleter dan membebel kepada Pak Talib

3)Kasih Sayang
 Pak Talib sangat menyanyangi isterinya, Mak Lamah walaupun Mak Lamah sering sahaja membebel dan meleter kepadanya.

4)Ketabahan
 Pak Talib tetap tabah meneruskan kehidupan walaupun semakin kurang mendapat  upah daripada orang kampung.


PENGAJARAN

1.Kita hendaklah bertanggungjawab menyara keluarga
2.Kita perlulah bersabar melayani sebarang karenah manusia
3.Kita perlulah yakin akan kebolehan diri sendiri
4.Kita perlulah berusaha unruk mencari rezeki yang halal
5.Kita perlulah bersyukur dengan apa-apa yang ada