Jumaat, 23 Ogos 2013

Sepucuk Surat daripada Kawan
oleh Kamalkhalid Kamarludin

Sinopsis:
Kamal berasa gembira apabila menerima sepucuk surat Abe yang mahu kembali ke Kuantan semula. Dengan suratnya, Abe menyatakan bahawa dia akan berpindah dan bersekolah di Kuantan. Sementara itu, Abe akan tinggal dengan keluarganya.

Menyingkap kenangan silam, Abe dan Kamal berkawan baik sejak kecil. Tiga tahun yang lalu, Abe kembali ke negeri asalnya, Kelantan. Sejak itu, dia dan Abe hanya berhubung melalui telefon dan surat. Sejak berada di Kuantan, Kamal banyak menghabiskan masa dengan membawa Abe berjalan-jalan di sekitar bandar Kuantan. Dia sanggup ponteng latihan badminton dan meminjam wang daripada ibu semata-mata untuk menggembirakan Abe. Cuma, dia berasa runsing melihat Abe yang murung dan adakalanya sakit perut. Kamal mahu membongkar rahsia Abe, tetapi tidak berpeluang untuk berbuat demikian.

Keluarga Abe pulang ke Kelantan setelah selesai mengurus perpindahan sekolah Abe. Abe ditempatkan di kelas yang bersebelahan dengan kelas Kamal kerana keputusan peperiksaannya lebih baik. Sepanjang Abe tinggal dan bersekolah di Kuantan, mereka banyak menghabiskan masa bersama-sama. Keakraban mereka menyebabkan rakan-rakan Kamal yang lain berasa cemburu.

Dalam pada itu, keadaan kesihatan Abe kian serius. Kamal bertanyakan masalahnya, namun Abe hanya menyatakan bahawa suatu hari nanti, Kamal akan tahu juga. Setelah keputusan PMR diumumkan, mereka berdua berjaya mencatat kejayaan yang cemerlang. Namun, Kamal berasa sedih kerana Abe akan kembali bersama dengan keluarganya di Kelantan. Sebelum pergi, Abe sempat memberikan sepucuk surat kepada Kamal. Namun, belum sempat surat itu dibacanya sampai habis, adiknya telah merampas surat itu dan mencampakkannya ke dalam unggun api.

Tema:
Persahabatan sejati antara dua insan yang tidak berbelah bahagi. “Aku” berkawan baik dengan Abe sejak mereka kecil lagi. Setelah Abe berpindah, mereka tetap berutus surat dan bertanya khabar melalui telefon.

Persoalan:
1. Menghargai hubungan persahabatan.
2. Sahabat yang baik dapat memberikan bimbingan ke arah positif.
3. Rahsia hidup yang sukar dikongsi dengan orang lain.
4. Berjauhan bukan bermakna terputusnya hubungan

Nilai murni

Nilai murni daripada cerpen ialah baik hati, contohnya penulis melayan Abe dengan baik ketika Abe tinggal bersama-samanya.

Selain itu berdikari, contohnya Abe tinggal bersama penulis, sedangkan keluarganya berada di Kelantan.

Akhir sekali memanfaatkan waktu, contohnya sejak kedatangan Abe, penulis lebih banyak mengulang kaji pelajaran dan ke perpustakaan, tidak lagi bersama Zul dan Fadli.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menghargai kunjungan rakanlama, contohnya penulis berbesar hati dan melayan dengan baik kedatangan Abe dari Kelantan.

Selain itu kita hendaklah bersikap terus terang, contoh yang ditunjukkan oleh Abe yang merahsiakan penyakitnya membuatkan penulis tertanya-tanya janganlah diikuti.

Akhir sekali kita wajar membantu orang yang dalam kesusahan, contohnya penulis membawa Abe pulang ke rumah apabila Abe mengadu sakit..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.