Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Kehadiran Pak Husain menjadi jambatan kepada ingatanku untuk menyeberang bagi menemui detik-detik peristiwa yang berlaku lebih daripada tiga puluh tahun yang lalu.
Kakinya yang buntung, terkulai dalam kain sarungnya yang kelihatan singkat. Kaki kayunya sudah usang. Kepala kakinya sudah berjabu-jabu di bawah ketiaknya. Kalau tidaklah kerana parut yang memanjang di atas dahinya, yang separuh telah ditutup oleh semutar kain batik Kelantan, aku akan kehilangan wajahnya. Kehilangan itu akan membuatkan aku tidak melihat peristiwa sejarah tanah air. Kebisingan dan kehiruk-pikukan yang berbaur daripada ramainya orang yang menghadiri temasya kota (menyambut ulang tahun kemerdekaan), seolah-olah tidak masuk dalam telingaku. Tidak.
Wajah Pak Husain memanjat kepalaku. Menerkam dan menggigitku. Berlari-lari dalam ingatanku. Dia pahlawan yang tidak pernah difikirkannya bahawa dia telah menyelamatkan kami. Ketika dia tersiuk-siuk melangkah dengan tiga kakinya melewati orang ramai, dalam kumpulan yang lebih merupakan sampah sarap yang disongsong oleh pasang penuh, aku tepuk belakangnya. Pak Husain berhenti mendadak. Menikam wajahku dengan pandangannya yang berkaca-kaca. Aku menaburkan senyumanku. Kuduga ingatannya. Ingatkah ia?
“Kau, kau, Khalid?”
“Ya, Khalid,” kataku membenarkan dugaannya.
(Dipetik daripada cerpen ‘Pahlawan Buntung’ oleh S. Othman Kelantan dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Siapakah Pak Husain berdasarkan petikan tersebut? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kerajaan dapat menghargai jasa dan pengorbanan pejuang tanah air? [3 markah]
(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar masyarakat yang lain daripada keseluruhan cerpen. [4 markah]
CADANGAN JAWAPAN
Soalan 2(b) – Petikan Prosa Moden
i) Pak Hussain ialah seorang yang:
• berkaki buntung/kudung.
• mempunyai parut yang memanjang pada dahinya.
• pahlawan.
• mempunyai daya ingatan yang kuat/tajam daya ingatannya.
[Maksimum: 2 markah]
ii) Kerajaan dapat menghargai jasa dan pengorbanan pejuang tanah air:
• melalui penganugerahan pingat/imbuhan wang.
• memberikan bantuan perubatan percuma.
• membina tugu peringatan/ mengabadikan jasa mereka di muzium/memorial.
• menerbitkan buku/filem/rencana tentang pejuang tanah air.
• mengadakan sambutan hari pahlawan peringkat kebangsaan.
[Maksimum: 3 markah]
iii) Satu latar masyarakat dalam petikan:
• Masyarakat yang menghargai orang yang berjasa/berbudi/pahlawan – contoh Khalid mengingati Pak Husain dengan menegur Pak Husain walaupun sudah lebih tiga puluh tahun tidak berjumpa
• Masyarakat yang memperingati peristiwa sejarah yang meninggalkan kesan pada diri – contoh Khalid / penulis mengingati peristiwa tiga puluh tahun dahulu yang meninggalkan kesan mendalam pada dirinya
• Masyarakat pahlawan tanah air/pejuang – Pak Husain telah menyelamatkan Khalid dan penduduk kampungnya
• Masyarakat yang berjiwa patriotik – orang ramai menghadiri temasya kota (menyambut ulang tahun kemerdekaan)
Satu latar masyarakat dalam keseluruhan petikan:
• Masyarakat yang sanggup berkorban – contoh Pak Husain menyelamatkan penduduk Kampung Pulau Pak Amat semasa serangan Jepun .
• Masyarakat yang berani menghadapi cabaran – contoh Pak Husain berani menyelamatkan diri daripada tentera Jepun dengan tipu muslihatnya semasa menggali kubur .
• Masyarakat yang sedia membantu orang yang berada dalam kesusahan – contoh penduduk Kampung Pulau Pak Amat membantu menyelamatkan Jarah, anak Pak Ngah yang cedera akibat terkena peluru sesat
• Masyarakat yang bijak menangani/manghadapi sesuatu kecemasan/masalah – contoh Pak Husain berjaya menyelamatkan diri dengan tipu muslihat semasa ditahan oleh tentera Jepun untuk menguburkan mayat-mayat tentera dan orang mati.
• Masyarakat yang menderita ketika perang – contohnya, masyarakat terpaksa berpindah meninggalkan harta benda mereka ketika perang.
• Masyarakat yang rajin / gigih berusaha – contohnya, Pak Husain dan Khalid sering menjala/menangkap ikan.
[Maksimum: 4 markah]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.