Ahad, 18 Ogos 2013

ANALISIS ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU " NOTA PANTUN ENAM KERAT


ANALISIS 
ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU

PUISI TRADISIONAL


Pantun Enam Kerat
  

Putik kelapa menjadi muda,
       Kelapa muda menjadi kemirau,
               Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
       Rasa pedih buat tak hirau,
              Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
       Galah pendek buluh sumpitan,
               Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
       Sudah takdir sudah suratan,
               Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cecaru,
        Gelama tidak berumpan lagi,
               Kali tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
         Yang lama tidak berkenan lagi,
               Ibarat melukut di tepi gantang.

 Antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka 2010


NOTA



Pantun Enam Kerat

MAKSUD:

Rangkap 1
Kelukaan di hati disembunyikan daripada pengetahuan orang lain walaupun pedihnya amat mendalam.
Rangkap 2
Sesuatu yang berlaku kepada kita harus diterima dengan perasaan yang reda kerana itu semua sudah suratan takdir bukannya salah ibu yang melahirkan kita.
Rangkap 3
Sudah menjadi kelaziman  manusia sering melebihkan orang   yang baru sehingga orang lama terasa disisihkan dan tidak diperlukan lagi.

TEMA
Kekecewaan dalam hidup.

PERSOALAN
1.         Persoalan menyembunyikan hati yang terluka (rangkap 1)
2.         Persoalan menerima suratan takdir (rangkap 2)
3.         Persoalan mengutamakan yang baru berbanding yang lama. (rangkap         3)

BENTUK
1.         Mempunyai  3 rangkap
2.         Mempunyai 6 baris bagi setiap rangkap
3.         Jumlah perkataan antara 4 hingga 5 perkataan sebaris
            Contoh : Putik kelapa menjadi muda ( 4 perkataan – rangkap 1)
     Contoh : Sudah mendapat orang yang baru (5 perkataan – rangkap 3)
4.         Terdiri daripada 8 hingga 12 suku kata.
5.         Rima abcabc
6.         Bentuk pantun terikat.

GAYA BAHASA
1.         Unsur bunyi
Asonansi – hati luka pura tiada ( rangkap 1 baris 4) – pengulangan vokal ‘a’
Aliterasi – kail tersangkut di tepi batang ( rangkap 3 baris 3) – pengulangan konsonan ‘t’
2.         Peribahasa
Ibarat kaca jatuh ke lantai ( rangkap 1 baris 6)
Ibarat melukut di tepi gantang (rangkap 3 baris 6)
3.         Sinkope
Rasa pedih buat  tak tahu (rangkap 1 baris 5)
4.         Repitisi
Sudah takdir sudah suratan (rangkap 2 baris 5)
5.         Unsur alam
Haiwan –  ikan cencaru, ikan gelama
Tumbuhan – kelapa, kedondong, buluh,

NILAI
1.       Nilai keredaan.Contohnya reda dengan suratan takdir.
2.   Nilai  ketabahan. Contohnya sentiasa tabah dengan kesedihan yang menimpa diri.


PENGAJARAN
1.         Kita janganlah terlalu menunjukkan rasa kecewa.
2.         Kita janganlah sesekali menyalahkan takdir.
3.         Kita janganlah melupakan orang yang pernah berjasa kepada kita.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.