Soalan rumusan SPM 2018
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Lambakan graduan yang menyumbang peningkatan jumlah rakyat yang menganggur di negara kita begitu membimbangkan, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang untuk memastikan mereka dapat ditempatkan dalam sektor pekerjaan. Masalah ini dapat diatasi sekiranya graduan membuat pelbagi persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu mempunyai kemahiran interaksi sosial, iaitu kemahiran cara-cara berhubung dalam kelompok sosial seperti sanggup bekerjasama, semangat setia kawan dan nilai-nilai kebersamaan yang lain. Kemahiran ini penting untuk membolehkan graduan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang bakal dihadapi semasa bekerja.
Selain itu, graduan perlu menguasai kemahiran komunikasi yang berkesan. Kepetahan dan kecekapan untuk berkomunikasi dapat menjadikan mereka berkarisma dan berwibawa semasa ditemu duga. Penguasaan pelbagai jenis bahasa di samping bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi keutamaan para graduan. Oleh yang demikian, mereka dapat berinteraksi dengan rakan sekerja dari luar negara dan berupaya untuk bersaing pada peringkat global. Tidak hairanlah graduan yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa mudah diambil bekerja oleh syarikat swasta kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan graduan yang lain. Mereka turut berpeluang untuk bekerja di luar negara ataupun bekerja dengan syarikat antarabangsa yang berpengkalan di negara ini.
Kajian mendapati bahawa graduan yang beretika dan mempunyai nilai spiritual yang baik biasanya mudah ditawarkan pekerjaan. Hal ini kerana reputasi yang baik sebagai pelajar tanpa sebarang tekod salah laku akan memberikan imej positif kepada bakal majikan. Memiliki penampilan diri yang menarik juga merupakan suatu kelebihan yang dilihat dan dinilai oleh majikan sebelum seorang itu diambil bekerja. Dengan memiliki kelebihan tersebut, seseorang graduan dapat menarik minat majikan dan memberikan kesan positif kepada kerjayanya. Seterusnya, para graduan perlu menonjolkan diri sebagai individu yang mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menghadapi tekanan kerana alam pekerjaan lazimnya memberikan pelbagai jenis tekanan.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), setiap graduan mesti melengkapkan diri dengan elemen kepimpinan yang baik. Ciri-ciri kepimpinan ini hanya dapat dicapai melalui penyertaan graduan dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan kerja berpasukan yang memerlukan mereka berbincang, merancang, menilai dan membuat keputusan. Di samping itu, graduan seharusnya menguasai kemahiran berfikir secara kirits dan analitis supaya mereka dapat menyumbangkan idea-idea berkualiti yang berkait rapat dengan budaya kerja cemerlang. Jelaslah, untuk memastikan para graduan berjaya memperoleh kerja yang diidamkan, mereka sepatutnya melakukan beberapa persediaan dan mempunyai kemahiran-kemahiran yang penting, bukan sekadar memiliki akademik yang tinggi semata-mata.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kemahiran Sebelum Bergelar Graduan’ oleh Noraziah Mohd Amin, Dewan Siswa, Jun 2015
Isi tersurat
(Persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam
persekolahan)
S1 mempunyai
kemahiran interaksi sosial
S2 menguasai
kemahiran komunikasi berkesan
S3 penguasaan
pelbagai jenis bahasa
S4 beretika dan mempunyai
nilai spiritual yang baik
S5 memiliki
penampilan diri yang menarik
S6 menonjolkan diri
sebagai individu yang mempunyai kesabaran
S7 melengkapkan
diri dengan elemen kepimpinan yang baik
S8 menguasai
kemahiran berfikir secara kritis dan analitis
Isi tersirat
(usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah
pengangguran)
T1 kerajaan
mewujudkan jawatan-jawatan baru/memperluas peluang pekerjaan
T2 kerajaan atau
pihak berkenaan memberikan bantuan modal/kewangan
untuk menjadi usahawan atau
untuk membuka perniagaan
T3 kerajaan
memperkenalkan semula Skim Graduan Menganggur
T4 pihak berkenaan
mengadakan kursus/latihan khas /kemahiran teknikal
T5 Kerajaan perlu
mengurangkan pengambilan tenaga kerja asing
T6 mengutamakan
rakyat sendiri dalam sector-sektor penting
T7 menyediakan
tempat dan prasarana untuk graduan bekerja sendiri secara percuma atau dengan
sewaan yang murah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.