6 ASPIRASI MURID - Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM)
Aspirasi Murid
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan terus mendukung hasrat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan untuk pendidikan seimbang sebagai asas aspirasi setiap
murid. Pelan ini juga merujuk sistem pendidikan berprestasi tinggi lain untuk
membina perincian bagi kemahiran khusus dan atribut yang boleh diterapkan
kepada murid bagi membolehkan mereka menerajui pembangunan ekonomi dan dunia
global masa hadapan.
6 Aspirasi Murid
1. Pengetahuan
1. Pengetahuan
Di peringkat paling asas, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya
kemahiran literasi dan numerasi. Selain itu, penting bagi setiap murid
menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga perlu
didedahkan kepada pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia, Asia, dan
dunia dari aspek sejarah, manusia, dan geografi. Murid juga digalakkan
mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang lain seperti seni, muzik,
dan sukan.
2. Kemahiran Berfikir
Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang
kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran
sepanjang hayat) untuk membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu
dan mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran
kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif.
Bidang ini kurang diberi perhatian, menyebabkan murid kurang berupaya untuk
mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kritis di luar konteks
akademik.
3. Kemahiran Memimpin
Dalam dunia yang saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan
bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah penting. Sistem pendidikan
negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan
peluang yang formal dan bukan formal, bekerja dalam pasukan dan mengamalkan
ciri kepimpinan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat
dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran
berkomunikasi dengan berkesan.
4. Kemahiran Dwibahasa
Setiap kanak-kanak menguasai sekurang-kurangnya bahasa Malaysia sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa
komuniksai antarabangsa. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan
persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa
Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan
menggalakkan semua murid untuk mempelajarai bahasa lain sebagai bahasa tambahan.
5. Etika dan Kerohanian
Sistem pendidikan akan memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap murid
bagi mendepani cabaran yang akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa, agar mereka
boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan,
berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta
berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk
membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan
komuniti dan negara.
6. Identiti Nasional
Identiti nasional yang kukuh terikat dengan prinsip Rukunegara yang
diperlukan untuk kejayaan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga
dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status
sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan
cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan
negara. Demi mewujudkan identiti nasional yang sebenar, semangat kukuh cintakan
tanah air diperlukan. Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya melalui
belajar memahami, tetapi juga menerima serta menghayati hakikat kepelbagaian.
Diharapkan maklumat ini dapat membantu guru dalam memahami PPPM dengan
lebih baik. Sekiranya guru-guru mempunyai maklumat tambahn boleh berhubung dengan
kami supaya kami dapat kongsikan bahan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.