Soalan
Rumusan
( 30 markah)
Baca petikan di bawah
dengan teliti. Kemudian buat satu
rumusan tentang teknik ulang kaji
yang efektif dalam masa yang singkat dan kesan-kesannya kepada pelajar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi I20 patah perkataan.
Masa yang singkat untuk mengulang
kaji sering membuatkan pelajar berasa tertekan terutama bagi mereka yang akan
menghadapi peperiksaan penting. Hal ini
akan memaksa pelajar untuk berjaga
malam demi mengulang kaji pelajaran di saat
akhir. Keadaan seumpama ini pastinya
menambahkan kegelisahan dalam persediaan menempuh peperiksaan pada keesokan
harinya. Jika keadaan ini tidak
terkawal, pelajar mungkin jatuh sakit.
Lebih memburukkan keadaan lagi apabila pelajar tersebut terpaksa
dimasukkan ke hospital. Namun begitu,
jika pelajar bijak memanfaatkan masa terhad yang ada dengan teknik ulang kaji
yang efektif, peperiksaan yang bakal menjelma tidak lagi begitu merungsingkan,
malah pelajar akan lebih bersemangat.
Antara teknik ulang kaji singkat yang
dapat dilakukan ialah membaca nota secara fokus dan pantas di samping mencatat
serta mengingati hanya isi-isi penting.
Menurut Dr. Hassan Haji Mohd Ali, penulis buku ‘Strategi Lulus
Peperiksaan dengan Cemerlang’, fokus ialah tonggak utama kala belajar pada saat
akhir, kerana tanpa kosentrasi yang sepenuhnya, mental pelajar akan mudah dipengaruhi
oleh rasa kurang yakin. Hal ini akan
mengganggu usaha untuk menjawab peperiksaan dengan baik pada hari menghadapi
peperiksaan.
Selain itu, membuat latihan
pengukuhan dapat membantu penguasaan sesuatu mata pelajaran itu terutama
daripada segi teknik menjawab soalan peperiksaan. Melakukan banyak latihan kala pelajar
dihimpit masa yang singkat untuk belajar dapat menguji kefahaman pelajar dan
memberi penilaian kasar terhadap
keupayaan pelajar menjawab kertas peperiksaan sesuatu subjek. Ukuran sebegini dapat menjadikan pelajar
untuk lebih fokus kepada persoalan yang sukar atau topik yang kurang
dikuasai. Melalui cara ini pelajar dapat
membaiki kelemahan diri dalam sesuatu topik.
Di samping itu, pelajar boleh
menganalisis kekerapan soalan tahun-tahun lepas untuk mendapatkan gambaran
tentang corak dan gaya soalan yang diajukan.
Malahan teknik belajar dengan mengingati nota ringkas yang dibuat dapat membatu pelajar untuk mengingati
informasi yang banyak dengan cara yang pantas dan mudah. Cara pembelajaran seperti ini dapat dilakukan
dengan menyediakan peta minda atau carta alir bagi membantu memori untuk
menyimpan maklumat dengan lebih lama melalui kesan visual yang terdapat pada nota ringkas
berkenaan. Mewarnakan perkataan penting
dengan warna yang terang menggunakan pen atau menggariskannya merupakan salah
satu elemen grafik yang dapat membantu pelajar untuk mengingat dengan lebih
baik. Teknik ini akan menjimatkan masa
dengan hasil yang berkualiti.
Antara keadah lain termasuklah
pembacaan yang pantas dan efektif. Cara
begini sesuai dilakukan jika sesuatu subjek yang diulang kaji itu ialah sesuatu
yang mudah difahami dan pembacaan dibuat hanya untuk mengukuhkan lagi ingatan
terhadap mata pelajaran tersebut.
Seterusnya, belajar dalam kumpulan juga dapat menjana percambahan idea tentang
sesuatu topik yang diulang kaji. Kaedah
perkongsian maklumat menjadi lebih berkesan berbanding belajar bersendirian
yang lebih membebankan minda terutama jika ada sesuatu yang tidak
difahami. Pelajar juga boleh mengadakan
perbincangan secara tidak formal bagi mendapatkan pandangan serta nasihat daripada guru-guru yang mengajar.
Tuntasnya, tidak kira sesingkat mana
pun tempoh ulang kaji yang ada, jika masa itu dimanfaatkan dengan
sebaik-baiknya, penyumbatan yang padat dan berkesan mampu dilakukan dengan
teknik yang betul tanpa membebankan otak.
Kita perlu merancang teknik pembelajaran supaya lebih bersistematik
sejak awal lagi untuk mengelakkan berlakunya tindakan membuat ulang kaji
pelajaran secara teruburu-buru.
Perancangan ini biasanya membantu pelajar mencapai akademik yang
cemerlang.
(Dipetik dan diubah suai
daripada –‘Manfaatkan Masa Singkat’ oleh Noraziah Mohd. Amin, Dewan Siswa, Ogos
20I5)
Analisis soalan:
Isi tersurat : teknik
ulang kaji yang efektif (tukar perkataan teknik kepada strategi/kaedah)
Isi Tersirat :
kesan-kesannya kepada pelajar
Jumlah perkataan : tidak melebihi I20 patah perkataan
Semak jawapan di sini....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.