Selasa, 26 Mei 2020

HEBAT RUMUSAN SPM 2020 - SET 8 - Kelebihan memiliki aura positif dan cara membentuk aura positif dalam kalangan remaja





HEBAT RUMUSAN SPM 2020
Latihan Rumusan dan Pemahaman Petikan Rumusan.
                

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan memiliki aura positif dan cara-cara membentuk aura positif dalam kalangan remaja. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Aura boleh diertikan sebagai suatu medan tenaga yang hidup tetapi tidak dapat dilihat oleh mata kasar dalam diri seseorang. Aura tenaga ini terdiri daripada ion positif dan ion negatif. Aura seseorang itu memancar dan berupaya mempengaruhi setiap orang di sekelilingnya. Remaja yang beraura positif sememangnya senang didekati kerana aura positif yang terpancar di wajahnya akan menjadi magnet menarik perhatian orang lain untuk mendekati dirinya.
Persekitaran keluarga yang positif berperanan penting dalam usaha untuk membina aura positif. Ibu bapa yang sentiasa mengungkapkan kata-kata positif pastinya dapat membentuk sikap anak-anak yang tidak berputus asa dan tidak menganggap kegagalan sebagai suatu musibah yang besar. Pada masa yang sama, ibu bapa yang mengekalkan aura positif akan sentiasa mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang sehingga mampu menjadikan anak- anak berfikiran matang khususnya dalam membantu remaja menghadapi fasa kritikal pencarian identiti dan tujuan hidup. Selain itu, pendekatan psikologi perlu digunakan dalam mendidik anak- anak agar anak-anak lebih berkeyakinan dan berusaha membaiki kelemahan dirinya.
Secara umumnya, remaja sering ditimpa sesuatu perkara yang membuatkannya berubah menjadi marah dan sedih. Keadaan ini menyebabkan gelombang negatif masuk ke dalam tubuh remaja tersebut. Dalam hal ini, remaja yang beraura positif berupaya mengawal keadaan emosi, mental, fizikal dan tahap kerohanian dalam dirinya. Hakikatnya, semua aura pada asalnya bersifat positif tetapi perasaan negatif dalam diri seseorang dapat menukarkan aura positif kepada aura negatif. Selain itu, keadaan fizikal yang lemah disebabkan sakit, depresi atau keletihan dapat mengganggu lingkaran aura positif yang menyelubungi diri. Malahan pengaruh oleh elemen dari luar atau dalaman seseorang itu sendiri turut menyumbang kepada perubahan tersebut.
Remaja sering mempelajari sesuatu perkara daripada sumber penyalur informasi seperti media massa. Rancangan yang berunsurkan keganasan dan seksual tidak sesuai untuk ditonton oleh golongan remaja yang tahap pemikirannya masih belum matang. Tidak mustahil juga aksi  dan perlakuan negatif yang dipersembahkan oleh media itu akan ditiru oleh remaja yang akan mengurangkan lagi aura positif anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu melaksanakan aktiviti yang boleh menyuburkan minda mereka dengan pelbagai ilmu yang bermanfaat. Hasilnya, anak- anak lebih bijak memilih bahan media yang betul. Sesungguhnya, anak-anak yang beraura positif memiliki keperibadian yang baik dan bercita-cita untuk berjaya dalam kehidupan.

Dipetik dan diubah suai daripada “ Persekitaran membentuk aura positif remaja”Oleh Noraziah Mohd Amin Dewan Bahasa, Julai 2017

Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)          Berikan maksud rangkai kata menyuburkan minda.
[2 markah]
(ii)         Pengarang menyatakan beberapa keadaan yang boleh menukarkan aura positif kepada aura negatif dalam diri seseorang.
Nyatakan keadaan-keadaan tersebut.
[3 markah]
(iii)       Segelintir remaja sering berdepan dengan masalah tekanan perasaan dalam kehidupan mereka.
Pada pendapat anda, apakah punca-punca remaja menghadapi masalah tersebut?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.