Jumaat, 28 Februari 2014

TUGASAN 3 - TINGKATAN 1 CERDIK & 1 BESTARI 2014

Kerja Rumah 3

Tugasan   :  Tingkatan 1 Cerdik dan 1 Bestari
Tarikh       :  27 Februari 2014
Tajuk        :   Menyalin petikan dan membina Peta Minda Buih.

Tugasan 1:  Salin petikan bertajuk - Cara-cara Mencerikan Kawasan Sekolah dalam buku latihan karangan anda
                                                                                                 

                                    Cara-cara Menceriakan Kawasan Sekolah

oleh:  Muhd Azhar Mohd Yasin

         Memang tidak dinafikan, sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya, persekitaran kawasan sekolah yang kondusif akan mempengaruhi keselesaan dan keberkesanan pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran. Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. bak kata peribahasa, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu mengatur strategi yang berkesan untuk menceriakan kawasan sekolah.
      Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah dengan mengadakan program bergotong-royong. aktiviti bergotong royong harus diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga sekolah. gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.

      Tindakan yang seterusnya adalah, mengadakan taman bunga di sekolah. “Program Sekolah Dalam Taman” patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku.
       Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan , “Sekolahku Syurgaku.” Dengan bantuan persatuan ibu bapa dan guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.

         Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu. melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan memastikan susunan meja dan kerusi sentiasa berada dalam keadaan yang kemas dan teratur. Guru bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari.  Nama kelas yang terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. kelas terbersih akan diberikan sijil penghargaan sebagai ganjaran.  Sebaliknya kelas terkotor pula perlu diberi hukuman sebagai pengajaran supaya pelajar-pelajar lebih prihatin akan kebersihan kelas mereka pada masa yang akan datang.  
Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan Program 3K. Program 3K bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dalam program ini, pihak sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, pihak Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut. Hal ini akan menjadi pemangikin dan meniup semangat pihak sekolah untuk memastikan program berjaya diadakan.
Sebagai kesimpulannya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah bagai aur dengan tebing.  Hal ini demikian kerana sekolah yang bersih dan ceria akan menyediakan suasana yang sangat kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan.  Dalam hal ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sokongan sekolah perlu melangkah sederap untuk sentiasa menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.  Sekolah ceria, pelajar gembira, guru bahagia.    

Arahan 2:  Bina peta buih berdasarkan petikan yang anda salin
Contoh Peta Buih

Peta Buih
Cara-cara Menceriakan Kawasan Sekolah Kita



Cikgu percaya pelajar-pelajar boleh menghasilkan peta buih yang lebih cantik dan kreatif daripada itu..
Isi penting boleh diambil daripada contoh yang cikgu berikan itu.
Selamat mencuba


contoh-contoh lain....








1 ulasan:

  1. Assalamualaikum, singgah dan follow di sini cikgu. Jemput ke blog saya juga ya. Terima kasih.

    BalasPadam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.