Rabu, 20 Februari 2019

latihan pemahaman syair Pohon Buluh

Baca syair di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


SYAIR POHON BULUH

Menara tinggi banyak bertingkat,
Di sana tiada bilik bersekat,
Tiada bertangga naik melekat,
Mata-mata menjaga segenap pangkat.

Yang ada sedia panji-panji bendera,
Hingga sampai ke kemuncak menara,
Banyak ada ia bersaudara,
Yang ada pula bersama gara.

Selalu dipandang dilihat adanya,
Tinggi rendah dijerat pangkatnya,
Besar kecil ikat binanya,
Terlalu kuat pula asasnya.

Ikatnya licin di luar dan di dalam,
Gelapnya di dalam seperti malam,
Air tak tiris seperti kolam,

Ikat tingkatnya tak nampak alam.


Soalan pemahaman – Syair Pohon Buluh
Set 1
(a) Bagaimanakah keadaan menara yang terdapat dalam rangkap pertama syair di atas?                                                                                       [3 markah}
Keadaan menara yang terdapat dalam rangkap pertama syair ialah, menara itu tinggi dan banyak beringkat.  Selain itu, menara itu tiada bilik yang bersekat dan tiada bertangga untuk naik ke atas.  Akhir sekali, terdapat mata-mata yang menjaga di setiap pangkat di menara itu.

(b) Banyak nilai yang terdapat dalam syair Pohon Buluh.
Berikan dua nilai yang terdapat dalam syair tersebut.  {3 markah}

Dua nilai yang terdapat dalam syair pohon buluh ialah yang pertama nilai perpaduan contohnya ikatan pohon buluh menggambarkan kekuatan masyarakat bersatu padu.
Nilai yang kedua ialah nilai keadilan, contohnya pemerintahan sesebuah negara yang adil tanpa mengira pangkat dan keturunan.

(c) Semangat perpaduan yang utuh dapat mengekalkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat untuk mengekalkan perpaduan. (KBAT)    (4 markah)

Pada pendapat saya, langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat untuk mengekalkan perpaduan ialah antaranya setiap anggota masyarakat tanpa mengira kaum dan agama mesti mengamalkan sikap bertolak ansur antara satu sama lain supaya tidak timbul peselisahan faham dan perpaduan akan dapaty dicapai.
     Selain itu, setiap anggota masyarakat perlulah mempunyai semangat cinta akan tanah air dan bersatu padu menjaga keharmonian dan keamanan negara.  Dengan itu semangat perpaduan antara kaum dapat dicapai.
     Akhir sekali, setiap anggota masyarakat juga perlu sentiasa hormat-menghormati antara masyarakat yang berlainan agama, bangsa serta budaya hidup.  Dengan ini perpaduan negara akan dapat diwujudkan.

Set 2.
(a) Berdasdarkan syair Pohon Buluh, nyatakan dua bukti yang menunjukkan asas kekuatan pohon buluh.                                              (3 markah)
Dua bukti yang menunjukkan asas kekuatan pohon buluh ialah, pohon yang tinggi rendah dijerat pangkatnya dan batang yang besar dan kecil diikat binanya.

(b) Nyatakan dua pengajaran yang dapat anda peroleh dari syair Pohon Buluh.                                                                                                    (3 markah)
Dua pengajaran yang terdapat dalam syair setiap anggota masyarakat hendaklah bersatu padu supaya keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan keamanan negara dapat dicapai.
         Selain itu, seseorang pemimpin haruslah sentiasa berlaku adil dan saksama tanpa mengira kaum , keturunan dan pangkat supaya keamanan dan kedamaian dapat dicapai.

(c) Apakah andaian anda tentang keadaan sesebuah negara jika rakyatnya tidak bersatu padu.                                                      (4 markah)

Andaian saya tentang keadaan sesebuah negara jika rakyatnya tidak bersatu padu ialah negara akan berada dalam keadaan kucar- kacir kerana berlaku perselisihan faham dan pergolakan menyebabkan sistem peperintahan sukar dikawal.
Selain itu, kemerdekaan dan keamanan negara juga mudah digugat oleh anasir luar kerana rakyat yang lemah dan tidak bersatu padu menyebabkan pemerintahan negara menjadi lemah.
Kemajuan negara juga akan menjadi lambat kerana rakyat tidak bersatu padu untuk melaksanakan program dan rancangan pembangunan yang telah dibuat oleh kerajaan.



3 ulasan:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.