Sabtu, 10 Ogos 2019

HEBAT RUMUSAN 2019 - RUMUSAN DAN PEMAHAMAN SET 4 - KESAN NEGATIF TEKANAN TERHADAP KESIHATAN

Soalan 1 :  Rumusan
(30 markah)


Baca petikan dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan negatif tekanan terhadap kesihatan dan langkah-langkah mengatasi tekanan.  Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

             Dewasa ini, tekanan jiwa merupakan penyakit yang sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain yang lebih serius.  Profesor Dr. Bruse McEven, ahli sains dari Amerika Syarikat, mengkaji kaitan antara hormon dengan tekanan jiwa dalam tempoh lebih empat dekad.  Beliau mengatakan bahawa tekanan menyebabkan kerosakan struktur saraf otak yang mengawal daya ingatan pembelajaran dan emosi.  Berdasarkan kajian yang dijalankan juga, didapati individu yang gagal mengurus tekanan mengalami perubahan fizikal dan fisiologi badan disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon. 

Selain itu, tekanan mental, fizikal atau emosi yang melampau menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit kardiovaskular, kerosakan neuron dan sistem imun serta kecelaruan mental.  Mekanisme tindak balas tingkah laku dan fisiologi bermula apabila otak menerima bebanan tekanan secara berterusan.  Pendedahan melampau terhadap perantara sistem neuroendokrin mengaktifkan sistem imunisasi badan.  Akhirnya, tindak balas patologi lain seperti keradangan pada tisu badan berlaku.  Penyakit keautoimunan seperti artritis reumatoid, penuaan dan kanser ialah contoh penyakit yang berkaitan dengan tindak balas imun.

Tekanan di tempat kerja biasanya disebabkan oleh pelbagai punca.  Berdasarkan kajian yang dilakukan di hospital dan pusat kesihatan di Itali, pekerja yang melahirkan rasa tidak puas hati akibat tekanan akan mengalami peratusan kemurungan yang tinggi di samping penyakit kronik yang berkaitan dengan tekanan seperti hipertensi.  Kemurungan akan menyebabkan pekerja kurang bermotivasi dan bersikap acuh tak acuh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.  Kemurungan akibat daripada tekanan pisikologi di tempat kerja juga dianggap sebagai penyebab utama kegemukan abdominal.  Pekerja yang berada dalam keadaan tertekan biasanya mengambil makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak untuk menghilangkan tekanan yang berterusan seterusnya menyebabkan kegemukan.

          Selain itu, tekanan jiwa boleh menyumbang kepada risiko kanser payudara dalam kalangan wanita dan keupayaan kognitif yang rendah dalam kalangan yang lebih muda.  Malahan tekanan jiwa boleh menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan tidur yang berulang dalam tempoh 24 jam atau dikenali sebagai ritma sirkadian.  Gangguan sirkadian yang kronik menyebabkan fisiologi otak dan tingkah laku menjadi tidak teratur, hormon metabolik berubah dan berat badan mula bertambah.  Tekanan emosi juga boleh mengubah proses kawal atur tenaga antara sistem imun, sistem saraf dan tisu adipos yang meningkat menggalakkan lagi penyusupan makrofaj (manosit yang ada pada dinding pembuluh darah dan tisu perantara, terutamanya di kawasan yang mengalami jangkitan) dan menyebabkan keadaan radanng semakin serius.  Individu yang menghadapi tekanan mengalami penyahrencatan yang lebih tinggi dan makan lebih banyak terutamanya snek serta mempunyai kualiti diet yang rendah. Hal ini berdasarkan kajian tentang kaitan antara tekanan dengan tabiat pemakanan yang tidak sihat bagi wanita yang berpendapatan rendah.

          Sesungguhnya tekanan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan manusia.  Oleh itu, usaha-usaha untuk mengatasi masalah tekanan perlu dipandang serius oleh semua pihak agar kesihatan badan terjamin.

(Dipetik dan diubah suai daripada 'Tekanan Punca Penyakit' oleh Nurul Shazini Ramli, Dewan Kosmik, Mac 2018)

         

            
Soalan 2 (a) : Pemahaman Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, Jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)          Berikan maksud rangkai kata dipandang serius.      (2 markah)
(ii)         Dalam petikan, pengarang menjelaskan kesan-kesan kemurungan akibat tekanan di tempat kerja.
Nyatakan kesan tersebut.                                        (3 markah)

     (Iii) Tekanan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira                          peringkat umur.  Pada pendapat anda, apakah punca-punca 
           berlakunya tekanan?                                                 (4 markah)



SKEMA JAWAPAN RUMUSAN









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih atas komen ikhlas anda.