HALAMAN 2

Jumaat, 2 Jun 2023

SOALAN 8 - NOVEL SPM 2021

8 Jawapan bagi soalan berikut hendaklah berdasarkan teks novel Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

 

(i) Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan     menggunakan ayat anda sendiri.

 

          "Nanti jika orang tahu apa pula kata mereka?"

 

"Peduli kata orang. Orang hanya pandai bercakap tetapi tak mahu menolong. Embong, walaupun saya orang Cina tetapi saya anggap Melayu ialah bangsa yang paling baik. Tengoklah, saya sekeluarga di sini pun boleh hidup senang. Sikap orang Melayu dulu suka tolong-menolong tetapi sekarang kurang sangat."

 

    "Mereka sibuk cari harta."

 

      "Semua orang hidup cari harta. Mahu hidup senang. Tapi janganlah fikir perut sendiri sahaja. Dulu ada kenduri-kendara mereka kerja bersama-sama. Sekarang ramai yang tolak. Esok ada majlis Maulidur Rasul, Imam Deraman mengeluh kepada saya. Dia kata, nak suruh orang memasak bukan main susah. Semua kata sibuk. Kalau pun sanggup, perlu dibayar upah. Susah macam ini," kata Tauke Lim.

 

    "Sikap orang bandar sudah masuk kampung.”

 

Dipetik daripada

novel Songket Berbenang Emas

karya Khairuddin Ayip,

Kementerian Pendidikan Malaysia

 

Berdasarkan petikan di atas, mengapakah Tauke Lim menyatakan bahawa "Sikap orang bandar sudah masuk kampung."

 

[4 markah]

 

(ii) Jawab soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

 

(a) Leftenan Adan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib

(b) Di Sebalik Dinara karya Dayang Nor

(c) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin

(d). Pantai Kasih karya Azmah Nordin

(e) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip

(A) Tirani karya Beb Sabariah

(g) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop

(h) Silir Daksina karya Nizar Parman

 

    Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan peristiwa-peristiwa yang   menarik perhatian anda.

 

[6 markah]



(i) (i) Sebab-sebab

    P1 dulu suka tolong-menolong tetapi sekarang kurang sangat        1m             

    P2 fikir perut sendiri sahaja                                                         1m

    P3 Dulu ada kenduri-kendara mereka kerja bersama-sama. Sekarang ramai yang tolak  1m

    P4 Semua kata sibuk                                                                   1m

    P5 perlu dibayar upah                                                                  1m

[Maksimum: 4 markah]





(ii)    Novel yang telah saya pelajari dalam tingkatan 4 ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor.  Terdapat beberapa peristiwa yang menarik perhatian pembaca sepanjang perkembangan cerita novel ini.

    Antara peristiwa yang menarik perhatian saya ialah peristiwa Azraai memasang retinal scanner pada pintu rumah adik angkatnya, Farisha dan menyambung interkom apartmen Farisha ke terlefon di rumahnya untuk memastikan keselamatan Farisha terjamin .  Peristiwa ini menarik perhatian saya kerana menunjukkan sikap bertanggungjawab dan mengambil berat seorang abang untuk melindungi diri adiknya dari mara bahaya walaupun hanya sebagai adik angkat.


     Selain itu peristiwa Farisha berbincang dengan abangnya dahulu iaitu Azraai sebelum mengambil keputusan untuk menerima tawaran daripada Aqram mengenai projek di Soft Lab yang bernilai sebanyak RM 1.5 juta. Peristiwa ini menarik perhatian saya kerana tindakan merujuk dan mendapatkan nasihat sebelum membuat sebarang keputusan ialah suatu tindakan bijak untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.

    Akhir sekali peristiwa yang menarik perhatian saya ialah peristiwa  Azraai yang berani mengambil risiko untuk memberitahu Farisha bahawa dia merupakan anak angkat dalam keluarganya yang diserahkan ketika dia berumur 2 tahun 26 tahun yang lepas walaupun dia tahu adik angkatnya itu akan berasa sedih apabila mengetahui kebenaran. Peristiwa ini menarik perhatian saya kerana memaparkan keberanian dan kejujuran seseorang yang diamanahkan dalam menyatakan sesuatu perkara biarpun sukar dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah.

    Demikianlah antara peristiwa menarik perhatian saya dalam novel yang telah saya kaji.




Tiada ulasan: