HALAMAN 2

Memaparkan catatan dengan label KARANGAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KARANGAN. Papar semua catatan

Khamis, 19 Ogos 2021

CONTOH LATIHAN KARANGAN RESUME MEMOHON PEKERJAAN






 Latihan menulis karangan resume.

 Dimensi Kerjaya

 Soalan :

Iklan di bawah berkaitan dengan tawaran kerja.

Sediakan  sebuah  resume  yang  lengkap  mengandungi  latar  belakang,  jawatan  yang  ingin  dipohon,  kemahiran,  pencapaian, pengalaman dan rujukan bagi memohon satu daripada kerjaya yang diiklankan.

Panjangnya resume anda hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.


IKLAN TAWARAN KERJA


IKLAN 1


IKLAN 2




Contoh karangan resume lengkap.

 

 

NUR HUSNA BINTI ZAINUDDIN

No. 2, Jalan Permai 3,

Taman Permai,  

83000, Batu Pahat,   

Johor Darul Takzim.  

 

1.    PEKERJAAN YANG DIPOHON

GURU TADIKA PERPADUAN

 

2.    OBJEKTIF DAN MATLAMAT KERJAYA  

 

Membina kerjaya dalam bidang Pendidikan dan penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan masyarakat. Berhasrat membantu pembangunan modal insan untuk bangsa.

 

3.    MAKLUMAT PERIBADI

 

Nama penuh    : Nur Husna binti Zainuddin

Umur                : 22 tahun

Tarikh lahir       : 30 Jun 1997

Tempat lahir    : Batu Pahat. Johor.  

Bangsa            : Melayu

Agama              : Islam

No. K/P            : 970630-01-3474

Warganegara  : Malaysia 

No Telefon      : 0187744268

Status               : Bujang

Jantina             : Perempuan

 

4.    MAKLUMAT PENDIDIKAN

 

Institusi                        : Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor/ Institut Pendidikan Guru

Bidang Pengajian        : Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak

Kelulusan                    : Kelas Kedua Kepujian

Tamat                          : Julai 2017

 

Institusi                        : Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Batu Pahat

Bidang Pengajian        : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Kelulusan                    : 8A 2B

Tamat                          : Julai 2014

 

 

5.    PENGLIBATAN KO-KURIKULUM

 

1. Naib Pengerusi, Kelab Kembara, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2015

2. AJK Persatuan Pelajar Malaysia,Universiti Kebangsaan Malaysia, 2015

3. Setiausaha ,Unit Uniform Kadet Remaja Sekolah, 2014

4. Mewakili Daerah Batu Pahat dalam sukan bola jaring, 2014

5. Mewakili pasukan sekolah untuk pertandingan Inovasi dan Kreatif, 2014

6. Mewakilli sekolah, catur, 2013

 

6.    KEMAHIRAN

1. Mahir bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

2. Mahir ilmu Psikologi kanak-kanak

2. Kemahiran menggunakan aplikasi komputer termasuk MS Office (MS Word,Excel dan power point)

3. Tahap penulisan (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) yang baik


7.  PENGALAMAN

     Bekerja sebagai guru sandaran di SK Convent Batu Pahat pada Februari - Ogos tahun 2018


7.    KEKUATAN 

Kreatif, bekerjasama, kuat bekerja, mahir berkomunikasi dan sebagainya.

 

8.    LOKASI

 Malaysia dan Sanggup untuk bertugas diluar negara jika diperlukan.

 

9.    RUJUKAN

Sekiranya   pihak  tuan   ingin   bertanya maklumat   lanjut tentang   saya,   tuan/puan  boleh menghubungi

           

      Fatimah binti Daud

 

      Tuan Pengetua

      SMK Convent, Batu Pahat

      No telefon:  07 4343448

 

10.   HARAPAN

saya sangat berharap agar diterima menjawat jawatan sebagai guru tadika ini.

Saya yakin  dapat mengurus dan mendidik anak-anak tadika dengan baik  dan menarik minat ibu bapa yang lain untuk menghantar anak-anak mereka ke tadika ini. 










Sabtu, 7 Mac 2020

KARANGAN RENCANA - CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN


Sekolah anda telah menganjurkan pertandingan menulis rencana bersempena dengan Bulan Bahasa Melayu. Anda berminat untuk menyertai pertandingan tersebut.  Tajuk yang telah anda pilih ialah Ciri-ciri Remaja Berwawasan.
Tulis rencana anda selengkapnya.                                        

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
Oleh:  Muhammad Azhar bin Mohd. Yassin

        Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh era milenium yang sarat dengan cabaran ini,  ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai  ciri-ciri remaja yang berwawasan.

        Memang tidak dapat dinafikan, ciri yang utama ialah berakhlak mulia. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insan yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
            
        Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang tikdak kurang pentingnya dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            
        Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan mempunyai matlamat dalam hidup dan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian tersebut. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat  dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan  memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            
       Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin negara. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
            
       Seterusnya, remaja berwawasan juga perlu berpegang teguh kepada suruhan agama.  Semua agama menganjurkan penganutnya untuk membuat perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri masyarakat sekeliling dan negara.  Justeru remaja yang berpegangan agama tidak akan melibatkan diri dalam sesuatu perkara yang memudaratkan masa depan sendiri.  Gejala-gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, perlumbaan motosikal haram dan gejala-gejala sosial  pasti dijauhi demi masa depan yang cemerlang. Landasan yang digariskan oleh agama akan menjadi panduan hidup remaja dan berusaha menjadi remaja yang mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.  Sudah terang lagi bersuluh, pegangan agama yang kukuh mampu melahirkan remaja berwawasan yang menjadi harapan negara pada masa depan.

        Tuntasnya, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.  Justeru semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan.  Remaja berwawasan yang menjadi aset negara akan memastikan Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pelosok dunia pada masa hadapan. 





Selasa, 23 April 2019

PERENGGAN PENDAHULUAN MENGGUNAKAN KAEDAH Pw2AT2ATg




MENGANALISIS SOALAN DAN MENULIS PERENGGAN PENDAHULUAN KARANGAN MENGGUNAKAN KAEDAH FORMULA  Pw2AT2ATg.


SOALAN 1.

Golongan remaja merupakan aset negara yang penting dalam membantu membangunkan dan memajukan negara.  Huraikan pendapat anda tentang peranan remaja dalam pembangunan dan  kemajuan negara.
Tulis karangan anda selengkapnya.

Analisis soalan:

Tema:    golongan remaja dalam pembangunan dan kemajuan negara

Tugasan:  huraikan pendapat tentang peranan remaja dalam pembangunan dan kemajuan negara

Format :  tiada (karangan pendapat)


Menulis perenggan pendahuluan menggunakan kaedah formula Pw2AT2ATg
Pw    -  penanda wacana
AT     -  ayat tema

ATg   -  ayat tugasan

Pw
Memang tidak dapat kita nafikan lagi
AT (1)
Golongan remaja merupakan aset berharga bagi negara kita dalam membantu membangunkan dan memajukan negara
AT(2)
Golongan remaja merupakan pemimpin pelapis negara pada masa hadapan yang bakal memacu negara ke arah menjadi negara maju yang disegani seantero dunia.
ATg(1)
Golongn remaja memainkan peranan penting. justeru remaja pada masa kini merupakan gambaran corak negara kita pada masa hadapan.
ATg(2)
Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh generasi muda dalam pembangunan dan kemajuan negara?

Conroh perenggan pendahuluan

                Memang tidak dapat dinafikan lagi, golongan remaja merupakan aset berharga bagi negara kita dalam membantu membangunkan dan memanjukan negara.  Golongan remaja merupakan pemimpin pelapis negara pada masa hadapan yang bakal memacu negara ke arah menjadi negara maju yang disegani seantero dunia.  Golongn remaja memainkan peranan penting. justeru remaja pada masa kini merupakan gambaran corak negara kita pada masa hadapan.  Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh generasi muda dalam pembangunan dan kemajuan negara?