HALAMAN 2

Ahad, 16 Ogos 2020

HEBAT RUMUSAN 12 - Langkah-langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah tempatan


Soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun 
Tingkatan 5 - 2020


Soalan 1  :  Rumusan

[30 markah]


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah tempatan dan faktor-faktor yang menyebabkan pengangguran. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Berdasarkan statistik, kira-kira 240,000 daripada 1.2 juta orang pelajar di semua institusi pengajian tinggi di Malaysia akan menamatkan pengajian mereka pada setiap tahun. Hal ini bermakna lebih 200,000 orang graduan perlu bersaing dalam suasana yang sengit untuk mendapatkan kerja. Ekoran daripada itu, pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menstrukturkan program mereka dalam elemen ilmu, nilai dan kemahiran supaya dapat memantapkan kemahiran insaniah sebagai persiapan kebolehpasaran untuk para graduan mereka. Kementerian Pendidikan juga seharusnya meningkatkan jumlah jam kredit bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di IPT awam dalam usaha memastikan graduan memperkasakan penguasaan bahasa tersebut. Diharapkan agar penguasaan kemahiran komunikasi dalam bahasa antarabangsa ini membolehkan mereka membina keupayaan yang tinggi sebelum melangkah ke pangkuan masyarakat. Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga melaksanakan program yang membolehkan siswazah mempunyai kecekapan yang diperlukan oleh majikan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan IPT. Menurut Menteri Pendidikan, program ini merupakan nilai tambah kepada graduan dalam pelbagai aspek.
Sehubungan dengan hal itu, kerajaan amat menggalakkan setiap IPT membangunkan pusat keusahawanan yang bukan sahaja berperanan untuk merancang, menyelaras dan memantau program, malahan menyediakan usahawan berpengetahuan. Hal ini demikian kerana apabila siswazah menamatkan pengajian, mereka mampu menjadi graduan yang berkualiti yang akan menyumbang kepada kekuatan modal insan yang diperlukan negara. Pihak Kementerian Sumber Manusia juga telah menubuhkan 11 buah Jobs Malaysia Centre (JMC) yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan penjodohan kerja secara atas talian, mengendalikan proses temu duga dan menyediakan perkhidmatan bimbingan kaunseling serta kerjaya di seluruh negara. JMC juga turut menjalinkan kerjasama dengan IPT bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran.
Sebenarnya, usaha untuk melahirkan siswazah yang berkualiti adalah penting untuk memenuhi tuntutan pekerjaan. Modal insan inilah yang akan dapat melestarikan pembangunan negara pada masa hadapan. Menyedari kepentingan inilah, kerajaan telah melancarkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) pada bulan Jun 2010 yang membabitkan 8,000 orang graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Selain itu, Kementerian Pendidikan juga telah menjalankan progam khas langkah jangka pendek kepada 12,000 daripada 20,000 orang graduan bagi meningkatkan kebolehpasaran siswazah tempatan bagi menangani masalah pengangguran di negara ini. Secara tuntasnya, siswazah sendiri perlulah berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan. Mereka mestilah membuat persiapan yang lebih mantap dengan menjana kualiti diri siswazah agar mereka dapat melestarikan pembangunan negara pada masa hadapan.
(Dipetik daripada ”Meningkatkan Kebolehpasaran Siswazah Tempatan”oleh Haji Samat Buang, Wadah Siswa 2012)

Soalan 2: Pemahaman
[35 markah]

Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i)           Berikan maksud rangkai kata membina keupayaan.[2 markah]

(ii)         Pengarang mengemukakan beberapa kepentingan melahirkan siswazah yang berkualiti  
Nyatakan kepentingan-kepentingan tersebut.  [3 markah]

(iii)        Sekiranya anda diberi pilihan untuk bekerja sendiri atau makan gaji, apakah pilihan anda.

      Berikan dua alasan anda                                    [4 markah]




        Semak jawapan di sini

Tiada ulasan: