HALAMAN 2

Jumaat, 25 Oktober 2013

JEJAK SPM 2013 - KEMAHIRAN BAHASA- CAKAP AJUK CAKAP PINDAH

CAKAP AJUK CAKAP PINDAH 



  • Kali terakhir disoal dalam SPM - tahun 2010

  • Cakap ajuk ialah penulisan ayat perbualan berdasarkan perkataan demi perkataan yang dituturkan oleh sekurang-kurangnya dua orang penutur.
  • Cakap pindah pula ialah laporan oleh pihak ketiga tentang perbualan berkenaan. 

  • Cakap pindah ditulis dalam bentuk ayat penyata.

  • Teliti jenis ayat untuk memudahkan proses menukar dialog kepada cakap pindah

  • Prinsip menulis cakap pindah ialah mengekalkan susunan isi. 

  • Semua maklumat dalam perbualan juga hendaklah dikekalkan.

  • Elemen tingkah laku dan emosi kedua-dua orang penutur hendak dimasukkan.

  • Cara pemeriksaan juga secara keseluruhan isi, bukan ayat demi ayat.

  • perkataan atau ayat yang tidak gramatis (bahasa Pasar) mesti digugurkan atau diganti dengan ayat yang gramatis.



Panduan menukar ayat penyata...

Frasa yang boleh digunakan
..... menyatakan bahawa
..... menjelaskan bahawa
..... memberitahu bahawa
..... menghuraikan bahawa

Panduan menukar ayat tanya

mengapa - alasan , sebab, punca
bila        - masa, tarikh, tempoh, waktu
bagaimana - cara, langkah, kaedah, 
apa/siapa - nama, benda, perkara
di mana - tempat, lokasi, rumah, kedudukan

frasa yang boleh digunalan;

-  bertanyakan..
-  bertanya tentang..
-  ingin tahu tentang..
-  menyoal tentang..

Panduan menunjukkan emosi dalam cakap pindah

frasa yang boleh digunakan;

-  dengan perasaan sedih/gembira/bangga/marah/terharu/dll

Perkataan yang perlu diubah:
aku/saya - dia
kami - mereka
ini - itu

Contoh 1.
cakap ajuk:

Adam:  Apa khabar, Johan?

Johan:  Saya baik-baik sahaja. Sudah lama kita tidak berjumpa, ya!

Adam:  Memang benar. Sejak Johan berpindah ke sekolah teknik.

Johan:  Saya minta maaf. Saya tinggal di asrama, susah sedikit hendak keluar.

Adam:  Tidak mengapa. Tumpukan perhatian kepada pelajaran awak..

Johan:  Terima kasih atas nasihat awak  Adam. Saya tidak akan lupa.


Contoh jawapan cakap pindah. 

Tulis dalam perenggan  Gunakan penanda wacana yang sesuai supaya laporan cakap pindah lancar kesinambungannya.  (pemeriksaan secara keseluruhan)


      Adam menyapa Johan dan bertanyakan khabarnya.(A1) Lalu, Johan menjawab bahwa dirinya dalam keadaan baik-baik sahaja dan menyatakan bahwa sudah lama mereka tidak berjumpa.(A2).  Johan bersetuju dengan kata-kata Adam dan menambah bahawa, hal itu berlaku sejak Adam berpindah ke sekolah teknik.(A3)Kemudian, Adam memohon maaf kerana sudah lama tidak berjumpa Johan kerana dia tinggal di asrama dan sukar untuk keluar.(A4).  Johan memahami situasi Adam itu dan memintanya supaya menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.(A5) Akhirnya, Adam menghargai nasihat Johan dan menyatakan bahawa dia tidak akan melupakannya.


*****************************************************************

Latihan 2
Tukar ayat cakap ajuk kepada cakap pindah tanpa mengubah maksudnya.
Cuba dulu kemudian semak jawapan.
Soalan aras tinggi.  Tahniah kerana mencuba.


  1. “Hai, Minah! Sudah lama kita tidak berjumpa. Apa khabar?” kata Siti.
  2. “Tidak, saya tidak pernah terlibat dalam kes kecurian. Semua ini fitnah orang lain yang cemburu saya,” kata pemuda itu kepada seorang pegawai polis.
  3. “Tolong, tolong! Adik saya terjatuh ke longkang. Adik saya tidak tahu berenang. Cepat, cepat tolongnya,” jerit Fatimah.
  4. “Baru-baru ini, kes ragut berlaku satu demi satu, saya sungguh kesal. Polis macam tidak bertindak sesuatu,” kata seorang tua di kedai kopi.
  5. “Saya tidak mahu kalian terus malas dan tidak membuat latihan. Jika kalian masih bersikap begini, saya akan menghubungi ibu bapa kalian,” kata guru kelas kepada sekumpulan pelajar.
  6. “Cis! Aku juga pendekar yang bukan alang-alang. Jangan sangka aku akan tunduk kepada keriskau. Kalau berani, biarlah kita berlawan lelaki sama lelaki,” kata Hang Jebat kepada Hang Tuah.
  7. “Oh! Tuhan, ampuni dosaku. Berilah aku kekuatan untuk menghadapi segala kesusahan,” kata gadis itu.
  8. “Asma, sekarang mak akan pergi ke hospital untuk menziarahi ayah kamu. Nanti kamu masak gulai sayur yang disediakan di dapur sebagai lauk malam ini dan bekalan kau di sekolah esok,” kata emak.
  9. “Saya jalan dahulu, jika ada sebarang masalah, hubungi saya dengan telefon,” kata jurujual itu kepada Tauke Lim
  10. “Assalamualaikum, ada orang di rumah? Saya hendak mencari Kassim.   Apakah dia ada di rumah?” kata pemuda itu.
Jawapan
Tukar ayat cakap ajuk kepada cakap pindah tanpa mengubah maksudnya.
1. Siti menyapa Minah lalu mengatakan bahawa mereka sudah lama tidak berjumpa dan bertanyakan khabarnya.
2.       Pemuda itu menafikan dakwaan seorang pegawai polis lalu mengatakan bahawa dia tidak pernah  terlibat dalam kes kecurian dan semua hal itu fitnah orang lain yang mencemburuinya.
3.  Fatimah menjerit dan meminta tolong kerana adiknya terjatuh ke dalam longkang. Fatimah juga mengatakan bahawa adiknya tidak tahu berenang sambil meminta orang ramai supaya menyelamatkan adiknya dengan segera.
4        Di kedai kopi, seorang tua menyatakan perasaan yang sungguh kesal kerana baru-baru ini, kes ragut berlaku satu demi satu , manakala pihak polis seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan.
5       Guru kelas menasihati sekumpulan pelajar bahawa beliau tidak mahu mereka terus malas dan tidak membuat latihan lalu memberi amaran bahawa jika mereka masih bersikap begitu, beliau akan menghubungi ibu bapa mereka.
6       Dengan perasaan marah, Hang Jebat memberitahu Hang Tuah bahawa dia juga pendekar yang bukan alang-alang dan Hang Tuah tidak patut  menyangka bahawa dia akan tunduk kepada keris Hang Tuah. Kemudian Hang Jebat juga mencabar Hang Tuah bahawa jika Hang Tuah berani, mereka boleh berlawan secara lelaki dengan lelaki.
7        Gadis itu berdoa  agar Tuhan    mengampuni dosanya dan memberinya kekuatan untuk menghadapi segala kesusahan.
8.       Emak memberitahu Asma bahawa ketika itu dia akan pergi ke hospital untuk menziarahi ayah Asma. Emak berpesan kepada Abu supaya memasak gulai sayur yang disediakan di dapur sebagai lauk malam itu dan bekalan Asma di sekolah keesokan hari.
9.      Jurujual itu meminta diri kepada Tauke Lim  lalu mengatakan bahawa jika ada sebarang masalah, Tauke Lim boleh menghubunginya melalui telefon.
10.   Pemuda itu memberi salam lalu bertanya sama ada terdapat sesiapa di rumah dan menyatakan bahawa dia hendak berjumpa dengan.  Pemuda itu lalu bertanya lagi sama ada Kassim ada di rumah atau tidak.



Sekian, selamat membuat persediaan peperiksaan...

Khamis, 24 Oktober 2013

JEJAK SPM 2013 - ANALISIS SOALAN KEMAHIRAN BAHASA

                    

        ANALISIS SOALAN PENGETAHUAN & KEMAHIRAN BAHASA SPM
                                                 (2004 – 2013)


Tahun
Bentuk Soalan 3 (a) – Bina Ayat
SPMU
SPMN
2004
Kata banyak makna:
(i)    kemas        (ii)    kental
(iii)   kosong       (iv)   kacau
Kata majmuk:
(i)     garis panduan  (ii)   baik pulih
(iii)   hapus kira        (iv)  urus niaga
(iii)   usaha sama      (vi)  hak cipta
2005
Kata dan kata berimbuhan:
(i)    hari          
(ii)   sehari
(iii)   harian               (iv)  berhari                  
(v)   berhari-hari     
(vi)  sehari-harian
Kata awalan pinjaman:
(i)    tatasusila          
(ii)    tatacara
(iii)  prasyarat         (iv)    prasejarah
(v)   dwibahasa       (vi)    dwitahunan
2006
Kata pinjaman:
(i)     kuota                   (ii)    konvoi
(iii)   kontras                 (iv)   kontena
(v)    komplot                   (vi)   komisen
Kata berpasangan:
(i)     sabut    –    serabut
(ii)    tunjuk   –    telunjuk
(iii)   guruh    –    gemuruh 
2007
Kata banyak makna:
(i)    diam
(ii)   tanggal
(iii)  tawar
Kata dan kata berimbuhan:
(i)    muka               
(ii)   terkemuka
(iii)  bersemuka         
(iv)  permukaan
(v)   mengemukakan               (vi)   bermuka-muka
2008
Kata dan kata ganda:
(i)   bila         -   bila-bila
(ii)  banyak    -   banyak-banyak
(iii) rata        -   rata-rata
Frasa:
(i)   suka duka                         
(ii) baik buruk
(iii) penat lelah                      
(iv) melayari laman web
(v)  pembangunan mesra alam
(vi) semangat setia kawan
2009
Frasa:
(i)    nilai murni            
(ii)  budi bicara
(iii) pelbagai etnik          
(iv) masalah sosial
(v)  semangat patriotik   
(vi) masyarakat penyayang
Kata ganda berentak:
(i)   hiruk-pikuk  
(ii) selok-belok
(iii) lambat-laun  
(iv) senang-lenang
(v)  lintang-pukang     
(vi) kenduri-kendara
2010
(i)   atlet                              
(ii) baucar
(iii) ilustrasi                        
(iv) katalog
(v)  kontrak                       
 (vi) pakej
(i)   kemas                         
(ii) mengemaskan
(iii) kekemasan                
(iv) harga
(v)  menghargai               (v)  penghargaan
2011
(i)   baku                             (ii)  beku
(iii) cacat                            (iv) catat
(iv) telor                             (v)  telur
(i)   cepu mas                   (ii)  halaju
(iii) jejantas                    (iv)  jenama
(v)  pawagam                 (vi) purata
2012
(i)  antidadah                     
(ii) proaktif
(iii) prabayar                      
(iv) pascamerdeka
(v)  sosioekonomi              
(vi) tatatertib
Kata ganda berentak:
(i)    kumat-kamit             
(ii)   remuk-redam
(iii)  selang-seli               (iv)  serba-serbi
(v)  simpang-siur           (vi)  tungkus-lumus
2013
(i)  adab                             
(ii) beradab
(iii) peradaban                    
(iv) khidmat
(v)  berkhidmat                 
(vi) perhidmatan     

                               



Tahun
Bentuk Soalan 3 (b)
SPMU
SPMN
2004
Kenal pasti jenis-jenis ayat: Ayat Penyata, Ayat Tanya, Ayat Perintah, Ayat Seru
Menukar cakap ajuk kepada cakap pindah
2005
Menukar ayat bersusunan songsang kepada ayat bersusunan biasa
Menukar ayat pasif kepada ayat aktif
2006
Cerakinkan ayat majmuk kepada ayat tunggal
Cerakinkan ayat majmuk kepada dua ayat tunggal.
2007
Bina satu ayat  bagi setiap ayat perintah: Ayat Suruhan, Ayat Silaan, dan Ayat Permintaan
Menukar ayat aktif kepada ayat pasif
2008
Menukar ayat bersusunan biasa kepada ayat bersusunan songsang
Pola ayat
2009
Gabungkan dua ayat tunggal menjadi 1 ayat majmuk dengan menggunakan kata hubung yang sesuai
Kenal pasti subjek dan predikat
2010
Menukar cakap ajuk kepada cakap pindah
Bina ayat tanya dengan menggunakan kata tanya yang betul
2011
Kenal pasti jenis-jenis ayat: Ayat Penyata, Ayat Tanya, Ayat Seruan atau Ayat Perintah
Gabungkan ayat-ayat tunggal menjadi tiga ayat majmuk dengan menggunakan kata hubung yang sesuai
2012
Cerakinkan ayat majmuk kepada enam ayat tunggal
Menukar ayat bersusunan songsang kepada ayat bersusunan biasa
2013
Tukarkan Ayat Aktif kepada Ayat Pasif

Ahad, 13 Oktober 2013

Ulang kaji Bahasa Melayu Bersama-sama Cikgu Chom Siri 1 - Esei Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran Novel Istana Menanti

Assalamualaikum, 

Cikgu mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua pelajar Islam SMK Dato' Syed Esa dan selamat bercuti kepada semua pelajar.

Jangan lupa pada hari Rabu 16 Okt 2013 pepriksaan akhir tahun akan bermula.  Justeru buat lah ulang kaji di rumah. 

Untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 1, pelajar-pelajar tingkatan 1Cerdik dan 1 Bestari khususnya dan semua pelajar SMKDSE amnya boleh mengulang kaji bersama-sama cikgu di blog ini ye.  

Semoga bermanfaat.




Ulang kaji Bahasa Melayu tingkatan 1

Soalan Kertas 2

Bahagian D - Novel Istana Menanti

Markah  Penuh    :  10
Isi                          :  sekurang-kurangnya 3

Markah :  Isi           =  6 markah
                 Bahasa  =  4 markah
                 Jumlah   =  10 markah

PBS menguasai     =   7/10 markah
Skop Soalan           =  Semua aspek komsas novel Istana Menanti

Bentuk Jawapan :  esei
                                  buat beberapa perenggan isi
                                  isi + huraian/contoh peristiwa dalam novel


Aspek tema 

Contoh Soalan:  
Berdasarkan novel tingkatan 1 yang telah anda pelajari, huraikan tema novel tersebut.


Contoh Jawapan esei terbaik.

Novel yang telah saya pelajari dalam tingkatan 1 ialah novel Istana Menanti karya Abd Latip bin Talib.  

      Novel ini bertemakan semangat patriotik/cinta akan tanah air  sekumpulan remaja yang sangat peka  dan ingin mengetauhi  sejarah tanah air.  Contoh:  Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy mewakili golongan remaja yang memiliki semangat patriotik kerana sangat berminat akan subjek sejarah dan mempunyai rasa ingin tahu yang mendalam tentang sejarah Istana Menanti. Semangat mereka semakin berkobar-kobar apabila mendengar cerita tentang sejarah Istana Menanti daripada Tuk Ngah.

     Selain itu, mereka bertiga juga berani meredah hutan berlukar dan mendaki ke puncak Gunung Datuk untuk melihat sendiri kewujudan dan keunikan Istana Menanti yang dikatakan penuh sejarah dan misteri itu. 

     Akhirnya, Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy juga gigih berusaha untuk mencari Istana Menanti dengan bantuan Tuk Ngah.  Mereka akhirnya berjaya sampai ke Istana Menanti dan berasa kagum dengan keindahan ukiran Istana bersejarah tersebut.

Aspek Nilai Murni

Contoh Soalan: Berdasarkan novel tingkatan 1, bincangkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel tersebut. 


Contoh jawapan esei terbaik.


          Novel tingkatan 1 yang telah saya pelajari dalam tingkatan 1 ialah novel Istana Menanti karya Abd Latip bin Talib.  

         Terdapat beberapa nilai murni dalam novel ini, antaranya ialah nilai keberanian. Contohnya ialah, Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy berani meredah hutan belukar dan mendaki Gunung Datuk semata-mata untuk melihat tinggalan sejarah di Istana Menanti yang telah lama ditinggalkan dan dikatakan berhantu. 

        Selain itu, terdapat juga nilai taat kepada ibu bapa, contohnya dapat dilihat melalui peristiwa Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy sangat taat kepada ibu bapa kerana meminta keizinan daripada ibu bapa masing-masing terlebih dahulu sebelum mendaki Gunung Datuk untuk mencari Istana Menanti.

     Tambahan pula, terdapat nilai kasih sayang dalam novel ini. Contohnya, Encik Karim, Encik Leong dan Encik Shanti sangat sayang akan anak-anak mereka dan berasa risau apabila anak mereka Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy tidak pulang ke rumah. Mereka telah membuat laporan polis supaya anak mereka dapat diselamatkan. 

    Akhirnya terdapat nilai bekerjasama. Contohnya, Penduduk kampung telah bekerjasama dan membantu pihak polis dalam gerakan untuk menangkap penjahat yang menculik Fadhil, Ramasamy dan Ah Seng serta mencuri harta karun yang terdapat dalam terowong di Istana Menanti.


Aspek pengajaran.

Contoh Soalan: Berdasarkan novel tingkatan 1, bincangkan tiga pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut. 


Contoh jawapan esei terbaik.


        Novel tingkatan 1 yang telah saya pelajari ialah novel Istana Menanti. karya Abdul Latib bin Talib.  

     Terdapat beberapa pengajaran dalam novel ini yang boleh menjadi contoh teladan kepada kita.  Antaranya ialah kita hendaklah berani menempuh cabaran hidup. Contohnya ialah, Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy berani meredah hutan belukar dan mendaki Gunung Datuk semata-mata untuk melihat tinggalan sejarah di Istana Menanti yang telah lama ditinggalkan dan dikatakan berhantu. 

      Selain itu, pengajaran seterusnya ialah, kita hendaklah taat kepada orang tua atau ibu bapa. contohnya dapat dilihat melalui peristiwa Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy taat kepada ibu bapa masing-masing dengan meminta keizinan daripada ibu bapa masing-masing terlebih dahulu sebelum mendaki Gunung Datuk untuk mencari Istana Menanti. 

      Pengajaran yang terakhir ialah kita hendaklah sentiasa bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu tugas. Contohnya Penduduk kampung telah bekerjasama dan membantu pihak polis dalam gerakan untuk menangkap penjahat yang menculik Fadhil, Ramasamy dan Ah Seng serta mencuri harta karun yang terdapat dalam terowong di Istana Menanti.


Aspek persoalan

Contoh soalan: 

Antara persoalan yang sering dikemukkan oleh pengarang dalam novel ialah ;
persoalan keberanian menempuh cabaran, 
persoalan kasih sayang dalam keluarga dan
persoalan semangat bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu

Berdasarkan novel tingkatan 1 yang telah anda pelajari, kemukakan contoh peristiwa bagi setiap persoalan di atas.

Contoh jawapan esei terbaik.

      Novel tingkatan 1 yang telah saya pelajari ialah novel Istana Menanti. karya Abdul Latip bin Talib.

   Terdapat beberapa persoalan penting dalam novel ini, antaranya ialah persoalan keberanian menempuh cabaran.   Contohnya ialah, Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy berani meredah hutan belukar dan mendaki Gunung Datuk semata-mata untuk melihat tinggalan sejarah di Istana Menanti yang telah lama ditinggalkan dan dikatakan berhantu.



   Selain itu, terdapat juga persoalan kasih sayang dalam keluarga dalam novel ini. Contohnya, Encik Karim, Encik Leong dan Encik Shanti sangat sayang akan anak-anak mereka dan berasa risau apabila anak mereka Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy tidak pulang ke rumah. Mereka telah membuat laporan polis supaya anak mereka dapat diselamatkan.

  Akhirnya terdapat persoalan bekerjasama dalam melaksanakan sesuau perkara. Contohnya, Penduduk kampung telah bekerjasama dan membantu pihak polis dalam gerakan untuk menangkap penjahat yang menculik Fadhil, Ramasamy dan Ah Seng serta mencuri harta karun yang terdapat dalam terowong di Istana Menanti









Ahad, 22 September 2013

ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU - NOTA SAJAK KECEK V

Kecek – (V)

1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.

2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.

3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.

AWANG ABDULLAH
Antologi Dirgahayu Bahasaku
Dewan Bahasa dan Pustaka



SAJAK KECEK – V  karya Awang Abdullah

SAJAK
MAKSUD

1
seseorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah



seseorang yang berjawatan pengarah
telah membuka akaun
di sebuah bank yang terkenal
secara diam-diam
dia telah mengambil harta orang lain yang bersusah payah menyimpannya
untuk dimasukkan ke dalam akaunnya
dan perbuatan ini telah lama dilakukannya

2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi



di sebuah kampung
seorang petani
yang hidup dalam keadaan miskin
dan naif
tetap menyara kehidupan 12 orang anak walaupun dikelilingi keperitan hidup
tetapi dia tidak pernah mengambil
hak orang lain
untuk  membolehkannya keluar dari belenggu kemiskinan dan kesengsaraan hidup yang telah begitu lama dihadapinya

3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut terganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya




di pantai
seorang nelayan
hidup dalam penuh kesengsaraan
untuk mencari rezeki di lautan
dan membesarkan anak-anaknya yang ramai atas rezeki yang sedikit dan serba kekurangan
tetapi dia tidak pernah mengambil
kekayaan dan titik peluh orang lain
walaupun kehidupannya semakin lama semakin susah dan terhimpit.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan



Tuhan tidak pernah mungkir janji
mencatatkan setiap kesalahan
walaupun kesalahan yang paling kecil
mereka pasti akan menerima pembalasan setimpal
di muka pengadilan pada hari pembalasan kelak


ANALISIS SAJAK KECEK - V

Aspek Komsas
Pernyataan
Huraian


Tema


Sikap amanah
Dalam mencari rezeki kita  perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga. Golongan yang berjawatan didapati seringkali pecah amanah untuk hidup mewah berbanding golongan yang berpendapatan rendah. 







Persoalan
1. Kepentingan bersikap amanah
Amanah penting dalam mencari rezeki kerana wang yang diperoleh akan digunakan untuk menyara keluarga
2. Sikap pecah amanah oleh golongan berjawatan tinggi
Golongan berjawatan tinggi sering kali melakukan pecah amanah kerana ingin hidup mewah
3. Tanggungjawab menyara keluarga walaupun menghadapi keperita hidup
Golongan miskin seperti nelayan dan petani tidak memikirkan kekayaan asalkan dapat menyara kehidupan keluarga dengan titik peluh sendiri dengan wang yang halal
4. Setiap perbuatan manusia akan dihitung dan diberi pembalasan

Perbuatan yang baik pasti mendapat balasan yang baik sementara perbuatan yang jahat pasti akan menerima pembalasan yang setimpal

5. Golongan miskin terus dibelengu kemiskinan dan hidup susah


5.Persoalan setiap perbuatan pasti mendapat balasan seperti yang dijanjikan oleh         

    Allah
Golongan yang miskin terpaksa mengharungi kehidupan yang susah dan perit dalam menyara diri dan keluarga seolah-olah tiada pembelaan daripada pihak tertentu


Tuhan tidak pernah mungkir janji
mencatatkan setiap kesalahan
walaupun kesalahan yang paling kecil mereka pasti akan menerima pembalasan setimpal
di muka pengadilan pada hari pembalasan kelak



Nilai
1. Amanah
Apabila menjalankan tugas, lakukanlah dengan amanah dan penuh tanggungjawab
2. Bertanggungjawab
Bertanggungjawab mencari rezeki yang halal walaupun bergantung pada nasib
3. Kegigihan
Gigih berusaha walaupun mengalami kesusahan
4. Simpati
Bersimpati terhadap nasib golongan yang kurang berada
5. Rasional
Berfikir semasak-masak tentang akibat yang akan diterima sebelum membuat keputusan




Pengajaran
1. Kita hendaklah amanah semasa menjalankan tugas
Walaupun berjawatan tinggi, sikap amanah penting semasa menjalankan tugas kerana ia akan memberi kesan kepada diri
2. Kita hendaklah menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab menceri rezeki  yang halal
Walaupun hidup dalam kesusahan seorang bapa perlu mencari rezeki yang halal supaya menimbulkan keberkatan dalam hidup
3. Jangan kita mencari kekayaan dengan cara merampas hak orang lain
Walaupun ingin hidup mewah, seseorang tidak boleh mengambil hak orang lain kerana perbuatan tersebut akan menyusahkan orang ramai



Gaya bahasa
1. Diksi mudah difahami
Contoh : seorang nelayan
2. Metafora
Contoh : akaun kemiskinan, ruang kedaifan, pagar sengsara, akaun sengsara, pusaran nasib, papan hidup, rumah keadilan
3. Perlambangan
Contoh : akaun, musim berlumut
4. Aliterasi
Contoh : dan mengunci sedozen anak-anaknya
5. Asonansi
Contoh : di dalam pagar sengsara
6. Perulangan perkataan ’di’
Contoh : di sebuah, di pantai