HALAMAN 2

Ahad, 30 Mac 2014

ANALISIS NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUK MU - PLOT DAN TEKNIK PLOT

 Plot
Secara keseluruhannya plot novel Cempaka Putih digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat perkembangan plot iaitu:

Plot
Peristiwa
Permulaan
Cerita  bermula dengan sebuah keluarga iaitu Encik Hasrul yang bertugas sebagai pegawai kerajaan melalui Jabatan Pertanian telah ditawarkan berkhidmat di sebuah perkampungan orang Asli. Ahli keluarga terpaksa mengikut Encik Hasrul berpindah ke tempat tersebut sebagai menghormati beliau sebagai ketua keluarga.

Perkembangan
Keluarga Encik Hasrul mengambil Satiah yang merupakan kawan karib Hartini sebagai anak angkat. Hubungan antara keluarga Encik Hasrul dan Pak Morit semakin erat. Hartini menjalani kehidupan seperti biasa namun Satiah terpaksa bertarung dengan penyakit yang dihidapinya.

Klimaks
Penyakit Satiah semakin serius walaupun Pak Morit telah menghantar anaknya berubat dengan seorang dukun di Kampung Langsat. Satiah pengsan pada hari keputusan PMR diumumkan. Darah keluar membuak-buak dari mulutnya sehingga Pak Morit akhirnya bersetuju menghantar Satiah ke hospital untuk mendapat rawatan.

Peleraian
Setelah bertahun-tahun menanggung penderitaan, akhirnya Satiah menemui ajal. Dalam catatan hariannya, Satiah telah meminta Hartini supaya menanam pohon cempaka putih di pusaranya. Permintaan tersebut telah ditunaikan oleh Hartini sebelum dia kembali ke  asrama.





Teknik Plot

 i.        Pemerian
Contoh: Murid-murid dalam Tingkatan Tiga Teratai hanya 25 orang sahaja termasuk aku. Ada 15 orang murid perempuan dan 10 orang murid lelaki. Ketua kelas kami ialah Ali Sintok. Dia murid yang cukup serius dan berdisiplin. 

 ii.        Dialog 
Contoh: “Yalah. Dua tiga hari lagi kita berangkat. Nenek tahu Tini rindu akan mama dan kawan-kawan di sana. Sabarlah, nanti nenek uruskan tiket dulu,” kata nenek 

 iii.        Imbas kembali
Contoh: Ketika membaca catatan demi catatan yang ditulis itu aku terasa seperti berada di sisi Satiah. Aku seperti sedang bercakap dengannya. Bayangan peristiwa semasa bersama-sama seperti hadir semula dalam hidupku. Semua peristiwa yang berlaku antara kami ditulis dengan menarik. 

 iv.        Monolog Dalaman
Contoh: “Apa agaknya yang sedang Satiah lakukan pada saat ini?” 

v.        Saspens
Contoh: Hartini, Nora dan Najmi  dipanggil oleh pengetua berkaitan kes pengedaran pil ecstasy.

 vi.        Kejutan
Contoh: Hartini terkejut dengan kematian rakan karibnya Satiah, menyebabkan badannya lemah longlai.

Novel Cempaka Putih Untukmu -SINOPSIS

  

Sinopsis Keseluruhan 

            Novel ini mengisahkan keakraban dan keikhlasan dalam persahabatan antara dua kaum iaitu Hartini (orang Melayu) dan Satiah (orang Asli). Hartini telah mengikut ayahnya Encik Hasrul berpindah ke sebuah perkampungan orang asli iaitu Kampung Kuala Batu di Jerantut, Pahang. Hartini bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Batu dan telah berkenalan dengan beberapa orang rakan baharunya seperti Satiah,  Mijod, Ineng, Sinda, Ambok dan Meramu. Satiah merupakan rakan  karibnya.  Satiah seorang murid yang pendiam kerana latar belakang dan masalah peribadinya. Justeru keluarga Hartini mengambil keputusan untuk mengambil Satiah sebagai anak angkat mereka. Lalu, Satiah tinggal bersama keluarga Encik Hasrul dan Puan Sarah. Hubungan dan persahabatan antara dua keluarga semakin erat. Namun pada suatu hari Satiah didapati pengsan. Satiah telah dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan Satiah menghidap penyakit barah paru-paru yang kronik. Encik Hasrul mencadangkan supaya Satiah dirawat di hospital, tetapi  hal ini mendapat bantahan daripada ayah Satiah, Pak Morit yang masih kuat berpegang kepada rawatan tradisional. Penyakit Satiah masih tidak menampakkan apa-apa perubahan sehinggalah tiba hari keputusan peperiksaan PMR diumumkan.  Satiah merupakan calon tunggal yang berjaya memperoleh keputusan 8A  tetapi pada masa yang sama dia terpaksa bertarung dengan kesakitan. Akhirnya Pak Morit akur dan bersetuju agar  Satiah dirawat di hospital. Keadaan Satiah beransur pulih tetapi mereka terpaksa berpisah kerana mereka berdua akan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama yang berasingan. Pelbagai dugaan telah Hartini lalui di sekolah baharu, antaranya dia telah dimasukkan ke dalam lokap kerana difitnah oleh Junainah yang  mengedarkan pil ecstasy.  Semua dugaan berjaya diatasi dengan bantuan Encik Hasrul. Hartini dan Satiah berpeluang bertemu kembali sewaktu cuti persekolahan. Namun pertemuan mereka merupakan pertemuan terakhir apabila Satiah telah kembali kerahmatullah. Hartini telah membaca catatan Satiah dan sebelum kembali ke asrama dia telah menanam sepohon cempaka putih di pusara Satiah sebagai tanda kasihnya dan memenuhi permintaan Satiah.


Sinopsis Bab 

 Bab 1 – Akur Akan Perintah

            Berita kenaikan pangkat Encik Hasrul disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira oleh Encik Hasrul dan keluarga.  Walau bagaimanapun Encik Hasrul sekeluarga terpaksa berpindah ke tempat baharu.  Encik Hasrul diarah bertugas di daerah pedalaman masyarakat Orang Asli di Pahang.  Pertukaran ini menyebabkan semua ahli keluarganya merungut kerana bimbang tidak dapat menyesuaikan diri tinggal di kawasan luar bandar. Encik Hasrul tetap tenang menerima rungutan daripada isteri dan anak-anaknya.  Berita pertukaran Encik Hasrul juga tersebar luas di kawasan perumahan mereka. Jiran-jiran mula bertanya tentang hal tersebut. Encik Hasrul berangkat ke Jerantut untuk membuat tinjauan tentang rumah baharu mereka. Encik Hasrul berpuas hati dengan keadaan rumah baharu mereka .  Mereka akan berpindah dalam masa seminggu lagi.  Perpindahan awal ini untuk menguruskan persekolahan anak-anak dan juga agar mereka   dapat menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.


Bab 2 – Tersalah Duga

            Keluarga Encik Hasrul berpindah ke Jerantut pada awal pagi.  Rumah mereka dibiarkan kosong tanpa penyewa. Ramai rakan ayah dan ibu Hartini yang datang berkunjung ke rumah untuk memberikan ucapan selamat jalan.  Akhirnya, Encik Hasrul sekeluarga selamat sampai ke Kampung Kuala Batu kira-kira jam 5.00 petang.  Masyarakat di Kampung Kuala Batu menyambut kedatangan Encik Hasrul sekeluarga dengan meriah.  Encik Hasrul  melayani penduduk kampung dengan mesra dan ceria walaupun beliau keletihan. Encik Hasrul dan keluarga berpuas hati dengan keadaan rumah baharu mereka yang agak selesa. Pada malam itu, anak-anak Encik Hasrul tidur dalam keletihan. Keesokan harinya, Hartini bangun dengan satu perasaan yang berbeza.  Dia sungguh damai kerana dapat menghirup udara segar pada pagi itu.  Dia berasa seronok mendengar muzik alam yang begitu asli.  Hartini tidak menduga keadaan di pedalaman ini begitu indah.  Jalan raya yang bertar dengan baik dan kampung tersebut dilengkapi dengan kemudahan asas.  Keadaan rumah masyarakat Orang Asli juga telah berubah. 


Bab 3 – Sekolah Baharu Kawan Baharu

            Hartini mula bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Batu dan dia dimasukkan ke Tingkatan Tiga Teratai.  Cikgu Malik, guru Tingkatan Tiga Teratai memperkenalkan Hartini kepada murid-murid dalam Tingkatan Tiga Teratai.  Murid- murid Tingkatan Tiga Teratai menyambut baik kedatangan Hartini. Mereka berkenalan dengan rasa senang hati. Hartini berasa geli hati apabila mendengar nama rakan-rakan barunya yang pelik. Hartini mendapati tidak banyak perbezaan antara kelasnya yang dahulu dengan kelas baharunya. Kelas ini bersih dan susunan kerusi mejanya tersusun rapi. Hiasan kelas juga menarik. Perbezaan yang ketara adalah dari segi penampilan murid-murid. Baju, kasut dan beg sekolah mereka agak lusuh. Hal ini mungkin disebabkan kemiskinan. Selain itu, cara belajar mereka juga berlainan. Murid-murid di sini tekun mendengar pengajaran guru dan sangat menghormati guru-guru. Pada waktu rehat, Hartini berbual-bual dengan Ineng, Ambok, Satiah dan Sinda. Hartini mengajak rakan-rakannya mengulang kaji bersama-sama. Rakan-rakan Hartini  agak keberatan apabila Hartini mencadangkan mereka mengulang kaji di rumahnya. Mereka bimbang bapa mereka tidak memberi kebenaran. Hartini meminta mereka memujuk bapa masing-masing. Satiah menyatakan bahawa bapanya tidak suka dia bercampur dengan orang lain selepas waktu persekolahan. Bapanya akan memukul Satiah jika ada rakan-rakannya yang datang ke rumah. Hartini berasa simpati terhadap Satiah. Masalah Satiah ini mengganggu fikiran Hartini. Dia ingin Satiah belajar bersama-sama mereka kerana Satiah bijak dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hartini menceritakan masalah Satiah kepada ibunya. Ibunya memahami keadaan tersebut dan bercadang untuk berkunjung ke rumah Satiah tetapi Hartini melarang kerana bimbang Satiah akan dipukul oleh bapanya.


Bab 4 – Masalah Satiah

            Hartini berasa beban yang ditanggung menjadi ringan setelah bercerita kepada ibunya tentang masalah Satiah. Ibunya memanjangkan berita itu kepada ayah Hartini dan ayahnya berjanji akan menziarah keluarga Satiah dengan alasan atas urusan kerjanya. Keesokan harinya, Hartini ke sekolah dan dia tidak sabar memberitahu hal tersebut kepada rakan-rakannya. Hartini mencari Satiah dan mendapati Satiah tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut. Aton, jiran Satiah menyatakan bahawa Satiah tidak hadir ke sekolah kerana demam. Hartini ingin menziarahi Satiah tetapi dilarang oleh Ambok. Akhirnya mereka bersetuju menunggu berita daripada ayah Hartini yang akan menziarahi keluarga Satiah. Pada petang itu, ayah Hartini memaklumkan bahawa dia tidak dapat berjumpa dengan Pak Morit kerana Pak Morit ke hutan untuk mencari ramuan ubat-ubatan untuk Satiah. Hartini terkejut dengan tindakan Pak Morit yang hanya memberi daun dan akar kayu untuk mengubati penyakit Satiah. Ayahnya menjelaskan bahawa masyarakat Orang Asli masih mengamalkan perubatan tradisional. Setelah dua hari, Satiah masih tidak hadir ke sekolah. Hartini segera mencari Aton untuk bertanya khabar Satiah. Aton memberitahu bahawa Satiah sudah beransur pulih. Semasa waktu rehat, Cikgu Malik berjumpa dengan Hartini dan memaklumkan hasratnya untuk melantik Hartini asebagai ketua Kelab Komputer. Pada mulanya, Hartini  agak keberatan menerima jawatan tersebut tetapi setelah dipujuk oleh Cikgu Malik, Hartini bersetuju. Ayah Hartini menyambut baik berita pelantikan Hartini dan berharap Hartini dapat belajar tentang komputer dengan lebih mendalam. Hartini bertanyakan perkembangan Satiah kepada ayahnya. Ayahnya memberitahu sebab-sebab Pak Morit melarang anaknya bergaul dengan orang lain. Hal ini kerana peristiwa hitam yang telah menimpa anak perempuannya yang pernah belajar di Jerantut. Ayah Hartini telah meminta kebenaran daripada Pak Morit supaya membenarkan anaknya Satiah belajar bersama dengan Hartini dan rakan-rakannya di rumahnya nanti. Ayah Hartini juga menjamin keselamatan Satiah dan akan bertanggungjawab terhadap Satiah. Akhirnya Pak Morit bersetuju membenarkan Satiah belajar bersama-sama Hartini dan dia juga bersetuju menyerahkan Satiah sebagai anak angkat Encik Hasrul.


Bab 5 – Ahli Baharu Keluarga Kami

            Pak Morit dan Mak Sukin datang ke rumah Encik Hasrul untuk menghantar Satiah. Ibu Hartini menjamu keluarga Pak Morit dengan hidangan makan tengah hari yang istimewa. Mulai hari itu, Hartini dan Satiah menjadi rakan belajar yang akrab. Satiah  seorang yang ringan tulang. Dia sering membantu ibu Hartini di dapur walaupun dihalang. Semua ahli keluarga Hartini menyayangi Satiah. Hubungan antara keluarga Encik Hasrul dengan Pak Morit juga semakin erat. Peperiksaan akan bermula tidak lama lagi. Ayah Hartini menasihati mereka berdua supaya bersedia menghadapi peperiksaan. Pada suatu hari, sewaktu Hartini dan Satiah mengulangkaji bersama-sama. Hartini berasa mengantuk dan ingin tidur sebentar. Dia meminta Satiah mengejutkannya. Hartini tersedar daripada tidur dan dia ternampak Satiah tidur tertiarap di atas katil. Hartini cuba mengejutkan Satiah tetapi tiada tindak balas dari Satiah. Hartini membalikkan badan Satiah dan mendapati ada kesan tompokan darah pada bantal. Hartini memberitahu ibu bapanya. Pak Morit dimaklumkan tentang perkara tersebut. Pak Morit menjelaskan bahawa mereka sudah biasa dengan penyakit Satiah dan dia telah membawa Satiah berubat dengan dukun. Menurut dukun, Satiah terlangkah ‘benda kotor’ dan dia perlu dihantar ke satu tempat untuk membuang ‘benda’ yang ada di dalam tubuhnya. Ayah Hartini mencadangkan agar Hartini dibawa ke hospital tetapi dilarang oleh Pak Morit dengan alasan dukun yang mengubati Satiah tidak mengizinkan. Ayah Hartini memujuk Pak Morit agar bersetuju dengan cadangannya apabila keadaan kesihatan Satiah semakin merosot. Akhirnya Pak Morit bersetuju dan Satiah dibawa ke hospital.


Bab 6 – Senyuman Satiah Mulai Tawar

            Satiah mendapat rawatan awal daripada pihak hospital. Dia dibenarkan pulang pada malam itu. Pihak hospital telah mengambil contoh darah, air kencing dan kahak Satiah untuk dihantar ke Makmal Kaji Penyakit. Pada malam itu, Pak Morit  dan Mak Sukin bermalam di rumah Encik Hasrul. Kira-kira jam 3 pagi, Satiah mengaduh perlahan. Hartini terjaga dan membancuhkan segelas susu untuk Satiah. Keesokan hari, rakan-rakan di sekolah sibuk bertanya tentang Satiah. Sinda mengajak rakan-rakan menziarahi Satiah yang sedang sakit di rumah Hartini. Pada petang itu, rakan-rakan sekelas Hartini datang melawat Satiah bersama-sama Cikgu Malik dan Cikgu Anis. Ibu Hartini dan Mak Sukin menjamu mereka dengan cempedak goreng dan kopi O.  Ayah Hartini berjanji akan mengadakan kenduri besar-besaran sekiranya mereka semua lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan nanti. Janji Encik Hasrul menjadi pembakar semangat dalam dada murid-murid Tingkatan Tiga Teratai.


Bab 7 – Perpisahan Sementara

            Peperiksaan telah selesai.  Satiah dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat.  Encik Hasrul dan Pak Morit telah membawa Satiah ke hospital unutk rawatan lanjut namun doktor belum dapat mengesan punca sebenar penyakit Satiah.  Cuti sekolah bermula, Hartini mengikut neneknya pulang ke Johor.  Hartini akan mengikuti kelas komputer di sana.  Sebelum berangkat, Hartini berpesan kepada Satiah agar selalu datang melawat ibunya dan menjaga bilik mereka.  Hartini berasa sedih berpisah dengan Satiah. Satiah menitiskan air mata sebelum berpisah. Semasa berada di rumah nenek, Hartini selalu terkenangkan ibunya dan Satiah. Nenek memujuk Hartini dan berjanji akan menghantar Hartini pulang ke Jerantut selepas tamat kelas komputernya. Nenek meluahkan perasaan sunyinya kerana tinggal seorang diri. Anak bongsu nenek kini tinggal bersama abangnya di Ipoh. Nenek menghantarnya ke sana kerana dia terlibat dalam masalah sosial. Keesokan hari, Hartini dan nenek ke Bandar Pontian untuk mendaftarkan Hartini ke kelas komputer.  Nenek menasihati Hartini agar bijak memilih kawan.  Dalam perjalanan pulang, mereka terserempak dengan Mak Leha yang baru pulang dari balai polis kerana anak lelakinya terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah.  Nenek menasihati Mak Leha agar bersabar.


Bab 8 – Berita Yang Membimbangkan

            Setelah selesai menduduki ujian komputer, Hartini dan nenek berangkat ke Jerantut. Ibu Hartini riang menyambut kepulangan Hartini dan nenek.  Setelah saling bertanya khabar, Hartini menuju ke biliknya. Dia mendapati biliknya kemas dan rapi. Ibunya memberitahu bahawa Satiah yang telah mengemaskan bilik tersebut.  Ibunya juga menceritakan bahawa Satiah disahkan menghidap barah paru-paru.  Hartini terkejut apabila mendengar berita itu.  Hartini terus menuju ke rumah Satiah. Dia pasti Satiah memerlukannya pada saat itu. Satiah menyambut kedatangan Hartini dengan senyuman yang tawar dan hambar.  Hartini menangis melihat keadaan Satiah. Dia menangis semahu-mahunya, begitu juga Satiah.  Satiah memohon maaf kerana tidak memberitahu Hartini tentang penyakitnya kerana bimbang akan mengganggu pelajaran dan cuti Hartini di Johor. Hartini menasihati Satiah agar tidak berputus asa dan Satiah mesti menguatkan semangatnya untuk melawan penyakit itu. Satiah memberitahu Hartini bahawa bapanya tidak bersetuju dengan cara perubatan moden malah dia menyesal kerana membenarkan Satiah dibawa ke hospital dulu. Mak Sukin menyuruh Satiah bersabar dan dia berjanji akan memujuk bapa Satiah supaya membenarkan Satiah berubat di hospital.


Bab 9 -  Kerana Adat dan Pantang Larang

            Sejak hari itu, Hartini berasa tidak tenang.  Peristiwa Mak Sukin datang mengadu tentang pendirian suaminya kepada ibu Hartini turut menganggu fikiran Hartini.  Hartini berasa tidak berdaya untuk membantu kerana ayahnya sendiri tidak dapat memujuk Pak Morit. Namun Hartini bertekad untuk mencuba memujuk Pak Morit.  Pada keesokan hari, Hartini menziarahi Satiah.  Dia membawa kuih kegemaran Satiah iaitu bingka jagung.  Sewaktu Hartini sampai di rumah Satiah, Pak Morit berada di rumah.  Hartini memberitahu Mak Sukin tentang hasratnya ingin memujuk Pak Morit.  Mak Sukin dan Satiah membantah tindakan Hartini tetapi Hartini tetap ingin mencuba.  Hartini cuba untuk menerangkan keadaan Satiah kepada Pak Morit tetapi Pak Morit tetap berkeras dengan pendiriannya. Pak Morit tidak mempedulikan rayuan dan tangisan Hartini.  Hartini berasa sedih dan kecewa kerana usahanya memujuk Pak Morit gagal. Hartini pulang ke rumah dan memeluk ayahnya sambil menangis teresak-esak.  Hartini menceritakan peristiwa yang berlaku dan ibunya menasihatinya agar berhati-hati menangani masalah ini.  Ibu Hartini bimbang jika Pak Morit memutuskan hubungan antara dua keluarga ini.  Pada keesokan hari, Hartini menziarahi Satiah seperti biasa tetapi Satiah tiada di rumah kerana Pak Morit telah membawa Satiah berubat di Kampung Langsat.


Bab 10 – Keruhnya Air yang Tenang

            Hubungan antara keluarga Satiah dan keluarga Hartini semakin renggang.  Mak Sukin berasa kesal dengan sikap suaminya yang semakin dingin  terhadap keluarga Encik Hasrul.  Encik Hasrul dan keluarga tidak menghiraukan sikap Pak Morit mereka tetap menziarahi Satiah. Hartini berasa hari-hari yang dilaluinya sudah tawar dan hambar. Dia hanya merasakan hubungannya dengan Satiah sahaja yang tetap utuh. Hartini cuba memberi sokongan dan semangat kepada Satiah.  Kini Satiah sudah boleh bangun dan berjalan sendiri. Satiah terpaksa mematuhi pantang larang dukun yang melarangnya memijak tanah selama beberapa hari. Hartini memberitahu Satiah bahawa keputusan peperiksaan akan diumumkan pada esok hari.  Hartini mengajak Satiah ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan namun Satiah pasti bapanya tidak membenarkannya pergi ke sekolah.


Bab 11- Berita Gembira Di Sambut Duka

            Sewaktu keputusan PMR diumumkan, Hartini, Ineng dan rakan-rakannya ke sekolah untuk mengambil keputusan masing-masing. Satiah tidak hadir untuk mengambil keputusan PMR kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Jam 11.00 pagi, Cikgu Malik kembali ke sekolah bersama keputusan PMR yang diambil dari bandar. Keputusan PMR tidak ditampalkan di papan notis untuk mengelakkan kesesakan. Setiap murid mengambil keputusan masing-masing di bilik Cikgu Malik. Satiah mendapat keputusan terbaik iaitu 8A. Hartini menduduki tempat kedua dengan memperolah 7A 1B. Rakan-rakan yang lain juga memperoleh keputusan yang cemerlang dan membanggakan pihak sekolah. Pak Morit yang hadir untuk mengambil keputusan Satiah pulang tergesa-gesa setelah dimaklumkan oleh anaknya Akob tentang  Satiah yang kembali diserang penyakitnya. Apabila Hartini mengetahuinya, dia juga tergesa-gesa ke sana dan meminta rakan-rakannya memberitahu ibu bapanya di rumah. Kedegilan Pak Morit untuk mengubati Satiah dengan cara tradisional akhirnya terlerai setelah Encik Hasrul dan Hartini merayu sehabis mungkin demi masa hadapan Satiah yang cemerlang dalam pelajaran. Keadaan Satiah yang semakin kritikal dengan darah yang membuak-buak keluar dari mulutnya juga menyedarkan Pak Morit akan ketidakberkesanan perubatan tradisional itu. Akhirnya Satiah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Bab 12 -  Kuntum yang Hampir Layu

            Kecanggihan peralatan dan kakitangan yang cukup untuk merawat di samping doa-doa semua orang yang menyayanginya telah berjaya mengurangkan penderitaan penyakit Satiah. Keluarga Satiah dan keluarga Hartini bergilir-gilir untuk menjaganya di hospital. Pak Morit juga telah sedar akan kesilapannya yang membiarkan Satiah menderita lama dan berjanji akan mengubah pendiriannya. Encik Hasrul dan Pak Morit merancang untuk mengadakan majlis kenduri kesyukuran setelah Satiah pulih di samping memenuhi janji Encik Hasrul kepada murid-murid Sekolah Menengah Kuala Batu sebelum peperiksaan PMR dahulu. Satiah telah mendapat tawaran untuk ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah Tanjung Bestari sementara Hartini pula di Sekolah Menengah Gemilang Wawasan.


Bab 13 - Demi Cita-cita dan Harapan Keluarga

            Kenduri kesyukuran yang dirancang berjalan dengan baik. Hampir semua murid lepasan tingkatan 3 dan guru-guru Sekolah Menengah Kuala Batu hadir. Pengetua juga hadir bersama isterinya. Penduduk kampung juga turut memeriahkan kenduri tersebut. Hubungan keluarga Encik Hasrul dan Pak Morit kembali pulih seperti sedia kala dan semakin erat. Sewaktu kenduri, Hartini dan Satiah memakai pakaian sedondon yang ditempah khas oleh Puan Sarah dan mereka menjadi usikan Along yang menggelar mereka ‘kembar siam’. Rakan-rakan mereka juga gembira melihat keakraban Hartini dan Satiah. Keesokan paginya, Hartini telah diserang demam selsema tetapi keadaannya semakin pulih setelah dibawa ke klinik oleh bapanya. Puan Sarah dan Encik Hasrul sibuk membuat persiapan untuk Hartini dan Satiah yang akan memasuki asrama. Pak Morit dan Mak Sukin cuba memberi wang untuk pembelian barang keperluan Satiah ke asrama tetapi ditolak dengan baik oleh Puan Sarah kerana mereka ikhlas dan menganggap Satiah seperti anak sendiri. Masa untuk Hartini dan Satiah berpisah akhirnya tiba juga setelah masing-masing memasuki sekolah berasrama yang berasingan.


Bab 14 -  Kesabaran juga Ada Batasnya

            Hartini dan Satiah sering berutus surat walaupun tinggal di asrama untuk mengetahui perkembangan diri masing-masing. Keakraban hubungan antara Hartini dan Satiah telah menarik perhatian Nora rakan sebilik Hartini. Rakan sebiliknya yang lain, iaitu Junaidah pula tidak mempercayai kejujuran persahabatan Hartini dan Satiah. Sikap Junaidah yang tidak sopan di samping perlakuan dan bahasa yang kasar telah menyebabkan Hartini hilang kesabaran dan timbul pertengkaran yang membawa kepada pergaduhan sehingga menyebabkan Junaidah cedera. Perkara itu dibawa kepada pengetahuan pengetua dan setelah disiasat, pengetua meminta mereka berdamai dan memperbaiki kelemahan dan kesilapan masing-masing.


Bab 15- Pecahnya Tembelang

            Cuti semester pertama hampir tiba. Hartini menyatakan kegembiraannya kepada Nora kerana Satiah akan datang menjemputnya bersama bapanya nanti. Dia juga berhasrat untuk memperkenalkan Satiah kepada Nora. Selepas konflik terjadi antara Hartini dan Junaidah, kelibat Junaidah jarang-jarang dilihat di dalam bilik mereka kerana dia menumpang di bilik sebelah iaitu bersama rakan karibnya Salha. Ketika di dalam kelas, Hartini, Nora dan Najmi telah dipanggil untuk balik ke asrama kerana ada pemeriksaan mengejut di bilik mereka. Apabila digeledah, polis Cawangan Narkotik telah menjumpai pil ecstacy di dalam kotak kecil di dalam laci Hartini. Akibatnya Hartini telah ditahan di lokap. Encik Hasrul menyarankan dan meminta jasa baik  pengetua untuk menjalankan pemeriksaan mengejut di kawasan asrama bersama dengan pihak polis sewaktu proses pembelajaran berjalan. Tindakan itu menemui kegagalan tetapi keanehan tingkah laku Encik Kancho, pengawal keselamatan asrama telah menimbulkan kecurigaan. Kelalaian Encik Kancho telah meninggalkan bukti kepada pihak polis dan pihak polis telah menjejaknya sehingga dia ditahan disebuah restoran di bandar Kuantan ketika menyerahkan sejumlah pil itu kepada pelanggannya. Kehadiran Satiah, ibu bapanya dan ibu bapa Satiah melawatnya di lokap menimbulkan suasana sedih tetapi Satiah memujuknya kerana Hartini memang didapati tidak bersalah. Pengetua yang hadir sama juga meminta maaf kepada Hartini atas segala yang berlaku.


Bab 16 -  Dia Pergi Jua

            Sewaktu di rumah, Hartini menghabiskan masa seharian untuk tidur sepuasnya. Satiah balik ke rumahnya tanpa ditemani oleh Hartini, tetapi Hartini berjanji untuk menyusulnya pada waktu petang. Encik Hasrul dan Puan Sarah mengatur kenduri kesyukuran untuk Hartini yang telah terlepas daripada semua mala petaka. Orang kampung sibuk membantu termasuk Pak Morit dan Mak Sukin. Pada waktu petang, Hartini ingin menunaikan janji terhadap Satiah dan ingin menemuinya di rumah Satiah tetapi tidak menemuinya. Hartini menunggu sehingga ditegur oleh Akob dan Amat yang balik dari berkubang dengan rakannya. Jeritan Amat dari perigi telah mengejutkan Hartini. Satiah terlentang di situ dengan darah yang banyak sekali. Satiah segera dikejarkan ke hospital oleh Encik Hasrul dan Pak Morit dan ditempatkan di wad ICU. Kematian Satiah telah menjadi pukulan hebat kepada Hartini sehingga dia pengsan. Pengebumian Satiah terpaksa dilewatkan atas permintaan Pak Morit yang mahu menunggu sehingga Hartini sedar daripada pengsannya. Ustaz Amin berusaha memulihkan semangat Hartini. Setelah sedar, Hartini teringat kembali kata-kata Satiah dan dia reda dengan pemergian sahabatnya itu.


Bab 17 - Tersingkap Misteri

            Encik Hasrul telah memohon kepada pengetua untuk melanjutkan cuti Hartini selama seminggu lagi kerana keadaan kesihatan Hartini yang merosot sejak pemergian Satiah. Keluarga Hartini cuba untuk menghiburkan hatinya yang kosong. Encik Hasrul dan Puan Sarah mengambil barang-barang arwah Satiah dari asramanya di Kuantan. Setelah memeriksa barang-barang tersebut satu persatu, Puan Sarah menyerahkan sebuah buku berkulit tebal kepada Hartini. Hartini sedar, arwah Satiah sering menghabiskan masanya untuk menulis di buku itu ketika masa lapang tetapi tidak mengizinkan orang lain melihatnya dan dia menyatakan bahawa Hartini akan mengetahui juga isi kandungannya suatu hari nanti. Kesempatan ini digunakan oleh Hartini untuk membaca catatan arwah Satiah yang telah meluahkan segala isi hatinya tentang persahabatan mereka di dalam buku itu. Setelah selesai membaca buku catatan sebanyak 180 helai, Hartini dapat merasai bahawa arwah Satiah telah tahu dan yakin akan detik kematiannya. Hartini bertekad untuk merealisasikan wasiat sahabat dan saudaranya itu.


Bab 18 - Cempaka Putih Untukmu

            Percutian tambahan yang dipohon daripada pengetua telah berakhir. Hartini akan kembali semula ke asrama. Hartini dihantar oleh ibu bapanya bersama Pak Morit dan Mak Sukin. Sebelum bertolak, Hartini meminta ayahnya supaya singgah di tanah perkuburan. Setelah menghadiahkan al-Fatihah, Hartini mengajak Pak Morit menanam pokok bunga cempaka putih yang dibawa oleh Mak Sukin di atas pusara arwah Satiah untuk memenuhi permintaan sahabatnya itu.

Sabtu, 29 Mac 2014

ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU - LATIHAN CERPEN HUTAN RIMBA




              SET 1

















           

    LATIHAN ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU : CERPEN PAHLAWAN BUNTUNG


    LATIHAN SAJAK DI BAWAH LANGIT YANG SAMA - ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU




              SET 1















      ANTOLOGI HARGA REMAJA - LATIH TUBI PROSA TRADISIONAL PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA




                    SET 1

















               

        LATIHAN PETIKAN PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA SET 1

        Soalan 2(c)- Petikan Prosa Klasik


        Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
        Mendengar suara itu lanun-lanun itu mulai gementar.Mereka kenal itulah suara Awang Sulung.  “Hai, baru ini kita kiamat,  kita sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri dan kepada diri kita sendiri!”  bisik mereka sesama sendiri.

        “Ampun Tuanku, patik tidak tahu bahwa Tuanku rupanya di dalam geliung panjang ini,” sembah mereka beramai-ramai dengan tubuh yang gementar.
        “Beta tidak beritahukan pelayaran beta pada kalian kerana beta menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya.  Lagipun beta telah berhutang kepadanya sebanyak dua puluh lapan  rial batu dan emas sejangka tiga untuk melangsaikan hutang beta kepada Datuk Batin Alam.”
        “Ampun Tuanku, janganlah Tuanku dukacita dengan hutang itu.  Sekiranya Tuanku hendak kembali ke Bandar Mengkalih, biarlah  patik isikan geliung ini penuh sarat dengan rial batu dan emas.”
        Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak bersabar lalgi lalu menyampuk, “Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial
        kepada patik?  Sebenarnya dagang yang hina inilah menjadi tawanannya.Dia seorang pahlawan yang handal.”
        Pelayaran Yang Penuh Peristiwa
        Antologi Harga Remaja,
        Dewan Bahasa dan Pustaka 2009

                     i.            Berikan maksud berhutang rial.
                berhutang rial bermaksud
        -          meminjam wang/duit
        [ 2 markah ]

               ii.            Mengapakah Awang Sulung tidak memberitahu lanun-lanun itu tentang perlayarannya?
        P1 Awang Sulung sedang menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa untuk balik
        ke negerinya.
        P2 Awang Sulung ada berhutang sebanyak dua puluh lapan rial batu dan emas
        sejangka tiga dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        P3 Awang Sulung berhutang untuk melangsaikan hutangnya dengan Datuk
        Batin Alam


        [ 3 markah ]

                iii.            Sekiranya anda Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, apakah yang akan anda lakukan setelah mengetahui Awang Sulung ialah penghulu kepada lanun-lanun yang menyerang geliung panjangnya?

        P1 Meminta Awang Sulung terus mengemudi/menemami saya hingga sampai ke
        negeri saya
        P2 Meminta Awang Sulung mengarahkan lanun-lanun tersebut tidak
        mengganggu perjalanan saya pada bila-bila masa
        P3 Melantik Awang Sulung sebagai ketua kemudi kapal saya
        P4Meminta Awang Sulung mengarahkan lanun-lanun mengiringi/melindungi 
        perlayaran saya hingga sampai ke negeri saya.
        P5Mengadakan perjajian kerjasama  dengan lanun-lanun untuk menjaga
        perairan  negeri saya.
        P6 Mengadakan perjanjian kerjasama dengan  lanun-lanun untuk melindungi
        semuakapal-kapal   yang berurusan dengan negeri saya.


        [ 3 markah ]

        Jumaat, 28 Mac 2014

        ANTOLOGI HARGA REMAJA - Nota Prosa tradisional Pelayaran Penuh Peristiwa





         Sinopsis

        Kisah bermula apabila Awang Sulung mengikuti pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan menaiki geliung (kapal) menuju dari Negeri Bandar Mengkalih menuju ke Negeri Semarang di Tanah Jawa. Geliung itu bergerak terlalu laju menyebabkan semua anak kapal mabuk-mabuk dan muntah-muntah lalu tidak sedarkan diri kecuali tiga orang iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menggantikan jurumudi kapal, Si Kembang Cina, dan Awang Sulung Merah Muda yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung menggantikannya sebagai jurumudi dengan memberi alasan bahawa dia sudah keletihan. Pada mulanya Awang Sulung tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan lembut akhirnya Awang Sulung mengambil alih tugas sebagai jurumudi. Anehnya, Awang Sulung tidak memegang kemudi sebaliknya menyeru geliung itu supaya belayar mengikut tiupan angin.

        Setelah tiga hari belayar, geliung itu hendak berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil kayu api dan air tetapi gagal kerana laut bergelora. Sekali lagi Awang Sulung menggunakan kesaktiannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih menyebabkan air menjadi tenang. Setelah beberapa lama berlabuh barulah penghuni geliung tersedar daripada pengsan. Sebaik sedar, jurumudi menikam seekor ayam dengan kerisnya lalu pergi berjumpa Tuanku Nakhoda Tua dan menyatakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua percaya kata-kata jurumudi kerana sewaktu kejadian baginda juga pengsan. Geliung itu berlabuh selama tiga hari tiga malam di Pulau Tapai. Tuanku Nakhoda Tua telah berjanji akan mengahwinkan sesiapa sahaja yang berjaya membawa geliung itu selamat sampai ke Tanah Jawa dengan puteri baginda iaituTuan Puteri Dayang Seri Jawa.

        Jurumudi menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap Awang Sulung kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sebaliknya dia dimarahi oleh tuan puteri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa cuba menguji kehebatan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air dan mencari kayu. Perkara pelik dilakukan oleh Awang Sulung kerana dia mengambil air di tengah laut di tempat arus yang deras. Awang Sulung tidak mengambil kayu bakau dan temu laut seperti yang diminta oleh tuan puteri, sebaliknya mengambil batang nipah. Tuan Puteri Dayang

        Seri Jawa memarahi Si Kembang Cina yang mengikut arahan jurumudi kerana memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung sebaliknya Tuan Puteri memerintahkan Si Kembang Cina menyiapkan hidangan istimewa kepada Awang Sulung. Berlaku satu lagi keanehan apabila air masin yang diambil oleh Awang Sulung yang dimasukkan ke dalam buyung suasa bertukar menjadi air manis.

        Semasa hendak meneruskan pelayaran, Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak kapal memaklumkan bahawa mereka akan melalui kawasan Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Tuanku Nakhoda berjanji sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puterinya daripada serangan lanun, dia akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Semua anak kapal berasa takut, namun jurumudi telah mengambil kesempatan dengan menonjolkan diri bahawa dia yang akan melawan lanun-lanun itu. Semasa melintasi perairan Pulau Salah Nama, lanun menyerang. Anak-anak kapal termasuk jurumudi lari menyelamatkan diri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung menentang lanun tetapi Awang Sulung membuat helah mengatakan beliau tidak layak kerana kaki dan tangannya sakit. Apabila mendengar alasan itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi untuk Awang Sulung mandi. Selepas mandi dan memakai persalinan pakaian pusaka tua warisan bonda dan menyisip keris serta menyarung pedang sakti, terserlahlah ketampanan Awang Sulung.

        Semasa lanun-lanun cuba menaiki geliung, Awang Sulung melaungkan nama-nama ketua lanun dan menyindir mereka supaya menawan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun itu ketakutan kerana mereka mengenali Awang Sulung dan berjanji untuk menyelesaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Geliung itu telah dipenuhi dengan wang batu dan wang emas. Setelah menyelesaikan semua hutang, Awang Sulung berhasrat untuk pulang ke Bandar Mengkalih menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sedih dan mengambil tindakan untuk terjun ke laut tetapi sempat dihalang oleh hulubalang yang ada di situ. Tuan puteri pengsan tetapi sedar apabila mendengar Awang Sulung berpantun dengan Si Kembang Cina lalu tuan puteri berbalas pantun pula dengan Awang Sulung. Setelah dijamu makan dan minum serta memenuhkan geliung dengan wang, lanun-lanun itu kembali ke bahtera masing-masing. Selepas lanun-lanun itu pergi, jurumudi membuat helah sekali lagi dengan mengaku dirinyalah yang menyelamatkan geliung itu daripada serangan lanun kepada Tuanku Nakhoda. Dia menunjukkan kerisnya yang berdarah selepas dia menikam seekor ayam. Tuanku Nakhoda Tua percaya penipuan jurumudi dan memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa begitu geram dengan tindakan ayahandanya yang tidak usul periksa. Apabila mengetahui perkara sebenar Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada Awang Sulung yang juga berketurunan raja dan mengahwinkannya dengan tuan puteri.

        Beberapa hari selepas mereka berkahwin, geliung meneruskan pelayaran merentasi beberapa pulau sehinggalah sampai ke Negeri Pati Talak Terangganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja negeri tersebut. Semasa naik ke darat Awang Sulung ditemani oleh jurubatu dan Bujang Selamat. Mereka membawa bersama ayam Awang Sulung yang bernama Kinantan Suci. Kedatangan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak menimbulkan kehairanan rakyat negeri tersebut apabila segala alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi . Awang Sulung meminta kebenaran daripada raja untuk menyabung ayam. Pada peringkat awal pertarungan, Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru oleh Awang Sulung ayam itu berjaya menaji ayam lawan sehingga terputus kepala. Selesai menyabung ayam barulah Awang Sulung naik ke balairung seri, disambut oleh pembesar dan rakyat negeri itu.

        Tema

        Kelebihan dan kehebatan anak raja
        Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi, menenangkan air laut dengan mecmpakkan tulang pelanduk putih, menukarkan air laut yang masin menjadi manis, semasa ketibaan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya . Satu lagi kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak .

        Persoalan

        1. Persoalan cinta tidak mengenal rupa paras.
        Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam.

        2. Persoalan perasaan dengki dan iri hati
        Jurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung.

        3. Persoalan kewibawaan dan pengaruh yang kuat
        Lanun-lanun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda.

        4. Persoalan menipu untuk mencapai sesuatu tujuan
        Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan daripada serangan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

        5. Persoalan menghormati tetamu
        Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri.

        Watak dan Perwatakan

        Watak Utama

        Awang Sulung Merah Muda
        · Berasal dari Negeri Bandar Mengkalih· Anak kepada Tuanku Si Helang Laut
        · Cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai
        · Menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        ·Berwajah tampan – setelah mandi dengan menggunakan limau selimpat pagar dan sabun wangi terserlahlah ketampanannya .
        · Memiliki keris dan pedang sakti Memiliki gigi yang cantik bercahaya
        · Berhutang dengan Nakhoda Tua dan Datuk Batin Alam
        ·Berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        · Ditakuti lanun
        · Memiliki pelbagai kesaktian – Dia dapat menenangkan air laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu memegang kemudi untuk menggerakkan geliung
        · Patuh kepada peraturan - Dia meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung ayam.
        · Merendah diri – apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dia mengatakan sekiranya berada di daratan bolehlah dia menjadi penghalau ayam, penunggu itik atau tukang sapu rumah .

        Watak Sampingan

        Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        · Anak Tuanku Nakhoda Tua
        · Mengemudi geliung setelah jurumudi pengsan
        · Mudah jatuh cinta - Jatuh hati kepada Awang Sulung Merah Muda setelah melihat kelebihan dan kehebatan Awang Sulung
        · Suka menguji - dia menguji kelebihan Awang sulung dengan menyuruhnya mengambil air
        · Prihatin - Marah apabila Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi dalam tempurung berbulu dan ketika jurumudi dengki kepada Awang Sulung
        · Sensitif – dia cuba membunuh diri hendak terjun ke laut apabila mendengar Awang Sulung hendak kembali ke Bandar Mengkalih.

        Jurumudi
        · Jjurumudi geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        · Penipu - Menipu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
        · Pendengki – Dia berasa dengki kepada Awang Sulung
        · Pengecut - Lari menyelamatkan diri semasa serangan lanun

        Tuanku Nakhoda Tua
        · Ayahanda kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        · Mudah terpedaya – terpedaya dengan penipuan jurumudi.
        · Insaf - berasa kesal dengan kesilapannya yang memandang rendah kepada Awang Sulung
        · Menepati janji - Dia mengahwinkan puterinya dengan Awang Surung Merah Muda yang berjaya menyelamat baginda dan puterinya daripada serangan lanun.

        Si Kembang Cina
        · Orang suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        · Taat perintah – Taat akan suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
        · Pandai memujuk – Dia memujuk Awang Sulung sehingga bersetuju untuk mengemudi geliung

        Latar

        Latar Tempat

        Geliung panjang
        · Tuan Puteri Dayang Seri Jawa belayar menaiki geliung panjang dari Bandar Mengkalih menuju ke negeri Semarang di Tanah Jawa.
        Pulau Tapai

        · Tempat Geliung berlabuh di Pulau Tapai untuk mendapatkan kayu dan air. Pada mulanya geliung tidak boleh berlabuh kerana laut bergelora. Awang Sulung menggunakan kelebihannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih yang diikat dengan benang banyak warna. Akhirnya air laut menjadi tenang dan geliung dapat berlabuh.
        Pulau Salah Nam

        a· Sekumpulan lanun menyerang geliung di Pulau Salah Nama. Anak-anak kapal lari menyelamatkan diri termasuk jurumudi. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta bantuan Awang Sulung menentang lanun.

        Negeri Pati Talak Terangganu· Awang Sulung menyabung ayamnya Kinantan Suci .

        Latar Masa
        · Tiga hari tiga malam semasa geliung berlabuh di Pulau Tapai.
        · Waktu siang - ketika anak-anak kapal mencari kayu api dan air di pulau.

        Latar Masyarakat
        · Golongan bangsawan – Awang Sulung, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Pinang Masak, Raja Negeri Pati Talak Terengganu
        · Golongan bawahan – anak-anak kapa
        · Masyarakat lanun yang melakukan rompakan di laut
        · Golongan taat kepada perintah – Si Kembang Cina dan Bujang Selamat taat akan perintah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Awang Sulung Merah Muda.
        · Masyarakat penipu – jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
        ·Masyarakat yang suka menyabung ayam - Awang Sulung Merah Muda menyabung ayam dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu

        Gaya Bahasa

        · Bahasa klasik – geliung
        · Bahasa istana - beta, santap, kakanda, ayahanda
        ·Peribahasa – enau mencari sigai, dan lesung mendapatkan antan, berkecil hati
        · Simile – bagai pucuk dilancarkan, bagai air di kuali, bagai purnama empat belas har ibulan, bagai kilat sembur-menyembur
        · Puisi : Pantun :
        Bintang tujuh tinggal enam,
        Jatuh satu ke Gunung Daik;
        Bercahayalah sepuh hilang senam
        Itulah tanda emas yang baik.

        Seloka:
        Nobat merpati di gunung,
        Memberi salam murai di pintu,
        Berbega burung di bumbungan,
        Berkokok si tambang denak,
        Membalas kinantan suci,
        Bertutu ketitir jantan,
        Berkokok balam tembaga tiga gaya,
        Berbunyi sekalian bunyi-bunyian.

        Nilai

        · Nilai merendah diri – contohnya Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang como
        t· Nilai keyakinan – contoh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan
        · Nilai berani – contoh Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan puteri Dayang Seri Jawa.
        · Nilai kasih Sayang – contoh Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi selepas berkahwin.
        · Nilai bertimbang rasa- contohnya Awang Sulung membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi geliung
        .· Nilai keinsafan – contoh Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahan kepada Awang Sulung.
        · Nilai rasional – contoh Tuanku Nakhoda Tua sanggup menerima pandangan puterinya agar tidak terpengaruh dengan kata-kata jurumudi.
        · Nilai hormat kepada raja – contoh lanun tidak menyerang geliung setelah mendapati Awang Sulung berada di atas geliung tersebut.

        Pengajaran

        · Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan dihormati
        · Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.
        · Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
        · Kita hendaklah bersedia memberi bantuan terhadap orang yang memerlukan pertolongan.
        · Kita hendaklah berani mengaku kesalahan yang dilakukan agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa hadapan.