HALAMAN 2

Ahad, 5 April 2020

Hebat Rumusan, - Soalan Rumusan - Set 7- teknik ulang kaji yang efektif



Soalan Rumusan
( 30 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti.  Kemudian buat satu rumusan tentang teknik ulang kaji yang efektif dalam masa yang singkat dan kesan-kesannya kepada pelajar.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi I20 patah perkataan.

          Masa yang singkat untuk mengulang kaji sering membuatkan pelajar berasa tertekan terutama bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan penting.  Hal ini akan memaksa pelajar untuk berjaga malam demi mengulang kaji pelajaran di saat akhir.  Keadaan seumpama ini pastinya menambahkan kegelisahan dalam persediaan menempuh peperiksaan pada keesokan harinya.  Jika keadaan ini tidak terkawal, pelajar mungkin jatuh sakit.  Lebih memburukkan keadaan lagi apabila pelajar tersebut terpaksa dimasukkan ke hospital.  Namun begitu, jika pelajar bijak memanfaatkan masa terhad yang ada dengan teknik ulang kaji yang efektif, peperiksaan yang bakal menjelma tidak lagi begitu merungsingkan, malah pelajar akan lebih bersemangat.

          Antara teknik ulang kaji singkat yang dapat dilakukan ialah membaca nota secara fokus dan pantas di samping mencatat serta mengingati hanya isi-isi penting.  Menurut Dr. Hassan Haji Mohd Ali, penulis buku ‘Strategi Lulus Peperiksaan dengan Cemerlang’, fokus ialah tonggak utama kala belajar pada saat akhir, kerana tanpa kosentrasi yang sepenuhnya, mental pelajar akan mudah dipengaruhi oleh rasa kurang yakin.  Hal ini akan mengganggu usaha untuk menjawab peperiksaan dengan baik pada hari menghadapi peperiksaan.

           Selain itu, membuat latihan pengukuhan dapat membantu penguasaan sesuatu mata pelajaran itu terutama daripada segi teknik menjawab soalan peperiksaan.  Melakukan banyak latihan kala pelajar dihimpit masa yang singkat untuk belajar dapat menguji kefahaman pelajar dan memberi penilaian  kasar terhadap keupayaan pelajar menjawab kertas peperiksaan sesuatu subjek.  Ukuran sebegini dapat menjadikan pelajar untuk lebih fokus kepada persoalan yang sukar atau topik yang kurang dikuasai.  Melalui cara ini pelajar dapat membaiki kelemahan diri dalam sesuatu topik.

          Di samping itu, pelajar boleh menganalisis kekerapan soalan tahun-tahun lepas untuk mendapatkan gambaran tentang corak dan gaya soalan yang diajukan.  Malahan teknik belajar dengan mengingati nota ringkas yang dibuat  dapat membatu pelajar untuk mengingati informasi yang banyak dengan cara yang pantas dan mudah.  Cara pembelajaran seperti ini dapat dilakukan dengan menyediakan peta minda atau carta alir bagi membantu memori untuk menyimpan maklumat dengan lebih lama melalui kesan  visual yang terdapat pada nota ringkas berkenaan.  Mewarnakan perkataan penting dengan warna yang terang menggunakan pen atau menggariskannya merupakan salah satu elemen grafik yang dapat membantu pelajar untuk mengingat dengan lebih baik.   Teknik ini akan menjimatkan masa dengan hasil yang berkualiti.

          Antara keadah lain termasuklah pembacaan yang pantas dan efektif.   Cara begini sesuai dilakukan jika sesuatu subjek yang diulang kaji itu ialah sesuatu yang mudah difahami dan pembacaan dibuat hanya untuk mengukuhkan lagi ingatan terhadap mata pelajaran tersebut.  Seterusnya, belajar dalam kumpulan juga dapat menjana percambahan idea tentang sesuatu topik yang diulang kaji.  Kaedah perkongsian maklumat menjadi lebih berkesan berbanding belajar bersendirian yang lebih membebankan minda terutama jika ada sesuatu yang tidak difahami.  Pelajar juga boleh mengadakan perbincangan secara tidak formal bagi mendapatkan pandangan serta nasihat  daripada guru-guru yang mengajar.

          Tuntasnya, tidak kira sesingkat mana pun tempoh ulang kaji yang ada, jika masa itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, penyumbatan yang padat dan berkesan mampu dilakukan dengan teknik yang betul tanpa membebankan otak.  Kita perlu merancang teknik pembelajaran supaya lebih bersistematik sejak awal lagi untuk mengelakkan berlakunya tindakan membuat ulang kaji pelajaran secara teruburu-buru.  Perancangan ini biasanya membantu pelajar mencapai akademik yang cemerlang.

(Dipetik dan diubah suai daripada –‘Manfaatkan Masa Singkat’ oleh Noraziah Mohd. Amin, Dewan Siswa, Ogos 20I5)

Analisis soalan:
Isi tersurat : teknik ulang kaji yang efektif (tukar perkataan teknik kepada strategi/kaedah)
Isi Tersirat : kesan-kesannya kepada pelajar

Jumlah perkataan :  tidak melebihi I20 patah perkataan


Semak jawapan di sini....  



Tiada ulasan: