HALAMAN 2

Rabu, 5 Ogos 2015

Usaha Memupuk Semangat Perpaduan Di Sekolah



Usaha Memupuk Semangat Perpaduan Di Sekolah



      Perpaduan merupakan perkara yang amat mustahak untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian di sesebuah negara. Negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Negara yang mengamalkan perpaduan dapat mencapai kemajuan dengan lebih mudah dan tidak mudah ditakluki kuasa asing. Inilah kemerdekaan yang perlu dijaga oleh setiap rakyat Malaysia.



  
      Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dalam pelbagai aspek.

   

      Merujuk kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, penekanan telah diberikan  kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan negara merupakan satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

      Dalam persekitaran sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menyuburkan semangavt perpaduan kaum dan membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Semangat perpaduan juga perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.



      Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C) dan SRJK (T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.

      Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab dan persatuan serta ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti di luar system akademik pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat termasuklah pelajar.

    Image result for imej perpaduan murid sekolah

      Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam mempertingkatkan lagi nilai-nilai perpaduan dan mewujudkan masyarakat yang cinta kepada negara dan saling berkerjasama antara satu sama lain ibarat "berat sama dipikul ringan sama dijinjing".







Tiada ulasan: