HALAMAN 2

Selasa, 6 Julai 2021

LATIHAN RUMUSAN KSSM 5 ST - Faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong ke Malaysia



 

BAHAGIAN C : RUMUSAN

[30 Markah]

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah,kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Malaysia diiktiraf pada peringkat global sebagai  satu daripada destinasi pelancongan utama dunia, dengan kedudukan antara 10 negara teratas dari segi ketibaan pelancong. Sektor pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang semakin berkembang maju di Malaysia. Oleh itu, faktor-faktor yang dapat membangunkan industri tersebut haruslah diberi penekanan yang serius oleh semua pihak.

Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Sebagai contoh, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk, seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang. Keadaan iklim semula jadi negara ini yang panas dan lembap sepanjang tahun juga sudah pasti menggamit hati para pelancong. Jangan kita lupa bahawa Malaysia memiliki sejarah pembentukan negara bangsa yang sangat unik. Kepelbagaian budaya dan etnik, sama ada di Semenanjung ataupun di Malaysia Timur, menjadi modal yang sangat berharga kepada sektor pelancongan. Di Sabah dan Sarawak, kegiatan seni dan manipulasi fabrik suku kaum Kadazan dan Iban telah mendapat tempat dalam hati para pelancong. Di samping itu, udara yang segar dan nyaman tanpa pencemaran di negara ini menjadi nilai tambah yang menjadi lambang kehidupan yang tenang dan bersahaja. Pelancong antarabangsa khususnya dari negara maju beranggapan bahawa Malaysia merupakan destinasi percutian yang murah dan kompetitif kerana kadar tukaran asing yang menarik.

Pakar runding pelabur asing dan kakitangan syarikat multinasional yang berurusan di negara ini juga tertarik oleh  kemajuan ekonomi negara yang pesat sehingga Lembah Klang menjadi tumpuan kerana terdapatnya ibu pejabat institusi kewangan antarabangsa dan syarikat teknologi tinggi. Hal ini ditambahkan pula dengan usaha kerajaan Malaysia memajukan sektor pendidikan pengajian tinggi serta industri kesihatan dan perubatannya melalui promosi yang agresif. Penganjuran acara sukan bertaraf dunia dan persidangan antarabangsa juga meletakkan Malaysia di peta pelancongan sukan dan forum. Begitu juga dengan pembinaan pusat konvensyen, seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, (PICC), dan Dewan Persidangan Hotel bertaraf lima bintang telah merancakkan ketibaan pelancong yang gemar menyertai perbincangan pada peringkat tinggi serta acara korporat antarabangsa.

Jelaslah perspektif tentang sektor pelancongan di Malaysia telah menjangkau segmen di luar tarikan keindahan alam semula jadi. Strategi ini memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk menawarkan produk pelancongan yang lebih berdaya saing. Sumbangan sektor pelancongan kepada pendapatan negara akan terus meningkat. Kedudukan ekonomi yang maju, politik yang stabil, sosial yang harmoni dan keselamatan yang baik menjadi resipi utama bagi menarik lebih banyak pelancong asing. Kedatangan hampir 30 juta orang asing saban tahun membuktikan bahawa Malaysia memiliki masa depan yang sangat cemerlang dalam sektor pelancongan.

                       (Dipetik dan diubah suai daripada "Pelancongan Menyuntik Pendapatan Negara" oleh Danilah Kamarul)


Bahan 2 - Grafik





            Fokus 1 - Faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong
           Fokus 2 - Usaha-usaha meningkatkn industri pelancongan di       Malaysia

Pendahuluan:

Rumusan membincangkan faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong dan usaha-usaha untuk meningkatkan industri pelancongan.                                                                                                                                        [2 markah]

Isi-

Fokus 1 - Faktor

F1B1 - Rencana

Bahan 1

1.   Banyak tempat menarik untuk dilawati.

2.   Keadaan iklim semula jadi negara ini yang panas dan lembap sepanjang tahun.

3.   Malaysia memiliki sejarah pembentukan negara bangsa yang sangat unik.

4.  kepelbagaian budaya dan ethnik

5.   Kegiatan seni dan manipulasi fabrik suku kaum Kadazan dan Iban.

6.   Udara yang segar tanpa pencemaran.

7.   destinasi percutian yang murah dan kompetitif kerana kadar tukaran asing yang menarik.

8.   Kemajuan negara yang pesat

9.   Kedudukan ekonomi yang maju,politik stabil,sosial yang harmoni dan keselamatan yang baik

 

 

Bahan 2 - Grafik

F1B2

1.   Terdapat lokasi yang cantik dan menarik 

2.  Bajet yang murah

2.  dapat menimba pengalaman pelbagai budaya 

4.   Pengangkutan yang mudah untuk ke tempat-tempat pelancongan  

 

Fokus 2- Usaha

F1B1

1.   Kerajaan memajukan sektor pendidikan pengajian tinggi serta industri kesihatan dan perubatannya melalui promosi.

2.   Pengajuran acara sukan bertaraf dunia dan persidangan antarabangsa

3.   Pembinaan pusat konvensyen dan Dewan Persidangan Hotel bertaraf lima bintang.

 

 

Kesimpulan :

1.   Kesimpulannya, kerajaan hendaklah memperkasakan sektor pelancongan agar negara lebih makmur.

 

2.   Kesimpulannya, sektor pelancongan hendaklah diperkasakan oleh pihak kerajaan  agar negara lebih makmur.                                      [ 2 markah]




CONTOH JAWAPAN RUMUSAN:

       Rumusan membincangkan faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong dan usaha-usaha untuk  meningkatkan industri pelancongan.  √ P 2


       Antara faktor yang menarik kedatangan pelancong ialah terdapat banyak tempat menarik untuk  dilawati √ (F1B1) dan kemajuan negara yang pesat (F1B1) Selain itu, keadaan iklim semula jadi negara ini yang panas dan  lembap sepanjang tahun (F1B1) dan udara yang segar tanpa penncemaran turut menjadi faktor. √ (F1B1) Malaysia juga memiliki sejarah pembentukan negara bangsa yang sangat unik.√(F1B1) Seterusnya, terdapat kegiatan seni dan manipulasi fabrik suku kaum Kadazan dan Iban (F1B1) dan pelancong dapat menimba pengalaman daripada kepelbagaian budaya yang ada. (F1B2) 


Antara usaha untuk meningkatkan industri pelancongan ialah dengan penganjuran acara sukan bertaraf dunia  dan persidangan antarabangsa.√(F2B1) Seterusnya, pembinaan pusat konvensyen dan Dewan Persidangan Hotel  bertaraf lima bintang.(F2B1)


       Kesimpulannya, kerajaan hendaklah memperkasakan sektor pelancongan  agar negara lebih makmur. √ K2

                                                                                  ( 120 patah perkataan)


PENDAHULUAN (P)    = 2

ISI                   (8)   = 16

KESIMPULAN     (K)   = 2

______________________

JUMLAH                    = 20

BAHASA                    = 10

______________________

JUMLAH                     =30

______________________


4 ulasan:

annabell berkata...

assalamualaikum cikgu..saya nak minta izin guna bahan ini untuk pelajar sekolah saya.. terima kasih

Cikgu Kalsom berkata...

walaikumsalam wbt
saya izinkan. semoga bermanfaat.

Cg Mohammad berkata...

Mohon izin guna...sangat bermanfaat.

Tanpa Nama berkata...

Salam cikgu saya mohon kebenaran untuk menggunakan bahan ini.. terima kasih atas perkongsian sangat bermanfaat.