HALAMAN 2

Jumaat, 24 Januari 2014

SOALAN RUMUSAN SPM 2013




Baca petikan di bawah dengan teliti , kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan hutan bandar dan cara-cara mengekalkan hutan bandar.  Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kawasan bandar merupakan penyumbang utama pembebasan karbon dioksida yang menjadi punca utama pencemaran udara.  Oleh itu, kewujudan hutan bandar penting bagi mengurangkan masalah ini.  Hutan bandar merupakan tumbuh-tumbuhan yang sedia ada dan juga pokok-pokok yang ditanam secara sistematik di persekitaran Bandar.  Hutan Bandar berperanan untuk menyediakan kawasan hijau yang berkualiti bagi mengimbangi binaan batu dan struktur lain yang mendominasi lanskap bandar. 

            Hutan Bandar berfungsi untik mengurangkan kesan negatif akibat kemerosotan kualiti alam sekitar di kawasan bandar.  Ketika ini, hutan bandar menjadi semakin relevan dan sangat berpotensi untuk mengurangkan masalah pencemaran udara.  Di samping itu, masalah pemanasan global juga dapat dikurangkan melalui penghutanan Bandar.  Pokok pinggiran jalan yang ditanam pula dapat dijadikan peneduh daripada panas matahari.  Namun demikian, pemilihan pokok yang sesuai perlu diambil kira oleh pihak berkuasa tempatan.  Umpamanya, penanaman pokok palma, walaupun cantik, tidak membawa banyak faedah sebagai peneduh kerana saiz kanopinya yang kecil berbanding dengan pokok-pokok besar yang lain.  Begitu juga pokok angsana, walaupun rendang tetapi dahannya mudah patah dan membahayakan orang ramai.

            Pada masa yang sama, pokok besar yang ditanam di sekitar bandar  seperti Khaya senegalensis dan Samanea saman berfungsi untuk menyerap karbon dioksida di atmosfera.  Karbon dioksida yang diserap berubah ke bentuk biojisim yang disimpan sebagai karbon sama ada di bahagian akar atau di bahagian batang, daun dan dahan.  Peranan utama pokok yang menjadi penyumbang kepada perhutanan bandar adalah untuk mengurangkan masalah perubahan iklim.  Hal ini demikian kerana pokok yang ada di sesuatu kawasan bandar dipercayai dapat memberikan sumbangan bukan sahaja di kawasaan  bandar tersebut bahkan di peringkat global.  Oleh itu, hutan bandar sememangnya   penting dalam melengkapkan ekosistem bandar. 

            Berbeza dengan hutan hujan tropika yang berfungsi untuk mengurangkan kerosakan tanah, menyediakan sumber makanan dan perlindungan kepada pelbagai jenis haiwan, hutan bandar pula dapat meminimumkan kerosakan akibat hakisan tanah.  Hal ini disebabkan kewujudan hutan bandar sedikit sebanyak telah dapat menangani masalah kejadian tanah runtuh di kawasan bandar..  oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi menjamin pengekalan pokok besar yang sedia ada di kawasan bandar.  Usaha ini penting demi meningkatkan kualiti udara di bandar di samping manfaatnya terhadap alam sekitar secara keseluruhan.

                        (Dipetik dan diubah suai daripada , ‘Hutan Bandar’ oleh Ahmad Aazaruddin Mohd Noor dan Adnan Mohamad, Dewan Kosmik, Jun 2011.)

Soalan 2 - Pemahaman petikan umum. 

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut menggunakan ayat anda sendiri.

(i)            Berikan maksud secara sistematik.                               [2 markah]

(ii)           Pengarang ada menyatakan beberapa fungsi hutan hujan tropika. 
          Nyatakan fungsi-fungsi tersebut                                  [2 markah]

(iii)         Usaha-usaha memupuk semangat cinta akan hutan perlu bermula      pada peringkat sekolah.  Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha  yang perlu dilakukan untuk memupuk  semangat tersebut?                                                                                                 [4 markah]


SILA RUJUK SKEMA DI SINI


© 2014 Hak Cipta Terpelihara.  cikguchom.bolgspot.com

Tiada ulasan: