Sabtu, 17 Ogos 2013
LATIHAN CERPEN HUTAN RIMBA - SET 1
SET 1
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Mak Tua ialah gadis sungai yang Pak Tua kenali ketika Pak Tua menaiki kapal yang menyusuri Sungai Kinabatangan menuju ke hulu membuka kem kayu balak. 40 tahun yang lalu Bandar Sandakan dan daerah Kinabatangan hanya dihubungkan dengan pengangkutan sungai. Lantas, gadis sungai yang sedang mandi-manda sambil membasuh pakaian di lanting bersama dengan kawan-kawannya itu akhirnya membenihkan cinta pertama dalam hati Pak Tua. Tepukan Pak Tua berbalas. Namun perkahwinan mereka mendapat tentangan daripada keluarga Mak Tua. Alasannya kerana Pak Tua bukan orang peribumi. Pak Tua hanyalah seorang perantau dari Negara jiran. Keluarga Mak Tua khuatir jika Mak Tua akan dibawa ke Negara asal Pak Tua, tetapi Pak Tua memberi jaminan yang dia akan menetap di Sabah. Berkat keluhuran budi Pak Tua dan sokongan ayah Mak Tua sebagai wali, akhirnya Pak Tua berhasil memiliki Mak Tua. Mereka hidup bahagia. Apalagi setelah dikurnia empat orang anak.
(Dipetik daripada cerpen ‘Hutan Rimba’ oleh Sasjira dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Kenapa keluarga Mak Tua menentang perkahwinan Pak Tua dengan Mak Tua? ( 2 markah )
(ii) Pada pendapat anda, kenapakah Mak Tua tertarik dan menerima cinta Pak Tua? ( 3 markah )
(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat yang terdapat dalam petikan di atas. ( 4 markah )
Cadangan Jawapan
(i) Keluarga Mak Tua menentang perkahwinan antara Pak Tua dengan Mak Tua kerana Pak Tua bukan salah seorang daripada ahli masyarakat tempatan. Mereka khuatir Pak Tua akan membawa Mak Tua ke negara asal Pak Tua.
(ii) Pada pendapat saya, Mak Tua tertarik kepada Pak Tua adalah kerana Pak Tua mencintai Mak Tua dengan ikhlas. Selain daripada itu, Mak Tua juga mungkin tertarik dengan ketabahan dan ketekunan Pak Tua bekerja mencari rezeki untuk menyara hidup. Mak Tua juga mungkin tertarik dengan ketampanan Pak Tua berbanding dengan pemuda tempatan di kampung itu.
(iii) Nilai pertama yang dapat dikesan dalam petikan ialah nilai cinta antara jejaka dan gadis. Jejaka itu adalah Pak Tua semasa empat puluh tahun yang lampau telah jatuh cinta pandang pertama kepada Mak Tua yang merupakan seorang gadis tempatan di Sabah. Manakala nilai yang kedua yang dapat dikesan ialah nilai keikhlasan atau keluhuran budi. Nilai ini terdapat pada diri Pak Tua sehingga ayah Mak Tua percaya dan menerimanya sebagai menantu.
Labels:
Latihan Cerpen Hutan Rimba
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan