HALAMAN 2

Khamis, 20 September 2018







SINOPSIS UMUM
NOVEL SILIR DAKSINA

Novel Silir Daksina mengisahkan seorang remaja bernama Haiqal Hakimi yang hidup bersama-sama dengan umi, bapa tirinya, dan adik tirinya, Nurul Asiyah di Kuala Terengganu, Terengganu. Bapa Haiqal, iaitu Abdullah bin Kayan berada di Kampung Seri Purnama, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Haiqal terpisah dengan bapanya apabila uminya berpisah dengan bapanya kerana mereka tidak sehaluan. Uminya yang merupakan seorang usahawan batik dan mempunyai kedai di Pasar Payang tidak dapat menerima bapanya sebagai seorang pencinta seni sastera dan budaya. Akibatnya, perkahwinan antara mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Sejak kecil Haiqal tidak pernah berjumpa dengan ayahnya. Ketika berusia 12 tahun, bapanya telah meninggal dunia sewaktu Haiqal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Umi dan bapa tirinya pergi ke kampung arwah ayahnya untuk menziarahi jenazah tetapi melarang Haiqal untuk turut sama atas alasan dia sedang menduduki UPSR. Haiqal hanya mampu menangis kerana tidak dapat melihat wajah ayahnya buat kali terakhir. Walaupun Haiqal berasa terkilan namun dia amat menyayangi uminya dan tidak berani membantah kata-katanya. Pada suatu hari, Haiqal menerima sebuah manuskrip yang dihantar oleh seorang gadis berbangsa Cina melalui kiriman pos. Sejak itu, hati Haiqal meronta-ronta untuk pergi ke Batu Pahat, iaitu tempat arwah bapanya tinggal. Manuskrip yang diterima itu menceritakan pelbagai peristiwa berkaitan dengan kehidupan bapanya yang melibatkan diri dalam aktiviti untuk memperkasa seni dan budaya zapin. Justeru, Haiqal berasa teruja untuk menjejaki sejarah kehidupan bapanya itu bagi mengubat kerinduan yang ditanggung olehnya sejak kecil.
Pada suatu malam, Haiqal telah memberitahu uminya bahawa dia ingin ke kampung halaman bapanya. Umi Haiqal melarang Haiqal meneruskan rancangannya itu dan memarahinya dengan alasan tiada apa-apa di kampung tersebut memandangkan ayahnya sudah lama meninggal dunia. Haiqal yang telah nekad tetap berkeras dengan keputusannya itu. Umi Haiqal mengugut Haiqal bahawa dia tidak akan memberikan wang kepadanya sekiranya dia kekampung arwah ayahnya itu. Walid memahami perasaan Haiqal dan merestukan pemergiannya. Walid akan menampung perbelanjaan Haiqal sepanjang dia berack di Johor kelak.

Haiqal ke selatan tanpa diiringi oleh uminya. Di halaman rumah, walid dan adik tirinya, Nurul Asiyah sahaja yang mengiringi Haiqal hingga ke muka pintu. Haiqal dihantar oleh Ratna ke stesen bas. Haiqal sampai di stesen bas Batu Pahat pada waktu subuh. Selesai menunaikan solat subuh di surau, Haiqal menaiki sebuah teksi untuk ke Parit Raja, iaitu kampung halaman bapanya.

Di sebuah warung, Haiqal bertanya kepada pemilik warung tersebut tentang rumah arwah ayahnya. Pemilik warung tersebut, iaitu Wak Sakimin menyuruhnya menunggu Tauke Ong untuk membawa Haiqal ke rumah arwah ayahnya. Tidak lama kemudian, Tauke Ong tiba di warung Wak Min. Tauke Ong menghantar Haiqal ke rumah arwah ayahnya. Haiqal disuruh berehat dan dia akan membawa Haiqal makan tengah hari di bandar. Di rumah arwah ayahnya, Haiqal melihat beberapa sijil dan gambar yang ada. Haiqal mendapati arwah ayahnya, Abdullah bin Kayan adalah lebih hebat daripada yang dia sangkakan.

Tepat jam 12:30 tengah hari, Tauke Ong dan anaknya, See Hwa datang untuk membawa Haiqal makan tengah hari. Sewaktu di dalam kereta, Tauke Ong memberitahu bahawa banyak kerja yang Haiqal perlu uruskan. Tauke Ong memegang amanah untuk menguruskan ladang kelapa sawit dan kebuh getah milik arwah ayah Haiqal dan dia akan menyerahkan semua urusan itu kepada Haiqal.
Setibanya di pekan Parit Raja, Tauke Ong memberitahu Haiqal bahawa dia ada urusan di bank dan meminta anaknya, See Hwa membawa Haiqal makan di sebuah restoran. Di restoran itu, See Hwa berbual-bual dengan Haiqal tentang tempat tinggal masing-masing. Pada waktu itu, Haiqal teringatkan rakan karibnya, Ratna. Sejak tiba di kampung pada pagi itu, dia masih belum menghantar SMS kepada Ratna. Semasa makan, See Hwa memberitahu bahawa ayah Haiqal pandai memasak ciii padi ikan haruan. Haiqal merasakan bahawa See Hwa beruntung kerana dapat merasai kasih sayang arwah ayahnya dan dapat mengisi kekosongan jiwa arwah ayahnya itu. Haiqal ingin mendekati See Hwa kerana dia yakin bahawa See Hwa banyak menyimpan rahsia hidup ayahnya. Dia jugs membuat telahan bahawa watak Ai Ling dalam manuskrip yang ditulis oleh arwah ayahnya itu ialah See Hwa.

See Hwa membawa Haiqal berjalan-jalan di sekitar pekan Parit Raja dan mereka berhenti di sebuah kedai buku. See Hwa memilih-milih novel yang hendak dibelinya manakala Haiqal membeli majalah yang berkaitan dengan bahasa dan sastera. Ketika itu, mereka mendapati bahawa mereka meminati penulis yang sama. Pertemuan itu telah menimbuikan kemesraan antara mereka berdua. Pada petang itu, Haiqal tersedar daripada tidurnya. Haiqal membaca SMS yang dihantar oleh Nurul Asiyah dan membaiasnya.
 Haiqal menziarahi pusara ayahnya dengan menaiki motosikal yang dipinjamkan oleh Tauke Ong. Haiqal membaca surah al-Fatihah dan berselawat ke atas nabi, seterusnya membaca surah Yaasin. Semasa Haiqal menunggang motosikal, hatinya tergerak untuk memberhentikan motosikalnya berhampiran dengan sekumpulan remaja yang sedang memancing ikan. Haiqal berbual-bual dengan Pak Cik Bakar. Pak Cik Bakar mempelawa Haiqal ke rumahnya untuk bercerita lebih lanjut tentang arwah ayahnya. Selepas menunaikan solat maghrib dan isyak di masjid, Haiqal ke warung Wak Min untuk mengisi perut. Haiqal, Pak Cik Bakar, Wak Arif, dan Haji Salim berbual-bual mengenai tarian zapin.

Pada suatu hari, Haiqal telah dibawa ke balai raya Kampung Seri Purnama. Di situ, Haiqal dapat melihat hasil kegiatan ayahnya. Beberapa album, majalah, dan buku-buku milik arwah ayahnya juga dipamerkan di situ. Haiqal sedar bahawa ayahnya benar-benar seorang penari zapin. Di warung, Haigal bertanya tentang Aksara kepada See Hwa dan memberitahu bahawa perkara itu ada dalam manuskrip ayahnya. See Hwa memberitahu bahawa Aksara merupakan satu-satunya perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh arwah ayah Haiqal sebelum dia meninggal dunia. See Hwa juga menjelaskan bahawa Aksara ialah singkatan kepada Akademi Sastera Rakyat dan arwah ayah Haiqal bercita-cita untuk menjadikan kampung Seri Purnama sebagai pusat pengembangan sastera di daerah itu. Arwah ayah Haiqal amat mencintai bidang sastera rakyat dan menganggap bahawa tugas itu sebagai satu tanggungjawab sosial yang mesti dilaksanakan untuk mendekatkan masyarakat dengan sastera.

Haiqal telah mencadangkan kepada Pak Cik Bakar untuk mengadakan persembahan tarian zapin. Cadangan Haiqal itu dikemukakan kepada ketua kampung. Mesyuarat untuk membincangkan cadangan Haiqal telah diadakan di balai raya dan cadangan Haiqal itu diterima sebulat suara oleh penduduk kampung. Pembahagian tugas sempena majlis yang bakal diadakan itu turut dilakukan pada malam tersebut. Tauke Ong menawarkan diri untuk menaja jamuan semasa majlis itu berlangsung kelak. Oleh itu, persiapan sempena majlis tersebut dilakukan oleh penduduk kampung. Haiqal juga turut serta dalam membuat persiapan itu. Tauke Ong mencadangkan agar Haiqal turut mempelajari tarian zapin. Haiqal akur apabila Pak Cik Bakar, Haji Selamat, Wak Parmin, Abang Ramlan, dan Wak Seman bersungguh-sungguh mahu mengajarnya tarian zapin.

Seminggu sebelum acara persembahan itu, Haiqal telah memaklumkan kepada walidnya tentang tarian zapin jincat itu. Dia meminta walid, umi, dan Nurul Asiyah mendoakannya agar dapat mempersembahkan tarian itu dengan baik. Pada hari majlis tersebut, mereka mendapat berita bahawa Lazim telah ditimpa kemalangan jalan raya sewaktu pulang dari kerja. Haji Salim mengemukakan cadangan supaya See Hwa menggantikan Lazim memandangkan Lazim tidak dapat menjadi pasangan Haiqal untuk persembahan tarian tersebut. Haji Salim menyuruh Haiqal memujuk See Hwa untuk menari zapin dengannya.

Selepas solat maghrib, Haiqal ke rumah Tauke Ong. Dia memberitahu Tauke Ong tentang tujuannya untuk memujuk See Hwa supaya berpasangan dengannya pada malam itu. Haiqal terkejut apabila mendapati See Hwa sedang menggosok baju zapin. See Hwa berterus terang kepada Haiqal bahawa dia dan Lazim sudah berpakat untuk membuat kejutan kepada Haiqal. Haiqal meminta See Hwa menari bersamanya bagi menggantikan tempat Lazim.

Akhirnya, malam itu menjadi kenyataan apabila Haiqal dapat mempersembahkan tarian zapinnya dengan baik. YB Datuk Syaiful Azizi terpesona melihat kelembutan gerak tari See Hwa dan Haiqal. Ketika asyik menari, Haiqal terpandang uminya, walid, dan Nurul Aisyah yang sedang berdiri di belakang balai raya sambil melihatnya menari di atas pentas. Haiqal amat terharu dan bersyukur apabila melihat mereka datang untuk melihatnya menari.

Haiqal membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya di sebuah universiti di Bumi Kenyalang. Haiqal percaya bahawa dendam uminya terhadap ayahnya juga telah lebur apabila uminya datang ke Kampung Seri Purnama untuk melihat dia menari zapin. Umi Haiqal sedar bahawa darah merah yang mengalir dalam setiap pelosok tubuh Haiqal merupakan darah Abdullah bin Kayan yang tidak boleh dinafikan. Sahabat Haiqal, iaitu Ratna telah bertunang dengan seorang usahawan. Ketika Haiqal meninggalkan Kampung Seri Purnama, See Hwa telah menangis. Haiqal sedar bahawa dia perlu menjadi seperti ayahnya untuk mewujudkan Aksara semula. Hasrat itu masih terlalu jauh daripada jangkauannya kerana dia masih belum layak untuk memimpin Aksara. Haiqal merasakan bahawa silir daksina benar-benar mendamaikannya.



1 ulasan:

Crypto Technical Helpline berkata...

Are you a newbie in the world of GDAX digital wallet? Do you want to understand the function of GDAX wallet? To get each and single information about GDAX, all you can dial GDAX support and get in touch with the professionals who are available day and night and are always there at the service of the users. Whether its day or night, you can always speak to the professionals and they will be ready to assist you at any point of time. Their motto is to serve the users.