HEBAT
RUMUSAN SPM 2020
Latihan
Rumusan dan Pemahaman Petikan Rumusan.
Baca petikan di bawah dengan teliti,
kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan
memiliki aura positif dan
cara-cara membentuk aura positif dalam
kalangan remaja. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Aura boleh diertikan
sebagai suatu medan tenaga yang hidup tetapi tidak dapat dilihat oleh mata
kasar dalam diri seseorang. Aura tenaga ini terdiri daripada ion positif dan
ion negatif. Aura seseorang itu memancar dan berupaya mempengaruhi setiap orang
di sekelilingnya. Remaja yang beraura positif sememangnya senang didekati
kerana aura positif yang terpancar di wajahnya akan menjadi magnet menarik
perhatian orang lain untuk mendekati dirinya.
Persekitaran keluarga yang
positif berperanan penting dalam usaha untuk membina aura positif. Ibu bapa
yang sentiasa mengungkapkan kata-kata positif pastinya dapat membentuk sikap
anak-anak yang tidak berputus asa dan tidak menganggap kegagalan sebagai suatu
musibah yang besar. Pada masa yang sama, ibu bapa yang mengekalkan aura positif
akan sentiasa mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang sehingga mampu
menjadikan anak- anak berfikiran matang khususnya dalam membantu remaja
menghadapi fasa kritikal pencarian identiti dan tujuan hidup. Selain itu,
pendekatan psikologi perlu digunakan dalam mendidik anak- anak agar anak-anak
lebih berkeyakinan dan berusaha membaiki kelemahan dirinya.
Secara umumnya, remaja
sering ditimpa sesuatu perkara yang membuatkannya berubah menjadi marah dan
sedih. Keadaan ini menyebabkan gelombang negatif masuk ke dalam tubuh remaja
tersebut. Dalam hal ini, remaja yang beraura positif berupaya mengawal keadaan
emosi, mental, fizikal dan tahap kerohanian dalam dirinya. Hakikatnya, semua
aura pada asalnya bersifat positif tetapi perasaan negatif dalam diri seseorang
dapat menukarkan aura positif kepada aura negatif. Selain itu, keadaan fizikal
yang lemah disebabkan sakit, depresi atau keletihan dapat mengganggu lingkaran
aura positif yang menyelubungi diri. Malahan pengaruh oleh elemen dari luar
atau dalaman seseorang itu sendiri turut menyumbang kepada perubahan tersebut.
Remaja sering mempelajari
sesuatu perkara daripada sumber penyalur informasi seperti media massa.
Rancangan yang berunsurkan keganasan dan seksual tidak sesuai untuk ditonton
oleh golongan remaja yang tahap pemikirannya masih belum matang. Tidak mustahil
juga aksi dan perlakuan negatif yang
dipersembahkan oleh media itu akan ditiru oleh remaja yang akan mengurangkan
lagi aura positif anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu melaksanakan
aktiviti yang boleh menyuburkan minda mereka
dengan pelbagai ilmu yang bermanfaat. Hasilnya, anak- anak lebih bijak memilih
bahan media yang betul. Sesungguhnya, anak-anak yang beraura positif memiliki
keperibadian yang baik dan bercita-cita untuk berjaya dalam kehidupan.
Dipetik
dan diubah suai daripada
“ Persekitaran membentuk aura positif
remaja”Oleh Noraziah Mohd Amin Dewan
Bahasa, Julai 2017
Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan soalan 1,
jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan
maksud rangkai kata menyuburkan minda.
[2 markah]
(ii)
Pengarang
menyatakan beberapa keadaan yang boleh menukarkan aura positif kepada aura
negatif dalam diri seseorang.
Nyatakan
keadaan-keadaan tersebut.
[3 markah]
(iii)
Segelintir
remaja sering berdepan dengan masalah tekanan perasaan dalam kehidupan mereka.
Pada
pendapat anda, apakah punca-punca remaja menghadapi masalah tersebut?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan