HALAMAN 2

Isnin, 16 Jun 2014

CONTOH JAWAPAN KARANGAN PEPERIKSAAN SETENGAH TAHUN 2014

SMK DATO' SYED ESA, BATU PAHAT, JOHOR
CONTOH JAWAPAN KARANGAN PEPERIKSAAN SETENGAH TAHUN 2014
BAHASA MELAYU TINGKATAN 1

BAHAGIAN B

 


 Soalan 1
Beri pendapat anda tentang kebaikan budaya membaca.

                          
                Memang tidak dapat dinafikan, budaya membaca merupakan suatu amalan mulia yang perlu dipraktikkan oleh semua orang.  Terdapat pelbagai bahan bacaan yang  boleh dibaca seperti buku, majalah, surat khabar dan sebagainya.  Budaya membaca banyak kebaikannya.   Justeru budaya membaca perlu dipupuk sejak kecil supaya menjadi amalan apabila dewasa kelak , bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Persoalannya , apakah kebaikan-kebaikan budaya membaca ini?

            Sebenarnya, amalan membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan, sesuai dengan cogan kata Membaca Jambatan Ilmu.  Pelbagai bidang  ilmu pengetahuan dapat diperoleh melalui membaca seperti bidang  keagamaan, kesusasteraan, kebudayaan, sosial, hiburan, pelajaran dan sebagainya.  Dengan ini, akan lahir generasi berilmu pengetahuan tinggi dan dapat menabur bakti kepada kemajuan negara pada masa depan seperti cogan kata Rakyat Berilmu, Negara Maju.

            Selain itu, perbendaharaan  kata seseorang juga dapat ditambah melalu pembacaan.  Hal ini demikian kerana , banyak kosa kata yang baharu dapat diketahui dengan membaca pelbagai bahan bacaan.  Kosa kata baharu seperti lestari, hakikat, sahsiah, marcapada, patriotik, duniawi dan sebagainya sangat menarik untuk diketahui.  Kita juga boleh merujuk kamus untuk mendapatkan maksud perkataan-perkataan tersebut dan menggunakannya semasa menulis karangan.  Karangan yang dihasilkan akan lebih bermutu kerana penggunaan kosa kata yang luas membantu seseorang menghuraikan isi karangan dengan lebih matang dan baik.

            Seterusnya, membaca pelbagai bahan  bacaan terutama buku-buku teks dan buku-buku rujukan merupakan suatu persediaan kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan.  Seseorang pelajar umpamanya akan sentiasa membaca buku dan bukan hanya saat-saat akhir menjelang peperiksaan sahaja.  Sekiranya budaya membaca menjadi amalan hidup seseorang pelajar, mereka akan sentiasa bersedia dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan.  Oleh itu, tidak dapat dinafikan kecemerlangan dalam peperiksaan akan dapat dikecapi.

            Pada masa kini, terdapat segelintir golongan remaja yang mengisi masa lapang dengan perkara-perkara yang sia-sia kurang  berfaedah seperti bermain permainan komputer dan melayari internet dalam tempoh yang lama.  Justeru, sekiranya membaca menjadi amalan hidup, golongan remaja ini dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah.  Masa itu emas.  Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.  Oleh itu, remaja yang gemar membaca merupakan remaja yang bijak mengisi masa dengan aktiviti yang  berfaedah.
          
        Kesimpulannya, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya.  Justeru semua pihak terutama generasi muda mestilah mengamalkan budaya membaca ini demi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan dan berkualiti.  Generasi muda merupakan pewaris kepimpinan  negara pada masa depan.  Justeru, budaya membaca dapat melahirkan bakal pemimpin yang berilmu dan berwibawa yang mampu memimpin negara ke mercu kemajuan dan kegemilangan.




CONTOH KARANGAN

Soalan 2
Andaikan bahawa sahabat pena anda ingin  mengetahui kebaikan  budaya membaca.  Tulis sepucuk surat kepada sahabat anda itu.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                        No. 11, Jalan Cempenai
                                                                                                                                                                                           Taman Nira, 83000,
                                                                                                                                                                                            Batu Pahat,
                                                                                                                                                                                            Johor. Malaysia.

                                                              12 Jun 2014


              Ke hadapan sahabatku Zul Imran, yang berada di Jakarta Indonesia. Apa khabar saudara?  Saya berharap saudara sekeluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga.  Saya di sini berserta keluarga juga  dalam keadaan sihat dan gembira.

Saudara Zul Imran.
                Surat saudara telah selamat saya terima pada minggu lepas.  Saya mengucapkan terima kasih kerana saudara sudi mengutus surat kepada saya di Malaysia.  Saya telah membaca surat tersebut dan memahami hasrat saudara hendak mengtahui tentang kebaikan-kebaikan budaya membaca.  Memang benar saudaraku.  Budaya membaca memang mendatangkan  banyak faedah terutama dalam memacu kejayaan sesebuah bangsa seperti cogan  kata Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya.

Saudaraku,
                Memang tidak dapat dinafikan, budaya membaca merupakan suatu amalan mulia yang perlu dipraktikkan oleh semua orang.  Terdapat pelbagai bahan bacaan yang  boleh dibaca seperti buku, majalah, suratkhabar dan sebagainya.  Budaya membaca banyak kebaikannya.   Justeru budaya membaca perlu dipupuk sejak kecil supaya menjadi amalan apabila dewasa kelak , bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.  

                Sebenarnya, saudaraku, amalan membaca juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan, sesuai dengan cogan kata Membaca Jambatan Ilmu.  Pelbagai bidang  ilmu pengetahuan dapat diperoleh melalui membaca seperti bidang  keagamaan, kesusasteraan, kebudayaan, sosial, hiburan, pelajaran dan sebagainya.  Dengan ini, akan lahir generasi berilmu pengetahuan tinggi dan dapat menabur bakti kepada kemajuan negara pada masa depan seperti cogan kata Rakyat Berilmu, Negara Maju.  Saya berasa saudara juga bersetuju dengan pendapat saya itu.

                 Tahukah saudara, membaca juga dapat menambahkan perbendaharaan  kata seseorang .  Hal ini demikian kerana , banyak kosa kata yang baharu dapat diketahui dengan membaca pelbagai bahan bacaan.  Kosa kata baharu seperti lestari, hakikat, sahsiah, marcapada, patriotik, duniawi dan sebagainya sangat menarik untuk diketahui.  Kita juga boleh merujuk kamus untuk mendapatkan maksud perkataan-perkataan tersebut dan menggunakannya semasa menulis karangan.  Karangan yang dihasilkan akan lebih bermutu kerana penggunaan kosa kata yang luas membantu seseorang menghuraikan isi karangan dengan lebih matang dan baik.

                Seterusnya, membaca pelbagai bahan  bacaan terutama buku-buku teks dan buku-buku rujukan merupakan suatu persediaan kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan.  Seseorang pelajar umpamanya akan sentiasa membaca buku dan bukan hanya saat-saat akhir menjelang peperiksaan sahaja.  Sekiranya budaya membaca menjadi amalan hidup seseorang pelajar, mereka akan sentiasa bersedia dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan.  Oleh itu, tidak dapat dinafikan kecemerlangan dalam peperiksaan akan dapat dikecapi.

Saudara yang dihormati,

                Pada masa kini, amat menyedihkan,  terdapat segelintir golongan remaja yang mengisi masa lapang dengan perkara-perkara yang sia-sia kurang  berfaedah seperti bermain permainan komputer, berlumba motosikal, melepak dan melayari internet dalam tempoh yang lama.  Justeru, sekiranya membaca menjadi amalan hidup, golongan remaja ini dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah.  Masa itu emas.  Oleh itu peringatan untuk saudara dan saya juga masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. 
 
                Akhir kata, sebelum saya mengakhiri warkah ini , saya ingin menyeru semua pihak terutama generasi muda mestilah mengamalkan budaya membaca ini demi melahirkan rakyat   yang berilmu pengetahuan dan berkualiti.  Saya berharap , coretan saya dapat memberi manfaat kepada saudara.     Sebelum mengundurkan diri, sampaikan salam saya kepada ahli keluarga saudara di Jakarta.  Semoga kita dapat bertemu lagi pada masa depan.  Sekian, terima kasih.
                                                                                                                                                                                                             Sahabatmu,
                                                                                                                                                                                                            Muhd Azhar Yassin.

Tiada ulasan: