HALAMAN 2

Isnin, 23 Mac 2020

Ulang kaji - soalan rumusan spm November 20I9


Soalan 1 :  Rumusan
(30 markah)
Baca petikan dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan-peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan cara-cara menarik minat ibu bapa bergiat aktif dalam PIBG. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


        Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ialah entiti utama sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam Akta Pendidikan I96I.  Objektif penubuhan PIBG perlulah mendukung visi selari dengan dasar-dasar negara seperti Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Pendidikan Malaysia.  Sehubungan dengan itu, PIBG berfungsi sebagai wahana yang membolehkan  ahli berkongsi maklumat melalui pelbagai medium.  Namun demikian, penglibatan ibu bapa dalam menjayakan aktiviti PIBG masih rendah.

          Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahliannya hendaklah terdiri daripada guru sekolah tersebut dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah tersebut.  Pihak PIBG mengadakan program-program yang dapat menemukan ibu bapa dengan guru-guru yang mengajar anak mereka untuk menjalin ukhuwah antara kedua-dua pihak.  Seterusnya, PIBG juga dapat merapatkan hubungan sesama ibu bapa demi kebajikan anak-anak mereka. Mereka dapat berjumpa dan bertanya khabar semasa perjumpaan Mesyuarat Agung PIBG dan program gotong-royong yang diadakan pada setiap tahun. Di samping itu, PIBG juga boleh menjadi perantara pihak tertentu dengan pihak sekolah.  Misalnya, PIBG dijadikan platform oleh pihak luar untuk melaksanakan  aktiviti yang memberi faedah kepada sekolah.  Selain itu, pihak PIBG juga boleh membantu untuk menyelesaikan masalah ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir guru.

          Selari dengan perlembagaan, PIBG boleh bertindak untuk melengkapkan prasarana fizikal sekolah seperti penyediaan akses jalur lebar, perpustakaan yang lengkap dan kemudahan sukan yang berkualiti.  Bagi meningkatkan pencapaian akademik pula, PIBG boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk menambah sumber kewangan yang dapat memberi manfaat kepada warga sekolah.  Dalam hal ini, PIBG perlu merancang dan melaksanakan pelbagai program seperti aktiviti amal dan mendapatkan sumbangan daripada pihak tertentu.  Malah, pihak PIBG juga dapat membantu menjayakan sesuatu program yang dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan diri secara langsung dalam semua program.  PIBG juga boleh bertindak sebagai penganjur aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan mengadakan hari kerjaya, forum perdana dan pemeriksaan kesihatan.  Namun demikian, terdapat sesetengah ahli PIBG khususnya ibu bapa tidak memberikan kerjasama terhadap aktiviti-aktiviti tersebut.

          Sesungguhnya, PIBG dapat membantu pihak sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum dengan mengambil langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik.  Hal ini demikian kerana kejayaan dalam membangunkan modal insan bukan hanya terletak pada bahu pihak sekolah mahupun pihak kerajaan tetapi turut didukung oleh ibu bapa.  Oleh itu, usahlah kita memandang enteng akan kewibawaan PIBG.

            (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Keakraban Pemangkin Kerjasama Ibu Bapa-Sekolah ‘ oleh Dr. Suresh Kumar N Vellymalay’ Pendidik Mei 20I7)




SKEMA JAWAPAN –   

SKEMA RUMUSAN:

Pendahuluan: (2 markah)      
                                                                              
Rumusan membincangkan  fungsi-fungsi/tanggungjawab-tanggungjawab/tugas-tugas Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan cara-cara menarik minat ibu bapa bergiat aktif dalam PIBG.

Isi tersurat – Peranan PIBG

(2 hingga 6 isi – 4 hingga I2 markah)

  1. Sebagai wahana yang membolehkan ahli berkongsi maklumat
  2. perlu mengadakan program-program yang dapat menemukan ibu bapa dengan guru-guru yang mengajar anak mereka.
  3. Menjadi perantara pihak tertentu dengan pihak sekolah
  4. Membantu untuk menyelesaikan masalah ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir guru.
  5. Melengkapkan prasarana fizikal sekolah
  6. Menubuhkan tabung pendidikan
  7. Membantu dalam menjayakan sesuatu program
  8. Penganjur aktiviti kemasyarakatan
  9. Membantu pihak sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum

Isi tersirat :  cara-cara menarik minat ibu bapa bergiat aktif dalam PIBG

(2 hingga 6 isi – 4 hingga 2 markah)

  1. Menentukan hala tuju/misi/objektif /matlamat dengan jelas
  2. Mengadakan jaringan dan kerjasama dengan institusi pendidikan
  3. Memantapkan sistem pengurusan institusi pendidikan
  4. Menyediakan insentif/bantuan/geran kepada PIBG
  5. Memberi latihan profesionalisme kepada ahli PIBG
  6. Menyediakan bilik PIBG yang kondusif
  7. Menyediakan laman sosial PIBG

Kesimpulan: (2 markah)

Kesimpulannya,
Pelbagai pihak hendaklah menyokong pernan-peranan PIBG di sekolah
supaya dapat meningkatkan imej sekolah
  
Panduan:

Pemarkahan rumusan:

Isi         =  20 markah
Bahasa  =  I0 markah
Jumlah   =  30 markah
Pemberian markah bahasa separuh daripada markah isi
Contoh :  isi         = I8 markah
              Bahasa  =  9 markah
              Jumlah   = 27 markah

Jika bahasa rumusan anda baik boleh tambah I markah lagi

Jika bahasa kurang memuaskan , boleh ditolak I markah

Jika anda menyalin bulat-bulat daripada petikan, perkataan demi perkataan, ayat demi ayat = 0 markah

Patuhi jumlah perkataan I20 patah perkataan

Contoh rumusan :
         
          Rumusan membincangkan fungsi-fungsi  Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan cara-cara menarik minat ibu bapa bergiat aktif dalam PIBG.

         Antara peranan PIBG ialah sebagai wahana yang membolehkan ahli berkongsi maklumat melalui pelbagai medium dan mengadakan program-program yang dapat menemukan ibu bapa dengan guru-guru yang mengajar anak mereka. PIBG juga boleh membantu untuk menyelesaikan masalah ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir guru. PIBG juga boleh bertindak untuk melengkapkan prasarana fizikal sekolah dan menubuhkan tabung pendidikan di sekolah.  PIBG juga menjadi perantara pihak tertentu dengan pihak sekolah

          Cara-cara menarik minat ibu bapa bergiat aktif dalam PIBG ialah PIBG
harus menentukan hala tuju dan matlamat dengan jelas kepada ibu bapa serta menyediakan bilik PIBG yang kondusif untuk keselesaan ibu bapa.

          Kesimpulannya, pelbagai pihak hendaklah menyokong pernan-peranan PIBG di sekolah supaya dapat meningkatkan imej dan kecemerlangan sekolah.

                                                     (I2I patah perkataan)













Tiada ulasan: