RABU 19 Rejab, 2013
Bersedekahlah, Hai Kaum Wanita!
Rabu, 16 Rabiulakhir 1434H: Dari Zainab r.a., isteri 'Abdullah, katanya Rasulullah saw. bersabda : "Bersedekahlah, hai kaum wanita! Bersedekahlah, sekalipun dengan perhiasanmu!"
'Kata Zainab, "Mendengar sabda Rasulullah saw. tersebut, lalu aku pulang menemui 'Abdullah - suamiku seraya aku berkata kepadanya: "Anda seorang lelaki yang cepat kaki ringan tangan. Rasulullah saw. memerintahkan kepada kami kaum wanita, supaya kami bersedekah. Cubalah datangi beliau, tanyakan kepada beliau, apakah sudah cukup memadai sedekahku kepada keluarga? Jika tidak memadai, akan ku alihkan kepada orang lain."
Jawab 'Abdullah, "Sebaiknya engkau sajalah yang mendatangi beliau."
"Maka pergilah aku." kata Zainab. "Di sana, di pintu rumah Rasulullah saw., ku dapati seorang wanita Ansar yang bermaksud sama dengan ku. Sebagaimana biasa, orang-orang yang ingin bertemu dengan Rasulullah saw, selalu diliputi rasa gentar. Kebetulan Bilal keluar mendapatkan kami.
Kata kami kepada Bilal, "Tolonglah kami menyampaikan kepada Rasulullah saw., bahawa dua orang wanita sedang berdiri di pintu hendak bertanya : Apakah cukup memadai jikalau kami keduanya bersedekah kepada suami kami masing-masing dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam pemeliharaan kami? Dan sekali-kali janganlah beliau diberitahu siapa kami."
Maka masuklah Bilal menanyakan kepada Rasulullah saw. pertanyaan mereka itu. Tetapi Rasulullah saw. balik bertanya, "Siapa kedua wanita itu?"
Jawab Bilal, "Seorang wanita Ansar bersama-sama dengan Zainab." "Zainab yang mana?" tanya Rasulullah lagi.
Jawab Bilal, "Isteri 'Abdullah,"
Sabda Rasulullah saw., "Masing-masing mereka mendapat dua pahala. Iaitu pahala kerana karib kerabat dan pahala kerana sedekah."
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0953.
Patuh Kepada Rasulullah,Patuh Kepada Allah
Dari Abu Hurairah r.a., Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Kita umat yang terakhir (di dunia) paling di muka (di akhirat). Siapa yang mematuhi perintah saya, bererti ia telah patuh kepada Tuhan.
Sebaliknya, siapa yang mendurhakai saya, sesungguhnya ia mendurhakai Tuhan.
Siapa yang mematuhi Amir (pembesar negeri), sesungguhnya ia telah mematuhi saya dan siapa yang mendurhakai Amir, sesungguhnya ia telah mendurhakai saya.
Dan sesungguhnya Imam itu dinding (pembela) terhadap rakyat yang dibelakangnya.
Jika rakyat itu diperangi musuh, Imam mempertahankannya.
Jikalau ia memerintahkan taqwa kepada Allah dan ia bersikap adil, maka kerana hal yang demikian itu, ia memperoleh pahala.
Sebaliknya kalau ia berkata (berbuat) bukan demikian, maka ia berdosa (dihukum).".
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1339.
Bersaudara Sebagai Hamba-Hamba Allah
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong.
Jangan saling mencari-cari keburukan orang.
Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi.
Jangan saling mendengki.
Jangan saling marah dan jangan saling tak acuh.
Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah."
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2191.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan