HALAMAN 2

Selasa, 28 Mei 2013

AYAT TUNGGAL

 Ayat Tunggal
Ayat tunggal dibina oleh dua konstituen, iaitu subjek dan predikat. Ayat tunggal mempunyai dua bentuk susunan, iaitu:
i.        Susunan biasa
ii.       Susunan songsang

Susunan Biasa
Dalam susunan biasa bagi ayat tunggal, kedudukan konstituen subjeknya adalah di hadapan konstituen predikat, seperti yang terdapat dalam contoh yang  berikut:

1.       Guru itu telah memenangi hadiah pertama.
2.       [Guru itu] + [telah memenangi hadiah pertama.]
          Subjek         Predikat

3.       Kebanyakan calon peperiksaan tidak memahami soalannya.
4.       [Kebanyakan calon peperiksaan] + [tidak memahami soalannya.]
          Subjek                                           Predikat

Susunan Songsang
Ayat tunggal dalam BM boleh terbentuk dalam susunan biasa, dan boleh juga dalam susunan songsang, melalui proses pendepanan atau penjudulan. Dalam susunan songsang, unsur-unsur dalam konstituen predikat yang biasanya hadir selepas subjek dipindahkan ke hadapan subjek. Unsur yang dikedepankan itulah yang hendak diberikan penegasan, iaitu melalui proses pendepanan. Dalam BM, terdapat sekurang-kurangnya dua proses pendepanan yang berlaku pada predikat, iaitu:

i.        Pendepanan seluruh predikat
ii.       Pendepanan sebahagian daripada predikat.

Pendepanan seluruh predikat
Contoh:

5.       [Perangainya] + [baik sungguh.]
          Subjek               Predikat

6.       [Baik sungguh] + [perangainya.]
             Predikat               Subjek

7.       [Pegawai itu] + [masih belum sampai.]
          Subjek             Predikat

8.       [Masih belum sampai] + [pegawai itu.]
          Predikat                          Subjek

Pendepanan sebahagian predikat
Contoh:

9.       [Kanak-kanak itu] + [berkejar-kejaran di padang.]
          Subjek                      Predikat

10.     [Berkejar-kejaran] + [kanak-kanak itu] + [di padang.]
          Predikat 1                Subjek                      Predikat 2

11.     [Mereka] +  [bekerja setiap pagi.]
          Subjek         Predikat

12.     [Bekerja]  +  [mereka]  +  [setiap pagi.]
          Predikat 1     Subjek          Predikat 2

Latihan
Nyatakan jenis ayat tunggal yang berikut, yakni sama ada Ayat Tunggal Biasa (ATB), Ayat Tunggal Songsang Pendepanan Seluruh Predikat(ATS Seluruh Predikat) atau Ayat Tunggal Songsang Pendepanan Sebahagian Predikat (ATS Sebahagian Predikat).

1.       Sungguh malang nasibnya.
2.       Orang itu tidak akan datang lagi.
3.       Terkilan hati saya tadi.
4.       Menangis bayi itu setiap malam.
5.       Penyesalannya tidak berguna lagi.
6.       Dari seberang laut agaknya surat itu.
7.       Lumpuh orang tua itu dengan tiba-tiba.
8.       Untuk peperiksaan akhir mahasiswa itu menelaah pelajarannya.
9.       Barang-barang itu untuk ibu.
10.     Belum tentu baik barang itu.
11.     Anak pendeta belum tentu pandai.
12.     Masih teguh lagi bangunan lama itu.
13.     Di Kuala Lumpur dia sekarang.
14.     Masih pada saya tiket basnya.
15.     Membaca buku dia di perpustakaan.
16.     Ke dalam kota pejuang-pejuang itu merempuh.
17.     Pada hujung minggu ini Encik Ali akan menghadiri kursus itu.
18.     Sedang sakit tenat orang muda itu.
19.     Badannya lesu sepanjang masa.
20.     Pernah berkunjung ke ibu kota keluarga itu.


·          Cikgu Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan (Bahasa), SMK Methodist, Tg.Malim.
·          Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, DBP, Kuala Lumpur, 2008.

Tiada ulasan: