HALAMAN 2

Jumaat, 18 Januari 2019

Rumusan Lengkap.


Soalan rumusan SPM 2018

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian  buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran.  Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Lambakan graduan yang menyumbang peningkatan jumlah rakyat yang menganggur di negara kita begitu membimbangkan, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang untuk memastikan mereka dapat ditempatkan dalam sektor pekerjaan.  Masalah ini dapat diatasi sekiranya graduan membuat pelbagi persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.  Mereka perlu mempunyai kemahiran interaksi sosial, iaitu kemahiran cara-cara berhubung dalam kelompok sosial seperti sanggup bekerjasama, semangat setia kawan dan nilai-nilai kebersamaan yang lain.  Kemahiran ini penting untuk membolehkan graduan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang bakal dihadapi semasa bekerja.

    Selain itu, graduan perlu menguasai kemahiran komunikasi yang berkesan.  Kepetahan dan kecekapan untuk berkomunikasi dapat menjadikan mereka berkarisma dan berwibawa semasa ditemu duga.  Penguasaan pelbagai jenis bahasa di samping bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi keutamaan para graduan.  Oleh yang demikian, mereka dapat berinteraksi dengan rakan sekerja dari luar negara dan berupaya untuk bersaing pada peringkat global.  Tidak hairanlah graduan yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa mudah diambil bekerja oleh syarikat swasta kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan graduan yang lain.  Mereka turut berpeluang untuk bekerja di luar negara ataupun bekerja dengan syarikat antarabangsa yang berpengkalan di negara ini.

                Kajian mendapati bahawa graduan yang beretika dan mempunyai nilai spiritual yang baik biasanya mudah ditawarkan pekerjaan.  Hal ini kerana reputasi yang baik sebagai pelajar tanpa sebarang tekod salah laku akan memberikan imej positif kepada bakal majikan.  Memiliki penampilan diri yang menarik juga merupakan suatu kelebihan yang dilihat dan dinilai oleh majikan sebelum seorang itu diambil bekerja.  Dengan memiliki kelebihan tersebut, seseorang graduan dapat menarik minat majikan dan memberikan kesan positif kepada kerjayanya.  Seterusnya, para graduan perlu menonjolkan diri sebagai individu yang mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menghadapi tekanan kerana alam pekerjaan lazimnya memberikan pelbagai jenis tekanan.

                Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), setiap graduan mesti melengkapkan diri dengan elemen kepimpinan yang baik.  Ciri-ciri kepimpinan ini  hanya dapat dicapai melalui penyertaan graduan dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan kerja berpasukan yang memerlukan mereka berbincang, merancang, menilai dan membuat keputusan.  Di samping itu, graduan seharusnya menguasai kemahiran berfikir secara kirits dan analitis supaya mereka dapat menyumbangkan idea-idea berkualiti yang berkait rapat dengan budaya kerja cemerlang.  Jelaslah, untuk memastikan para graduan berjaya memperoleh kerja yang diidamkan, mereka sepatutnya melakukan beberapa persediaan dan mempunyai kemahiran-kemahiran yang penting, bukan sekadar memiliki akademik yang tinggi semata-mata.

Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kemahiran Sebelum Bergelar Graduan’ oleh Noraziah Mohd Amin, Dewan Siswa, Jun 2015

contoh rumusan lengkap



                Petikan membincangkan persiapan-persiapan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan di di negara ini.

                Antara persediaannya ialah, graduan harus mempunyai kemahiran interaksi sosial, menguasai kemahiran komunikasi berkesan serta beretika dan mempunyai nilai spiritual yang baik. Selain itu, graduan juga perlu memiliki penampilan diri yang menarik dan  perlu menonjolkan diri sebagai individu yang mempunyai kesabaran yang tinggi.  Graduan juga perlu melengkapkan diri dengan elemen kepimpinan yang baik dan menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan analitis.

                Usaha-usaha untuk mengurangkan masalah pengangguran  ialah kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak dalam pelbagai bidang dan mengurangkan pengambilan tenaga kerja asing. Bantuan modal juga boleh diberikan kepada usahawan untuk memulakan perniagaan.

                Kesimpulannya, graduan haruslah melakukan persediaan untuk menghadapi alam pekerjaan, agarmasa depan mereka akan terjamin.

                                                                                                                [120 patah perkataan.]


4 ulasan:

Unknown berkata...

Rumusan yang lengkap Dan boleh dibaca.

Unknown berkata...

Mantappp

KirthyVijayakumar berkata...

Tambahkan rumusan lagi berdasarkan tajuk ni

Tanpa Nama berkata...


nice