Baca
petikan dan sajak di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan
yang panjangnya tidak melebihi 120 patah
perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri
tanpa mengubah maksud asal petikan dan sajak.
Bahan 1 – Petikan
Permainan tradisional dikenali juga sebagai
permainan rakyat yang dipusakai daripada
generasi terdahulu. Bentuk permainan rakyat yang berseni
ini merupakan salah satu daripada
identiti negara yang patut dipelihara demi kepentingan generasi
pada masa hadapan.
Contoh permainan tradisional ialah permain guli, batu
seremban, congkak, kaki gajah dan galah panjang. Antara permainan tersebut,
congkak merupakan permainan tradisional yang paling popular. Walau bagaimanapun, perubahan teknologi
telah mencipta pelbagai jenis permainan digital yang menjejaskan minat generasi
baharu terhadap permainan tradisional, termasuklah permainan congkak.
Sekiranya
diperhalusi, permainan congkak yang menetapkan dua orang pemain dalam satu
permainan membolehkan semangat setia kawan dizahirkan yang menjadi asas kepada
kerukunan hidup bermasyarakat. Di samping itu, permainan congkak dalam kalangan
masyarakat terdahulu berupaya mencerdaskan ketajaman akal. Hal ini berkaitan
dengan perkataan congkak itu sendiri membawa maksud pengiraan. Kemahiran
pengiraan ditekankan melalui mengira mata membuktikan bahawa generasi dahulu
sudah didedahkan dengan ilmu matematik. Permainan congkak juga mampu dijadikan
sebagai riadah yang menyeronokkan. Permainan ini boleh mengelakkan seseorang
itu daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.
Selain
itu, permainan congkak yang mempunyai tujuh lubang sebaris dan dua lubang ibu
yang dipanggil “kampung” terletak di hujung papan. Lubang ibu tersebut mestilah
diisi dengan buah sebanyak mungkin untuk mencapai kemenangan. Secara tidak
langsung, permainan congkak menekankan nilai kejujuran apabila pemain mematuhi
peraturan permainan tanpa melakukan penipuan walaupun berkeinginan untuk
memenangi pertandingan tersebut. Kegagalan generasi muda memahami falsafah ini
dalam permainan congkak menyebabkan minat mereka semakin hilang. Tambahan pula, sesetengah ibu bapa pada
hari ini menganggap bahawa setiap permainan tradisional termasuk congkak boleh
menjejaskan masa belajar anak-anak mereka. Alangkah ruginya jika warisan dan budaya tinggalan nenek moyang tidak lagi dihargai
sehingga hilang dalam arus peredaran masa.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Memugar Permainan Tradisional,’ Oleh Nazri Hussein, Dewan Budaya, Bil. 3/2019
Bahan
2 – Sajak
GADIS-GADIS
YANG BERSIMPUH DI BERANDA
Semilir angin petang membawa simfoni damai melodi syahdu
dirasakan penuh harmoni
ayu busana
dan senyuman lirih
kesantunan gadis-gadis yang bersimpuh di beranda bermain congkak warisan
bonda.
Jari-jemari
mengatur buah-buah congkak bagai lenggang gemalai
di medan
persaingan yang menuntut
ketekunan andaiannya menjangkau jauh ke hadapan menang tidak pernah sombong diri
kalah tiada terlintas rasa iri.
Gadis-gadis
yang bersimpuh di beranda bermain congkak
warisan bonda melestari seni budaya dalam utuh maruah moyang tercinta
tanpa gundah diri dicerca mundurnya minda.
M.
Arif
Jalan Munsyi Abdullah, Melaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan