HALAMAN 2

Selasa, 12 Februari 2019

PEMANTAPAN TATABAHASA - JENIS-JENIS AYAT


1.     Ayat ialah satu bentuk bahasa yang terjadi dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun dalam dua bahagian , iaitu subjek dan  predikat.
2.     Jumlah ayat tidak terbatas, namun semua itu terbahagi kepada dua golongan sahaja, iaitu:
i.             ayat inti
ii.            ayat transformasi
3.     Ayat Inti ialah ayat dasar yang paling sederhana bentuknya dan merupakan juga Ayat Tunggal, yakni terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.  Contohnya:

(a)         Orang itu/doktor.
(b)         Dia/di pejabat.
(c)         Rumah itu/cantik sekali
(d)        Engkau/duduk di situ
(e)         Kucing/mengejar tikus

4.     Ayat Transformasi pula ialah ayat lain yang kebanyakkannya berasal daripada ayat inti, tetapi dengan bentuk yang berubah, atau sekuran-kurangnya maknanya berubah.

Contohnya:
(f)                     Orang itu bukan doktor.  (bentuk sama tetapi maknanya lain)
(g)                    Dia di pejabat?  (bentuknya sama tetapi makna berubah menjadi ayat Tanya.
(h)                   Cantik sekali rumah itu.  (maknanya sama tetapi bentuknya     berubah menjadi ayat songsang)
(i)                      Duduklah di situ.  (Bentuk dan makna berubah menjadi ayat perintah)
(j)                     Tikus itu dikejar kucing.  (maknanya sama tetapi bentuknya berubah menjadi ayat pasif.

5.     Dengan berdasarkan maknanya, ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis utama, iaitu:

(i)          Ayat penyata
(ii)         Ayat tanya
(iii)        Ayat perintah
(iv)       Ayat seruan

6.     Ayat penyata  ialah ayat yang dimaksudkan untuk membuat sesuatu pernyataan atau memberikan keterangan tentang sesuatuhal, biasanya diakhiri dengan tanda noktah (.).  Sebagai contoh, ayat-ayat (a) hingga (j) kecuali (g) dan (i) ialah ayat penyata.
7.     Ayat Tanya ialah ayat yang dimaksudkan untuk menanya seseorang atau untuk menanyakan sesuatu.  Ada dua jenis ayat Tanya, iaitu:


(i)          Ayat Tanya biasa, iaitu subjeknya di depan dan predikatnya di belakang.  Contohnya:
Dia di pejabat?
Ramli seorang guru?

(ii)         Ayat Tanya songsang ,  iaitu predikatnya di depan dan subjeknya di belakang, contohnya
Di pejabatkah dia?
Seorang gurukah Ramli?

8.     Ayat perintah ialah ayat untuk menyatakan perintah atau suruhan, larangan, dan silaan.  Ayat-ayat yang termasuk dalam jenis ayat perintah ialah ayat perintah aktif  dan  ayat perintah pasif.

9.     Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru atau diakhiri dengan tanda seru (!).  contohnya:
(i)                  Aduh, kepala saya pening!

(ii)                 Wah, bersarnya rumah itu!








Tiada ulasan: