HALAMAN 2

Selasa, 16 Julai 2013

KARANGAN CONTOH TERBAIK 21 - USAHA-USAHA MENANGANI GEJALA VANDALISME

Sejak akhir-akhir ini, gejala vandalisme yang melibatkan golongan remaja dan pelajar sekolah semakin meningkat.  Fenomena ini amat menggusarkan hati pelbagai pihak.  Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menangani gejala negatif ini. 


Tema /Isu          :    gejala vandalisme
Tugasan?Arahan  :    Usaha-usaha menangani gejala vandalisme
Format              :    tiada  - Pendapat




Sejak akhir-akhir ini, gejala vandalisme atau 'laku musnah ' semakin hari semakin meningkat. Gejala ini telah menular ke kawasan sekolah apabila gejala ini turut melibatkan pelajar sekolah.  Menurut kamus dewan, vandalisme bermaksud kegiatan merosakkan atau memusnahkan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Fenomena ini semakin menggusarkan hati pelbagai pihak memandangkan golongan remaja boleh diibaratkan batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memerangi gejala negatif ini?

                  Sebenarnya, sebelum membincangkan peranan pihak lain, diri golongan remaja sendiri perlu diberi perhatian.  Hal ini demikian kerana, remaja sendiri dikurniakan akal fikiran untuk berfikir tentang baik buruknya seuatu perkara.  Usaha murni pelbagai pihak untuk memendung gejala vandalisme tidak akan memberi impak seperti yang diharap-harapkan jika golongan remaja sendiri tidak bersedia untuk membuat anjakan paradigma dan mengubah persepsi mereka terhadap kepentingan menghargai kemudahan awam.
Sehubungan dengan itu, remaja perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan bersyukur terhadap kemudahan yang disediakan.  Contohnya, golongan remaja haruslah menggunakan dengan berhemah dan sentiasa menjaga kemudahan yang disediakan oleh ibu bapa di rumah, kemudahan dan peralatan di sekolah , malahan kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.  Golongan remaja wajar mempunyai kesedaran dengan membayangkan kesulitan yang akan timbul jika mereka tinggal si sesebuah negara yang tidak mempunyai kemudahan awam yang sempurna seperti negara-negara miskin atau negara yang mengalami pergolakan dan peperangan.   Sekiranya setiap remaja berjaya memupuk kesedaran ini dalam jiwa mereka, sudah pasti mereka tidak akan tergamak melakukan kegiatan vandalisme ini.
              Memang tidak dapat disangkal lagi,  ibu bapa perlu memainkan peranan penting sebagai pihak yang paling hampir dengan remaja.  Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Didikan agama yang sempurna mampu menjadi tembok penghalang remaja daripada melibatkan diri dalam gejala vandalisme.  Hal ini demikian kerana, ajaran agama mementingkan kebaikan dan melarang melakukan perkara-perkara keburukan.   Sehubungan dengan itu,   ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda yang ada di dalam rumah dan menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain.  Justeru, didikan sejak peringkat awal umpama sebutir benih yang ditanam, dibaja, dan disiram setiap hari, bakal tumbuh menjadi pokok yang subur dan menghijau. 

                Lanjutan daripada itu, ibu bapa, harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan anak-anak mereka. Ibu bapa yang cemerlang ialah yang sering menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka terutama dari segi sahsiah.  Hal ini disebabkan, tidak mustahil berlaku apabila tingkah laku anak-anak sangat berbeza semasa di sekolah berbanding semasa di rumah.  Contohnya, terdapat remaja yang serig menimbulkan masalah di sekolah tetapi dimaklumkan oleh ibu bapa sebagai remaja yang baik tingkah lakunya ketika di rumah.  Oleh itu, sekiranya ibu bapa mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus diambil sebelum nasi menjadi bubur. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua, sayangkan anak, tangan-tangankan. 

          Selain itu, pihak sekolah harus mengambil tindakan tegas terhadap gejala merosakkan harta benda di sekolah.  Contohnya, kes pelajar memecahkan pintu bilik darjah, pintu pagar sekolah, pintu tandas, merosakkan kerusi meja dan kemudahan sekolah yang lain serta gejala menconteng dinding bangunan sekolah amat mendukacitakan pihak sekolah.  Hal ini demikian kerana, peruntukan yang besar terpaksa dikeluarkan untuk menggantikan peralatan sekolah yang rosak untuk menyediakan persekitaran yang kondusif kepada guru dan pelajar sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  Gejala vandalisme dalam kalangan pelajar di sekolah mesti dibendung sejak awal dengan mengenal pasti pelajar-pelajar yang terlibat.  Tindakan tegas perlu diambil selaras dengan peraturan disiplin sekolah contohnya, tindakan amaran, sesi kaunseling, denda malah sehingga lah pelajar boleh digantung sekolah supaya gejala ini tidak menular kepada pelajar-pelajar lain dan menjadi duri  dalam daging kepada pihak sekolah.  Malah program 'Polis Angkat' iaitu pihak polis menjadikan sekolah sebagai sekolah angkat dan menghantar beberapa orang pegawai polis  untuk memberi ceramah tentang vandalisme atau terlibat dalam program sekolah amat baik untuk mengelakkan pelajar dari terlibat dalam gejala ini.
          Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme berlaku dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Sikap mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar , melepaskan pucuk masing-masing harus dikikis apatah lagi jika gejala yang berlaku tidak melibatkan anak atau saudara mara sendiri.  Setiap anggota masyarakat juga tidak harus besikap lepas tangan  dan hanya mengharapkan pihak berkuasa sahaja.  Amalan hanya menjaga tepi kain sendiri, dan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain mungkin tidak lagi relevan bagi permasalahan vandalisme ini. Justeru, tindakan segera perlu diambil atas perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam.  Sebagai contoh, masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti bayaran denda kepada ibu bapa yang anaknya  terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka.  Selain itu anggota masyarakat perlu prihatin dan melaporkan gejala vandalisme kepada pihak berkuasa jika gejala ini bertambah serius di kawasan perumahan masing-masih.  Jika masyarakat sentiasa peka dan prihatin tentang gejala vandalisme ini, nescaya jalan keluar dapat ditemui untuk menangani gejala yang melibatkan golongan remaja sebagai aset negara tercinta.
          Selain itu, memang tidak syak lagi, pihak kerajaan perlu memainkan peranan yang drastik. Umpamanya, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme.   Pengisian kempen yang relevan amat perlu dititikberatkan demi meningkatkan kesedaran semua pihak yang terlibat terutama golongan remaja tentang kesan-kesan negatif gejala vandalisme ini. Perancangan yang teliti perlu dibuat supaya kempen yang dijalankan berjaya mengatasi masalah vandalisme ini dan bukanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja'.  Contohnya , siri ceramah, pameran, pertandingan yang berkaitan dengan isu vandalisme perlu dilaksanakan dengan terancang dan menyeluruh. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala  ini.   Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam.   Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah,  membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. 
              Tambahan pula, pihak media massa harus berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk membasmi gejala vandalisme ini.  Media elektronik seperti televisyen umpamanya, mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat terutama remaja.  Justeru, pihak penerbit siaran televisyen harus menyiarkan lebih banyak rancangan yang memberi maklumat dan kesedaran terhadap buruk dan hinanya gejala vandalisme ini dan tidak hanya menumpukan pada rancangan yang membawa keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.   Contohnya, rancangan berbentuk rencana, wawancara dengan tokoh yang berkenaan, drama yang memaparkan pengajaran tentang vandalisme perlu diperbanyak.  Begitu juga dengan media cetak seperti surat  khabar, turut berperanan untuk menyiarkan rencana atau artikel tentang vandalisme.  Oleh itu sekiranya wujud  kesedaran tentang kesan-kesan negatif gejala vandalisme ini dalam sanubari segenap lapisan masyarakat  , sudah pasti gejala vandalisme ini dapat dibendung.

                Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat serta bersama-sama melangkah sederap untuk memerangi gejala vandalisme ini.  Gejala ini jika dibiarkan mampu menjadi virus yang akan mencipta jenayah yang lebih besar.  Kerajaan bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian malah imej negara di mata para pelancong asing turut tercalar. Justeru, langkah memerangi gejala vandalisme perlu dilakukan segera demi masa depan generasi muda dan seterusnya demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Marilah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.


 Cikgu Chom

10 ulasan:

Suria November berkata...

assalamualaikum, minta ambil isi ya cikgu. terima kasih :)

Tanpa Nama berkata...

Assalam. Minta izin salin krgn cikgu, boleh?

Cikgu Kalsom berkata...

Mualaikum salam, Boleh...silakan. semoga dimanfaatkan..tq

My Secret Admire #H berkata...

Terima kasih ye

ku syuhafa berkata...

Assalamualaikum cikgu. minta izin salin isi2 karangan.

Zaty Nemon berkata...

Assalamualaikum cg. Minta izin ambil isi2 karangan. Terima kasih atas ilmu yg dikongsikan. :)

Zaty Nemon berkata...

Assalamualaikum cg. Minta izin ambil isi2 karangan. Terima kasih atas ilmu yg dikongsikan. :)

Kim Hye Ra berkata...

wow karangan cikgu terbaik 😊
boleh saya salin?

anak cikgu berkata...

terima kasih cikgu

Farhanim Natasyha berkata...

terima kasih, maklumat yang sangat membantu saya