HALAMAN 2

Isnin, 29 Julai 2013

Karangan Contoh Terbaik 23 : Manfaat Penglibatan Kanak-kanak dalam Aktiviti Bersukan dan Permainan

Soalan:   

Pada masa kini, kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti bersukan atau permainan.  Mereka beranggpan bahawa penglibatan aktif dalam bersukan boleh menjejaskan tumpuan anak-anak dalam pelajaran .  Apakah tanggapan ini timbul berkaitan dengan kurangnya kefahaman mereka tentang manfaat aktiviti bersukan?  Kemukakan pandangan anda tentang pernyataan di atas.   

Analisis soalan:

Tema              :   penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti bersukan
Tugasan          :   mengemukakan pendapat tentang manfaat aktiviti 
                          bersukan kepada kanak-kanak
Format            :   tiada  - karangan pendapat




              Masih segar dalam ingatan ketika zaman kanak-kanak di kampung, kita menghabiskan waktu senggang pada sebelah petang dengan bermain teng-teng, galah panjang, pondok-pondok, ada kalanya meranduk air dan menangkap ikan di sungai atau parit.  Semua kisah ini berlaku pada suatu ketika dulu.  Namun atas perubahan masa dan desakan waktu, kita yang dahulunya tidak pernah tahu duduk diam tatkala ada kelapangan mengambil pendekatan sebaliknya pula terhadap anak-anak.  Natijahnya, waktu bermain dan bersukan anak-anak dihadkan oleh ibu bapa.  Persoalan-persoalan yang sering mengetuk pintu minda ialah mengapakah situasi ini berlaku?  Apakah pula manfaat aktiviti sukan dan permainan kepada kanak-kanak?

           Sebenarnya,  anggapan-anggapan negatif terhadap aktiviti sukan telah menyebabkan sesetengah ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti ini.  Sebahagian daripada kita beranggapan bahawa sukan dan permainan akan menjejaskan tumpuan anak-anak terhadap pelajaran.  Hal ini demikian kerana, menurut anggapan mereka, anak-anak yang aktif  dalam aktiviti sukan akan berasa letih lesu dan tidak dapat bermaya untuk belajar sama ada di rumah atau di sekolah.  Contohnya, kanak-kanak ini tidak berminat mengulang kaji pelajaran di rumah sebaliknya lebih suka tidur kerana keletihan.  Begitu juga ketika di sekolah kanak-kanak ini akan tidur di dalam kelas dan tidak memberi perhatian terhadap pengajaran guru. Justeru, menurut mereka, kanak-kanak yang aktif bersukan ini tidak akan mencatatkan kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Persoalannya, benarkah anggapan tersebut?

              Tambahan pula, dengan persekitaran yang semakin terhad dan tidak selamat, terutama bagi mereka yang tingggal di bandar, kegiatan yang mengeluarkan peluh tidak lagi dipedulikan.  Contohnya, bagi keluarga yang tinggal di rumah pangsa atau kawasan perumahan, kawasan yang sesuai untuk aktiviti permainan merupakan suatu kekangan.  Apatah lagi, ekoran berlakunya banyak kejadian jenayah yang membabitkan kanak-kanak seperti kanak-kanak diculik, dibunuh dan sebagainya ketika bermain menimbulkan perasaan trauma kepada setiap ibu bapa yang tidak mahu peristiwa buruk menimpa diri anak-anak mereka.  Sebagai akibatnya, kebanyakan ibu bapa seolah-olah lebih rela mengurung anak-anak mereka di rumah dengan melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, bermain permainan komputer atau melayari internet.  Yang pasti aktiviti-aktiviti tersebut langsung tidak mengeluarkan peluh.

                Pengarah Cawangan Hal Ehwal Atlet, Majlis Sukan Negara, Zaiton Othman berkata, berdasarkan pengalamannya, sukan dan permainan memainkan peranan yang sangat penting kepada perkembangan kanak-kanak. Menurut beliau, mereka yang terlibat secara aktif dalam sukan dan permainan didapati lebih mudah menerima pembelajaran.  Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang pelajar yang bersukan akan memiliki tubuh badan yang sihat.  Pengaliran darah yang lancar serta pengeluaran toksin dalam badan melalui peluh menjadikan seseorang itu sihat.  Contohnya, dengan bermain badminton atau bola sepak setiap petang,  melahirkan kanak-kanak yang sihat dan kuat tubuh badan.  Manakala  tubuh badan yang sihat akan menjadikan otak seseorang itu cerdas, selaras dengan cogan kata badan cergas, otak cerdas.

               Seterusnya,  ketika bersukan dan bermain seseorang itu secara tidak langsung mampu mematangkan fikiran kanak-kanak.  Umpamanya melalui bermain sesuatu permainan atau bersukan bersama-sama rakan-rakan, mereka belajar untuk memimpin, membuat keputusan dengan pantas dan tepat, dan menghormati antara satu sama lain.  Semua ini mendidik kanak-kanak untuk bersifat timbang rasa, bertoleransi dan saling menghormati hak satu sama lain.  Justeru, pendidikan tidak formal ini secara tidak langsung bukan sahaja akan mematangkan pemikiran kanak-kanak malah menyemai nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat pada masa depan.

               Selaras dengan itu, aktiviti bersukan juga mampu mengajar kanak-kanak untuk menerima hakikat kegagalan seterusnya mereka akan bangkit kembali untuk meraih kejayaan.  Semangat seperti ini perlu disemai dalam diri kanak-kanak agar mereka mempunyai semangat juang yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.  Contohnya ketika menyertai aktiviti sukan, kanak-kanak akan belajar bergembira dan berbangga apabila meraih kejayaan dalam sesuatu pertandingan, manakala jika berlaku kekalahan, mereka belajar bergembira dan berbangga untuk orang yang menang dengan ucapan tahniah.  Keadaan ini dapat mengelakkan mereka terlalu berasa kecewa apabila tewas.  Rentetan daripada itu, kanak-kanak akan menjadi sangat berdikari dan seorang yang berani dalam membuat keputusan walaupun pada usia yang terlalu muda.  Ibu bapa pasti bangga sekiranya anak-anak mereka mempunyai sikap terpuji ini walaupun masih di peringkat umur kanak.kanak dan fikiran masih hijau

                     Selain itu, dengan bersukan juga akan membantu kanak-kanak untuk memperoleh tidur yang berkualiti pada sebelah malam.  Selepas seharian penat bersukan, tubuh badan yang letih itu akan memudahkan seseorang kanak-kanak untuk tidur pada waktu malam. Waktu tidur yang berkualiti sangat penting untuk memastikan kanak-kanak membesar dengan sihat dan bertenaga pada keesokan harinya.  Bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit asma pula, penglibatan aktif  dalam bersukan mampu membantu berdasarkan bayak kes penghidap asma pulih melalui aktiviti bersukan ini.  Kenyataan ini sangat kontra dengan sikap sesetengah ibu bapa yang menghalang anak-anak mereka terbabit dalam aktiviti bersukan sejurus apabila diberitahu oleh doktor bahawa anak mereka menghidap asma.  


          Kesimpulannya, aktiviti bersukan atau permainan sangat bermanfaat kepada kanak-kanak.  Justeru, para ibu bapa haruslah menghapuskan tanggapan negatif dan berfikiran terbuka untuk menggalakkan anak-anak untuk melibatkan diri dalam aktiviti bersukan.  Hal ini demikain kerana, bersukan bukan sahaja memberi manfaat dari segi fizikal semata-mata malahan yang lebih penting ialah aktiviti bersukan dapat menjadi wahana dalam pembentukan sifat-sifat mulia dalam jiwa kanak-kanak yang akan menjadi bekalan ketika meniti alam remaja seterusnya meneroka alam dewasa.  


Cikgu Chom














              

                

Tiada ulasan: