HALAMAN 2

Selasa, 2 Julai 2013

PEMANTAPAN TATABAHASA - RANGKAI KATA SETARA.

Assalamualaikum, 
         Cikgu sudahpun memberi nota dan panduan tentang penggunaan kata majmuk dalam bahasa Melayu.  Kali ini cikgu ingin memberi penerangan dan penjelasan tentang dua bentuk kata yang serupa tapi tak sama.  Kedua-dua bentuk kata ini sering menimbulkan kekeliruan kepada pelajar terutamanya dalam aspek cara penulisannya yang betul dan aspek penggandaan.
PERBEZAAN ANTARA KATA MAJMUK DAN RANGKAI KATA SETARA.

         Secara umum, kata majmuk dan rangkai kata setara menunjukkan bentuk yang sama.
Contohnya; 'guru besar' (kata majmuk) dan 'ibu bapa'(rangkai kata setara)

Apa itu rangkai kata setara??
        Rangkai kata setara ialah proses mencantumkan atau merangkaikan dua perkataan yang setara/sama jenis katanya.
Contohnya:   Kata Nama (ibu)  +  Kata Nama(bapa)  =    ibu bapa

       Perbezaan dari segi proses pembentukannya
      Kata majmuk 'guru besar' umpamanya terdiri daripada dua golongan kata yang berlainan digabungkan menjadi kata majmuk iaitu:
Kata Nama (guru) + Kata Adjektif (Besar)

          Manakala rangkai kata setara 'ibu bapa' pula terdiri daripada golongan kata yang sama iaitu:
Kata Nama(ibu) + Kata Nama (bapa)

         Perbezaan meletakkan kata sisipan
             Kata majmuk 'guru besar' tidak boleh menerima sisipan 'dan' ataupun 'atau' di antara kedua-duanya.  Jika kata hubung itu disisipkan antara kedua-duanya, kata majmuk 'guru besar ' tidak membentuk makna yang jelas kerana 'guru dan besar' tidak menunjukkan makna yang sempurna. 
            Sebaliknya rangkai kata setara boleh disispkan kata hubung 'dan'  ataupun 'atau' di antara kedua-duanya dan tidak mengubah maknanya iaitu 'ibu bapa' tidak berbeza maksudnya dengan 'ibu dan bapa' ataupun 'ibu atau bapa' - masih merujuk perkara yang sama.

PEMBENTUKAN RANGKAI KATA SETARA

             Rangkai kata setara secara umum dilihat serupa dengan kata majmuk.  Bezanya rangkai kata setara terdiri daripada satu golongan kata iaitu Kata Nama + Kata Nama.

Contohnya:
ibu bapa
pinggan mangkuk
adat resam
lembu kambing dan sebagainya.

               Sekiranya kata majmuk tidak boleh disisipkan kata hubung 'dan" ataupun atau", rangkai kata setara dapat menerima sisipan ini tanpa mengubah maksud asal rangkai kata berkenaan.

Contohnya:
ibu bapa                                      ibu dan bapa                                    ibu atau bapa
pinggan mangkuk                      pinggan dan mangkuk                   pinggan atau mangkuk
abang kakak                               abang dan kakak                             abang atau kakak
tinggi rendah                               tinggi dan rendah                            tinggi atau rendah
tua muda                                      tua dan muda                                   tua atau muda

                 Selain itu, rangkai kata setara juga tidak boleh digandakan mana-mana perkataannya sama ada perkataan pertama ataupun perkataan kedua.

                Contoh kesalahan penggandaan rangkai kata setara
Contohnya:

ibu-ibu bapa                                          ibu-ibu bapa-bapa
pinggan-pinggan mangkuk                pinggan-pinggan mangkuk-mangkuk
lembu-lembu kambing                       lembu-lembu kambing-kambing
adat-adat resam                                  adat resam-adat resam
ibu bapa-ibu bapa                               lembu kambing- lembu kambing

                 Untuk menunjukkan maksud bilangan jamak(banyak), rangkai kata  setara perlu menerima kata bilangan.
Contoh:
  •  Semua ibu bapa
  • Para ibu bapa
  • Semua Pinggan Mangkuk
  • Semua lembu kambing
  • Kebanyakan ibu bapa



Cikgu Chom

1 ulasan:

aiman saufi berkata...

cantiknya diari nie ada macam macam <......................................> ?