HALAMAN 2

Jumaat, 31 Julai 2015

Biodata Pengarang Novel Di Sebalik Dinara - Dayang Noor





Biodata Penulis
Nama Kormesil : Dayang Noor
Nama Sebenar : Nor Aziza binti Sulaiman
Akademik ; Ijazah Kejuruteraan (Elektronik dan Komputer) UPM
Kerjaya : 15 tahun pengalaman bekerja dalam bidang IT
Sejarah Pendidikan :
Sekolah Kebangsaan Kerayong, Triang, Pahang

Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Bahru(Aliran Sains) 





Rabu, 29 Julai 2015

LATAR TEMPAT, LATAR MASA DAN LATAR MASYARAKAT NOVEL DI SEBALIK DINARA



LATAR

Latar Masa
1. Malam
Farisha sampai di pintu apartmennya pada jam 10 malam. Dia cuba membuka pintu dengan mengimbas kad pintar miliknya tetapi gagal. Dia menekan interkom minta bantuan teman serumahnya, Shida untuk membuka pintu.

Pada waktu malam juga Farisha mengunjungi rumah abangnya untuk makan malam. Pada waktu itu jugalah Farisha mendapat tahu dua berita yang menyedihkannya iaitu berita penyakit abangnya dan kenyataan yang dirinya hanya anak angkat kepada keluarga Azraai.

Pada waktu malam juga, Farisha bersama Rosman dan Shida berbincang di pejabatnya Secured Shell untuk meneliti dokumen undang-undang projek mini yang ditawarkan oleh Soft Lab. Perbincangan tamat pada pukul 11.30 malam kerana Farisha sakit kepala.

Karl meninggal dunia pada jam 7.00 malam. Ketika itu semua yang terlibat dalam projek Dinara ada di rumah agam Karl. Alia meraung, manakala Medina menangis teresak-esak.

2. Pagi / Siang
Farisha gelisah menunggu kedatangan Rosman yang berjanji untuk mengambilnya. Mereka berjanji untuk bersama-sama ke simposium di Hotel Renaissance. Ketika itu jam menunjukkan angka 8.15 pagi. Simposium akan bermula pada jam 9.00 pagi.

Pada waktu pagi hari yang sama iaitu pukul 10.30 pagi, Farisha dan Rosman bertemu Aqram di Hotel Rennaisance. Aqram menawarkan projek mini di Soft Lab untuk mereka berdua. Farisha menyalin alamat e-mel Aqram.

Peristiwa Shida dan Farisha memulakan kerja di Soft Lab juga berlaku pada waktu pagi. Shida bertemu dengan Khairul Anwar, manakala Farisha bertemu dan mendapat penerangan daripada Aqram. Pada waktu pagi juga, mereka berdua bertemu Alia dan nampak sesuatu yang pelik pada wajah Alia.

3. Petang

Pukul 4.30 petang, Shida bertemu Dr Maxi. Dia disoal tentang penyakit Farisha yang tiba-tiba pengsan di tempat kerja.

Pada waktu petang juga, Shida menyelongkar peti sejuk dan bilik Farisha untuk mencari jika ada ubat yang dimakan oleh Farisha. Pada masai itulah, Shida terjumpa fal yang mengandungi dokumen asal usul farisha. Dia berasa sangat bersalah kerana mencuri tengok barang peribadi Farisha.

Pada waktu petang juga Rosman dan Shida melawat Farisha di wad 2B, tempat Farisha mendapat rawatan. Rosman berasa bersalah kerana membiarkan Farisha seorang diri melaksanakan projek mini di Soft Lab. Mereka mendapati Farisha masih lemah, tidak boleh banyak bercakap. Mereka minta diri untuk pulang dan berjanji akan datang pada hari esok.

Pada waktu petang juga 2 orang suruhan Marilyn@Medina iaitu Farid dan Amin menyusup masuk ke dalam wad Farisha dan cuba menembusi pemikiran Farisha dengan memasang peranti di pelipis kiri Farisha. Mereka merakamkan setiap isyarat yang diterima.

Latar tempat
Bilik kerja Farisha di Soft Lab
Farisha ditunjukkan bilik yang akan digunakannya untuk menjalankan projek mini Soft Lab. Di situ juga Farisha mendapat penerangan daripada Alia dan Aqram tentang tugasannya. Bilik tersebut dilengkapi dengan dinding dwifungsi, boleh juga digunakan sebagai ‘touch screen’.

Di bilik ini juga, berlakunya sesi komunikasi Farisha dan Shida dengan saintis yang hebat bernama Karl. Komunikasi ini berlaku secara bawah sedar yang dikendalikan oleh Aqram, Khairul Anwar dan Dr Maxi. Perdebatan antara Alia dengan Dr Maxi juga berlaku di bilik ini.

Lapangan Terbang Senai
Farisha menunggu penerbangan dari Senai ke Kuala Lumpur. Di sini dia menyaksikan sikap manusia yang mementingkan diri, bercakap di telefon dengan kuat sehingga mengganggu orang lain.

Monorel – Stesen kereta api ke Puchong
Dalam perjalanan untuk ke rumah agam Karl bersama Aqram, Farisha dapat menemui seorang makcik dan OKU wanita yang memakai gelang getah berwarna ungu menandakan mereka sebagai pesakit kanser. Dia berbual-bual ringkas dengan wanita itu.

Rumah agam Karl di Puchong
Di sini Farisha dan Rosman dibawa oleh Aqram untuk bertemu Dr Maxi bagi membincangkan projek mini Soft Lab. Perbincangan berlaku melibatkan bidang tugas dan kos projek mini tersebut. Farisha terkejut dengan nilai projek mini yang agak tinggi iaitu RM1.5 juta.

Farisha dan Rosman turut dibawa berjumpa dengan Karl, saintis hebat yang membangunkan Soft Lab. Dia terlantar kerana sakit kanser usus tahap 4. Dia dirawat di rumahnya sahaja yang dilengkapi doktor dan jururawat.

Rumah  Azraai
Farisha mengunjungi abangnya untuk makan malam. Dia tidak menyangka akan menerima khabar yang sangat buruk daripada abangnya. Malam itu dia mengetahui rahsia penyakit abangnya dan kenyataan bahawa dia hanya anak angkat.

Latar masyarakat
1. Masyarakat yang mementingkan kasih sayang dalam keluarga.
Azraai dan Farisha saling menyayangi. Dua beradik ini saling mengambil berat dan risau akan keselamatan antara satu sama lain. Azraai kerap menelefon adiknya dan memasang iterkom yang bersambung antara apartmen Farisha dengan rumah Azraai.

2. Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
Wanita di lapangan terbang yang bercakap di telefon dengan suara yang kuat. Dia tidak pedulikan orang yang ada di sekelilingnya sehingga membuat Farisha berasa jengkel.

3. Masyarakat yang suka bersaing untuk menunjukkan kehebatan diri
Marilyn@Medina dan Karl saling bersaing untuk menunjukkan kehebatan masing-masing dalam dunia penyelidikan sains. Karl tidak dapat menerima kenyataan yang Marilyn lebih hebat daripadanya. Karl telah mensabotaj Marilyn sehingga dia menjadi gila.

4. Masyarakat yang celik ICT
Farisha, Marilyn@Medina dan Karl merupakan antara contoh masyarakat yang sangat hebat dalam dunia ICT. Mereka mampu mencipta program baharu dan mampu juga menggodam computer. Azraai juga seorang yang pakar dalam ICT dan mengaplikasikannya di rumahnya dan apartmen Farisha.

5. Masyarakat yang teguh memegang amanah / janji
Dr Maxi, aqram dan Khairul Anwar teguh memegang amanah Karl untuk mencari Farisha sehingga berjumpa. Mereka juga menjaga Farisha dengan baik kerana menunaikan amanah Karl. Hal ini demikian kerana, Farisha sangat penting untuk menyelamatkan  Dinara.

6. Masyarakat yang bijak
Farisha ialah seorang gadis yang sangat bijak. Walaupun baru sahaja mendengar penerangan ringkas tentang Dinara daripada Aqram, dia telah dapat mengesan kelemahan Dinara. Walaupun belum memulakan penggodaman, Farisha telah nampak banyak kelemahan Dinara. Kerana kebijaksanaannya itulah, dia diperlukan untuk menyelamatkan Dinara.





BINAAN PLOT DAN TEKNIK PLOT NOVEL DI SEBALIK DINARA



Plot
Binaan Plot
1. Permulaan – Farisha berada di lapangan terbang untuk pulan selepas menghadiri mesyuarat di Nusajaya. Dia terasa sangat mengantuk kerana bangun awal pagi untuk berkejar dari Kuala Lumpur ke Nusajaya dan pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama. Dia berkenalan dengan seorang pemuda di kapal terbang dan berjumpa semula semasa Farissha menghadiri symposium di Hotel Renaissance. Pemuda itu menawarkan projek mini yang yang bernilai tinggi di Soft Lab.

2. Perkembangan – Hari-hari seterusnya, Farisha memulakan tugasan di Soft Lab dengan ditemani oleh Aqram. Dia berkenalan dengan Dr Maxi dan juga saintis hebat bernama Karl. Farisha mula mengkaji projek yang akan digodamnya iaitu Dinara dengan bantuan Aqram dan Alia. Semasa bekerja di Soft Lab, Farisha dan Shida menemui pelbagai maklumat berkaitan projek Dinara. Shida menimbulkan beberapa kemusykilan tentang seorang pembantu penyelidik bernama Medina.

3. Konflik – Farisha berasa sangat terkejut dan sedih apabila mengetahui yang dia hanya anak angkat. Farisha menangis sepanjang malam dan tidak dapat melelapkan mata. Konflik juga berlaku di pejabat Farisha di Soft Lab, apabila Farisha jatuh pengsan dan dimasukkan ke hospital menyebabkan sesi komunikasi bawah sedar dengan Karl tidak dapat diteruskan. Aqram, Khairul Anwar dan Dr Maxi mengambil keputusan untuk menggantikan tempatnya dengan Shida.

4. Klimaks – Situasi semakin tegang apabila Shida terpaksa mengambil alih tempat Farisha untuk sesi komunikasi bawah sedar dengan Karl. Karl marah kerana dia hanya mahukan sesi komunikasi dilakukan dengan Farisha. Sementara itu, reaksi Shida sungguh tidak dijangka. Dia meronta-ronta dan membanting diri kerana kejutan situasi yang tidak pernah dialaminya. Karl masuk ke dalam tubuh Shida untuk menyelesaikan tugasan Dinara. Tiba-tiba Medina tiba di pejabat Dr Maxi untuk membalas dendam terhadap Karl. Berlaku perdebatan yang hebat antara Medina dengan Karl ( Shida ). Suasana di pejabat Dr Maxi sangat tegang. Semua watak ada di bilik Dr Maxi ketika ini.

5. Peleraian – Di rumah agam Karl di Puchong. Karl sedang nazak. Medina sangat terkejut dan menyesal kerana meninggalkan Karl. Setiap orang dibenarkan menemui Karl secara perseorangan. Medina menangis teresak-esak. Alia pula meraung. Sementara yang lain reda dengan situasi tersebut. Karl disahkan meninggal dunia pada jam 7 malam. Mayatnya dibakar dan abunya ditabur di Selat Melaka.

Teknik Plot

1. Imbas kembali
Azraai mengimbas kembali peristiwa 26 tahun lalu ketika keluarganya menerima Farisha sebagai anak angkat. Seorang lelaki India yang berambut hitam pekat dan seorang lagi mungkin berketurunan Caucasian datang ke rumah mereka pada waktu petang dengan membawa anak kecil. Anak kecil itulah Farisha. Farisha diberikan kepada keluarga Azraai sebagai anak angkat.

2. Dialog
Contohnya perbualan antara Aqram dan Farisha di dalam pesawat dan di Hotel Renaissance.
Perbualan antara Khairul Anwar dengan Karl ( Shida ) yang membongkar kisah silam Khairul Anwar.

3. Saspens
Unsur saspens muncul ketika Shida mula menjalani sesi komunikasi bawah sedar dengan Karl. Tindak balas meronta dan membanting-banting diri sangat mengjutkan semua yang ada di bilik pejabat Farisha dan bilik Dr Maxi. Aqram meminta agar sesi ditamatkan kerana bimbang kejadian lebih teruk akan berlaku. Dr Maxi menghalang. Sesi diteruskan. Kali ini kekerasan terpaksa dilakukan. Kaki dan tangan Shida diikat, Shida berguling-guling ke lantai, nafasnya kencang dan mata terbelalak. Situasi sangat berbeza dengan ketika Farisha melakukan sesi yang sama. Pembaca tertanya-tanya apa yang akan berlaku kepada Shida.

4. Pemerian
Karl ( Shida ) memerihalkan asal usul Khairul Anwar. Nama sebenarnya Muhammad Irfan. Seorang budak comot yang mengemis di tepi jalanan. Dia mencuri dompet Karl. Karl membawanya pulang, memberi makanan, menggantikan pakaiannya dan menggantikan ingatannya. Lalu dia bertukar menjadi Khairul Anwar.





NILAI MURNI DAN PENGAJARAN NOVEL DI SEBALIK DINARA



1. Kesyukuran
Farisha bersyukur kerana dia dijadikan anak angkat dan membesar dalam keluarga Islam. Dia tidak dapat membayangkan jika dia membesar dengan didikan bapa kandungnya, Karl

2. Kasih sayang
Hubungan kasih sayang antara dua beradik  yang cukup jelas antara Farisha dan Azraai. Azraai sangat mengambil berat perihal keselamatan adiknya sehingga sanggup memasang ‘retinal scanner’ dan interkom yang bersambung ke rumahnya.

3. Kebijaksanaan
Farisha seorang gadis yang sangat bijak dalam teknologi dan telah terbukti dapat menggodam sistem komputer dengan hebat. Kebijaksaan dia berpunca daripada implan yang telah dipasang di badannya  sejak kecil dan pelbagai jenis ubat untuk menjadikannya genius telah dimasukkan ke dalam badaannya oleh bapanya, Karl.

4. Kegigihan
Marilyn@Medina gigih meneruskan kehidupannya walaupun ramai orang menggelarkannya wanita gila. Dia juga gigih meneruskan ciptaan sainya bagi menyaingi Karl, lelaki yang pernah dicintainya. Selain itu, dia juga gigih mencari anaknya yang hilang dan diserahkan kepada keluarga angkat.

5. Kepatuhan kepada ketua
Aqram dan Khairul Anwar sangat patuh kepada arahan ketuanya iaitu Dr Maxi dan Karl walaupun kerap dimaki hamun oleh Karl. Mereka juga sanggup meneruskan misi mencari Farisha untuk menyelamatkan Dinara walaupun banyak rintangannya.

6. Bekerjasama
Rosman dan Farisha saling bekerjasama untuk membangunkan syarikat kongsi mereka iaitu Secured Shell. Mereka juga bekerjasama untuk menjalankan projek mini yang ditawarkan oleh Soft Lab.

Aqram, Dr Maxi, Khairul Anwar dan Alia saling bekerjasama untuk mencari Farisha dan menyelesaikan masalah dalam Dinara. Mereka selalu berbincang untuk kepentingan Dinara.

 PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga kita.
Walaupun Azraai tahu Farisha hanya anak angkat dalam keluarganya, dia sangat sayang kan adiknya itu. Dia selalu mengambil berat dan memantau pergerakan adiknya. Dia juga memasanga alat kawalan keselamatan di apartmen Farisha. Dia juga selalu menjadi tempat rujukan adiknya untuk banyak perkara.

2. Kita hendaklah memanfaatkan teknologi untuk kesejahteraan manusia.
Karl dan Marilyn saling bersaing dalam membangunkan sains sehingga hampir mengorbankan zuriat sendiri. Anak yang masih kecil telah ditanam dengan pelbagai implan dan ubat untuk menjadikannya genius tanpa diberikan ubat bius.

Karl turut mengorbankan manusia lain untuk meneruskan uji kajinya. Contohnya, untuk menghasilkan cyborg ciptaannya seperti Alia dan Aqram, Karl telah mengorbankan 2 orang manusia yang disayanginya iaitu Rusmina dan Akeem.

3. Kita hendaklah berfikir sebelum membuat keputusan.
Farisha tidak tergesa-gesa menerima tawaran Aqram dan Soft Lab untuk projek mini bernilai tinggi. Sebaliknya, Farisha meminta pandangan abangnya yang lebih berpengalaman iaitu Azraai.

4. Kita haruslah menghormati orang yang berada di sekitar kita
Wanita yang ditemui oleh Farisha di Lapangan Terbang Senai tidak seharusnya bercakap di telefon dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang lain di sekitarnya.

5. Kita haruslah menyempurnakan amanah yang diberikan kepada kita dengan baik.
Dr Maxi berusaha untuk menunaikan amanah yang diberikan oleh Karl iaitu mencari Farisha sehingga berjumpa. Farisha amat penting untuk menyelamatkan masa depan Dinara.  










Isnin, 27 Julai 2015

WATAK DAN PERWATAKAN NOVEL DI SEBALIK DINARA



Watak dan perwatakan

WATAK UTAMA 
Farisha
·        berusia dalam lingkungan umur 26 tahun
·        seorang gadis yang genius dan pakar dalam penggodaman IT
·        Seorang adik yang penyayang
·        Anak kandung kepada Medina@Marilyn dan Karl
·        Berhati-hati dalam membuat keputusan
·      Seorang yang amat mementingkan kesempurnaan. Pakaiannya disusun mengikut kategori dan warna. Semua benda akan disusun mengikut kategori, warna, kegunaan dan pelbagai peraturan yang diciptanya sendiri.


Cadangan Jawapan : Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 bertajuk Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor. Watak utama novel ini ialah Farisha. 

Farisha seorang gadis berusia 26 tahun dan seorang  anak kandung kepadaMedina@Marilyn dan Karl. Farisha juga seorang yang cantik. Buktinya, menurut pandangan Aqram, Farisha agak cantik dan bersopan santun.

Farisha juga seorang yang genius dan pakar dalam penggodaman IT. Buktinya,Farisha diminta oleh Dr Maxi menggodam sistem Dinara yang dibuat oleh Karl atas kepakaran yang dimilikinya  pernah berjaya melepasi sistem keselamatan Bank Sapurba dahulu. Bukti lain, Aqram mengakui kelemahan Dinara dan meminta Farisha menggodam sistem itu supaya keselamatannya boleh ditingkatkan

Selain itu, Farisha adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam membuat keputusan. Buktinya,  Farisha tidak tergesa-gesa menerima tawaran Aqram dan Soft Lab untuk projek mini bernilai tinggi. Sebaliknya, Farisha meminta pandangan abangnya yang lebih berpengalaman iaitu Azraai. 


Farisha juga dikatakan seorang yang amat mementingkan kesempurnaan. Sebagai contohnya, pakaiannya disusun mengikut kategori dan warna. Semua benda akan disusun mengikut kategori, warna, kegunaan dan pelbagai peraturan yang diciptanya sendiri.

WATAK SAMPINGAN

Shida
·        Kawan serumah dengan Farisha
·        Rajin membaca
·        Berkelulusan dalam bidang undang-undang tetapi memilih untuk menjadi penulis
·        Ditawarkan untuk menulis rencana dan biografi Dinara
·        Menjadi pengganti Farisha untuk berhubung dengan Karl secara bawah sedar


Azraai
·        Abang angkat Farisha
·        Sangat mengambil berat dan sayang akan adik angkatnya, Farisha
·        Menjadi tempat rujukan Farisha untuk membuat keputusan
·        Merahsiakan penyakit yang sedang dihidapi daripada pengetahuan Farisha
·        Menghidapi penyakit jantung


Rosman
·        Rakan kongsi Farisha
·        Bersikap materialistik dan mementingkan wang
·        Mengambil berat masalah Farisha


Aqram
·  Lelaki yang ditemui oleh Farisha di Lapangan Terbang Senai dan duduk di sebelahnya dalam penerbangan dari Senai ke Kuala Lumpur.
·        Seorang yang tampan, kemas dan sangat sempurna penampilannya.
·    Pekerja di Soft Lab. Cyborg ciptaan Karl yang menggunakan tubuh adik kandung Karl bernama Akeem. Sebelum menjadi Aqram, Akeem ialah seorang lelaki OKU.


Alia
·        Seorang pekerja senior di Soft Lab
·        Perawakan wajah yang cantik
·   Cyborg pertama ciptaan Karl yang menggunakan tubuh bekas isteri Karl bernama Rusmina. Mempunyai perasaan cemburu dengan mana-mana wanita yang rapat dengan Karl
·        Sangat menyayangi Karl.
·        Kurang sabar dan cemburu.


Karl
·        Seorang saintis hebat yang mencipta pelbagai teknologi
·        Saling bersaing kehebatan dalam bidang teknologi dengan Marilyn@Medina
·        Bermusuh dengan Marilyn@Medina kerana persaingan dunia sains
·        Bapa kandung Farisha
·        Menghidapi kanser usus tahap 4 dan dirawat di bilik khas dalam rumah agamnya di Puchong.


Medina@Marilyn
·        Wanita keturunan Portugal
·        Cantik, putih dan berambut keriting
·        Bijak dan hebat dalam bidang sains
·        Banyak membantu dalam kerja-kerja penyelidikan Karl
·        Berdendam dengan Karl kerana persaingan dunia sains




Tema dan Persoalan Novel Di Sebalik Dinara



NOVEL DI SEBALIK 

Tema

Persaingan dalam dunia sains.

Novel ini mengisahkan sebuah persaingan dalam penciptaan sains dan teknologi sehingga menghapuskan nilai kemanusiaan. Pada awalnya Karl dapat menerima Medina@Marilyn sebagai pembantu penyelidiknya. Tetapi apabila dia berasakan Marilyn lebih hebat daripadanya, dia mula merancang sesuatu untuk melenyapkan pesaingnya itu. Marilyn dijadikan bahan uji kaji sehingga akhirnya dia menjadi gila. Walaupun dikatakan gila oleh kebanyakan orang, Marilyn tetap meneruskan dendamnya untuk menjatuhkan Karl. Dia meneruskan ciptaan sainsnya dan akhirnya dapat menyebarkan virus ke dalam sistem komunikasi terbaharu yang dihasilkan oleh Karl iaitu Dinara.

Persoalan

1. Kecanggihan teknologi pada masa hadapan
contohnya:  Kelengkapan serba canggih di tempat kerja Aqram, Dr Maxi, Khairul Anwar dan Farisha di Soft Lab, Cyberjaya.
·        Rumah Farisha juga dilengkapkan alat keselamatan yang canggih seperti ‘retinal scanner’dan interkom.

2. Ketaksuban sesetengah golongan manusia mengejar kemajuan sains dan teknologi sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan.
contohnya:   Karl terlalu taksub untuk membuktikan kehebatannya dalam ciptaan sains sehingga melupakan aspek kemanusiaan. Karl telah mengorbankan ramai manusia dan menjadikan mereka sebagai bahan kajian.
·        Karl menanam pelbagai implan dan memasukkan pelbagai ubat dalam tubuh anaknya untuk menjadikannya genius dan mampu meneruskan kepandaiannya dalam bidang sains.

3. Kasih sayang sesama ahli keluarga
contohnya:    Azraai sangat menyayangi adik angkatnya, Farisha. Dia sentiasa memastikan keselamatan adiknya dalam keadaan yang terbaik.
·        Azraai telah memasang dan memantau sistem keselamatan di apartmen adiknya. Contohnya Azraai telah memasang ‘retinal scanner’ dan interkom di pintu masuk rumah Farisha untuk memantau dan memastikan keselamatannya.

4. Kepincangan keluarga yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
·        Karl tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan baik. Dia mengajak isterinya, Rusmina untuk meninggalkan agama.
·        Rusmina telah diseksa hingga cacat apabila enggan mengikut Karl meninggalkan agama dan hidup  sebagai ateis.

5. Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
contohnya:     Marilyn@Medina sangat sayang akan anaknya, Farisha. Dia bimbang anaknya akan mati akibat uji kaji dan penanaman pelbagai ubat ke dalam badan oleh Karl. Dia melarikan anaknya dan diberikan kepada keluarga angkat.







Ahad, 26 Julai 2015

Lirik lagu Kun Anta


Lagu Kun Anta nyanyian Humood Alkhudher bermaksud jadi diri sendiri ini lebih kepada mahu memberi semangat dan keyakinan bahawa kita tidak perlu mengharap perhatian atau kekaguman orang dengan menjadi orang lain. Yakin pada diri sendiri kerana semuanya akan berbalik pada akhlak yang baik.  




Lirik lagu Kun Anta 

Liujarihim, qoldat tu zohiru ma fihim

لأجاريهم، قلدت ظاهر ما فيهم
Ketika ingin bersaing dengan mereka,
aku telah meniru apa yang ada pada mereka

Pabadautu shakhson a-khar, kai atafa-khar,

فبدوتُ شخصاً آخر، كي أتفاخر
Lalu aku mula menjadi seperti orang lain, supaya aku boleh berbangga

Wa zonan tu ana, anni bizalika huztu ghina

و ظننتُ أنا، أنّي بذلك حُزْت غنى
dan aku sangka jika aku lakukan seperti itu aku akan dapat kelebihan

Fawajad tu anni kha-sir, fatilka mazohir,

فوجدتُ أنّي خاسر، فتلك مظاهر
Namun aku dapati yang aku perolehi hanyalah kerugian. Itulah yang nyata.


La la,
La nahtajul ma-la,
Kai nazdada jama-la,
Jauharna huna,
Fi qalbi talala,

لا لا
لا نحتاج المال، كي نزداد جمالا، جوهرنا هنا، في القلب تلالا
Tidak..Tidak...
Kita tidak memerlukan harta, agar bertambah cantik. Permata kita ada di sini, di dalam hati yang bersinar-sinar

La la,
Nurdhin nasi bima-la,
Nardhohu la na ha-la,
Za-ka jamaluna,
Yasmu yataa’la

لا لا
نرضي الناس بما لا، نرضاه لنا حالا، ذاك جمالنا، يسمو يتعالى
Tidak..Tidak...
Kita bukan diterima orang lain dengan apa yang tidak ada. Kita diterima adalah kerana perbuatan (akhlak) kita. Itulah kecantikan kita. Yang sangat tinggi dan mulia

Kun anta tazdada jamala
كن أنت تزدد جمالاً
Jadilah diri kamu sendiri
pasti akan bertambah lagi kecantikan yang sedia ada

Attaqabbalhum, anna-su lastu qalliduhum,
أتقبّلهم، الناس لست أقلّدهم
Sungguh aku menerima mereka, dan aku tidak perlu meniru perwatakan mereka

Illa bima yurdhi-ni, kai urdhi-ni,
إلا بما يرضيني، كي أرضيني
Melainkan apa yang aku terima itu aku telah redha.

Sa akunu ana, mithli tamaman hazana,
سأكون أنا، مثلي تماما هذا أنا
Aku akan menjadi diriku sendiri. Seperti diriku sepenuhnya. Inilah aku.

Fakona a’ti takfini, za-ka yaqi-ni,
فقناعتي تكفيني، ذاك يقيني
Sifat qanaah sudah cukup untuk ku. Itulah keyakinanku

Saakunu ana, man ardho ana, lan asa’ la liri dhohum,
سأكون أنا، من أرضى أنا، لن أسعى لا لرضاهم
Aku akan menjadi diriku sendiri, mengikut kemampuan diriku.
Aku tidak perlukan orang lain untuk menerimaku

Waakunu ana, ma ahwa ana, ma-li wama liridhohum,
وأكون أنا، ما أهوى أنا، مالي وما لرضاهم
Aku akan jadi seperti diriku.
Apa yang aku inginkan. Untuk diriku dan bukan untuk diterima mereka


—–

Lirik Kun Anta dalam rumi

Liujarihim, qoldat tu zohiru ma fihim
Pabadautu shakhson a-khar, kai atafa-khar
Wa zonan tu ana, anni bizalika huztu ghina
Fawajad tu anni kha-sir, fatilka mazohir

La la, La nahtajul ma-la, Kai nazdada jama-la, Jauharna huna, Fi qalbi talala, 
La la, Nurdhin nasi bima-la, Nardhohu la na ha-la, Za-ka jamaluna, Yasmu yataa’la 
Oh Wo Oh (6x), Kun anta tazdada jamala (2x) 

Attaqabbalhum, anna-su lastu qalliduhum, 
Illa bima yurdhi-ni, kai urdhi-ni, 
Sa akunu ana, mithli tamaman hazana, 
Fakona a’ti takfini, za-ka yaqi-ni, 

La la, La nahtajul ma-la, Kai nazdada jama-la, Jauharna huna, Fi qalbi talala, 
La la, Nurdhin nasi bima-la, Nardhohu la na ha-la, Za-ka jamaluna, Yasmu yataa’la 
Oh Wo Oh (6x) Kun anta tazdada jamala 

Saakunu ana, man ardho ana, lan asa’ la liri dhohum, 
Waakunu ana, ma ahwa ana, ma-li wama liridhohum, 
Saakunu ana, man ardho ana, lan asa’ la liri dhohum, 
Waakunu ana, ma ahwa ana, lan ardho ana biridhohum 

La la, La nahtajul ma-la, Kai nazdada jama-la, Jauharna huna, Fi qalbi talala, 
La la, Nurdhin nasi bima-la, Nardhohu la na ha-la, Za-ka jamaluna, Yasmu yataa’la 
Oh Wo Oh (6x), Kun anta tazdada jamala (2x)


And here’s the English translations (translated on Youtube):

Be Yourself

In order to keep up with them, I imitated their looks and exterior
So I became someone else – just to boast

And I thought that through that I’d gained a fortune
But I found that I’d lost, for these are mere appearances

Chorus:
No, no,
We don’t need wealth to increase in beauty
Our essence is here, in our hearts it shines
No, no
We will not seek to please others with that which we deem unbefitting for ourselves
That is our beauty, rising and ascending above

Oh wo oh, oh wo oh..
Be yourself and you will increase in beauty

I accept people but I don’t imitate them
Except for what I agree with, to satisfy myself

I will just be myself, just the way I am, this is me
My conviction suffices, this is my certainty

(Chorus)

I’ll be what I please to be
I won’t seek their acceptance
I’ll be whom I love to be
Why would I care about their acceptance








Sabtu, 25 Julai 2015

ANALISIS NOVEL DI SEBALIK DINARA - SINOPSIS MENGIKUT BAB





Image result for imej novel disebalik dinara






NOVEL DI SEBALIK DINARA



BAB 1

Farisha seorang gadis yang bertugas sebagai jurutera keselamatan sistem baru sahaja selesai bermesyuarat di NusaJaya. Semasa berada di Lapangan Terbang Senai, Farisha berkenalan dengan Aqram dan secara kebetulan mereka duduk bersebelahan di dalam kapalterbang ke KLIA.  Farisha agak teruja melihat jam tangan yang dipakai oleh Aqram yang  merupakan pusat kawalan elektronik peribadinya. Sesampainya di pintu apartmentnya, Farisha terperanjat sekali lagi apabila melihat pintunya juga telah terpasang “retinal scanner”. Farisha terpaksa menunggu Shida  kawan serumahnya yang sedang bermain skuasy dengan JUJU sebuah android untuk masuk ke apartment mereka. Farisha ingin tidur awal kerana besok dia akan menghadiri satu simposium di Hotel Renaissance. Dalam masa yang sama rupa-rupanya Aqram sudah dapat mencuri cawan minuman Farisha semasa di dalam kapal terbang tadi dan dapat bekerjasama dengan Dr.Maxi untuk mengkaji  DNA Farisha.

BAB 2

Pada keesokan harinya Farisha dan Rosman pembantunya menghadiri sebuah simposium yang  akan dirasmikan  oleh Phillips Young,  Presiden Persatuan Penggodam Antarabangsa. Bermula daripada pendaftaran, pencetakan bahan, sehingga mengatur kedudukan dalam simposium tersebut semua diuruskan oleh robot. Sehinggakan Farisha berasa kecewa kerana Phillips Young menyampaikan ucaptama beliau hanya melalui hologram sahaja. Tanpa diduga Farisha bertemu lagi dengan Aqram. Dalam pertemuan ini Aqram  menyatakan keinginannya mencari  jururunding untuk sebuah projek mini di makmalnya. Dalam pada itu Aqram telah berjaya menerobos fikiran Farisha menggunakan penetrator berupa sebatang pen berwarna perak. Tetapi pendinding WALL yang dimiliki oleh Farisha dapat  menangkis segala maklumat yang dikumpul dalam ingatan Aqram. Sebenarnya Aqram sudah sebulan cuba menjejaki Farisha untuk dibawa ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.

BAB 3

Berikutan dengan tawaran Aqram yang ingin mencari jururunding untuk satu projek, Farisha dan Rosman telah menghubungi Aqram. Aqram bersetuju membincangkan perkara itu di Puchong, berjumpa dengan Karl. Karl seorang yang pernah menerima anugerah inovasi peringkat kebangsaan tiga tahun dahulu. Tetapi sebelum berjumpa dengan Karl, Aqram telah memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr.Maxi dan beliau telah menawarkan RM1.5 juta kepada mereka berdua untuk tugas menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh empat minggu. Farisha meminta sedikit waktu untuk membuat keputusan. Sebelum pulang Farisha dan Rosman diberi peluang untuk melihat Karl yang terlantar sakit barah. Projek Dinara yang diteraju oleh Karl terhenti kerana dia sakit.

BAB 4

Pada hari Isnin berikutnya, Farisha bersetuju berjumpa dengan Aqram di Soft Lab di Cyberjaya. Farisha menumpang kereta Shida  yang kebetulan ada temu janji dengan Khairul Anwar di Soft Lab juga. Bangunan Soft Lab dilengkapi oleh sistem keselamatan yang canggih termasuklah penggunaan imbasan tangan dan retina mata. Aqram juga menunjukkan beberapa bilik dan ruang di situ yang canggih dan lengkap. Farisha amat teruja, terutamanya apabila dia memasuki pusat data. Itulah Dinara yang memuatkan hampir semua aplikasi dan data. Di sinilah Farisha mendapat kepastian bahawa tugasnya ialah menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.  Pada petangnya barulah tugasan Farisha dan Shida selesai dan mereka pulang bersama-sama. Namun dalam masa yang sama Dr.Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar mengadakan perbincangan. Rancangan mereka hampir berjaya mendapatkan Farisha dan Shida untuk berada di Soft Lab untuk menjayakan rancangan mereka. Mereka amat perlukan Shida juga sebagai  physical backup kepada Farisha. Mereka akan mengusahakan untuk memasukkan mikrocip ke dalam tubuh Shida, sebagaimana yang ada dalam tubuh Farisha. Pada malam itu juga Dr.Maxi akan memadamkan beberapa ingatan dan perasaan  Alia sebuah cyborg canggih supaya ia tidak akan mengganggu rancangan yang diatur  untuk Farisha  dan Shida.

BAB 5

Keesokan harinya Farisha dan Shida mula bekerja di Soft Lab.Shida dibawa oleh Khairul Anwar ke Arkib manakala Farisha diberikan taklimat oleh Alia tentang semua kod program yang ada dalam Soft Lab. Pada sebelah petang  Aqram pula memberi taklimat kepada Farisha. Aqram menjelaskan  bahawa Karl yang telah membangunkan teknologi hypervisor di dalam  Dinara, tetapi  Dinara sekarang  sudah diceroboh dan penceroboh telah berjaya menyusupkan satu virus bom jangka yang akan memusnahkan Dinara pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Sebenarnya inilah tugas Farisha dengan bayaran RM1.5  dia perlu membersihkan virus bom jangka itu dan mengatasi semua kelemahan Dinara. Pada petang itu juga Farisha mendapat tahu bahawa Rosman tidak dapat bersama-sama dengannya bertugas di Soft Lab kerana dia terpaksa meneruskan  projek di Senawang yang telah menawarkan bayaran dua kali ganda daripada perjanjian awal.Farisha bersetuju. Farisha pulang  dengan kepala yang berat memikirkan tentang Dinara yang sudah diceroboh itu. Ini bererti tugasnya amat berat. Di Soft Lab, Alia pula bertengkar dengan Dr.Maxi kerana banyak data pengetahuan dan perasaannaya telah dipadamkan dan tindakan Alia itu juga menggambarkan dia mempunyai perasaan cemburu dan tidak gemar jika ada perempuan lain ada sebarang hubungan dengan Karl. Pada masa yang sama Khairul Anwar menjelaskan bahawa Rosman tidak akan mengganggu mereka di Soft Lab lagi kerana dia telah mempengaruhi syarikat di Senawang itu untuk membesarkan lagi skop kerjanya. Pada malam itu Farisha mengalami mimpi ngeri sehingga dia terlambat bangun.

BAB 6

Pagi itu Farisha datang lewat sepuluh minit ke Soft Lab. Alia sudah sedia menunggu. Farisha berasa kepalanya berat dan dalam keadaan tidak sedar, Alia telah memasukkan mikrocip ke dalam tubuhnya dan dia dapat  berkomunikasi dengan Karl.Dalam komunikasi itu Karl meminta pertolongan daripada Farisha untuk menyelamatkan Dinara. Oleh kerana tidak dapat mengesan butiran perbualan Farisha dan Karl, Alia menjadi cemburu dan marah. Selepas beberapa ketika Farisha sedar semula dan menjadi lebih segar apabila dia makan pil yang diberikan oleh Aqram. Kerja pada hari itu berakhir dengan perbincangan dan persoalan tentang seorang penyelidik yang bernama Medina yang telah hilang di Soft Lab tanpa dapat dikesan. Hal ini diterangkan oleh Shida melalui kajiannya di Arkib.

BAB 7

Pada sebelah malam Farisha, Shida dan Rosman berjumpa di pejabat Secured Shell. Ketiga-ketiganya meneliti kontrak yang diajukan oleh Soft Lab. Sementara mereka berbincang tiba-tiba Farisha mengalami sakit kepala setelah terlihat suatu cahaya putih memancar ke arahnya. Hasrat meneliti kontrak dibatalkan dan ketiga-tiga mereka bergegas  pulang. Sementara itu mereka diberitahu oleh Uncle Seng yang berada di situ bahawa dia bergegas keluar dari kedai runcitnya kerana terlihat beberapa orang turun tangga pejabat Secured Shell dengan membawa beberapa perkakas besi termasuk suatu barang yang serupa dengan piring tv satelit. Tiada laporan polis dibuat. Dua malam selepas kejadian itu, Farisha telah diundang oleh Abang Azraai utk makan malam di rumahnya. Di sana Farisha bertemu, abang Azraai, kak Mariah dan kedua-dua anak mereka Aina dan Dina. Alangkah terharu bercampur sedih apabila dia mendapat tahu abangnya mengalami sakit jantung dan perkara kedua yang amat mengejutkannya ialah, dirinya adalah anak angkat kepada ibu dan ayahnya. Malam itu Farisha tidak dapat melelapkan mata.



BAB 8

Pada pagi itu sebelum sempat Alia membawa Farisha ke alam bawah sedar, tiba-tiba Farisha pengsan. Doktor dipanggil dan Farisha dibawa ke hospital. Aqram, Khairul Anwar dan Dr.Maxi hairan dan menurut Aqram dia sudah menyiasat latar belakang Farisha sekian lama tiada pula maklumat tentang sebarang penyakit yang membimbangkan. Sebaik saja Farisha dibawa ke hospital, Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar bergegas ke Arkib untk berjumpa Shida. Beberapa soalan diajukan kepadanya tentang latar belakang penyakit Farisha. Dr.Maxi ingin tahu sama ada Farisha mengandung.

BAB 9

Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar berbincang tentang Plan B, iaitu menggantikan Farisha dengan Shida. Namun kedua-duanya amat berbeza. Lagipun tubuh Farisha telahpun ditanam dengan mikrocip yang membolehkannya berkomunikasi dengan Karl. Karl menggunakan teknologi ini sebagai satu kaedah telepati untuk berhubung dengan Farisha. Pada jam 5.30 petang mereka akan melawat Farisha di hospital. Shida pula pulang ke rumah dan cuba mencari sebarang bukti tentang penyakit Farisha tetapi gagal. Namun Shida terjumpa satu bukti  yang menyatakan bahawa Farisha ialah anak angkat.Apabila Shida dan Rosman melawat Farisha, dia sangat lemah dan terdapat satu benjolan kecil di belakang tengkuknya.Tetapi Farisha menyatakan itu tidak apa-apa. Farisha terlena lagi. Beberapa minit kemudian, Farid dan Amin  datang  ke katil Farisha menggunakan peranti untuk mendapatkan maklumat yang sebelum ini gagal kerana ruang fikiran Farisha dilindungi oleh WALL. Tetapi kali ini meraka berjaya kerana WALL lemah apabila Farisha lemah. Selepasitu Aqram pula mencari maklumat pada badan Farisha menggunakan satu alat sepanjang enam sentimeter. Aqram mendapati alat itu bertukar menjadi warna merah yang menunjukkan tahap kesihatan Farisha tidak memuaskan. Farisha terus lena kerana abangnya Azraai meminta doktor memberi ubat tidur. Azraai juga membohongi doktor bahawa mikrocip di dalam badan Farisha yang kelihatan di CT-scand itu adalah dalam pengetahuan Farisha yang dia sendiri sukarela menjalani satu uji kaji untuk sebuah universiti. Perkara itu juga adalah amanah ibu bapanya supaya semua mikrocip itu mesti kekal dalam tubuh Farisha dan dia mesti berkhidmat di Soft Lab apabila diperlukan. Tengah malam itu Dr.Maxi menyarankan bahawa Shida akan menggantikan tempat Farisha.

BAB 10

Pada pagi itu sedang Shida membaca satu laporan tentang seorang penyelidik bernama Medina di Arkib, dia diminta oleh Alia pergi ke Makmal B. Satu pembedahan untuk menanam mikrocip telah dilakukan ke atasnya. Dia tidak diberitahu. Pada petang itu selepas sedar, apa yang dilakukan ke atas Farisha dilakukan pula ke  atas Shida. Kali ini tindak balasnya lebih teruk lagi. Tetapi Dr.Maxi berdegil dan hanya memberhentikan ujikaji ini selepas  lima minit. Ini akan merosakkan otak seseorang. Dalam masa yang sama, Farisha dalam tidak sedar dapat berkomunikasi dengan seseorang yang menyebut dirinya sebagai mummy. Di suatu tempat yang lain pula, Farid dan Amin berasa amat hairan dan dapat melihat keajaiban teknologi kerana perempuan tua yang menyuruh mereka mengekori dan berbuat sesuatu ke atas Farisha menjerit gembira dan mengatakan dia berjaya menghubungi anaknya Farisha dan dia mengaku dirinya lebih hebat daripada lelaki itu. Farid menyanggah perbuatan perempuan tua itu  kerana sanggup melakukan ujikaji  ke atas anaknya sendiri. Dia tidak peduli. Apa yang dia mahu adalah inginmembuktikan siapa yang benar dan yang lebih hebat daripada ‘lelaki’ itu.  Manakala Shida tetap murung, berada di bilik Farisha, dan tidak pulang ke rumah malam tadi. Aqram gagal menerobos mindanya dan mungkin dia juga telah menerima mikrocip WALL atau kesilapan Dr.Maxi yang tetap meneruskan ujikajinya ke atas Shida. Shida tidak mahu bercakap, makan, atau minum malah menjadi garang seperti kucing liar yang ketakutan.

BAB 11

Apabila sudah boleh bangun dan berjalan Farisha ingin mendapatkan penjelasan daripada abangnya Azraai tentang ibu kandungnya. Azraai menceritakan semua yang dia tahu tentang Farisha. Farisha menjadi adik angkatnya kerana hendak menyelamatkannya daripada dijadikan bahan ujikaji ibunya sendiri. Azraai menerangkan bahawa dia dan beberapa orang lagi telah diamanahkan menjaga keselamatan Farisha. Apabila  Farisha mendedahkan bahawa dia dapat berkomunikasi dengan ibunya, Azraai  kelihatan sangat cemas dan menyatakan bahawa Farisha dalam bahaya dan terus membawa Farisha keluar dari hospital menuju ke arah selatan. Azraai bercakap dengan seseorang dan bersetuju mendapatkan kunci rumah daripada orang tersebut di Perhentian Ayer  Keroh. Dalam pada itu Alia ditugaskan oleh Dr.Maxi untuk mempengaruhi otak Shida.  Akhirnya Dr.Maxi dapat berkomunikasi dengan Karl melalui Shida. Karl mengarahkan supaya Farisha dibawa ke situ kerana virus yang disusup ke dalam Dinara akan diaktifkan yang akan bukan sahaja memusnahkan Dinara tetapi ribuan manusia. Dia perlukan Farisha. Tetapi Farisha sudah meninggalkan Kuala Lumpur. Azraai ingin membawa Farisha ke Kulai, tetapi dalam perjalanan Farisha diculik pula oleh dua orang suruhan ibu Farisha. Dalam masa yang sama di Soft Lab  sesuatu berlaku kepada Shida. Karl bercakap melalui Shida. Karl menyatakan bahawa Khairul Anwar ialah seorang budak pengemis yang bernama Muhammad Irfan yang telah diganti ingatannya. Khairul Anwar sangat berang. Karl juga menyebut bahawa dia memukul seorang wanita sehingga menjadi cacat.





BAB 12

Penculik Farisha, iaitu Amin dan  Farid dalam perjalanan ke Seremban membawa Farisha bertemu dengan ibunya Marilyn. Dalam tidur Farisha dapat dihubungi oleh ibunya tetapi terhenti apabila brek kereta ditekan mengejut lalu Farisha terjaga. Dalam pada itu di SoftLab, Alia berkomunikasi dengan Shida dan memberitahu bahawa wanita cacat itu ialah dirinya yang dipukul oleh Karl kerana dia enggan meninggalkan agamanya dan nama asalnya ialah Rusmina. Perbualan antara Alia dan Shida dapat disaksikan oleh Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar. Ketiga-tiga mereka berasa sedih memikirkan akibat yang akan  ditanggung oleh Shida akibat pemindahan maklumat pahit dan ngeri selama 20 tahun oleh Karl ke dalam otak Shida. Berdasarkan laporan yang tersimpan di dalam Dinara Dr.Maxi juga menerangkan kepada Khairul Anwar dan Aqram bahawa ujikaji seperti itu juga pernah dilakukan tetapi gagal dan mangsanya ialah Medina. Dalam pada itu alat pengesan pintar Rosman dapat mengesan arah Farisha dilarikan. Mereka menuju Soft Lab Cyberjaya. Azraai juga menuju ke sana. Apabila tersedar Farisha menjerit-jerit dalam kenderaan yang dipandu oleh Farid dan Amin. Mereka mengherdik Farisha mengatakan dia akan bertemu emaknya yang sudah sangat lama ingin bertemu anaknya itu. Namun Farisha marah dan ketakutan  tidak mahu berjumpa perempuan itu sebaliknya dalam keadaan  kaki dan tangan terikat mahu dia dihantar kepada abangnya Azraai. Farid dan Amin tidak ambil peduli. Manakala di Soft Lab, Shida menyanyi dalam suara yang agak perlahan lagukegemaran Karl. Alia mendengar. Alia berkomunikasi dengan Karl melalui Shida lagi. Alia mendapat tahu bahawa  Karl gagal mendapatkan cinta Medina. Aqram dan Dr.Maxi sependapat mengetahui bahawa Alia tetap berasa cemburu terhadap Karl bekas suaminya walaupun sudah beberapa program dalam mindanya diubah. Mereka juga yakin bahawa Karl telah memindahkan kenangan dan pengalamannya selama 20 tahun ke dalam otak Shida. Dalam pada itu, di sebuah stesen minyak Marilyn menaiki kenderaan yang dipandu oleh Amin. Dia mendekati Farisha, menyatakan bahawa dia amat merindui anaknya itu. Namun Farisha bertegas dan marah lalu menempelak Marilyn yang dia pernah ingin membunuhnya dulu. Suis alat pemintas untuk melemahkan WALL di otak Farisha dihidupkan.

BAB 13

Dr.Haris ialah doktor yang sedang merawat Karl di Puchong. Beliau menyatakan bahawa kesihatan Karl teruk. Namun Dr.Maxi mahu terus menghubungkan fikiran Karl melalui Shida. Dr.Maxi dapat berbual dengan Karl melalui Shida. Melalui Shida Karl bangun  dan bertindak melalui komputer berusaha untuk menghapuskan virus dalam Dinara. Kebijaksanaan ini diterima oleh Karl melalui Farisha yang Karl telah gandakan IQnya 26 tahun dahulu. Dalam masa yang sama Farisha telah berada di situ bersama-sama Marilyn/Medina, dan dua orang pengikutnya. Di sini rahsia terbongkar. Marilyn/Medina ialah ibu Farisha dan Karl ialah bapanya yang telah sanggup mengeksploitasi anaknya sendiri untuk kepentingan kajiannya di SoftLab iaitu mengaktifkan sistem Dinara. Marilyn menjadi musuh kerana Karl telah mensabotaj fikirannya menggunakan fikiran seorang bekas banduan dan akibatnya Marilyn/Medina menjadi separuh gila dan cuba mencekik Farisha. Dr.Maxi dan Aqramlah yang menyelamatkan Farisha dan dibawa kepada keluarga angkatnya iaitu keluarga Azraai. Farisha juga mendapat tahu bahawa Aqram juga adalah cyborg seperti Alia.

BAB 14

Hari ini merupakan hari paling hiba bagi Farisha kerana menghadap seorang insan yang sepatutnya dipanggil ayah. Karl terbaring tidak berkata-kata. Dr.Haris menyatakan bahawa aktiviti otaknya semakin menurun. Semua yang ada di situ masuk bergilir-gilir mendekati Karl. Bermula dengan Aqram, Dr.Maxi, Khairul Anwar, Medina, Alia, dan  akhirnya Farisha. Farisha mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya namun tiada jawapan. Tepat pukul tujuh malam Dr.Haris mengumumkan Karl meninggal dunia. Wasiat terakhir Karl ialah mayatnya dibakar, dan abunya di tabur di Selat Melaka. Upacara dijalankan di Port Dickson. Selepas upacara itu semua orang bercakap-cakap tentang kenangan masing-masing semasa Karl masih hidup.

Tetapi terdapat keanehan dalam diri Shida. Dia pandai berfalsafah seperti Karl. Dalam percakapannya Shida mengajak mereka pulang ke Sort Lab untuk menyelamatkan Dinara. Aqram dapat rasakan bahawa yang berfalsafah dan berkata-kata itu bukan Shida tetapi Karl. Aqram sangat yakin itu ialah Karl.






















Selasa, 14 Julai 2015

PEMANTAPAN TATABAHASA - SUSUNAN AYAT BIASA DAN AYAT SONGSANG



1. Terdapat dua bentuk susunan ayat dalam bahasa Melayu, iaitu susunan biasa dan susunan songsang.
2. Dalam susunan biasa, subjek terletak di hadapan ayat manakala predikat pula terletak di belakang ayat.
3. Ayat songsang ialah ayat yang predikatnya di hadapan dan subjeknya di belakang.

Ayat Biasa = Subjek + Predikat
Ayat Songsang = Predikat + Subjek
Ayat contoh:
1. Encik Ahmad seorang doktor.(Ayat Biasa)
    Seorang doktor Encik Ahmad. (Ayat Songsang)

2. Itu rumah saya.(Ayat Biasa)

Rumah saya itulah.(Ayat Songsang)
3. Perempuan itu siapa? (Ayat Biasa)

Siapa perempuan itu? (Ayat Songsang)


4. Kasut adik belum bercuci. (Ayat Biasa)

Belum bercuci kasut adik. (Ayat Songsang)


5. Pokok itu sangat tinggi.(Ayat Biasa)

 Sangat tinggi pokok itu.(Ayat Songsang)


* Partikel "-lah" (untuk ayat penyata) dan partikel "-kah" (untuk ayat tanya) digunakan untuk memberi penekanan

kepada predikat dalam ayat.
5. Ayat songsang boleh dibentuk melalui proses pendepanan, iaitu:

a) Pendepanan seluruh predikat
b) Pendepanan sebahagian daripada predikat


(a) Pendepanan Seluruh Predikat
Ayat Biasa Ayat Songsang
1. Masakan ibu lazat sekali.
1. Lazat sekali masakan ibu.

2. Baju itu dijahit oleh ibu.
2. Dijahit oleh ibu baju itu.

3. Abangnya seorang pensyarah.
3. Seorang pensyarah abangnya.

(b) Pendepanan Sebahagian Daripada Predikat

Ayat Biasa Ayat Songsang

1. Kanak-kanak bermain layang-layang di padang itu.(Ayat Biasa)

1. Bermain layang-layang kanak-kanak di padang itu. .(Ayat Songsang)


2. Saya akan balik ke kampung esok.(Ayat Biasa)

2. Akan balik saya ke kampung esok.(Ayat Songsang)


3. Hatinya tersinggung dengan kata-kata kawannya.(Ayat Biasa)

3. Tersinggung hatinya dengan kata-kata kawannya.(Ayat Songsang) 





Isnin, 13 Julai 2015

LATIHAN MEMBINA AYAT SPM


 PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA



Latihan 3(a) : SPM NOV 2014
KATA MAJMUK

Tuliskan satu ayat bagi setiap rangkai kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan, menukarkan atau menggugurkan imbuhan atau menggunakan rangkai kata itu sebagai peribahasa atau kata nama khas.

(i)    putih bersih
(ii)   bersatu hati
(iii)  titik permulaan
(iv)  kenangan manis
(v)   berpandangan jauh
(vi)  menenangkan fikiran                                          [6 markah]

CONTOH JAWAPAN

Jawapan :

(i)   putih bersih   : putih lagi bersih, putih sekali
       Contoh : Baju yang dicuci oleh ibu putih bersih.

(ii)  bersatu hati  : bermuafakat benar, seia sekata
       Contoh : Adik-beradik itu bersatu hati untuk menjaga ibu mereka yang sudah tua itu.

(iii) titik permulaan : sesuatu(hal, keadaan, kejadian, kejayaan, pengemukaan, dll) yang menjadi
       punca atau asas untuk mencapai sesuatu yang lebih besar(yang selanjutnya)

       Contoh :  Kejayaan Ali dalam pertandingan Usahawan Muda  itu merupakan titik permulaan
       untuknya  menceburkan diri dalam perniagaan.

(iv) kenangan manis : peristiwa menggembirakan yang menjadi ingatan
      Contoh : Kenangan manis saya tahun ini ialah kejayaan mendaki puncak Gunung Kinabalu.

(v)  berpandangan jauh : menmpunyai hematan dan kebolehan menjangka yang akan datang atau
       timbul
       Contoh : Untuk memajukan negara, kita memerlukan seorang pemimpin yang berpandangan
       jauh.

(vi) menenangkan fikiran : menjadikan fikiran tenang, menenteramkan fikiran (perasaan) yang susah
                                            mengheningkan cipta, bersemadi, bertafakur
       Contoh : Dia suka bersendirian di tepi pantai untuk menenangkan fikiran.

KATA GANDA

3.a. Bina ayat
  1. selok-belok
  2. lintang-pukang
  3. senang-lenang
  4. lambat-laun
  5. hiruk-pikuk
  6. kusut-masai
Contoh penggunaan kata di atas tanpa sebarang pengubahsuaian.
  1. Muda-mudi perlu mengetahui selok-belok ilmu perkahwinan sebelum menempuh gerbang perkahwinan.
  2. Budak nakal itu lari lintang-pukang apabila dikejar oleh seekor anjing garang.
  3. Pasangan tua itu kini hidup senang-lenang setelah ladang kelapa sawit mereka mengeluarkan hasil yang lumayan.
  4. Lambat-laun penjenayah itu akan menerima pembalasannya.
  5. Keadaan kelas itu menjadi hiruk-pikuk apabila ketiadaan guru.
  6. Rambut adik yang baru bangun tidur itu kusut-masai.