HALAMAN 2

Jumaat, 28 Februari 2014

TUGASAN 3 - TINGKATAN 1 CERDIK & 1 BESTARI 2014

Kerja Rumah 3

Tugasan   :  Tingkatan 1 Cerdik dan 1 Bestari
Tarikh       :  27 Februari 2014
Tajuk        :   Menyalin petikan dan membina Peta Minda Buih.

Tugasan 1:  Salin petikan bertajuk - Cara-cara Mencerikan Kawasan Sekolah dalam buku latihan karangan anda
                                                                                                 

                                    Cara-cara Menceriakan Kawasan Sekolah

oleh:  Muhd Azhar Mohd Yasin

         Memang tidak dinafikan, sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya, persekitaran kawasan sekolah yang kondusif akan mempengaruhi keselesaan dan keberkesanan pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran. Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. bak kata peribahasa, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu mengatur strategi yang berkesan untuk menceriakan kawasan sekolah.
      Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah dengan mengadakan program bergotong-royong. aktiviti bergotong royong harus diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga sekolah. gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.

      Tindakan yang seterusnya adalah, mengadakan taman bunga di sekolah. “Program Sekolah Dalam Taman” patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku.
       Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan , “Sekolahku Syurgaku.” Dengan bantuan persatuan ibu bapa dan guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.

         Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu. melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan memastikan susunan meja dan kerusi sentiasa berada dalam keadaan yang kemas dan teratur. Guru bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari.  Nama kelas yang terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. kelas terbersih akan diberikan sijil penghargaan sebagai ganjaran.  Sebaliknya kelas terkotor pula perlu diberi hukuman sebagai pengajaran supaya pelajar-pelajar lebih prihatin akan kebersihan kelas mereka pada masa yang akan datang.  
Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan Program 3K. Program 3K bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dalam program ini, pihak sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, pihak Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut. Hal ini akan menjadi pemangikin dan meniup semangat pihak sekolah untuk memastikan program berjaya diadakan.
Sebagai kesimpulannya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah bagai aur dengan tebing.  Hal ini demikian kerana sekolah yang bersih dan ceria akan menyediakan suasana yang sangat kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan.  Dalam hal ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sokongan sekolah perlu melangkah sederap untuk sentiasa menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.  Sekolah ceria, pelajar gembira, guru bahagia.    

Arahan 2:  Bina peta buih berdasarkan petikan yang anda salin
Contoh Peta Buih

Peta Buih
Cara-cara Menceriakan Kawasan Sekolah Kita



Cikgu percaya pelajar-pelajar boleh menghasilkan peta buih yang lebih cantik dan kreatif daripada itu..
Isi penting boleh diambil daripada contoh yang cikgu berikan itu.
Selamat mencuba


contoh-contoh lain....








Selasa, 25 Februari 2014

ANTOLOGI HARGA REMAJA- LATIH TUBI CERPEN MELLISA SET 1

SET 1


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti.  Kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.




    Dia setuju dengan kata-kata kawannya itu.  Sebab dia sendiri pun sekarang ini sedang dalam proses menghayati salah satu cinta itulah sehingga cintanya yang lain terhempas ke batu karang.  Dia tahu, cintanya yang ini juga kan berakhir serupa itu.  Syahid tidak akan mengerti dengan dirinya yang sudah dimiliki oleh kekasihnya yang lain.  Syahid tidak akan mengerti.  Rasanya, cintanya kepada Hisyam itulah sahaja cintanya yang benar.  Walaupun pada waktu itu dia tidak mengerti tentang perasaan yang mengusik hatinya.  Dia masih kecil.
      " Mei!" kata Hisyam waktu mereka sama-sama bermain di samping rumanhnya.  "Nanti apabila aku sudah besar aku akan kahwin dengan kau."
      Mereka  main masak-masak.  Hisyam lebih tua beberapa tahun daripadanya.  Dia senang dengan Hisyam kerana Hisyam pandai mengambil hatinya dan sabar melayaninya walaupun waktu dia merajuk.  Hisyam akan pergi mencari bahan-bahan untuk dimasak.  Dia menjadi tukang masak olok-olok.  Isteri olok-olok.  Setelah itu mereka makan bersama-sama.  Hisyam selalu berkata masakannya sedap.  Hatinya pun kembang apabila dipuji serupa itu.


(Dipetik daripada cerpen 'Mellisa" oleh Abdullah Hussain dalam Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)     Apakah sifat-sifat Hisyam yang menyenangkan hati Mei?         [2 m]

- Hisyam pandai mengambil hatinya......1m
- sabar melayaninya walaupun waktu dia merajuk........1m
- mencari bahan-bahan untuk dimasak ketika bermain masak-masak.....1m
(sekurang-kurangnya 2 isi = 2 markah)

** isi boleh disalin bulat-bulat dari petikan - perenggan akhir


(ii)  Andaikan anda Mei, apakah tindakan yang akan anda ambil untuk mengekalkan persahabatan dengan Hisyam?                                 [4 m ]


-   sentiasa menjaga hatinya dengan tidak menyinggung perasaan Hisham 
    supaya dia gembira
    berkawan dengan saya
-   membantunya jika dia dalam kesusahan supaya masalahnya dapat 
    diselesaikan
-   tidak menceritakan/menghebahkan keburukan/kelemahannya kepada orang 
    lain 

(mana-mana 2 isi + 2 markah.  **Pendapat hendaklah disertakan dengan sedikit huraian.)

                                               
(iii)   Jelaskan satu nilai murni yang terdapat dalam petikan di atas dan satu nilai murni yang lain daripada keseluruhan cerpen.                        [4 m ]

nilai dalam petikan
nilai perpaduan
contohnya - Mei yang berbangsa Cina dan Hisyam berbangsa Melayu dapat menjalinkan persahabatan dan bergaul mesra walaupun berlainan bangsa

Nilai kasih sayang
Contohnya - Hisyam sayang akan Mei dan mahu berkahwin dengannya apabila dewasa kelak


(mana-mana 1 isi + contoh= 2 markah


nilai dalam keseluruhan cerpen
nilai cinta akan tanah air
Contohnya - Mei menyertai pasukan keselamatan demi cintanya kepada tanah air supaya keselamatan negara sentiasa terpelihara

nilai kegigihan
contohnya -  Mellisa amat tekun dan gigih mencari maklumat tentang peristiwa yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969, dengan mengumpul bukti bukan sahaja melalui pembacaan daripada pelbagai dokumen, tetapi melalui pertemuan bersama-sama responden yang terlibat secara terus dengan peristiwa berdarah itu.

(mana-mana 1 isi + contoh = 2 markah)
**Pastikan jawapan anda jelas menunjukkan yang mana isi dalam petikan dan yang mana dalam cerpen keseluruhan..boleh buat perenggan yang berbeza)

Jumaat, 21 Februari 2014

ANTOLOGI HARGA REMAJA- LATIH TUBI CERPEN MELLISA


ANTOLOGI HARGA REMAJA
 CERPEN MELLISA

             Cikgu Chom















ANTOLOGI HARGA REMAJA - LATIHAN CERPEN IBU DAN CEPER SET 2

SET 2

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

         Sebelum itu ibu tidak pernah berleter apa-apa, malah ibu bagaikan takut pada bapa yang telah menjadi kaki burung ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan bulat- bulat kepada ibu.  Tetapi siang itu, sebelum bapa melangkah pergi bersama-sama denak rajanya, ibu menjerit.  Nyaring betul suara ibu.
    “Orang tak sedar diri.  Tak tahu tanggungjawab.  Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir.  Suami apa macam ini!”
      Mungkin suara ibu macam suara air Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga tanah-tanah, hingga terbongkah perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing. 
      Aku masih ingat lagi.  Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang denaknya ke paku di conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak baruh untuk menolong ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap.  Tetapi bapa tidak boleh buat apa-apa juga.  
      Himbauan air ceper kuat sangat sehingga bapa sendiri beberapa kali terkial-kial jatuh.

                                      (Dipetik daripada  ‘Ibu dan Ceper’ oleh Shanon Ahmad dalam                                                   antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

I)         i) Berikan dua sikap bapa menurut pandangan ibu.                                         (2 markah)
            - tidak sedar diri
            - tidak bertanggungjawab

II)         ii) Pada pendapat anda, nyatakan tiga  langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah 
                 banjir.                                                                                                                   (3 markah)
            - mengadakan kempen cintai sungai
            - mendalamkan sungai supaya air sungai tidak melimpah
            - mendenda orang ramai yang membuang sampah ke dalam sungai
               membina penebat banjir
            - membersihkan sungai daripada sampah sarap
            - mengesyorkan pendidikan alam sekitar di sekolah

III)        iii) Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. 
                                                                                                                                               (4 markah)
                                                           
Persoalan daripada petikan
            - sikap tidak bertanggungjawab dalam keluarga - bapa tidak menjalankan                     tanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana asyik berdenak ketitir
            - kesan bencana alam - masalah banjir memusnahkan tanaman padi hingga   menyusahkan penduduk kampung
                                                                                                                        (2 markah)
Persoalan daripada keseluruhan cerpen
            - masalah pencemaran alam sekitar - sampah sarap dibuang ke dalam
              sungai
            - kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar –
              Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam
              sampah ke   dalam sungai.
            - kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam - kasih sayang aku  
               kepada  ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di
                kampungnya. 
            - masalah kemiskinan penduduk kampung - penduduk kampung bergantung   sepenuhnya kepada air sungai untuk kegunaan harian.
            - semangat kejiranan-bergotong royong ketika majlis kenduri 
            - peranan anak terhadap ibu bapa- anak menjaga ibu bapa yang sakit
                                                                                                                        (2 markah)

ANTOLOGI HARGA REMAJA - LATIHAN CERPEN IBU DAN CEPER SET 1

SET 1

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

        Itulah detik-detik yang tidak dapat aku lupakan.  Aku menyesal dan memohon ampun banyak-banyak daripada ibu.  Aku sendiri tidak sedar sewaktu aku menjerit itu. 
        Barangkali niatku bukan kutujukan kepada ibu, tetapi kepada orang lain.  Dan siapa orang lain itu tidak pula dapat aku pastikan.  Kalau tidak kepada ibu, kepada siapa lagi kalau bukan kepada diri sendiri.
        Hal itu menusuk masuk ke dalam diriku hinggalah ibu meninggal. Ibu meninggal dengan aman damai.  Tidak sedikit pun menempuh kerumitan.  Malam itu kami sudah pun berkumpul kerana ibu mulai memandang langit.  Isteriku membacaYasin.  Aku duduk di sisi ibu sambil berbisik ke telinganya tidak putus-putus agar ibu jangan lupakan Allah.
         Ceper masih keruh airnya, tetapi masih sedikit-sedikit boleh mengalir meskipun langkahnya lambat kalau dibandingkan dengan waktu ibu rancak melompat ke sana dan berlari ke sini dulu.  Waktu itu Ceper bukan main lagi cergasnya bagaikan hendak bertanding dengan kecergasan ibu sendiri.

         Tetapi semenjak ibu lumpuh dan kemudian ibu mati, Ceper langsung tidak berbusa dan berombak lagi.  Tebing-tebingnya pun tidak ditendang lagi.  Lubuk-lubuknya pun tidak dikorek lagi, kerana Ceper mulai kenyang sangat-sangat dengan serbaneka serdak yang bersisa.

                           (Dipetik daripada Ibu dan Ceper oleh Shanon Ahmad dalam antologi Harga 
                           Remaja, DBP)

I)         i)     Berikan dua bukti yang menunjukkan ‘aku’ menyedari kesilapannya terhadap ibu.
            - ‘aku’ menyesal
            - ‘aku’ memohon ampun daripada ibu                                            (2 markah)

II)         Sekiranya anda ialah ‘aku’, nyatakan tiga cara yang boleh anda lakukan  untuk                              memulihara Sungai Ceper.
            - gotong royong membersihkan sungai
            - melapor kepada pihak berkuasa jika melihat orang membuang sampah ke                  
                dalam  sungai
            - tidak membuang sampah ke dalam sungai
                                                                                                                         (3 markah)
III)     iii)  Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.

            Pengajaran daripada petikan
            - kita mesti menyayangi ibu bapa – ‘aku’ dan isterinya menjaga ibu yang         
               lumpuh
            - kita mesti menghargai sungai – tidak membuang sampah ke dalam sungai
                                                                                                                        (2 markah)

              Pengajaran daripada keseluruhan cerpen
            - kita mesti berani menghadapi cabaran hidup – ibu berani menentang banjir            
               untuk menyelamatkan padi
            - kita mesti gigih bekerja – ibu gigih mengerjakan sawah
            - kita mesti bertanggungjawab menyara keluarga – ‘aku’ dan isteri bekerja di              
              sawah  untuk menyara keluarga
            - kita mesti sabar dalam menghadapi masalah keluarga – ibu bersabar dalam                         menghadapi karenah ayah yang leka dengan burung ketitir.
                                                                                                                        (2 markah)

Ahad, 16 Februari 2014

Analisis Antologi Harga Remaja - Cerpen Mellisa

                                          
Sinopsis 
 Mellisa, seorang gadis Cina, berasa menyesal kerana mengikut ajakan Farid ke pejabat surat khabar yang menyebabkan dia berkenalan dengan Syahid. Peristiwa itu telah membuatkan dia teringat akan Hisyam. Wajah Syahid menyerupai wajah Hisyam iaitu kawannya sewaktu kecil dahulu. Mellisa terkenang akan kemesraannya bersama-sama dengan Hisyam. Mereka selalu bermain bersama-sama dan Hisyam pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Mellisa apabila mereka sudah besar nanti. Malangnya Hisyam telah terkorban dalam peristiwa 13 Mei. Peristiwa hitam itu sukar luput daripada ingatan Mellisa. Justeru, dia memilih peristiwa 13 Mei sebagai latihan ilmiah untuk sarjana muda dalam bidang Sejarah.



 Mellisa jatuh hati kepada Syahid kerana keberaniannya dan hubungan mereka semakin rapat. Namun, keakraban Mellisa dan Syahid tidak lama kerana Mellisa meninggalkan Syahid. Dia mengambil keputusan itu kerana tugas dan tanggungjawabnya kepada tanah air. Dia amat cinta akan negaranya dan memilih untuk mengetepikan perasaan hatinya. Dia menjadi anggota tentera kerana tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi.



                                        

Tema



Percintaan antara dua insan yang berbeza budaya.
Mellisa seorang gadis berketurunan Cina, pernah menyulam kasih semasa zaman kanak-kanaknya dengan budak keturunan Minang namun kecundang kerana kematian menjemput Hisyam akibat rusuhan 13 Mei. Setelah dewasa, Mellisa jatuh cinta dengan Syahid yang juga pemuda Melayu dan seiras Hisyam namun akhirnya terpaksa meninggalkan Syahid tanpa berita kerana telah dipanggil bertugas sebagai tentera.




Persoalan



 1. Persoalan pengorbanan demi cinta akan negara.

Mellisa sanggup mengorbankan keperluan dirinya dengan meninggalkan orang yang dicintai untuk menyahut panggilan mempertahankan negara.



 2. Persoalan persengketaan antara kaum

Hasyim dan ibunya telah menjadi mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei di Jalan Petaling semasa dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di hadapan Stadium Negara.



 3. Persoalan kesedaran terhadap sejarah negara.

Mellisa yang pernah melalui zaman 13 Mei mengkaji sejarah peristiwa itu melalui tesisnya hingga menimbulkan rasa tanggung jawab kepada negara dan tanah air.





Plot

Binaan Plot


 1. Permulaan



Mellisa atau Mei terperanjat melihat Syahid yang persis Hisyam kekasih zaman kanak-kanaknya setelah diperkenalkan oleh Farid di pejabat surat khabar. Bagi Mei, Hisyam seolah-olah wujud dalam diri jejaka itu menyebabkan mereka mudah mesra dan akhirnya Mei menerima pelawaan Syahid untuk makan tengah hari. Mei seolah-olah telah jatuh cinta pandang pertama kepada Syahid.





2. Perkembangan



 Mei teringat akan Hisyam, hero masa kecilnya yang selalu bermain dan menjaga keselamatannya. Hisyam juga sering menyatakan hasratnya akan mengahwini Mei apabila dewasa kelak. Kematian Hisyam dalam rusuhan kaum 13 Mei cukup berbekas dalam dirinya menyebabkan dia sering dihantui pertanyaan demi pertanyaan tentang punca peristiwa tersebut boleh meletus dalam kehidupan masyarakatnya. Akhirnya,

persoalan tersebut mendapat penjelasan apabila Mei menjalankan latihan ilmiah untuk ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Hubungan kilatnya dengan Syahid semakin akrab.





3. Klimaks



Mei mendapat panggilan menjadi tentera setelah selesai menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sejarah. Keputusan Mei meninggalkan Syahid untuk mencapai impiannya membuahkan perasaan marah dalam diri Syahid kerana Syahid berasa seolah-olah dipermain-mainkan oleh Mei.





4. Peleraian.



Akhirnya gadis keturunan Cina ini melupakan keperluan dan angan-angannya untuk menjadi kekasih yang baik dan isteri yang taat demi ingin melihat negara dan rakyatnya hidup dengan aman damai dan harmoni sebagai satu bangsa yang merdeka. Yang penting sekali agar peristiwa 13 Mei itu tidak akan berulang lagi.





Teknik penceritaan



 1. Imbas kembali

“Mei, Mei!” kata Hisyam.“Apabila aku sudah bekerja nanti kita kahwin.Mak aku pasti suka. Aku akan ajar kau agama Islam.”

Dia tersenyum. Terhibur dengan ingatannya masa kecil-kecil dahulu.



 2. Teknik Pemeriaan

Dalam kesibukan dan kebisingan bunyi mesin tulis dan komputer bercampur baur dengan deringan telefon dan suara manusia, seorang lelaki berjalan ke arahnya yang sedang berdiri di samping Farid.



 3. Teknik Monolog Dalaman

Aku tidak pernah bertemu dengan orang ini sebelum ini, bawah sedarnya berbisik.



 4. Teknik Dialog

“Siapa?”

“Mei! Ada telefon.”

“Okey.Saya datang.”





Watak dan Perwatakan



 Watak Utama



 Mellisa

1. Nama panggilannya ialah Mei.

2. Gadis berketurunan Cina dan nenek moyangnya berasal dari Guangdong.

3. Seorang yang lincah, suka bercakap dan bersifat terbuka.
4. Bersemangat patriotik
Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera.
5. Mempunyai daya ingatan yang tinggi.
Ingatan Mellisa terhadap semua peristiwa yang pernah berlaku pada zaman kanak-kanaknya bersama Hisyam seolah-olah baru berlaku sedangkan pada masa itu dia baru berumur 5 tahun. Ingatannya ini juga yang menyebabkan dia nekad mencari jawapan punca rusuhan yang meragut nyawa „heronya berlaku.
6. Seorang yang terpelajar.
Mellisa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera.





Watak Sampingan



 Hisyam

1. Berketurunan Minang.

2. Seorang yang warak - rajin ke masjid terutama pada waktu maghrib.

3. Penyayang - amat menyayangi Mellisa.
4. Rajin – sering membantu ibunya menjual kuih koci dan nasi lemak setiap pagi.
5. Bercita-cita tinggi – dia ingin menjadi peguam atau tentera.



Syahid

1. Pengarah Syarikat surat khabar

2. Wajahnya persis Hisyam.

3. Berani – dia berani menghulurkan salam perkenalan kepada Mellisa.
4. Suka berterus terang – dia berterus terang tentang perasaannya terhadap Mellisa.



Latar



Latar Masa



1. Siang - Pertemuan antara Farid dan Mellisa dengan Syahid di syarikat surat khabar.

2. Senja atau waktu Maghrib - Hisyam ke masjid untuk sembahyang berjemaah.

3. 13 Mei – berlakunya rusuhan kaum yang telah mengorbankan Hisyam.





Latar Tempat



1. Pejabat Syahid - Mellisa dan Farid berjumpa atas urusan kerja

2. Rumah Mellisa, - Hisyam menumbuk anak orang putih yang memegang tangan Mellisa.

3. Kampung Baru- tempat responden Mellisa menghantar sahabat baiknya balik ke rumah pada 13 Mei 1969, yang akhirnya menyebabkan tunangnya meninggal dunia dan mukanya berparut semasa bergelut dengan perusuh.

4. Jalan Petaling, tempat berakhirnya riwayat Hisyam dan ibunya yang dibunuh perusuh.





Latar Masyarakat



 1. Masyarakat muda yang amat cinta akan negara

Mellisa amat cinta akan negara lebih-lebih lagi setelah mengetahui peristiwa yang menyebabkan rusuhan kaum yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya dahulu.



 2. Masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni

Keluarga Mellisa yang berketurunan Cina duduk sekampung dengan keluarga Hisyam dengan aman dan damai sehinggalah peristiwa berdarah 13 Mei berlaku.



 3. Masyarakat pelajar yang gigih.

Mellisa amat tekun menyiapkan tesisnya dengan membuat rujukan terperinci dengan menyemak pelbagai dokumen, buku, akhbar dan majalah.



 4. Masyarakat miskin

Hisyam tinggal di rumah setinggan.



 5. Masyarakat majmuk yang bersengketa

Akibat sentimen yang ditanam oleh penjajah kepada penduduk Tanah Melayu menyebabkan rusuhan kaum berlaku.





Gaya bahasa



 1. Simile

Kumisnya yang kecil bak satu garis hitam



 2. Peribahasa

Bertegang urat leher

Tidak lari gunung dikejar.



 3. Pesonifikasi

Angin utara itu telah menyerbu masuk ke dalam biliknya.



 4. Metafora

Bisul rusuhan





Nilai Kemanusiaan



1. Nilai kasih sayang

Mellisa amat menyayangi Hisyam iaitu hero zaman kanak-kanaknya dan tetap terkenang akannya walaupun peristiwa yang meragut nyawa Hisyam telah lama berlalu.



 2. Nilai kegigihan.

Mellisa amat tekun dan gigih mencari maklumat tentang peristiwa yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969, dengan mengumpul bukti bukan sahaja melalui pembacaan daripada pelbagai dokumen, tetapi melalui pertemuan bersama-sama responden yang terlibat secara terus dengan peristiwa berdarah itu.



 3. Nilai keberanian.

Hisyam amat berani melindungi Mellisa. Hisyam telah menumbuk anak orang Inggeris yang memegang tangan Mellisa. 



4. Cinta akan tanah air

Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera



 Pengajaran



 1. Kita haruslah menyedari bahawa pertelingkahan antara kaum hanya akan menimbulkan masalah.

2. Kita haruslah bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara agar pekerjaan yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang memuaskan.

3. Kita janganlah mudah menyimpan dendam terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap kita.

4. Kita mestilah mempunyai semangat cinta akan negara kerana dengan semangat inilah kita boleh hidup dengan aman dan sejahtera.