HALAMAN 2

Rabu, 17 Julai 2013

BIJAK ISTILAH : PANCAWARSA , DASAWARSA, ABAD, ALAF

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

          Sebenarnya banyak cara kita menyatakan ukuran sesuatu jarak masa.  Lingkungan antara had waktu tertentu mempunyai istilahnya yang khusus.  Untuk masa selama satu, dua atau tiga hari/bulan/tahun, kita namakan ekahari,  dwibulan dan tritahunan.  Bagaimanakah pula halnya dengan tempoh waktu tertentu yang agak lama?  Bahasa Melayu mempunyai istilah khusus yang dapat mendukung maksud tempoh masa tersebut,  Marilah kita fahami maksud istilah khusus tentang waktu tersebut.

1.  Pancawarsa
     Perkataan panca berasal daripada bahasa Sanskrit atau bahasa Hindu tua.  Panca bererti lima. Warsa bermaksud tahun.  Gabungan kedua-dua perkataan ini menerbitkan perkataan pancawarsa yang membawa maksud lima tahun.

2.   Dasawarsa
    Dasa bermaksud sepuluh.  Perkataan dasa dirangkaikan dengan beberapa patah perkataan lain menerbitkan beberapa istilah khusus.  Antaranya termasuklah dasasila, dan dasatitah.   
Dasasila bermaksud 10 ketentuan dasar, manakala dasatitah bermaksud 10 perintah Tuhan. Dengan memahami kedua-dua maksud perkataan ini, dapat kita duga makna perkataan dasawarsa ini.  Dasawarsa mendukung maksud jangka masa 10 tahun.  kata masa yang bersinonim dengan dasawarsa ialah dekad.  Perkataan dekad pula berasal daripada bahasa Inggeris decade.  oleh itu, dasawarsa dan dekad sama maksudnya.

3.   Abad
      Jika tempoh masa itu dalam jarak batas 100 tahun, maka abad atau kurun istilahnya.  Kurun ke-20 bermaksud batas masa dari 1901 hingga 2000.  Dalam catatan sejarah, dapat kita temukan fakta tentang kedatangan orang Eropah ke negeri Melaka, iaitu pada lima kurun yang lampau.   Kerajaan Melaka pula dikatakan berkuasa di Asia Tenggara pada kurun Masihi ke-15.
     Apakah maksud kurun Masihi?   Kurun Masihi ialah masa yang mula dihitung sesudah lahirnya Nabi Isa.

4.    Alaf
      Perkataan alaf berasal daripada bahasa Arab.  Ertinya 1000 tahun.  Perkataan yang bersinonim dan sering digunakan ialah milenium.  Frasa alaf baharu atau milenium baharu bermaksud tempoh masa selepas 1000 tahun.
      Hari ini, sambutan perayaan yang dihubungkan dengan tempoh tertentu dinamakan jubli.  Nama perayaan itu dikaitkan dengan nama logam (seperti perak), atau nama permata seperti emas dan intan.  Nama-nama seperti jubli perak, jubli emas dan jubli intan sudah lumrah menjadi nama sesuatu sambutan.
      Jubli perak bermaksud perayaan sempena ulang tahun ke-25.  Jubli emas ialah perayaan kerana memperingati ulang tahun ke-50 sesuatu peristiwa.  Jika peristiwa itu sudah berusia 75 tahun , maka jubli intan ialah nama perayaan tersebut.

      Demikianlah caranya kita menamakan tempoh batas sesuatu masa itu.

Nota:

Masa                                                     Istilah

5 tahun                                                 pancawarsa
10 tahun                                               dasawarsa atau dekad
100 tahun                                             abad atau kurun
1000 tahun                                           alaf atau milenium


sumber:  Munsyi Dewan Muhammed Salehudin Aman - Dewan Siswa 


3 ulasan:

AfiffMS berkata...

Owh, itu rupanya maksud dasawarsa. TQ cikgu!

Unknown berkata...

saya still confuse,dasarwarsa ataupun dasawarsa

caloi berkata...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nak tanya majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-100 ditukar nama kepada Majlis Malam Perdana Sambutan Jubli Intan Sekolah....?