Semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat semakin luntur.
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menghidupkan
semangat kejiranan agar menjadi
ikutan remaja.
Ulaskan
pernyataan ini.
Analisis soalan:
Tema : semangat
kejiranan semakin luntur
Tugasan/arahan : mengulas peranan ibu bapa dalam
memupuk
semangat kejiranan dalam diri golongan
remaja.
Format : tiada
Karangan Contoh:
Susun papan
satu persatu,
Agar redup dahan rumbia;
Hidup
berjiran bantu –membantu,
Agar hidup harmoni bahagia.
Maksud pantun di atas jelas
memaparkan kepentingan hidup berjiran. Amalan bantu-membantu sesama jiran menjamin kehidupan
masyarakat yang harmoni dan bahagia.
Namun, pada era globalisasi kini, semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat semakin luntur.Kehidupan moden yang mementingkan kebendaan
telah menghanyutkan manusia dalam arus
kesibukan yang tidak bernoktah sehingga jalinan hubungan antara jiran
tetangga disisihkan. Fenomena ini
semakin membimbangkan sekiranya menjadi ikutan golongan remaja kerana tingkah
laku dan sikap remaja sebenarnya banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka. Contohnya, sekiranya ibu bapa tidak
pernah bertegur sapa atau tidak mengenali siapa jiran di sebelah rumah, sudah pasti sikap ini akan
dicontohi oleh anak-anak remaja mereka persis ungkapan bapa borek anak rintik, bagaimana
acuan , begitulah kuihnya. Siapakah
insan yang pertama menghulurkan bantuan jika kita dilanda musibah kalau bukan
jiran di sebelah rumah. Justeru, peranan
ibu bapa sangat penting dalam menghidupkan semangat kejiranan dalam sanubari
generasi muda demi merealisasikan hasrat mewujudkan kehidupan masyarakat yang
harmoni.
Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa merupakan suri teladan atau
role-model kepada anak-anak . Oleh itu,
tindak tanduk dan sikap ibu bapa terhadap jiran akan diperhatikan dan dicontohi
oleh anak-anak mereka. Ibu bapalah yang mengasuh dan mendidik anak-anak dari tapak kaki sebesar dua jari sehinggalah
meningkat remaja. Umpama sehelai kain
putih, anak-anak perlu dicorakkan bukan dengan sahaja nilai-nilai agama malah
nilai-nilai sosial yang murni. Justeru
dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam jiwa anak-anak-anak, ibu bapa
sendiri perlu mengorak langkah dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran tetangga. Contohnya, ibu bapa
perlu menunjukkan sikap sentiasa mesra dengan jiran, bertegur sapa dan bertanya
khabar apabila bersua muka, dan sebagainya. Ibu apa juga perlu menerangkan tentang peranan dan kepentingan jiran
kepada anak-anak sejak kecil supaya mereka menghargai jiran tetangga
sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.
Bak kata perpatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha
memupuk amalan dan pergaulan yang baik dengan jiran sejak kecil lagi akan kekal
dipraktikkan oleh anak-anak sehingga mereka meningkat remaja.
Selain itu, ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam perkara-perkara yang berkaitan
hubungan dengan jiran supaya anak-anak dapat mempraktikkan sendiri nilai-nilai
kejiranan tersebut. Tak kenal maka tak
cinta, justeru, amalan kunjung-mengunjung mesti diamalkan supaya dapat
mengenali jiran dengan lebih dekat dan seterusnya kemesraan dapat
diwujudkan. Janganlah dibiarkan
anak-anak remaja kita terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer
atau melayari internet sehingga tidak endah dengan suasana di sekeliling. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak
mengunjungi jiran tetangga ketika sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau
Deepavali. Apa yang sering berlaku
setiap kali hari kelepasan sempena Hari Raya contohnya, ahli keluarga termasuk
ibu bapa leka menonton televisyen kerana banyak program menarik disiarkan. Mereka lebih rela memerap di rumah untuk menonton
program kegemaran menyebabkan budaya kunjung-mengunjung semakin
dipinggirkan. Justeru, ibu bapa mesti
mengubah fenomena ini , lebih-lebih amalan ziarah-menziarahi ini menjadi lebih penting
jika jiran kita jatuh sakit atau mengalami masalah. Ibu
bapa perlu bijak memujuk anak-anak untuk turut sama menziarahi jiran supaya
amalan ini dapat dipupuk dalam kalangan remaja.
Tambahan pula, program-program yang dianjurkan oleh masyarakat di
sesebuah kawasan kejiranan turut dapat memupuk semangat bantu-membantu,
hormat-menghormati dan berkerjasama dalam kalangan masyarakat di kawasan tersebut. Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan
kawasan taman perumahan, aktiviti Hari Keluarga, Rukun Tetangga, dan sebagainya
boleh dianjurkan oleh ahli jawatankuasa yang berkenaan. Di kawasan kampung misalnya, aktiviti
marhaban pada Hari Raya, rewang ketika kenduri-kendara atau majlis perkahwinan, kumpulan bacaan Yasin dan sebagainya juga merupakan aktiviti
yang sangat penting untuk memupuk semangat kejiranan ini. Di
sinilah ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan mereka
dan anak-anak remaja melibatkan diri secara aktif. Janganlah ketiadaan masa atau ingin berehat
setelah penat bekerja dijadikan alasan sehingga aktiviti yang bermanfaat ini
tidak mendapat sambutan yang sewajarnya.
Melalui aktiviti ini remaja berpeluang mengenali jiran dengan lebih
dekat, beramah mesra terutama dengan jiran yang seusia dengan mereka,
menghormati jiran yang lebih tua dan secara tidak langsung akan menyedari
bahawa aktiviti seumpama ini adalah yang terbaik bagi mengisi masa lapang
remaja. Seperti ungkapan serampang
dua mata, aktiviti yang dianjurkan ini diharapkan bukan sahaja dapat
memupuk dan menghidupkan semula semangat hidup berjiran malah dapat
mengurangkan ketaksuban dan kegemaran remaja terhadap aktiviti yang berkaitan
dengan kecanggihan alat teknologi, gajet dan internet.
Kesimpulannya, hidup berjiran merupakan amalan yang wajar dipelihara
dalam masyarakat pada masa kini. Tanpa
hubungan yang baik dengan jiran,
kepincangan sebenarnya telah berlaku dalam keperibadian seseorang ahli
masyarakat. Justeru, sebagai pemimpin
keluarga, perlakuan ibu bapa semasa bergaul dengan jiran akan meninggalkan
gambaran yang mendalam kepada remaja.
Natijahnya, ibu bapa yang prihatin tentang hubungan sesama jiran pasti akan
melahirkan remaja yang dapat hidup berbaik-baik dengan jiran, seterusnya mampu
mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup bersatu padu , harmoni dan bahagia.
(750
patah perkataan.)
Cikgu Chom
Cikgu Chom
12 ulasan:
Hello excuse me, may i know one paragraph boleh ada dua isi?😂
tak boleh sebenarnya kerana kita kena ada tiga isishj...
saya dari 2019
Saya dari 2020
Is this just for bm paper 1?
Well actually you can't.. Thats will be considered as 1
Saya dari 2028 datang untuk cari karangan bagus.
Cantik sekali
KARANGAN YG BAIK UNTUK BUDAK² SEKOLAH SAYA :) cc:amzar
dekah eksdi momentos de la free fire
saya dari 2021 bulan 9
Bekerjasama sesama jiran
Catat Ulasan