HALAMAN 2

Jumaat, 23 Ogos 2013

ANALISIS ANTOLOGI KASUT KELOPAK JANTUNG : NOTA CERPEN 'YURAN'



Cerpen : YURAN
Omar Mamat


Sinopsis 

Amin meminta wang sebanyak RM60.00 daripada emaknya, Mak Jah untuk membayar yuran sekolah. Mak Jah tidak dapat memberi kerana tiada wang. Di sekolah, Cikgu Arsad mendesak Amin membayar yuran sukan dan yuran PMR esok. Desakan itu membuatkan Amin berasa malu dan tertekan, lalu mengambil keputusan ponteng sekolah. 

Ketika dia sedang melihat permainan video, dia dilanggar dari arah sisi oleh seseorang, menyebabkan buku dalam begnya bertabur. Seorang wanita menjerit meminta pertolongan. Beberapa orang pemuda dilihatnya berlari-lari ke satu arah. Amin segera mengejar pemuda ditu dan berjaya menangkap lelaki itu. Anggota polis segera memberkas pemuda tersebut. 

Wanita yang dibantu tadi menyoal Amin. Apabila dirinya dikatakan ponteng sekolah, Amin segera meninggalkan wanita itu. Apabila Amin tiba di rumah dan melihat Amin tidak membawa beg, Mak Jah tahu anaknya ponteng sekolah. Ketika Mak Jah sedang meleteri akan sikap Amin, wanita tadi muncul dengan keretanya. Wanita itu menceritakan hal yang sebenar kepada Mak Jah. Kemudian wanita tersebut menyerahkan sedikit wang sebagai membalas jasa Amin. Amin berasa terharu dan berjanji akan meneruskan cita-citanya. 


TEMA
Penderitaan hidup yang menyukarkan seorang murid untuk meneruskan kehidupannya.

PERSOALAN
1)Kemiskinan hidup
2)Kepentingan pelajaran demi masa depan
3)Kesanggupan untuk menunaikan amanah bapa
4)Keprihatinan masyarakat terhadap golongan miskin



LATAR
Latar Masa
1)    Pada waktu pagi semasa sesi persekolahan
2)    Zaman yang sudah maju kerana terdapat pasar raya dan penggunaan kereta.

Latar Tempat
1)    Di perigi rumah Amin
2)    Di dalam kelas
3)    Di dalam bilik pengetua
4)    Di hadapan pintu kedai permainan video
5)    Di balai polis

Latar Masyarakat
1)    Masyarakat kampung yang hidup miskin
2)    Masyarakat yang prihatin menghulurkan bantuan
3)    Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup
4)    Masyarakat yang mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi 

GAYA BAHASA
1)    IMBAS KEMBALI – Mak Jah mengingatkan wasiat arwah suaminya kepada Amin
2)    SIMILE – Berlingkar macam ular sawa kekenyangan; mukanya merah bagi udang dibakar
3)    METAFORA – kotak fikiran : ibunya dibaluti kesusahan
4)    BAHASA INGGERIS – video games
5)    BAHASA ARAB – rahmatullah

PLOT

Permulaan

Amin berasa sukar untuk bangun pagi, tetapi harus akur dengan Mak Jah. Usai mandi, Amin sekali lagi membangkitkan hal yuran yang mesti dibayar hari itu. Sambil Amin menikmati ubi kayu goreng dan kopi panas, Mak Jah mengatakan percubaan meminjam wang pak Long tidak berhasil kerana mereka juga miskin.

Perkembangan

Di bilik darjah, Amin berhadapan dengan Cikgu Arsad yang memberi kata dua. Pengetua juga berkata demikian, dan Amin hanya mampu mengesat air mata mengenangkan keadaan hidupnya yang susah sesudah Pak Akob, ayahnya tiada lagi. Amin masih berahsia masalahnya daripada Jazid, rakan sekelasnya.

Pergolakan / Konflik

Amin nekad ponteng sekolah, lalu menghala ke pekan. Sedang asyik memerhati pemuda bermain alat video di sebuah pasar raya, Amir dilanggar dari arah sisi menyebabkan buku sekolahnya bertaburan. Setelah menyusunnya kembali, Amin mengejar seorang peragut dan berjaya mengilas tangan pemuda itu. Polis tiba dan Amin diangkut sama ke balai polis. Wanita yang ditolongnya cuba berbual dengan Amin, tetapi Amin berlalu tanpa teringat bahawa beg sekolah ditinggalkan di situ.

Puncak / Klimaks

Amin tiba di rumah tanpa beg sekolah, lalu ditegur oleh Mak Jah menebak Amin telah ponteng. Mak Jah mengingatkan Amin tentang pesanan Pak Akob supaya Amin belajar bersungguh-sungguh bagi membela nasib Mak Jah. Kedua-dua beranak itu menangis. Tidak semena-mena sebuah kereta muncul di laman rumah mereka dan wanita yang ditolongi Amin tadi datang sambil membimbit beg sekolah Amin.

Peleraian

Wanita itu menceritakan duduk peristiwa sebenar, lalu menghulurkan sampul surat (berisi wang tunai) kepada Mak Jah. Kemudian Amin dipanggil, dan tangannya terketar-ketar menerima hadiah berkenaan walaupun disokong oleh Mak Jah. Amin menggenggam sampul surat itu bagaikan menggenggam harapan untuk meneruskan cita-citanya.

NILAI
1)    Keberanian
Amin marupakan seorang yang berani. Dia sanggup mengejar pencuri dan menangkapnya demi kejahatan yang berlaku
2)    Ketabahan
Amin tabah menghadapi dugaan hidup. Biarpun dia hidup dalam serba kekurangan, namun dia tetap bersemangat untuk belajar dengan bersungguh- sungguh dan berjaya pada masa yang akan datang 
3)    Keikhlasan
Wanita muda itu ikhlas memberikan sumbangan sebagai hadiah kepada Amin kerana Amin telah memebantunya menangkap pencuri yang mengambil barang kepunyaannya sewaktu di pekan.
4)    Kasih sayang
Mak Jah begitu sayang akan Amin. Dia sanggup menanggung malu untuk pergi meminjam wang bagi membayar yuran persekolahan Amin.

PENGAJARAN
1)    Janganlah melakukan perkara yang melanggar undang-undang
2)    Kita hendaklah mengambil berat terhadap urusan keluarga
3)    Kita hendaklah mementingkan pendidikan anak-anak
4)    Kita hendaklah prihatin kepada masyarakat yang menghadapi kesusahan.

Tiada ulasan: