LATIHAN SAJAK PASAR PERASAAN
SET 1
Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Pasar Perasaan
T. Alias Taib
ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.
ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yangterbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.
mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk;
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.
ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.
ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.
kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.
ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.
(Mingguan Malaysia, 20 Mei 2001)
Nasi Ayam Laut Sepinggan, 2002
Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
(i) Jelaskan ciri-ciri pengunjung warung sebagaimana yang digambarkan oleh penulis dalam sajak di atas. ( 2 markah )
(ii) Cadangkan cara-cara seseorang itu dapat mematangkan fikiran mereka. ( 3 markah )
(iii) Nyatakan tiga unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.
( 4 markah )
Cadangan Jawapan
(i) Antara ciri pengunjung warung yang digambarkan oleh penulis dalam sajak Pasar Perasaan ialah mereka bersikap emosional. Di samping itu mereka juga berhujah mengikut perasaan mereka sendiri. Pengunjung warung juga digambarkan mempunyai akal yang cetek dengan mengemukakan pendapat yang dangkal dan rapuh.
(ii) Seseorang itu dapat mematangkan fikiran mereka dengan membaca bahan-bahan bacaan yang berbentuk akademik dan pengetahuan am. Selain daripada itu, mereka juga perlu melatih fikiran agar sentiasa berfikiran kritis dan rasional dalam pelbagai perkara. Di samping itu juga mereka perlulah bergaul dengan orang-orang cerdik pandai agar budaya berfikir mereka dapat dipelajari.
(iii) Terdapat beberapa unsure gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini. Antaranya ialah gaya bahasa metafora, contohnya sungai manusia, suara kosong, sungai sibuk dan tajuk sajaknya iaitu pasar perasaan.
Penulis juga menggunakan gaya bahasa simile contohnya bagai kayu buruk dan bagai ranting kering.
Gaya bahasa anafora juga terdapat dalam sajak ini iaitu perulangan kata yang dan bagai pada awal baris seperti contoh berikut;
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering
Sabtu, 17 Ogos 2013
LATIHAN SAJAK PASAR PERASAAN -ANTOLOGI DIRGHAYU BAHASAKU
Labels:
Latihan Sajak Pasar Perasaan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan