HALAMAN 2

Jumaat, 9 Ogos 2013

JEJAK SPM 2013: RUMUSAN 4 - Faktor berlakunya stes dan kepentingan untuk menanganinya


RUMUSAN 4 - Faktor berlakunya stes dan kepentingan untuk menanganinya

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor berlakunya  stres  dan kepentingan menangani gejala stres.   Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

           Stres bermaksud keadaan resah, cemas atau tegang akibat tekanan mental atau fizikal  yang telah menjadi masalah  lazim  bagi manusia pada zaman serba moden ini. Stres mula menjadi penyakit bagi golongan remaja termasuklah murid sekolah.  Masalah ini walaupun kelihatan remeh, namun boleh menjejaskan perkembangan sosial golongan remaja yang sedang membesar. Kajian psikologi dan pembangunan manusia menjelaskan bahawa remaja memerlukan dorongan, bimbingan dan juga perhatian dalam permasalahan sosial yang dihadapi oleh mereka.

            Kajian yang dijalankan di  enam buah sekolah  menengah yang terbabit dalam projek perintis  kelolaan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental telah  menunjukkan bahawa lebih 27 peratus atau 1,756 daripada 6,540 orang murid dikesan mengalami tanda-tanda stres yang teruk yang berpunca daripada masalah hubungan dengan rakan sebaya dan keluarga.  Remaja yang kehilangan sahabat baik dikesan tidak stabil emosi walhal sahabatnya  itu hanya  berpindah rumah atau sekolah. Di samping itu ada pula remaja yang  sukar menyesuaikan diri dengan  suasana dan persekitaran yang baru setelah  berpindah ke sekolah yang baru. Menyentuh soal hubungan kekeluargaan pula, gejala stres boleh berlaku apabila remaja  tidak dapat menerima kehadiran orang baru dalam keluarga seperti ipar, kelahiran adik atau pasangan baru yang membabitkan ibu atau bapa. Kadang kala sikap ibu bapa yang bersikap  pilih kasih terhadap anak-anak  juga menyumbang permasalahan ini. Kesannya, mereka bertindak menjauhkan diri daripada bergaul mesra dengan ahli keluarga.  Selain itu stres juga berpunca  daripada sikap malu dengan kekurangan diri berbanding dengan adik-beradik yang lain. Tambahan pula,  perbezaan umur yang terlalu jauh antara adik-beradik menyebabkan mereka tertekan dan tidak dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga sendiri.

            Mengikut pandangan tokoh psikologi, remaja daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan etnik minoriti selalunya menghadapi tekanan  di sekolah dan berdepan dengan pelbagai masalah jika dibandingkan dengan rakan mereka  daripada golongan yang mempunyai  tahap sosioekonomi yang sederhana. Di rumah pula, ibu bapa yang tidak mempunyai pendidikan tinggi akan menimbulkan keresahan  remaja kerana   ketidakmampuan ibu bapa mereka membantu mereka dari segi pencapaian akademik. 

          Walau bagaimanapun, semua masalah ini akan mematangkan kehidupan seseorang remaja dalam menuju ke alam dewasa.   Ibu bapa sewajarnya berperanan memberikan nasihat dan bimbingan  kepada anak-anak dan tidak membiarkan mereka hanyut serta menyelesaikan masalah  ini bersendirian.   Ibu bapa perlulah mengambil inisiatif memahami jiwa anak-anak. Akhirnya kita mengharapkan agar masalah stres dalam diri remaja  ini dapat ditangani secara bijak dan berkesan.

(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Remaja Perlu Bijak Tangani Stres’
Oleh Dr. Aminudin Mansor, Utusan Malaysia, 19 April 2013


Soalan 2(a)- Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)   Apakah maksud rangkai kata memerlukan dorongan?             [2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk membantu anak mereka menghilangkan stres.
Nyatakan tindakan-tindakan itu.                                                [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda  apakah  usaha-usaha yang dapat dilakukan oleh pihak  sekolah untuk menangani gejala stres dalam kalangan murid?
                                                                                             [4 markah]



Cuba Dulu
Semak jawapan rumusan DI SINI

Cikgu Chom

Tiada ulasan: