HALAMAN 2

Sabtu, 17 Ogos 2013

ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU : Latihan Syair Makna Riak


Latihan Syair Makna Riak

SET 1


Baca syair di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Syair Makna Riak
Mohd Yusuf Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)

Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana menusia,
Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.

Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.

Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak peduli,
Hemahnya itu disangka ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.

Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis diramu.

Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.

Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambaian,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan berulitan.

Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.

Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.

Puisi melayu Tradisi, 1993
Oxford Fajar Sdn. Bhd.



(i)   Nyatakan kesan perbuatan riak sebagaimana yang terdapat dalam puisi di atas.                                                                                    ( 2 markah )

(ii)  Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang dapat dilakukan untuk membendung perasaan riak yang terdapat dalam diri seseorang?( 3 markah )

(iii) Jelaskan tiga pengajaran yang terdapat dalam puisi tersebut.  
                                                                                           ( 4 markah )



Cadangan Jawapan

(i) Terdapat beberapa kesan perbuatan riak yang dijelaskan dalam Syair Makna Riak. Antaranya ialah amal ibadat orang yang riak tidak diterima oleh Allah. Selain daripada itu, adakalanya mereka akan menanggung dosa akibat daripada perbuatan mereka.

(ii) Pada pendapat saya, kita dapat membendung perasaan riak dengan cara beribadat kepada Tuhan dengan hati yang benar-benar ikhlas. Kita juga perlu sedar akan kesan dan dosa akibat daripada perbuatan tersebut. Selain daripada itu kita juga hendaklah sesalu mengikuti kelas-kelas agama untuk menyucikan jiwa kita.

(iii) Antara pengajaran yang dapat dipetik daripada puisi ini ialah kita janganlah riak dalam melakukan ibadat kerana perbuatan itu menyebabkan amalan kita tidak diterima oleh Allah. Disamping itu pembaca mendapat pengajaran bahawa keimanan hendaklah dizahirkan dari hati yang ikhlas terhadap Allah tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Kita juga hendaklah melakukan amal ibadat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh agar segala ibadat kita akan diterima oleh Allah. Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah mengamal dan mempamerkan ketinggian budi pekerti walaupun di mana sahaja kita berada.

Tiada ulasan: