RUMUSAN 4 - Faktor berlakunya stes dan kepentingan untuk menanganinya
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor berlakunya stres dan kepentingan menangani gejala stres. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Stres bermaksud keadaan resah, cemas atau tegang akibat tekanan mental atau fizikal yang telah menjadi masalah lazim bagi manusia pada zaman serba moden ini. Stres mula menjadi penyakit bagi golongan remaja termasuklah murid sekolah. Masalah ini walaupun kelihatan remeh, namun boleh menjejaskan perkembangan sosial golongan remaja yang sedang membesar. Kajian psikologi dan pembangunan manusia menjelaskan bahawa remaja memerlukan dorongan, bimbingan dan juga perhatian dalam permasalahan sosial yang dihadapi oleh mereka.
Kajian yang dijalankan di enam buah sekolah menengah yang terbabit dalam projek perintis kelolaan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental telah menunjukkan bahawa lebih 27 peratus atau 1,756 daripada 6,540 orang murid dikesan mengalami tanda-tanda stres yang teruk yang berpunca daripada masalah hubungan dengan rakan sebaya dan keluarga. Remaja yang kehilangan sahabat baik dikesan tidak stabil emosi walhal sahabatnya itu hanya berpindah rumah atau sekolah. Di samping itu ada pula remaja yang sukar menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran yang baru setelah berpindah ke sekolah yang baru. Menyentuh soal hubungan kekeluargaan pula, gejala stres boleh berlaku apabila remaja tidak dapat menerima kehadiran orang baru dalam keluarga seperti ipar, kelahiran adik atau pasangan baru yang membabitkan ibu atau bapa. Kadang kala sikap ibu bapa yang bersikap pilih kasih terhadap anak-anak juga menyumbang permasalahan ini. Kesannya, mereka bertindak menjauhkan diri daripada bergaul mesra dengan ahli keluarga. Selain itu stres juga berpunca daripada sikap malu dengan kekurangan diri berbanding dengan adik-beradik yang lain. Tambahan pula, perbezaan umur yang terlalu jauh antara adik-beradik menyebabkan mereka tertekan dan tidak dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga sendiri.
Mengikut pandangan tokoh psikologi, remaja daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan etnik minoriti selalunya menghadapi tekanan di sekolah dan berdepan dengan pelbagai masalah jika dibandingkan dengan rakan mereka daripada golongan yang mempunyai tahap sosioekonomi yang sederhana. Di rumah pula, ibu bapa yang tidak mempunyai pendidikan tinggi akan menimbulkan keresahan remaja kerana ketidakmampuan ibu bapa mereka membantu mereka dari segi pencapaian akademik.
Walau bagaimanapun, semua masalah ini akan mematangkan kehidupan seseorang remaja dalam menuju ke alam dewasa. Ibu bapa sewajarnya berperanan memberikan nasihat dan bimbingan kepada anak-anak dan tidak membiarkan mereka hanyut serta menyelesaikan masalah ini bersendirian. Ibu bapa perlulah mengambil inisiatif memahami jiwa anak-anak. Akhirnya kita mengharapkan agar masalah stres dalam diri remaja ini dapat ditangani secara bijak dan berkesan.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Remaja Perlu Bijak Tangani Stres’
Oleh Dr. Aminudin Mansor, Utusan Malaysia, 19 April 2013
Soalan 2(a)- Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata memerlukan dorongan? [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk membantu anak mereka menghilangkan stres.
Nyatakan tindakan-tindakan itu. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan oleh pihak sekolah untuk menangani gejala stres dalam kalangan murid?
[4 markah]
Cuba Dulu
Semak jawapan rumusan DI SINI
Cikgu Chom
Cikgu Chom
1 ulasan:
bhh
Catat Ulasan